THOUGHTS – INDUSTRI PELACURAN

Tidak berapa lama dahulu,aku ada terbaca sebuah puisi yang begitu tajam, menusuk kalbu, daripada seorang wanita yang menghentam pelacur. Aku tahu, ramai saja wanita yang berkelakuan seperti pelacur, namun pernahkah mereka yang menghentam pelacur ini berbicara secara langsung dengan pelacur-pelacur ini?

Tidak ramai di antara mereka yang memilih untuk menjadi pelacur secara sukarela. Kebanyakannya dijual oleh orang yang dikenali dan orang yang tidak dikenali kepada sindiket pelacuran. Malah ada di antara mereka yang dijual oleh suami sendiri. Dapatkah dibayangkan situasi mereka?

Ketika berada dalam industri pelacuran, bukan sahaja mereka diperlakukan secara keji oleh pelanggan mereka, mereka juga dipukul bagai binatang jika enggan melakukan kerja dengan baik. Hidup merempat. Makan ala kadar. Sejauh mana masyarakat benar-benar tahu situasi mereka?

Anak-anak mereka menjadi anak jalanan.Terkadang mereka sendiri tidak tahu siapakah bapa kepada anak-anak mereka. Mereka ditimpa pelbagi penyakit kelamin, akhirnya mati begitu sahaja.

Ketika aku menjadi sukarelawan di Kuala Lumpur, aku ada berhubung dengan seorang pelacur berusia 19 tahun. Dia dijual oleh ahli keluarganya kepada sindiket pelacuran. Namun entah bagaimana, dia dapat melarikan diri. Sudah tidak tahu kemana mahu dituju, dia hidup di jalanan, mengutip dan memakan sampah kerana enggan meminta sedekah. Akhirnya dia dirogol oleh entah siapa dan mengandung. Ketika organisasi kami menjumpai dia, dia dalam keadaan lemah, menyuap nasi yang telah dibuang ke dalam tong sampah. Kami bawa dia pulang ke pusat perlindungan wanita, dia jatuh sakit pula. Apabila diperiksa, dia didapati menghidap penyakit AIDS. Kami menjaga dia sehingga dia melahirkan seorang anak perempuan yang comel, sayangnya anak itu juga tidak panjang nyawanya. Tidak sampai seminggu melihat dunia, dia pergi menghadap Tuhan. Dan ibunya juga menyusul seminggu selepas itu.

Bagiku, satu-satunya cara untuk menghapuskan industri pelacuran adalah dengan menghentikan permintaan bagi industri ini. No demand, no supply. Itu sahaja caranya. Bergantung atas sikap budiman lelaki-lelaki. Hormati institusi perkahwinan dan hentikan industri pelacuran. Marilah sama-sama kita hentikan industri persundalan ini.

Jangan memandang hina seseorang tanpa mengetahui apa kisah di sebalik perbuatannya. Masyarakat suka menghakimi tanpa mengerti dan mencari solusi. Inilah penyakit masyarakat ya g paling sukar dirawati jika tidak disertai oleh rasa empati yang mendalam terhadap orang lain.

Selami kisah hidup mereka yang telah aku adaptasikan dalam cerpen yang bertajuk Derita Si Kupu-Kupu Malam. Watak-watak di dalam cerita ini adalah watak-watak benar kecuali namanya yang aku telah ubah sedikit untuk memelihara privasi mereka.

DERITA SI KUPU-KUPU MALAM

Leave a comment