THOUGHTS – FANTASI CERITA CINTA PARI-PARI : PEMUSNAH ALAM DEWASA?

Orang tuaku adalah orang tua yang terbaik di dunia. Mereka cuba membentuk aku menjadi gadis yang baik, seterusnya berharap agar aku menjadi wanita yang baik juga. Mereka berjaya menjadikan aku manusia yang punya jati diri, namun mungkin tidak seperti yang mereka harapkan.

Sejak kecil, mereka menyogokkan aku dengan cerita-cerita fantasi Disney dengan harapan agar aku membesar sebagai gadis yang penuh kegadisan. Cerita dongeng dan pari-pari tentang putera dan puteri yang baik akhirnya mendapat cinta sejati dan hidup bahagia selamanya. Niat mereka baik. Tidak sekali-kali aku salahkan mereka.

Walaupun aku tidak membesar sebagai gadis yang feminin, namun jika sesuatu disogokkan berulangkali sepanjang hidupmu, maka kau akan mempercayainya. Aku mengaku. Aku mempercayai kisah dongeng, tanpa menganalisis realiti cerita dongeng itu sendiri. Dengan itu, sepanjang usia pra-dewasa, aku mengharapkan putera idaman dan cinta datang padaku dengan kuda putih dan pedang berkilat, berjanji akan melindungiku dan menyediakan hidup bahagia untukku.

Ceh …

Setelah menginjak dewasa, baru aku sedar realitinya. Pertama sekali, dalam dunia ini, tiada putera idaman yang sempurna. Kekacakan, kemewahan, kebaikan hati, peribadi mulia dan keromantisan, tidak datang dalam satu pakej. Kadang-kadang putera idamanmu datang dalam bentuk syaitan yang menyakitkan hati, namun kau tetap menyayanginya. Ada juga putera idaman yang sekeras batu, langsung tidak pandai berkata-kata romantis, namun menyayangimu sesungguh hati. Atau mungkin tiada langsung putera idaman menghampirimu.

Kedua, cinta tidak hadir dalam satu set lengkap kucupan, kemesraan, kasih sayang sejati, kata-kata romantis dan kesetiaan. Cinta adalah komitmen. Menerima pasangan seadanya. Bukannya pasangan sesempurna pasangan putera-puteri Disney. Dan juga, untuk membuktikan cinta, tidak semestinya putera idaman akan hadir menyelamatkanmu ketika kau ditimpa masalah. Adakalanya, kau harus menghadapi sendiri masalah tersebut sebagai bukti cinta kamu berdua.

Jauh benar realiti dengan kisah-kisah dongeng Disney …

Nah, jadi kenapa anak-anak harus disogokkan dengan perkara sebegini sejak kecil? Ini sangat tidak adil bagi mereka. Sewajarnya, para penulis cerita kanak-kanak mempertimbangkan realiti ini, untuk mendidik anak-anak kecil berkenaan realiti di hari muka, agar mereka boleh bersedia dan tidak kecewa kerana cerita dongeng yang dibaca atau ditonton sebenarnya mungkin tidak wujud langsung dalam dunia sebenar.

Tunggu dulu.

Ada yang berkata, jika begini, kita telah mengehadkan ruang fantasi dalam fikiran kanak-kanak agar mereka membesar menjadi lebih kreatif. Tidak. Charlie and The Chocolate Factory contohnya, menggambarkan fantasi yang amat hebat untuk kanak-kanak dan mengajar tentang kecintaan pada keluarga. Doraemon telah menjadi tontonan para doktor yang aku kenali sewaktu kecil dahulu. Alice In Wonderland, cerita klasik yang menawarkan imaginasi tanpa batasan. Senarainya terlalu panjang untukku sebut di sini.

Bagiku, mengajar anak-anak tentang realiti kehidupan adalah perkara yang paling penting yang patut diajar oleh semua ibu bapa. Dunia semakin kejam. Manusia menjadi semakin kompleks. Cinta juga … menjadi perkara yang semakin rumit.

2 Comments Add yours

    1. xevaspaite says:

      Terima kasih kerana sudi membaca tukilanku

      Liked by 1 person

Leave a comment