AKU NAMPAK ALLAH

Cinta? Apa yang kau tahu tentang cinta? Tiada yang lebih tahu tentang cinta melainkan aku, Allah dan habib. Jangan kau temberang kau tahu semuanya tentang cinta. Jangan.

Jangan temberang!
Kenapa aku yakin aku lebih tahu? Hahahahaha! Bodoh! Kau semua memang dungu. Buta hati dan buta mata. Aku yakin aku lebih tahu kerana aku pernah nampak Allah dan cintaNya. Habib yang mengajarkannya kepadaku kerana aku wanita istimewa. Habib kata aku wanita istimewa. Memang aku istimewa kerana aku adalah penghulu wanita syurga. Setanding dengan Fatimah RA. Ketaatanku kepada habib menjadikan Allah sayang padaku. Kalau lelaki lain bilang, aku tidak percaya, tetapi habib tidak pernah berbohong padaku. 
Habib yang menyelamatkan aku dari lembah hina. Habib adalah penyelamat. Wajahnya terang bercahaya macam Isa Al-Masih.
Mungkin juga Nabi Muhammad SAW. Orang kata Nabi Muhammad hensem…hihihi…habib pun hensem.
Aku hanya pelacur jalanan pada suatu ketika. Sekadar mencari rezeki di Chow Kit, kadang-kadang di Lorong Haji Taib. Aku tidak tahu di mana ibu bapaku. Kata kawan-kawan, ibu bapaku berasal dari Chow Kit juga. Entahlah. Aku tidak pernah berjumpa mereka. Entah hidup, entah mati. Habib sentiasa berpesan agar aku mendoakan mereka. Ya, aku doakan. Jika hidup, biar selamat. Jika mati, biar selamat dari Sujaul Aqra. Walau bagaimanapun, aku ikut kata habib. Habib tidak pernah bohong.
Kecil-kecil, aku kutip botol dan tin untuk dijual. Duitnya aku beli makanan. Aku jemu punya wang RM2-3 sehari. Aku tengok pekerja tauke Yong semua pakai baju cantik-cantik. Mekap lawa-lawa. Aku nak jadi macam mereka. Aku berani. Aku bilang sama tauke Yong aku nak kerja dengan dia. Pada hari yang sama, aku dapat pelanggan pertama aku. 
Sakit! Sakit! Sakit!
Tubuh kecil aku dihenyak. Dihempap. Dia naik aku macam kuda sehingga kemaluanku berdarah. Aku rasa kulit lembut di bawah celah kangkangku koyak. Lengan, paha dan pipi aku digigit. Aku menjerit panggil tauke Yong. Siapa pun tak peduli…kemudian aku hanya diberi rehat satu jam…kemudian pelanggan datang lagi…dan lagi…dan lagi…
Aku rasa bagai nak mati.
Tapi aku tak menyesal. Aku hidup. Duit dapat banyak. Aku beli baju cantik dan mekap. Pelanggan selalu puji aku cantik. Kulit aku halus gebu. Ina yang kutip tin sekali dengan aku pernah kata aku nampak macam perempuan Jerman.
Di mana Jerman tu?
Katanya ramai perempuan kulit putih bermata kelabu di sana. Macam aku. 
Aku harap aku dapat kumpul duit untuk pergi Jerman dan tengok sendiri. Tapi kata habib, Jerman tempat ramai orang buat dosa. Tak payah pergi pun tak apa. Kalau pergi, mengundang kemarahan Allah. Aku tak mahu Allah marah. Aku sayang Allah. Kalau tidak, aku tak dapat jumpa habib. Habib adalah segala-galanya bagi aku selepas Allah. 
Ah! Kita lupakan cerita lama. Aku sudah bersih sekarang. Habib yang bersihkan aku. Katanya aku bagaikan bayi yang baru lahir semula. Dulu aku tak kenal Allah. Jadi bila aku masuk Islam, aku bagai manusia baru. Aku sangat-sangat gembira. Sebelum ini, hidup aku gelap saja. Aku rasa tubuh aku kotor. Aku rasa jijik dengan diri aku sendiri. Tapi habib tak pernah layan aku macam perempuan jijik. Dia sayang aku, aku pun sayang dia. 
Oh! Maaf!
Aku lupa ceritakan kepada kau orang. Habib ni penyelamat aku. Dia lelaki yang baik. Dia seorang ustaz. Alhamdulillah. Dia tunjukkan aku ke jalan yang benar. Dia ada ramai pengikut. Semua pengikut dia sayang dia. Macam aku juga. Pengikut dia sanggup mati kerana dia. Sama macam aku. Kadang-kadang aku cemburu bila ada pengikutnya yang nampaknya terlebih sayang pada habib.
Astargfirullah! Syaitan!
Aku mesti sabar. Baru masuk syurga.
Setiap malam, habib akan buat kelas. Mengajar agama kepada pengikutnya di sebuah surau kecil di kampung ini. Orang kampung yang bina untuk habib. Siang habib mengajar Quran. Ada budak kecil, ada orang tua. Aku pun belajar. Tapi otakku benak sedikit. Hahaha! Lambat belajar. Tapi habib tak pernah marah. Katanya, zaman Rasulullah dulu, yang mengaji Quran semuanya orang tua-tua, lambat belajar macam aku juga. Tetapi akhirnya mereka semua jadi penghuni syurga. Macam aku.
Hihihi…!
Suatu hari, selepas kami mengadakan hubungan, habib bertanya,
“Intan nak tengok Allah? Macam Nabi Musa AS?”
Aku angguk dengan pantas. Siapa tak nak?
“Ada banyak peringkat tau. Intan sanggup tahan? Kalau tak sanggup, habib tak ajar. Bukan mudah nak sampai tahap boleh nampak Allah. Tapi habib rasa Intan boleh,” kata habib, dengan penuh yakin.
Aku jadi semangat. Berkobar-kobar. Dadaku menjadi kencang mendengar kata habib. Habib tak pernah bohong. 
Malam itu, bermulalah peringkat pertamaku untuk melihat Allah. Habib belai aku dengan penuh kasih sayang selepas sembahyang Isyak. Perlahan-lahan dia tanggalkan semua pakaian aku. Aku hairan. Allah suka kita kelihatan tanpa seurat benang ke? 
“Kita kena kembali kepada fitrah manusia apabila dilahirkan. Tak ada istilah aurat di situ.”
Ohhh…baru aku tahu.
“Pejam mata, dan buka mulut, Intan.”
Aku ikut. Aku rasa macam ada benda dalam mulut aku.
“Pahit, habib!”
“Telan!”
Malam itu aku nampak Allah. Aku rasa seperti tubuh aku diangkat ke langit. Macam peristiwa Isra’. Cahaya itu begitu gemilang. Aku rasa sangat bahagia. Ada hitam, kemudian biru, merah, kuning, hijau. Kemudian bunga-bunga…sungai…ada bentuk geometri…ada kartun Tom and Jerry. Pendek kata semua benda yang aku suka atas dunia yang fana ini ada di sini. Allah bersamaku. Aku berbual-bual dengan Allah. Dia melayan aku dengan penuh kasih sayang. Cahayanya menyentuh seluruh tubuhku.
Aku di syurga!Syurga!
Hahahahahahahaha!
Kemudian pertemuan itu tamat. Ah! Sekejap sangat. Tapi lubang punggungku sakit selepas itu. Kata habib, aku terjatuh semasa turun dari langit menghempap bontot. Ohhh…begitu.

Aku nak tengok Allah lagi. Aku bahagia. Sangat bahagia. 
Habib sangat gembira melihat aku gembira. Katanya aku sudah lulus. Menjadi manusia pertama yang melihat Allah selepas habib sendiri. 
Benda baik macam ini, takkan aku tamak sendiri. Habib kata, kita kena kongsi ramai-ramai. Tapi habib nak jemaah perempuan dulu rasa pengalaman tu. Habib sangat mementingkan wanita. Apa-apa pun dalam kelas didahulukan wanita. Kata habib, wanita mempunyai darjat yang tinggi dalam Islam. Malah habib adalah lelaki yang paling menghormati perempuan yang aku pernah jumpa seumur hidup aku.
Malam itu, habib melakukan peringkat pertama kepada jemaah perempuan surau kampung ini yang seramai 12 orang. Kata habib, aku tak boleh berada sekali. Tak sesuai dengan darjat aku sebagai wanita pertama yang melihat Allah, jadi aku mesti tinggal di rumah. Aku akur.

Keesokan harinya semua jemaah perempuan bercerita tentang pengalaman mereka melihat Allah. 
Aku hanya tersenyum. Aku masih yang istimewa. Sebabnya tidak seorang pun jatuh ketika turun dari langit. Kata habib, Allah tak nak lepas aku turun, sebab tu aku terjatuh dan sakit bontot. Hihihi!
2-3 hari selepas itu, aku jatuh sakit. Badanku terketar-ketar. Peluh merecik di dahi. Habib membelai dahiku dan mengucupnya. Dia memandang aku dengan penuh kasih sayang.
“Ini bukan sakit, Intan. Allah nak jumpa kamu lagi. Dia rindu kamu.Selepas jumpa, Intan pasti baik.”
Dan sekali lagi, habib melakukan upacara itu. Aku diberi dua butir kristal yang indah. Katanya itulah batuan syurga yang membolehkan aku jumpa Allah.
Aku telan tanpa berfikir panjang. 
Tapi kali ini aku tak jumpa Allah. Suasana gelap dan hitam. Ada sekali, aku buka mata, aku nampak orang pakai baju putih, lepas tu gelap balik.
Mana Allah! Mana! Mana! Mana!
Badan aku kejang sekali lagi. Sakit seluruh badan. Peluh merecik di dahi tapi pandangan aku gelap. Allah panggil aku.
Allah!!!!!!!! Allahhhh!!! Allahhh!!!
***
Doktor Haslina berlari-lari anak ke wad. Dia sudah lambat pada hari pertamanya. Ketika dia sampai, doktor pakar dan ketua pengarah hospital telah berada di wad intensif itu. Dia tesenyum malu, dan membetulkan rambutnya yang kusut itu.
Matanya tertancap kepada pesakit yang sedang mengalami ‘spasm’ di lantai. Siksa amat nampaknya. Di pintunya tertera nama Intan.
“Pesakit ini tanggungjawab kamu, Haslina. Teman lelakinya adalah ketua kultus ajaran sesat di sebuah kampung. Dia jadi begitu sebab dijadikan bahan eksperimen dadah psikoaktif sintetik baru. Kesannya adalah 5 kali ganda dari kanabis…”
Bam!
Serentak, ketiga-tiga doktor itu berpaling. Pesakit yang bernama Intan itu telah berlumuran darah di lantai setelah kepalanya dihantukkan ke dinding.
Dengan pantas mereka berlari ke pintu.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s