HANGOVER

Tit! Tit! Tit! Tit! 
Ah … bising! Bising! 
Tanganku cuba meraba-raba penggera telefon mingguan yang memang telah aku setkan sejak sekian lama. Aku cuba membuka kelopak mata yang sebegitu berat. Aku menggenggam sebahagian rambutku dengan kuat, dengan harapan kepeningan melampau itu akan hilang dengan segera.
Pandanganku masih berpinar-pinar. Aku tahu jika aku tidak bangun sekarang, aku akan lambat. Sekali lagi. 
Akhirnya kelopak mata berjaya aku buka. Siling putih susu dengan chandelier mewah menghiasi pandangan pertamaku. OK. Ini bukan rumahku. Penyesalan mula bertimpa-timpa di atas kepalaku yang sudah dibebani hangover. 
Tulang pipi kananku terasa pedih dan sakit. Begitu juga bahagian ari-ariku. Tubuhku tidak dibaluti apa pun, hanya seluar dalam kain kapas yang terkoyak masih bersisa di pangkal pahaku. Aku menolak tangan sasa lelaki memeluk abdomenku yang tidak ditutupi cadar satin itu. Aku bangun dan duduk di birai katil. Cuba mengingat kembali bagaimana aku berada di sini sambil melawan hangover. Wajah kacak barangkali kacukan India Melayu dengan kening yang tebal, kumis tipis dan bibir yang seksi itu, tersembam di bantal itu ku renung lama. Aku capai tuala mandi yang jelas tenunan Vistana Hotel padanya. 
Zouk. Dry Martini. Buah zaitun dan pencungkil gigi. Lampu warna-warni. Syaitan menari-nari. 
Aku melepaskan keluhan yang berat. Dadaku terasa penuh dan sesak sekali. 
Untuk apa penyesalan? Ini bukan kali pertama aku diperlakukan begini. 
Aku bingkas bangun, dengan tekad, aku tidak akan terlambat untuk acara pagi mingguanku ini sekali lagi. Aku menyarung selipar bilik hotel dan terus ke bilik air kaca. Pancuran air aku buka, sejuk dahulu kemudian sepanas-panasnya hingga kulitku yang putih kuning itu menjadi merah, tapi aku tahan peritnya. 
Mungkin begini dosa-dosaku aku hilang dibawa air yang meluncur terus ke sistem saliran hotel dan terus ke longkang busuk. 
*** 

Aku biarkan Kak Mashitah dengan bebelannya. Bukan kerana kelewatan aku tetapi kerana lebam di pipiku. Seberapa kuat dia mencuba untuk mengetahui keadaanku, aku tidak akan membuka mulut. 
Sudahlah. 
Kak Mashitah sudah banyak berkorban untuk aku. Dia kenalkan aku dengan kebahagiaan berbakti kepada orang lain dan menjadi keluarga kepada aku yang sebatang kara. Sesekali dia membetulkan tudung labuh yang berwarna biru laut itu yang berkeroyok kerana lincahnya tangan menyampaikan bungkusan makanan kepada gelandangan yang ramai pada pagi itu, dan mulutnya yang belum puas membebel kerana aku membisu. 
Sukarelawan lain hanya berbisik sesama sendiri, sesekali melemparkan pandangan padaku yang langsung tidak ada persamaan dengan mereka. Lenganku ada tatu wanita bogel. Kukuku sentiasa bercat hitam. Mekap goth yang sering aku kenakan. Aku tidak hipokrit. Aku takkan berpura-pura baik semata-mata kerana aku mneyertai aktiviti ini. Aku persetankan semua. Aku tidak seperti mereka dan Kak Mashitah yang sudah tentu akan ke syurga. Aku sendiri tidak tahu kalau Tuhan menerima taubatku. Harapnya Tuhan sedikit bersimpati dengan aku dengan kerja-kerja kebajikan yang aku lakukan. Aku masih malu untuk memijak lantai masjid. Aku malu. 
“Mimin!” 
Dia berpaling. Aku menggamit tangan. Anak gelandangan itu berlari riang mendapatkan aku. 
“Kak June Rock!” 
Aku menggosok kepalanya dan menyerahkan beg sekolah Naruto yang baru kepadanya. Dia membulatkan mata dengan rasa tidak percaya lalu terlompat-lompat kesukaaan. Dia mencium beg itu 2-3 kali. 
“Tak sangka Kak June belikan. Terima kasih.” 
“Bukan Kak June belikan. Ada abang tu bagi,” kataku sambil menggosok beg sandangku yang terbuka. 
Dompet Danial Khairin masih tebal walaupun RM1000 telah kuberikan kepada Kak Mashitah dan sebahagian kecilnya aku gunakan untuk membeli beg sekolah Mimin. Kak Mashitah semakin curiga, mulutnya seperti bertih goreng bertanya. Tetapi aku terus membisu. Aku tahu Kak Mashitah sangat perlukannya. Setiap minggu sekurang-kurang RM8000 diperlukan untuk menyediakan sarapan pagi untuk ratusan gelandangan yang ada di sekitar bandaraya Kuala Lumpur itu. 
Agak-agak selepas bangun tidur apa reaksi dia melihat dompetnya yang tebal itu tiada? Ah…duitnya berkepuk-kepuk. Takkan habis walau tujuh keturunan berlalu. 
*** 
Aku terjengket-jengket mengangkat barang dapur yang banyak ke tingkat 8 Flat Seri Permai itu. Barang dapur sebegini banyak rasanya akan tahan 1 bulan. Begitupun subsidi Danial Khairin masih belum habis. Aku berhenti seketika melepaskan lelah. Belakang dan pinggangku sakit. Celaka pula hari ini lif rosak. 
Pintu sedikit terbuka. Langkahku terhenti. Tiba-tiba dadaku berdebar-debar semacam. 
Rina takkan biarkan pintu terbuka, walau sekalut mana dia sekalipun. Hari ini, Rina tidak bekerja. Hari sudah pukul 10 pagi. Takkan Rina terlupa? 
Aku meletakkan barang lalu perlahan-lahan membuka pintu. 
“Rina!!!!!!!” 
Bagaikan ditelan suara sendiri, aku terjatuh lalu tersandar ke dinding. Pandanganku berpinar seketika.
Tanganku menggigil-gigil. Mendengar jeritanku, orang ramai mula berkerumun di hadapan rumah. Jiran sebelah rumah mengangkat aku berdiri. Aku terdengar suaminya menelefon polis. 
Aku panik. Terkejut. Trauma. Aku takut! Ketakutan yang tidak pernah aku rasakan sebelum ini. Aku benar-benar ngeri. 
Apa yang aku saksikan bagaikan sebuah babak cerita ‘thriller’ yang Rina gemari. Kini dia sendiri yang melakonkannya. Aku sudah tidak boleh berfikir lagi. Lalu aku berlari meninggalkan semua kegilaan itu. 
Tingkat 8 Flat Sri Permai tiba-tiba menjadi kecoh pada pagi Ahad yang biasanya damai itu. 
*** 

Aku berlari dan terus berlari. Aku tidak pasti ke mana harus aku tuju. Aku takut melihat pandangan orang padaku. Aku tahu semua orang fikir aku gila. 
Biarkan. Aku tak peduli lagi. 
Aku ingin menelefon Kak Mashitah, tetapi aku risau kalau jadi apa-apa pada dia. 
Telefonku berdering kuat. Nombornya private. Entahkan siapa.
“Kawan kau mati katak saja. Semuanya sebab kau.” 
Aku kenal suara ini. 
Aku hamburkan kesemua caci-maki sepuas-puas hatiku dengan airmata yang mengalir. Rasa marah, benci, sedih semuanya bercampur-baur. Pipiku terasa panas melekap pada telefon bimbit. Aku terasa bagai ingin menghancurkan telefon bimbitku dengan genggaman yang maha kuat. 
Mengapa perlu Rina mati hanya kerana RM3500 dalam dompetnya? 
“June, June, June. Aku tak kisah kalau kau ambil duit aku. Kenapa kau mesti ambil dompet aku? Dalam dompet aku ada benda berharga. Lebih berharga dari wang. Datang jumpa aku di Central Market petang ini. Kalau tidak, aku akan kejar kau sampai ke lubang kubur. Faham!” 
Hatiku bergetar. 
Apa yang harus aku buat sekarang? 
*** 

Pekerja masjid memberikan aku jubah hitam untuk menutup tubuhku yang hanya ditutupi T-shirt hitam dan seluar pendek. Langkahku pantas ke bahagian wanita. Belum masuk waktu Zohor, maka tidak ramai orang di situ. 
Ketika kaki memijak lantai marmar masjid buat pertama kalinya, sejuknya terus menusuk ke saluran darahku. Aku menarik nafas panjang. Menahannya seketika dan menghembuskannya perlahan-lahan. Segala kekeliruan aku bagaikan hilang. Aku mengambil wudu lalu terus menunaikan solat sunat masjid. 
Allah, aku tahu aku banyak berdosa. 

Sebab itu, aku tidak pernah minta apa-apa dariMu. 

Tetapi kali ini, tolong aku. 
Aku duduk berteleku di atas sejadah. Aku berseorangan di sini. Tiba-tiba aku menghamburkan kesemua isi beg sandangku di atas sejadah. Tanganku pantas mencapai dompet Mont Blanc milik Danial Khairin. 
Kad pengenalan, lesen memandu dan kad kredit yang pelbagai. 

Kondom. 

Kad keahlian kelab golf. 
Apa ni? Apa yang penting sangat?
Aku tak faham. Aku benar-benar tak faham. 
Aku cuba menguis poket-poket dompet itu. Tiba-tiba… 
Sekeping kad Micro SD terjatuh. Aku membelek-beleknya. Tiada yang istimewa padanya. Dengan pantas aku mencapai telefon bimbit aku dan dengan kasar, aku membuka ‘housing’nya. Terketar-ketar jariku cuba memasukkan kad itu ke dalam slotnya. 
Fuck! Slot Micro SD itu bagai terlalu kecil. Fuck! Dengan kasar, aku tujah saja ke slot itu. Masuk juga akhirnya. 
Aku ‘browse’ File Manager dan terus membuka file bernama Danny. 
Ada klip video pendek. Aku mainkannya. 
Ia merupakan rakaman CCTV berdefinisi tinggi. Aku dapat lihat dengan jelas, dua manusia sedang bertengkar. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Ia seperti di dalam hutan. Terpekik-pekik mereka berdua, tetapi buah-butirnya tidak kedengaran. Aku kenal yang perempuan itu. Itu Kak Siti, aktivis kemanusiaan! Dia ada beberapa kali datang menyertai Kak Mashitah menjamu gelandangan. Aku tahu Kak Siti ada aktiviti lain juga. Kak Siti adalah aktivis yang hebat dan terkenal. Sejak akhir-akhir ini, Kak Siti lantang mendedahkan skandal-skandal kewangan orang-orang besar di media. Khabarnya baru-baru ni dia ke Singapura dan dia hilang! 
Apakah … 
Lelaki itu menjadi berang lalu mencekik Kak Siti dengan tali lehernya sehingga Kak Siti tidak bergerak lagi. Terkulai. Lalu ditolak ke tanah bagaikan tiada harga. 
Kak Siti sudah mati! 
Barangkali aku sahaja yang tahu hal ini atau sesiapa sahaja yang tidak mahu cerita ini keluar atau tidak. Aku terus menonton klip video itu walau aku sama sekali tidak selasa, marah atau apa saja rencah perasaan yang aku sendiri tidak tahu menggambarkannya. 
Lelaki itu berpaling dan kali ini wajahnya jelas. 
Dia salah seorang Timbalan Menteri yang aku tidak pasti apa portfolionya tetapi aku sering melihat wajahnya di akhbar. 
Siapa Danial Khairin? Kenapa dia ada klip video ini? 
Darah menyirap ke kepalaku dan serta-merta tubuhku menjadi panas… 
Apa yang harus aku lakukan sekarang? Siapakah yang aku boleh percayai? Aku tahu sekarang malaikat maut itu hanya ingin menyentuh jarinya padaku pada bila-bila masa saja. Aku meraup wajahku perlahan. Aku buntu. 
Mungkin ini jawapan Tuhan padaku. Sebagai penebusan terhadap bagaimana aku jalani hidupku sebelum ini. Lakukan perkara yang betul. Setidak-tidaknya kematian Kak Siti dan mereka yang teraniaya dengan skandal kewangan itu dapat dibela. Orang jahat dapat pengadilannya. Inilah peluangnya. 
“Hello Channel News Asia…” 

Leave a comment