RAKHINE (CF)

“OK, you can leave the food here, we can give it to the villagers!”

Pemilik suara yang serak-serak kering itu menghembuskan asap rokok daunnya sambil matanya melirik tajam pada aku dan Khairil. Senjata submachine gun MP5 itu diusap perlahan sambil bibirnya sumbing, tersenyum miring padaku. Barangkali mengejek. Barangkali menggertak. Aku tidak takut. Ini bukan kali pertama aku berhadapan dengan manusia jenisnya. Kakiku melangkah ke hadapan, namun Khairil menarik lengan bajuku. Perlahan dia menggelengkan kepalanya. Matanya memicing. Bibirku ketap erat lalu dengan terpaksa aku melepaskan keluhan yang berat berbaur geram. Pantas aku menarik lenganku dari pegangan Khairil.

Kami berpusing ke belakang dengan langkah bersahaja. Dua orang Tatmadaw membontoti kami dalam jarak lebih kurang 3 kaki. Ketua mereka masih berada di sempadan kampung Keramoitta Fara. Hatiku sebal. Aku menjangkakan perkara buruk bakal terjadi selepas kami meninggalkan kampung ini. Kelicikan Tatmadaw sudah terkenal di kalangan para sukarelawan misi kemanusiaan. Tanganku kepal. Barangkali di wajah terlukis rasa tidak puas hati yang jelas, Khairil memandangku dengan isyarat mata yang memang sudah aku fahami.

“Jangan, Jo,” bisik Khairil. Pergelangan tanganku digenggamnya sekali lagi. Dia menarik tanganku untuk terus berjalan ke depan. Dengan langkah terpaksa, aku menurut jejak langkah Khairil.

Aku menarik nafasku sedalamnya sebelum aku memejamkan mata dan menghembuskan nafasku perlahan-lahan dan cuba bertenang. Tatmadaw (angkatan tentera Myanmar) itu mengarahkan kami naik ke atas jip tanpa bumbung dan kami di bawa ke arah selatan. Pandanganku lemparkan buat kali terakhir pada Keramoitta Fara.

Hari ini merupakan hari ketiga, aku dan Khairil berada di wilayah bergolak Rakhine. Kami masuk ke Rakhine dengan menyeberangi Sungai Naf melalui Bangladesh dengan membayar seorang ‘guide’ dari sana sebanyak UDS100 sehari. ‘Guide’ itu memperkenalkan kami kepada Tatmadaw yang bersetuju untuk membawa kami ke dalam kampung-kampung Rohingya di Rakhine dengan bayaran yang lebih tinggi, USD200 sehari. Ah… cekik darah. Namun itu sahaja caranya untuk aku masuk setelah semua jalan sah untuk masuk ke Rakhine telah disekat oleh kerajaan Myanmar. Ini semua terjadi setelah Myanmar menolak pasukan penyiasat PBB untuk masuk ke kawasan Rakhine sebagaimana yang disarankan oleh Yanghee Lee, pegawai khas PBB. Yanghee Lee melaporkan bahawa terjadinya pembunuhan yang kejam, penderaan, rogol secara sistematik yang akhirnya dia mengesahkan apa yang berlaku di Rakhine sebagai ‘crime against humanity’. Seperti biasa, kerajaan Myanmar menafikan perkara ini sekeras-kerasnya walaupun bukti yang ada menyatakan sebaliknya.

Pada hari pertama, dengan mata kepalaku sendiri, aku melihat kampung-kampung dibakar. Aku tidak boleh berbuat apa-apa. Aku dapat lihat ketakutan, trauma dan kesengsaraan Rohingya yang hanya mampu menangis, meraung dan pasrah dengan kehidupan derita ini. Hari kedua, aku dan Khairil berjaya menyampaikan bantuan tanpa sebarang masalah. Hari ini, hari terakhir, ada gerak hati yang negatif aku rasakan. Cuma tidak dapat aku luahkan.

“Wait!” aku menjerit dengan tiba-tiba setelah hampir 200m kami meninggalkan kampung tersebut. Remang senja mula memekat di sekitar kawasan itu.

Jip berhenti dengan mendadak. Khairil memandang aku sejenak, cuba membaca apa yang bermain di fikiran aku. Aku tidak dapat menyembunyikan senyumanku lagi. Khairil menggeleng dengan matanya membelalak seolah-olah menyatakan bantahan. Keningnya yang tebal itu diangkat setingginya dan dahinya berkerut. Aku tidak memperdulikan pandangan Khairil. Vest Caritas Internationalis aku betulkan lalu aku terjun daripada jip. Ikatan rambutku yang telah longgar aku ikat kembali seketatnya. Aku tidak boleh hilang fokus selepas ini.

“I want to pee. You, don’t follow me. I want my friend to accompany me!”

Tatmadaw yang duduk di kerusi hadapan jip memberikan arahan kepada Tatmadaw yang duduk di belakang denganku. Nadanya begitu menjengkelkan sambil jarinya menuding ke arah aku dan Khairil. Tidak jauh dari tempat kami berhenti terdapat sebatang anak sungai kecil. Aku menghampiri sungai itu di kawasan yang tinggi semak samunnya. Khairil juga terjun dari jip dan mengikuti aku. Seorang Tatmadaw muda, barangkali dalam usia awal 20-an mengikuti kami. Wajahnya kelihatan kurang senang dengan perlakuan kami, kakinya menyeret memaksa langkah. Kemudian dia berhenti, dan berkawal kira-kira 15 meter dari tempat aku dan Khairil.

Aku terus masuk ke dalam sungai, menelusuri tebingnya dengan hati-hati. Khairil merengus perlahan dan dengan hati-hati, lalu masuk ke dalam air. Dia paling benci ketika bajunya basah. Wajahnya sudah berkerut seribu bagaikan kertas yang dikeronyok. Tangannya memegang akar-akar pokok yang menjulur di tebing sungai itu. Airnya keruh, mengingatkan aku kepada air banjir di Kelantan ketika aku berada di sana, membantu sukarelawan St. John Cathedral dan Islamic Relief Malaysia membantu mangsa banjir. Tanah terasa lembik. Setiap kali kakiku memijak, tubuhku tenggelam 2 hingga 5 inci ke dalam tanah. Aku tidak nampak kakiku, kalau ada ular, bagaimana? Ah, persetan.

Khairil menolak belakangku. Wajahnya masih keruh. Aku tahu dia marah tetapi takkan lama. Ini sudah kali ke – 15 aku bersama Khairil dalam misi kemanusiaan. Persahabatan kami hampir mencecah 25 tahun. Kami berkenalan sejak alam persekolahan lagi. Aku sekelas dengan Khairil, sama-sama mengambil aliran teknikal di sebuah sekolah berasrama penuh. Ketika di alam persekolahan, aku dan Khairil tidak begitu serasi, kerana kami bersaing dalam mengumpul mata bagi rumah sukan kami. Namun selepas SPM, kami sama-sama merantau ke Kuala Lumpur, menamatkan pengajian dan seterusnya menempuh alam kerjaya. Nasib aku tidak sebaik Khairil. Dia merupakan seorang ahli perniagaan berjaya, aku pula, sekadar makan gaji di sebuah syarikat korporat. Khairil masih bujang lagi. Tidak pernah pula aku bertanya kenapa sedangkan aku tahu, ramai gadis cantik yang mengejarnya.

Tepukan Khairil di bahu menyentakkan lamunanku. Dia menunjukkan ke arah kawasan tebing yang agak tinggi, namun kelilingnya dipenuhi pepohon rendang dan semak-samun yang pasti akan memudahkan kami untuk melarikan diri. Dengan pantas, aku memanjat tebing. Tangan aku hulurkan pada Khairil, namun dia lebih selesa untuk berpaut pada akar banir pokok untuk naik. Aku hanya mengangkat bahu. T-shirt Red Crescent yang dipakainya telah basah sehingga ke dada. Aku dan Khairil berlari sepantasnya menuju ke Keramoitta Fara. Kasut yang berlecak tidak aku pedulikan lagi. Aku tahu, dalam masa 5 minit lagi mereka akan sedar akan kehilangan kami.

Setelah sampai di sempadan Keramoitta Fara, ternampak tentera baru sahaja meninggalkan kampung itu, lalu aku dan Khairil bersembunyi di sebalik sebuah reban ayam yang kosong. Dengan pantas Samsung Galaxy S7 yang aku beli khas untuk misi ini, aku keluarkan. Aku mengambil foto pergerakan Tatmadaw, serta video clip. Aku terdengar lolongan sayu wanita separuh abad, menepuk tangannya ke tanah berulang kali, bagaikan meratapi sesuatu. Hatiku melonjak-lonjak ingin mendekati tempat kejadian namun aku tahu natijahnya. Terpaksa aku menyabarkan diri, mengetap bibir sekuat-kuatnya, menahan kaki yang jarang mendengar nasihat waras otakku. Hari menjelang petang, namun bahang matahari masih terasa membuatkan aku berpeluh-peluh.

Khairil menyandarkan belakangnya pada dinding reban ayam itu. Dia mengesat peluh di dahi sambil matanya meliar di sekitar kawasan reban ayam itu. Dia memandang aku sekilas, kemudian pandangannya dihalakan kepada pergerakan Tatmadaw. Bunyi jip tentera semakin menjauh. Apabila aku merasakan mereka telah cukup jauh, telefon bimbit aku sisipkan kembali ke dalam poket lalu aku melompat keluar dari kawasan persembunyian, berlari ke arah suara yang melolong itu. Khairil hanya menurutiku. Hatiku berdebar-debar.

Sesampainya aku, masa bagaikan terhenti. Langkahku menjadi perlahan tiba-tiba. Seorang wanita berbangsa Kachin, dengan kain yang dipenuhi darah, sedang menahan darah yang keluar daripada liang di dada seorang kanak-kanak lelaki Rohingya yang berseluar pendek putih comot yang dicemari darah juga. Di tangan kanannya ada sepotong roti berlabel Caritas Internationalis, barangkali dari bekalan yang aku dan Khairil hantar hampir sejam yang lalu. Wanita Rohingya separuh abad yang melolong itu barangkali ibu atau nenek kepada kanak-kanak itu masih melolong sambil menepuk-nepuk dahinya. Kata-katanya laju meluncur dari bibirnya yang merekah dan berdarah, terkadang nadanya tinggi, terkadang sayu. Aku tidak faham akan buah-butirnya tetapi aku tahu dia sedang meluahkan rasa risau dan sedihnya. Hampir separuh dahinya dipenuhi tanah. Wajahnya juga telah basah dengan airmata. Darahku menyirap. Dah ku jangka! Pelbagai perasaan bercampur baur antara marah, sedih, dan geram menyebabkan kolam mataku bergenang. Tanganku kepal erat.

Bajingan! Sebenarnya aku mampu memaki manusia yang tidak ada perikemanusiaan ini dengan pelbagai kata makian yang lebih buruk. Namun aku tahu perbuatan itu adalah sia-sia. Khairil bergegas mendapatkan budak itu. Dengan cemas, dia berpaling ke kiri dan kanan, memandang orang-orang Rohingya yang mengerumuni mereka.

“Dharr! Dharr! (Pisau! Pisau!)” jerit Khairil, cemas.

Seorang gadis remaja Rohingya berlari pantas ke dalam sebuah pondok yang berdekatan apabila mendengar kata-kata Khairil. Dengan pantas, dia membawa pisau. Kerumunan itu mula bising.

“Swarr!(Pergi!)” jerkah Khairil dengan suara yang bergetar, namun wajahnya masih tenang. Gerombolan itu berundur perlahan-lahan, memberi ruang kepada Khairil untuk melakukan kerjanya.

Khairil mengeluarkan kotak aluminium jujub Hudson’s Eumenthol merah yang sering menjadi peneman setia Khairil ketika dalam misi kemanusiaan dari poket seluar kargonya yang masih lembab. Di dalamnya terdapat ‘tweezer’ kecil, ‘band-aid’, ‘alcohol swab’, salap antibiotik, ‘antacid’, aspirin dan entah apa lagi bahan perubatan bersaiz kecil yang dimuatkannya di dalam kotak aluminium itu.

Aku berlutut di tepi Khairil. Anak itu, mungkin berusia dalam 5 ke 6 tahun hanya mampu merengek dan mengumam kata-kata yang tidak aku fahami. Namun kesakitan yang terpancar pada sinar matanya yang semakin layu dapat kubaca.

“Macam mana, Khai? Boleh kau selamatkan dia?”

Khairil tidak menjawab soalan aku. Matanya fokus pada dada kanak-kanak itu. Dia mengoyakkan baju kanak-kanak itu. Kanak-kanak itu terus merengek perlahan. Perempuan yang melolong tadi sudah mendiamkan diri melihat tindak-tanduk Khairil. Gerombolan penduduk kampung hanya berbisik perlahan dengan nada prihatin. Di wajah mereka yang terlihat harapan yang menipis dan pasrah jika malam ini mereka akan berlapar lagi. Aku tidak terlihat bekalan makanan yang aku bawa di mana-mana. Ia telah dirampas oleh Tatmadaw.

“Macam mana …” – tanpa sempat aku menghabiskan ayatku, pantas Khairil mencelah.

“Kalau kau terus tanya aku macam ni, aku tak boleh fokus! Tolong aku pegang tangan budak ni. Aku nak buat insisi,” tegas kata-kata Khairil.

Pandangannya tajam padaku seketika, kemudian kembali pada kanak-kanak itu. Jarinya lincah membuka plastik ‘alcohol swab’ lalu disapukan ke dada budak itu. Kanak-kanak itu menjerit kepedihan. Aku mengosok bahunya lalu mencium dahinya. Aku harap ciuman itu mampu meredakan kesakitannya, namun realitinya …

Khairil menajamkan pisau yang dibawa kepadanya di atas sebuah batu granit yang berdekatan. Setelah berpuas hati dengan ketajamannya, dia menyahkuman pisau tersebut. Melihatkan tingkah laku Khairil, budak itu kelihatan cemas dan mengumam sesuatu pada ibunya. Ibunya hanya menggosok kepalanya seolah-olah memujuk dia agar bertenang.

“Sedia?” Khairil memandangku. Tajam. Terus ke hatiku. Hatiku berdebar-debar. Bukan debaran biasa sebagaimana selalu setiap kali aku memandang Khairil. Ini pertama kali aku akan melihat insisi tanpa anesthesia. Aku menguatkan peganganku pada tangan budak itu. Budak itu mula meronta. Ada dua tiga orang Rohingya yang lain datang membantu kami dengan memegang budak itu.

Khairil memulakan insisi. Budak itu menjerit semahu-mahunya dengan airmatanya laju merembes. Suaranya nyaring sekali, sehingga aku rasakan bagaikan tidak sanggup mendengar lagi. Mereka yang memegangnya cuba menenangkan budak itu. Aku hanya mampu memejamkan mata sekuatnya. Aku bagaikan dapat merasakan kesakitan kanak-kanak itu. Setiap inci tubuhku terasa ngilu dengan jeritannya.

Kegilaan apakah yang melanda seorang manusia yang sanggup menembak anak kecil yang kelaparan?

Kebencian apakah yang sanggup membiarkan manusia mati kebuluran di tanah airnya sendiri?

Kegilaan apa ni? Kesumat apa ni?

Bertalu-talu soalan yang datang dari segenap pelosok otakku. Aku takkan mampu menjawabnya.

Tuhan, kebinatangan apa yang menular di bumiMu?

Lembut jemari Khairil menggosok bahuku. Perlahan mataku buka. Tanpa sedar, airmata mengalir di pipi, aku kesat segera dengan lengan T-shirtku. Pandangan Khairil bertukar lembut. Luka anak itu telah siap dibalut Khairil. Hanya esakannya sahaja yang masih bersisa. Manakan tidak, setelah menanggung kesakitan ditembak, terpaksa pula menanggung kesakitan insisi tanpa anesthesia dalam usia semuda itu. Bayangkan bagaimana pengalaman ini mampu merosakkan mindanya yang masih hijau pucuk itu.

“Peluru 7.62 x 51mm NATO. Hanya menembusi otot. Tak kena organ dalaman. He will be alright,” kata-kata Khairil lembut, bagaikan cuba memujuk aku.

Aku hanya mengangguk perlahan. Sisa airmata aku kesat lagi dengan lengan T-shirtku. Aku bangun. Aku mengambil foto-foto yang aku perlukan untuk aku laporkan perkara ini kepada Caritas Internationalis dan media. Berjuta-juta wang penderma hanya menjadi habuan syaitan-syaitan bernama Tatmadaw dan biksu-biksu ekstremis yang laparkan darah.

Argh! Ingin rasanya aku menjerit!

Aku teringat kata-kata Paderi Benjamin ketika aku bertemu dengannya di Bangkok, seminggu sebelum aku menyertai misi ini.

“Kita tahu, bahawa kita berasal dari Tuhan dan seluruh dunia berada di bawah kuasa si jahat (John 5 : 19). Jadi apa yang kau takutkan? Kita semua akan kembali kepadaNya. Lawan si jahat itu dengan apa cara sekalipun. Faham, Josephine?”

Aku mendongak ke langit. Rona jingga mula mewarnai langit. Kalaulah bumi yang kupijak ini seindah langit yang aku junjung sekarang. Pandangan aku halakan pada Khairil. Dia memandangku selembutnya walaupun wajahnya kelihatan teramat letih. Dia mengangkat kedua-dua keningnya. Aku mengerti isyarat ini. Perlahan aku mengangguk dan berjalan menuju ke arahnya. Kompas aku keluarkan dari poket kiriku. Perjalanan ke Ukhia, Chittagong, yang terletak di barat Karamoitta Fara harus dimulai sekarang sebelum malam menjelang. Aku dan Khairil harus memilih untuk melewati pagar kawat sempadan Bangladesh-Myanmar atau menyeberangi Sungai Naf. Aku meraba poketku dan mengeluarkan duit USD yang telah aku bungkus menggunakan plastik berzip. Masih ada USD700. Masih cukup untuk kami mencari kenderaan untuk bergerak ke Teknaf seterusnya ke Kem Kutupalong di mana sebahagian daripada pasukan kami telah pun berada di sana.

“Mister!”

Aku dan Khairil berpaling. Wanita dan anaknya yang ditembak, juga remaja perempuan yang menolong kami ketika merawat anak itu mendekati kami. Wajah mereka sugul. Tiba-tiba wanita itu melepaskan esakan yang kuat. Wajah cengkungnya itu basah lagi dengan airmata.

“Take!” remaja perempuan itu menunjuk pada budak lelaki itu. Terkesima, aku memandang Khairil. Khairil juga terkejut. Sepatah kata pun tidak keluar dari bibirnya.

“Take!” katanya lagi. Kali ini lebih kuat. Khairil mengangkat tangannya memberi isyarat ‘tak boleh’. Aku masih terpaku di tempat yang sama. Aku tidak tahu bagaimana untuk bereaksi untuk insiden ini.

“Take! Go!” Remaja perempuan itu mengambil budak lelaki itu dari ibunya lalu menyerahkan kepada Khairil. Khairil menyambut budak lelaki itu kerana tidak mahu dia jatuh ke tanah. Aku melopong.

“Go!”

“Ma!Ma!” jerit budak lelaki itu, mengongoi, enggan berada dalam pelukan Khairil.

“Hey!” jeritku. Aku menjadi kalut. Apa ertinya semua ini?

Mereka telah melarikan diri. Khairil cuba mengejar mereka, tetapi apabila dia terdengar enjin jip mendekati kampung tersebut, dia berpatah balik.

“Lari, Jo!”

Aku membuka langkah, berlari berpandukan kompas dalam suasana rembang senja itu. Jalan menuju ke sempadan masih jauh. Aku cuma berharap kami dapat melepasi Tatmadaw atau check point mereka dengan selamat, tanpa ditangkap oleh mereka. Jika tidak, aku dan Khairil mungkin akan ke penjara. Aku tidaklah se ‘adventurous’ itu.

Khairil mencadangkan kami mencari jalan untuk melepasi kawat berduri berbanding menyeberangi Sungai Naf. Budak itu telah tertidur di bahu Khairil. Kami melalui kawasan belukar dan terserempak dengan sekumpulan Rohingya, lelaki, wanita dan kanak-kanak sedang berjalan agak kalut menuju ke sempadan Bangladesh-Myanmar. Aku fikir mereka melarikan diri dari kampung mereka. Khairil mencadangkan agar kami mengikuti mereka. Mereka cuba bertanya kepada kami, namun aku dan Khairil tidak begitu fasih dengan bahasa Rohingya. Khairil pula hanya tahu perkataan asas mereka. Belum tamat pengajian bahasa Rohingya katanya. Sudahnya kami berjalan bersama-sama menuju ke sempadan tanpa berbual atau berkata apa-apa.

Hari sudah gelap ketika kami sampai di pagar kawat berduri sempadan Bangladesh-Myanmar. Khairil terpaksa mengejutkan anak yang tertidur di bahunya kerana tak mungkin Khairil boleh melepasi pagar kawat itu dengan mendukungnya. Anak itu tenang walaupun keadaannya agak mamai. Aku lepaskan kumpulan Rohingya itu terlebih dahulu melalui pagar kawat tersebut. Khairil, aku dan kanak-kanak itu menjadi orang terakhir melepasi pagar itu.

Tiba-tiba, terdengar suara menjerit. Aku mengangkat kepala. Kelihatan tentera sempadan Bangladesh menyerbu kumpulan kami. Orang Rohingya yang bersama kami sudah lintang-pukang melarikan diri dalam kegelapan malam. Mereka dikejar oleh tentera itu, manakala aku dan Khairil terpisat-pisat memandang tentera yang memegang raifal di hadapan kami.

“We are Malaysians!” jerit Khairil.

“Why are you here?”

“Humanitarian mission.”

“By crossing the border like this?”tanya tentera itu, sinis. Khairil hanya memandangku dengan pandangan penuh makna. Aku hanya mampu menggigit jari.

***

“Dato Khairil!” dari jauh kedengaran suara Ramgopal, memanggil. Kumpulan Red Crescent Society dan Caritas Internationalis menghampiri kami. Saleha dan Vivian memelukku sambil mengucapkan kesyukuran. Anuar, koordinator misi ini memeluk Khairil seeratnya diikuti oleh sukarelawan misi yang lain.

“Kami risau sangat. Kami dah laporkan kehilangan Dato dan Josephine ke Wisma Putra dan Malaysia High Comm. Nasib baik tak apa-apa. Bagaimana Dato dan Jo boleh sampai ke sini?” tanya Anuar. Kawan-kawan yang lain turut mengangguk, menanti cerita dari Khairil.

Khairil menceritakan kepada Anuar yang kami terpaksa merasuah tentera Bangladesh sebanyak USD200 untuk dilepaskan dan membayar USD100 lagi untuk dihantar kemari. Apabila terlihat anak Rohingya yang tertidur di dalam van, dahi Anuar berkerut. Namun dia tidak bertanya apa-apa.

“Panjang ceritanya,” kata Khairil. Seolah-olah tahu persoalan yang bermain di kepala Anuar. Pandangannya dihalakan padaku. Aku hanya mampu mengangkat bahu.

“Mesti kerja kaulah ni,” kata Ramgopal sambil menepuk bahuku. Aku hanya mampu tersengih.

***

Lapangan Terbang Hazrat Shah Jalal agak lengang pada waktu malam. Pesawat kami pula akan berlepas selepas tengah malam dan akan tiba di Malaysia kira-kira 6 pagi esok. Anak Rohingya yang bernama Kyaw Win itu sudah terlena di atas pahaku. Luka di dadanya sudah hampir sembuh, jadi dia agak selesa untuk tidur. Rambutnya kubelai lembut. Khairil bersusah-payah memohon dokumentasi untuk anak ini. Oleh kerana hubungannya baik dengan ahli Parlimen Chittagong, Khairil berjaya mendapatkannya. Kata Khairil, dia akan memelihara anak ini di Malaysia. Aku tidaklah terkejut dengan keputusan ini. Khairil memang lelaki yang budiman. Lagipun anak ini comel sekali. Bulu matanya panjang dan melentik. Kulitnya hitam manis dan bersih. Senyumannya menawan. Dia tertidur setelah puas bermain dengan kereta permainan yang aku belikan untuknya di Dhaka.

“Sebab kaulah, aku dah jadi bapa segera,” ujar Khairil sambil melabuhkan punggungnya di sebelahku. Aku hanya mampu tersenyum miring. Tanganku terus membelai rambut Kyaw Win.

“Sorry,” jawabku pendek.

Khairil memusingkan badannya, menghadap aku. Pandangannya tepat dihalakan padaku, seolah-olah ingin menyatakan sesuatu yang penting. Aku mengerutkan dahi sambil memandangnya.

“Tak ada sorry-sorry. Kau kena terima hukuman kerana dah menyusahkan aku,”

“Hukuman yang macam mana?” tanyaku perlahan.

“Kau kena jadi mak budak ni,”

Haaa…

“Maksudnya…”

Khairil hanya tersenyum melihatkan wajahku yang berkerut bagaikan sangat keliru dengan pernyataan Khairil. Dia memegang tangan kananku lalu menyarungkan sebentuk cincin permata di jari manisku. Kilauannya sangat memukau. Aku bagaikan terkena serapah yang kuat sehingga terdiam seketika.

“Kau taklah bodoh sangat, Datin Josephine.”

Lantas Khairil menghadiahkan aku senyuman yang paling manis, yang tak pernah aku lihat sebelum ini. Kepalaku terasa ringan, tubuhku bagaikan berada di awang-awangan.

Datin Josephine?

Aku menghadiahkan kembali senyuman kepada Khairil setelah aku dapat menangkap makna kata-kata Khairil. Panggilan penerbangan bergema lalu Khairil mendukung Kyaw Win sambil tangan kirinya menggenggam tanganku, erat. Hatiku terasa berbunga-bunga.

Dalam menikmati saat-saat bahagia ini, aku masih tidak lupakan Rakhine. Aku takkan berdiam diri dengan apa yang aku lihat. Sudah hampir 38 tahun, Rakhine disimbah darah hasil penghapusan etnik. Kedegilan Myanmar yang mempersetankan dunia sama sekali tidak boleh dibiarkan. Aku akan lakukan apa saja untuk menghentikan pembantaian ini.

Rakhine, kau tidak keseorangan.

 

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s