DERITA SI KUPU-KUPU MALAM (CF)

Aku bangun lalu menggosok mata. Di bilik kecil yang hanya diterangi cahaya lilin itu, aku lihat ibu sedang bersiap untuk pergi kerja. Cantik pakaian ibu malam ini, berwarna putih susu.

“Kenapa bangun, sayang?”kata ibu sambil mengelus rambutku. Aku memeluk ibu.

“Nak peluk ibu…”Ibu memelukku kembali.

“Ibu pun mahu peluk kamu, tapi ibu terpaksa keluar kerja. Duduk rumah, jangan keluar ke mana-mana. Kunci pintu. Esok pagi, ibu pulang OK?” pesan ibu. Aku mengangguk.

Ibu baik sekali. Entah mengapa orang bilang ibu perempuan yang jahat. Tidak pernah ibu marahkan aku kecuali kalau aku malas buat kerja sekolah. Ibu bilang jangan peduli apa orang kata. Mulut manusia tak boleh ditutup, pekakkan telinga, kata ibu. Kadang-kadang sakit hati, tapi aku ingat pesan ibu.

Pagi itu, ibu pulang dengan membawa nasi lemak kegemaranku. Ibu menyuap aku dengan penuh kasih sayang. Kami terus bersiap untuk ke Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, sekolah anak-anak gelandangan. Walaupun sebenarnya aku teringin untuk bersekolah seperti budak sekolah yang berpakaian putih dan berseluar biru itu, tapi kata ibu, aku tak ada surat beranak, tak boleh pergi sekolah itu. Tapi sekolah ini pun seronok juga. Cikgunya baik-baik belaka.

“s-e, se. k-o, ko, l-a-h, lah. Sekolah,” kata ibu tiba-tiba apabila sampai di perkarangan sekolah. Aku bertepuk tangan suka hati.

“Yeay!!Ibu sudah pandai mengeja,”

“Alah, ibu pun belajar tau, sungguh-sungguh,”ibu berlutut di hadapanku. Dia membetulkan baju T-shirtku.

“Kamu janji dengan ibu, belajar pandai-pandai. Jangan kamu nanti hidup di jalanan lagi. Kita sama-sama belajar ya…” aku lihat kolam mata itu sudah bergenang dengan air mata.

Ada satu malam, ibu pulang ke rumah dengan wajah yang berdarah dan baju yang rabak. Aku menangis semahu-mahunya melihat keadaan ibu. Kalau ibu dipukul begini, ibu akan sakit, dan wang tak ada. Hanya waktu malam saja aku boleh makan, dekat satu masjid tak jauh dari rumah aku, ada bagi makanan percuma. Siang aku dan ibu akan berlapar. Pernah sekali aku bilang sama ibu, aku nak minta sedekah dekat jejantas. Ibu marah aku. Selagi boleh cari duit, kita cari. Jangan minta, kata ibu.

“Ibu janganlah pergi kerja dengan Uncle Chong lagi. Nanti ibu kena pukul,”kataku suatu hari. Ibu mengusap kepalaku.

“Ibu tak pandai baca. Kat mana ibu nak kerja? Lagipun semua orang kan tak suka ibu. Uncle Chong saja yang baik dengan ibu,”

Aku terdiam seketika.

“Maaf sayang. Ibu tau kamu tak suka ibu kerja di situ. Orang kata macam-macam. Orang buat macam-macam dekat ibu. Bila kita tak pandai, macam nilah orang layan kita. Macam sampah. Sebab itu, ibu mau kamu belajar pandai-pandai.
Jangan duduk tempat macam ni lagi.”

Di sekolah, aku paling suka belajar Bahasa Inggeris dan Matematik. Kadang-kadang cikgu buat tayangan cerita-cerita Disney, aku memang suka. Aku nak jadi cikgu Bahasa Inggeris suatu hari nanti. Sukarelawan selalu bawa buku cerita. Aku minta kakak sukarelawan bawakan aku buku cerita Bahasa Inggeris. Waktu petang, ibu akan hantar aku ke masjid untuk belajar baca Al Quran. Ustaz Ahmad baik sangat, dia ajar Al Quran tak minta bayaran pun. Aku belajar sembahyang dengan ustaz. Aku ajar ibu sembahyang sebab ibu pun tak pandai. Aku ternampak ibu mengintai aku mengaji dan sembahyang di sebalik pagar masjid. Aku beritahu ustaz, jadi isteri ustaz berikan kain sembahyang untuk ibu tapi ibu cakap,

“Badan ibu kotor sangat, macam mana nak sembahyang?”

Aku hairan. Ibu kan baru mandi?

“Allah akan Maha Penyayang, kalau kotor boleh mandi,” Ibu senyum sambil mengusap kepalaku.

“Tapi ibu dah buat macam-macam, Allah nak ke terima sembahyang ibu?”

“Ustaz kata, asalkan hambanya ikhlas, Allah pasti terima walaupun sebesar mana dosa yang kita lakukan. Manusia tak lepas daripada berbuat kesilapan. Ibu cuba ya,” aku pandang wajah ibu. Aku nampak mata ibu berkaca.

Setiap malam Rabu, aku akan jumpa kakak sukarelawan yang bernama Lina. Dia boleh ajar aku baca. Aku selalu buat kerja sekolah dengan kakak Lina. Ibu akan berada di sebelahku, tekun mendengar apa yang diajar kakak Lina. Aku tahu, ibu terangguk-angguk kerana dia ikut kakak Lina baca dalam hati. Balik rumah, dia akan ulang-ulang apa yang kakak Lina ajar.

Ada satu hari, aku selsema. Ibu bawa aku jumpa doktor sukarelawan. Doktor Tan namanya. Dia beri aku ubat dan nasihatkan aku minum banyak air. Aku ternampak buku nota yang Doktor Tan bawa. Medecins Sans Frontieres? Apa tu? Bahasa Inggeris ke? Aku tanya pada Doktor Tan, dia ketawa. Itu bukan Bahasa Inggeris, itu Bahasa Perancis. Bahasa Inggerisnya Doctors Without Borders. Oh…Doktor Tanpa Sempadan. Maknanya apa?

“Kami akan tolong orang, tak kira bangsa, agama, tempat. Tak ada sempadan,”kata Doktor Tan. Bagi aku, cikgu-cikgu Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Kakak Lina, Ustaz Ahmad, Doktor Tan dan lain-lain sukarelawan di kawasan aku macam malaikat. Mereka tak pernah anggap kami macam sampah. Besar nanti kalau boleh aku nak jadi seperti mereka. Aku nak jadi cikgu Bahasa Inggeris sukarelawan.

“Jurina!!” Pintu bilik kami ditendang. Kelihatan seorang lelaki berwajah bengis masuk lalu menarik tanganku. Aku menjerit kesakitan. Aku menjadi sangat takut lalu aku menjerit memanggil ibu.

“Lepaskan dia, Rashid!!!”Jerit ibu.Tangannya memegang tangan Rashid agar dia melepaskan aku. Rashid menendang perut ibuku lalu ibu tercampak ke dinding. Ibu mengadoi kesakitan sambil memegang perutnya. Rashid menarik aku keluar, tetapi ibu tahan.

“Jangan ambil dia, Rashid. Aku bayar duit kau.Aku bayar…” Rashid menggenggam rambut ibuku.

“Masa anak sakit, pandai merayu minta duit dengan aku. Bila anak dah sihat, pandai pulak buat-buat tak bayar. Aku nak ambil anak kau, suruh minta sedekah,”

“Aku tak duit, macam mana nak bayar? Baiklah, aku kerja dengan kau…aku kerja dengan kau,” Rashid melepaskan tanganku dan rambut ibu.

“Datang esok.”

Sejak ibu kerja dengan Rashid, kesihatan ibu sangat terjejas. Tubuh ibu menjadi kurus kering. Aku sangat risau. Ibu hanya suruh aku belajar. Jangan pedulikan dia, katanya. Badan ibu dinaiki bintik-bintik. Selera makannya kurang. Aku cakap pada cikgu di sekolah, balik sekolah cikgu datang melawat ibu.

“Susah-susah saja cikgu datang. Afiq nakal di sekolah ke?” tanya ibu pada cikgu. Cikgu menggeleng.

“Saya datang nak tengok kakak. Afiq cakap kakak sakit,”kata cikgu sambil menyelimuti ibu. Cikgu memujuk ibu berjumpa doktor, tapi ibu tak mahu. Ibu tak ada masa katanya. Malam itu, ibu tak kerja. Jadi aku pergi Kechara Soup Kitchen, ambil makanan untuk ibu.

“Cantiknya beg Ironman tu,”tegur aku semasa sedang bermain dengan kawanku di tepi jalan. Ibu mengusap kepalaku.

“Suka ya?” Aku mengangguk. Aku tak sampai hati nak minta dengan ibu. Ibu sakit. Duit pun tak ada. Dapat tengok pun tak apa. Ibu mencium dahiku.

“Hari ini adalah Hari Ibu. Hari Ibu diusulkan oleh Anna Jarvis di Amerika Syarikat suatu ketika dulu. Ia disambut pada hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Jadi hari ini, apa kita kita buat kad untuk ibu masing-masing dan beri pada ibu untuk mengenang jasanya? Mesti ibu suka,” kata Cikgu Ana. Aku sangat teruja dengan idea ini. Ibu bersusah-payah agar aku mendapat pendidikan yang baik walaupun aku tahu kawasan tempat tinggalku bukanlah tempat yang elok sangat. Ibu tak pernah lokek kalau bab belajar. Ibu jaga aku dengan penuh kasih sayang walaupun kami hidup susah. Aku melipat kertas A4 yang cikgu Ana bagi dan mengeluarkan pensel warna yang kakak Lina hadiahkan minggu lepas. Kat sini warna merah, kat bawah warna biru, tulisan Selamat Hari Ibu warna pink sebab ibu suka warna pink-kalau ibu tak faham tulisan ini, aku boleh ejakan. Dalam warna hijau. Cantiknya. Aku tersenyum seorang diri.

Aku balik kegirangan sambil melompat-lompat. Mula-mula, aku nak suruh ibu tutup mata. Kemudian, aku akan letak kad ini di atas tangannya. Lepas suruh dia buka mata. Aku terbayang ibu senyum manis sekali. Aku tahu ibu pasti suka. Dari jauh, aku ternampak ramai orang di bangunan tempat aku tinggal. Ada apa pula?

Ada ramai orang berkerumun di bilik aku. Ibu? Kad ibu aku masukkan dalam seluar baik-baik. Aku berlari dengan pantas. Aku tolak semua orang yang sedang berkelimun. Sepayah mana pun aku tolak, aku menyusup di bawah celah kaki orang.

“Ibu!Ibu!”

Aku berjaya masuk ke dalam bilik namun tersepak kaki orang lalu tersungkur di hadapan jasad yang diselimuti kain putih. Di sebelah tubuh itu, aku ternampak beg Ironman yang aku bilang sama ibu tempoh hari.

“Ibu…”

Kad Selamat Hari Ibu aku keluarkan dari seluar, aku pegang erat sambil airmataku turun laju.

Kini aku bersendirian, di dunia tanpa kehangatan kasih sayang ibu.

Advertisements

3 Comments Add yours

  1. Keren cerpennya. Sampai mataku mendung bacanya

    Like

    1. xevaspaite says:

      Terima kasih. Sudikanlah membace cerpenku yang lain ya.

      Liked by 1 person

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s