THOUGHTS – NASIHAT PROFESSOR

“Jatuh cinta apabila bersedia mental dan fizikal, bukan ketika dilanda kesunyian” merupakan nasihat emas profesor perundanganku ketika di bangku universiti. Nasihat ini diluahkan ketika aku dilanda saat yang paling menghimpit aku ketika itu.

Menjadi pelajar ‘dean-list’, profesorku amat terkejut apabila dia sedar dia hampir menggagalkan aku untuk tahun ketiga aku berada di universiti.

“What is wrong with you?” tanya dia separuh marah dan separuh mengambil berat. Aku pun menceritakan apa yang berlaku. Maka dia hanya memandangku dengan pandangan yang diberikan oleh seorang bapa pada anak perempuannya. Maka itulah nasihat yang diberikan.

Katanya, cinta adalah satu emosi yang sangat kuat dan seringkali berlaku ketika manusia berada dalam keadaan yang paling mengelirukan. Kerana itu, orang sering berpesan ketika belajar, jangan cuba bermain cinta. Kau takkan pasti sama ada kau mampu kawal ia atau tidak.

Menjadi anak remaja introvert yang aktif, lingkungan sosialku amat kecil, masa terluang aku isikan dengan buku, kelab buku, kelab renang, kelab teater, dan kelab pecinta alam. Aku sering bertemu dengan rakan-rakan, yang hampir setiap kali datang dengan teman lelaki atau teman wanita mereka. Melihatkan mereka, aku sering tertanya-tanya, apakah rasanya mencintai dan dicintai.

Sehinggalah aku didekati oleh seorang budak lelaki yang 2 tahun lebih tua dariku, aktif, bijak dan pandai berkata-kata. Hidupku berubah menjadi lebih indah tetapi dalam masa yang sama, menjadi lebih buruk. Aku terpaksa mengubah banyak tabiatku sejak berkawan dengan dia.

Aku terpaksa makan makanan segera, kerana dia gemar makanan segera. Sungguhpun aku dibesarkan dengan makanan yang sihat.

Aku terpaksa mengehadkan aktiviti kelabku, kerana dia mahu meluangkan masa denganku. Sedangkan ketika itu, aku memegang banyak jawatan penting dalam kelab.

Aku terpaksa melupakan teater, kerana dia tidak suka melihat aku berada di atas pentas. Sedangkan teater adalah aktiviti kegemaranku sejak di bangku sekolah lagi.

Aku fikir perubahan ini adalah kebiasaan dalam percintaan. Aku lebih menghargai dia daripada menghargai diriku sendiri. Aku rasa tersepit. Aku lemas. Aku sudah kehilangan diri sendiri. Benarkah ini ertinya cinta? Bukankah cinta sepatutnya membawa kebaikan kepada pencinta? Namun ketika itu, aku tidak dapat mengawal emosi ini, kerana aku sendiri masih belum mengerti hal dunia, mahupun hal lelaki.

Sehinggalah keadaan menjadi semakin meruncing. Kesihatan aku terjejas. Gredku menjunam. Kawan-kawan menjauh. Aku menjadi sangat keliru. Apakah yang telah terjadi? Di mana salahku?

Aku dimotivasikan kembali oleh profesorku untuk sekian waktu, sehingga aku kembali stabil. Aku amat berterima kasih kepada profesor itu, yang kini berada di luar negara, menyahut research grant. Jika tidak kerana dia, aku tidak pasti apa yang akan berlaku padaku.

Dia menyedarkan aku. Perkara ini bukan salahku atau salah budak lelaki itu. Ini sebenarnya pelajaran kehidupan yang besar untuk aku menjadi manusia yang lebih baik. Jangan anggap diri sebagai mangsa keadaan. Pelajaran ini adalah pelajaran yang sukar, namun ia penting untukku. Dia mengingatkan, manusia adalah unik. Tidak perlu mengubah diri untuk manusia lain, melainkan perubahan yang baik. Ini berlaku kerana aku belum bersedia untuk mengenal cinta. Ia akan berlaku dengan indah apabila manusia sudah bersedia, katanya.

Benarlah kata profesor. Pelajaran ini amat berguna untukku. Aku bersyukur kerana hidupku sentiasa dikelilingi oleh manusia-manusia hebat yang memberi banyak pelajaran kehidupan padaku.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s