MURKA! (CI)

Hujan masih turun merintik. Tahun ini sudah sampai penghujungnya. Namun aku masih begini.
Ternyata bila mereka katakan, persoalan hati itu adalah yang paling sukar. Aku tidak pernah mempercayainya. Hidup aku hanya untuk pekerjaanku. Dan pekerjaan adalah hidupku. Malah tidak pernah terlintas di hatiku, aku akan jatuh hati kepada seseorang. Pada awalnya, dia adalah sebagaimana lelaki lain yang berlalu dalam hidup aku. Hanya watak-watak tempelan. Takdir menentukan, aku terpaksa rapat dengannya, dan bibit cinta itu mula membunga di hati kami. Aku mencuba sedaya-upaya menjauhkan diri dari perasaan yang mengelirukan ini. Namun aku hanya wanita. Tewas. Pada hati dan perasaan sendiri.
Pintu dibuka.
Dia melangkah longlai sambil menanggalkan butang seragamnya. Topi seragamnya disangkut pada penyangkut keemasan pada ruang kot di sebalik tangga rumah. Dari jauh, jelas kelihatan lambang mahkota, tiga bintang, tangkai padi dan keris pada bahunya. Wajahnya kelihatan letih namun tegang.
“Is? Awak dah makan?”
Dia hanya berpaling seketika sebelum terus melangkah kaki ke tangga dan menuju ke bilik tidur. Dingin. Aku terpempan setiap kali. Walaupun sudah hampir 3 tahun Iskandar bersikap sedemikian. Sikap yang membunuh hatiku secara perlahan-lahan.
Bahuku digosok perlahan. Wajah jururawat Laili dengan mata yang mengecil dan bibir yang menguntum senyum paksa seolah-olah ingin memujuk aku. Aku hanya mengangkat bahu. Walau hatiku disayat pilu, namun aku takkan tunjukkannya. Laili menolak kerusi rodaku ke ruang alfresco yang hampir 3 kaki lebarnya, ditutupi bumbung kanvas berwarna maroon. Katanya menghirup udara segar pasti akan menyegarkan. Hujan masih belum reda. Aku terasa dingin lalu jemari runcingku menarik selimut rapat ke tubuhku.
“Sudah tak lama. Kau sabar saja.” Begitulah sms yang aku terima. Aku mengeluh sendirian.
Sudah hampir lima belas tahun aku berkahwin dengan Iskandar. Pada awalnya, perkahwinan kami begitu bahagia sebagaimana pasangan lain. Ternyata Iskandar merupakan lelaki yang romantis, dan pandai berkata-kata. Aku dilayan bagaikan puteri. Namun Iskandar berubah setelah ‘kecelakaan’ itu yang menyebabkan aku terpaksa berkerusi roda. Layanannya semakin hambar, walaupun makan pakaiku dijaga dengan baik, malah diupahnya Laili untuk bersamaku sepanjang hari. Dia tidak ingin berbicara tentangnya. Mungkin ini adalah ujian buat kami berdua. Dan ternyata yang tewas terlebih dahulu adalah Iskandar sendiri.
Tiba-tiba terdengar tawa Iskandar yang begitu kuat dari bilik tidur. Hatiku berdarah lagi. Pasti dia sedang menerima panggilan daripada perempuan simpanannya. Ya, dia ada menyimpan perempuan. Aku tahu. Ada sekali aku membuka telefon bimbitnya yang penuh dengan mesej-mesej cinta dari perempuan sundal itu. Aku hanya mampu menggigit bibir sehingga terluka, sebagaimana terlukanya hatiku dengan Iskandar.
Sanggup kau, Iskandar? Aku hanya memerhatikan kau, menanti hari untuk menyatakan kebenaran. Untuk apa aku menyimpan cinta untuk lelaki begini? Semakin hari, aku dapat rasakan Iskandar semakin hilang dari hati dan jiwaku. Barangkali inilah yang terbaik untukku.
Hari-hari yang berlalu, aku terus mengeraskan hati. Aku memujuk jiwa untuk bersedia bagi hari perhitungan terakhir antara aku dan Iskandar.
“Mulai esok, Laili cutilah 3 hari. Tuan ada ambil cuti untuk jaga akak.”
Wajah Laili berubah. Dia kelihatan begitu teruja sambil menggenggam tanganku.
“Akak dah berbaik dengan Tuan?”
Aku memaksa sebuah senyuman. Laili memeluk erat leherku. Laili sentiasa melayan aku bagaikan saudara kandungnya. Dia adalah manusia yang paling tulus yang pernah aku jumpa dalam hidupku.
“Berkat kesabaran akak, akhirnya Tuan berubah.”
Aku tidak berkata apa-apa. Laili mencium dahiku sebelum menjinjit beg pakaiannya. Selimut dirapatkan ke bahu kananku. Bucu selimut itu ditarik menutupi kakiku. Kedudukan tapak kaki kiri dan kananku diperiksa agar aku selesa.
Aku memegang bahu Laili. Dia mendongak lalu kuhulurkan sebuah kotak kayu 30cm x 15cm kepadanya. Walau Laili kelihatan hairan, dia menyambutnya.
“Hadiah buat Laili. Bukalah setelah sampai ke rumah, ya?”
Dia mengangguk perlahan. Di wajahnya terlukis kehairanan yang bermain di fikirannya. Dia bertanya kalau aku OK, aku hanya mengangguk perlahan. Walaupun rasa tidak puas hati jelas bermain di fikirannya, namun dia tidak memaksa setelah aku tidak menawarkan penjelasan. Laili berpaling kepadaku buat kali terakhir sambil melemparkan senyuman yang paling manis. Tudung putih yang dipakainya beroleng-oleng ditiup angin. Dia kelihatan seperti seorang bidadari.
Dia memang seorang bidadari dunia. Itu saja yang mampu aku katakan.
***
Iskandar memandu perlahan ke garaj rumahnya. Perlahan dia mematikan enjin lalu mencapai beg dokumen Mont Blanc yang berwarna hitam berkilat itu. Dia menjenguk tingkap bilik tidur isterinya. Sudah gelap. Barangkali Nina sudah tertidur.
Iskandar merasa bersalah. Hubungannya dengan Suhara telah diputuskan. Dia tidak sanggup lagi curang dengan isterinya, Nina. Benar, segalanya indah dengan Suhara. Suhara lebih muda 7 tahun daripada Nina. Suhara masih muda dan lincah mengujakan Iskandar yang sudah hampir separuh abad itu. Namun Suhara bukan Nina.
“Betina jalang!”
Suhara hanya tersenyum miring sambil memeluk tubuh sasa teman barunya.
“Jika ini adalah kejalangan, apa yang kau buat pada Nina itu dipanggil apa? Dayus?”
Iskandar terpempan. Bagikan tersedar dari mimpi, kisah cintanya bersama Nina mula bermain di fikirannya.
Saat pertemuan mereka di bank tempat Nina bekerja. Pertama kali, bertemujanji. Pada malam pertama, saat Iskandar memegang kepala Nina dan berdoa untuk isterinya. Ciuman pertama … Wayang itu terus berputar di kepalanya. Ia merupakan kisah cinta yang indah namun ia begitu kejam bagi Iskandar.
“Manusia jenis apakah aku?”
Selama ini, Nina telah membahagiakannya. Nina merupakan wanita yang sangat istimewa. Dia tidak pernah boleh duduk diam. Ada-ada saja yang ingin dilakukannya. Nina sangat gemarkan ‘kickboxing’. Sesuatu yang sering membuatkan Iskandar kagum dan teruja. Bekas pegawai bank yang berjaya ini sanggup tinggalkan kerjaya hebatnya demi cintanya pada Iskandar. Iskandar tidak gemar isterinya bekerja. Dia merasakan dia mampu menyara hidup mereka. Nina akur dengan kehendak Iskandar.
16 Jun 2014. Tarikh yang tidak dapat dilupakan oleh Iskandar. Tarikh yang mengubah hidup mereka buat selama-lamanya. Kereta yang dipandu Nina telah terjatuh di dalam gaung ketika pulang dari sebuah majlis perkahwinan di Perak. Nina hanya dijumpai 3 hari selepas itu. Nasibnya baik, dia masih hidup, tetapi …
Kemalangan itu telah meragut kemampuan Nina untuk berjalan dan bergerak seperti manusia normal yang lain. Namun begitu, Nina tetap tabah melalui hari. Tidak pernah sekali dia menangis. Dia adalah perempuan yang paling cekal. Malah dia tidak pernah 100% bergantung pada Laili. Melihatkan keadaan Nina begitu sebenarnya membuatkan Iskandar amat kecewa. Dia tidak dapat menerima kenyataan bahawa isterinya yang lincah kini hanya mampu duduk di kerusi roda. Untuk berdiri sendiri juga tidak mampu. Dia rindukan Nina yang dahulu. Nina yang berlari memeluknya setiap kali pulang dari kerja, dan menghidangkan the rooibos panas dan segar, setiap kali.
“Maafkan aku, Nina …”
Sepatutnya dia memberi semangat kepada Nina untuk meneruskan hidup. Bukannya menyerahkan tugas itu bulat-bulat kepada Laili.
Iskandar membuka butang lehernya. Dia ingin mandi, memakai wangian dan tidur sambil memeluk Nina pada malam ini. Semuanya akan berubah setelah malam ini. Dia akan menjadi suami yang terbaik kepada Nina. Sebagaimana dahulu. Dia membuka pintu bilik Nina. Dia tiada di sana. Kelibat Laili juga tidak kelihatan. Laili tidak pernah pulang terlebih dahulu sebelum Iskandar pulang.
“Nina!!”
“Saya ada di sini.”
Dengan pantas, Iskandar memanjat tangga menuju ke bilik tidurnya. Kelihatan Nina sedang duduk di meja tulisnya, dengan komputer peribadinya dihidupkan. Kelihatan Nina seperti sedang memuat turun sesuatu dari komputer peribadinya. Dengan cemas dan pantas, dia menghampiri Nina, memegang bahunya dengan kasar.
“Apa yang awak buat ni?”
Tiba-tiba Nina bangun lalu berdiri di hadapan Iskandar. Iskandar sangat terperanjat. Nina boleh berdiri? Nina melemparkan renungan tajam yang belum pernah Iskandar lihat sebelum ini. Dia berundur setapak ke belakang.
“Apa ertinya semua ini, Nina? Awak … awak … dah pulih?”
Nina hanya tersenyum miring, penuh dendam. Ini bukan Nina yang Iskandar kenal.
“Kenapa? Terkejut? Pastinya awak juga tak tahu yang saya adalah musuh yang dalam selimut yang tidur sebantal dengan awak selama 15 tahun. Awak terlalu bodoh, Iskandar,”
Mata Iskandar tertancap pada ‘pendrive’ yang tertusuk pada port USB komputer iMac 27 incinya. Terdapat lambang Menorah dengan kata-kata Hebrew daripada Proverbs 11 :14 “be-‘éyn tachbūlōt yippol `ām; ū-teshū`āh be-rov yō’éts” ( Tanpa panduan, rebahlah negara, adanya ramai penasihat, terdapat keselamatan padanya)
“Awak adalah agen Mos …!”
Pantas Nina meluru ke dadanya. Tiba-tiba, Iskandar merasa dadanya panas dibakar sesuatu, dan tiba-tiba tubuhnya menjadi kejang, menyebabkan dia terjatuh di atas lantai dengan jari-jari yang mengerekot dan keras dan mulutnya berbuih tanpa dapat dikawal.
***
Al ti-hi-ye kol kakh ka-she im ats-me-kha. Kakh et ha-zman (Jangan terlalu memaksa diri. Ambillah masa kau)”
Itu saja pesan Alavi setelah dia datang mengambil ‘pendrive’ yang mengandungi semua maklumat rahsia yang disimpan Iskandar di dalam komputer peribadinya. Alavi sangat memahami hatiku. Dia teman baikku sejak berada dalam Kidon. Dia hampir bersetuju agar aku melepaskan diri dan berterus-terang pada Iskandar pada satu ketika, walaupun dia tahu, ia bererti aku bakal derhaka pada Israel dan bersedia membantu aku, namun El Shaddai telah menyelamatkan aku daripada kebodohan ini.
Aku bukan seperti apa yang semua orang sangkakan. Darah Melayu yang aku warisi dari ibuku menjadikan aku sebagai calon yang paling sesuai untuk misi ini . Ya, aku juga tidak pernah lumpuh atau cacat. Kemalangan jalanraya itu juga tidak benar. Ia telah dirancang oleh Mossad agar Iskandar menjadi leka dengan kehadiranku dalam hidupnya. Iskandar ‘termakan’ dengan segala penipuan ini, dan terus hanyut …menggadaikan cintanya pada aku.
Ini barangkali, Operasi Kemurkaan Tuhan aku yang kedua. Ini adalah kemurkaan Nina.
Iskandar mendengus perlahan. Dia sudah sedar. Nina telah mengikat tubuh Iskandar pada kerusi. Dia cuba meronta namun ikatanku terlalu kejap. Iskandar memandang aku dengan rasa tidak percaya. Air liurnya masih meleleh ke pipi, kesan ‘taser’ yang aku rodokkan ke dadanya. Dia ingin berkata sesuatu tetapi mulutnya telah ku ikat. Sudahlah. Tiada kata yang kau luahkan akan dapat menghentikan aku.
“Iskandar, saya bukan isteri awak, Nina. Saya bukan sesiapa yang awak pernah fikirkan. Walaupun hidup kita dibina atas landasan penipuan, namun cinta saya pada awak … adalah benar.”
Aku tunduk seketika. Hatiku menjerit agar menghentikan semua ini. Namun aku sudah bosan menurut kata hati. Aku hanya akan menurut taat setia pada Israel. Itu sahaja.
“Cinta itu … kini … tiada lagi.”
Satu persatu perbuatan curang Iskandar mula dianalisa. Saat mula-mula Iskandar berjumpa dengan perempuan sundal itu. Alavi menghantar berpuluh gambar akan kemesraan mereka. Tidak terhenti di situ sahaja, mereka sudah berani ke hotel. Beratus-ratus GB aksi panas mereka dirakam oleh Mossad. Bagaikan tidak cukup dengan itu, Iskandar pernah membawa pulang perempuan keparat itu ke bilik tidur aku dan Iskandar. Memadu asmara dengan hangat, di atas katil aku dan Iskandar tanpa memperdulikan aku di tingkat bawah. Aku hanya mampu mengetap bibir dan menahan diri daripada membunuh mereka pada malam itu juga kerana misiku belum tamat.
Bangsat! Sial!
Mata Iskandar membuntang apabila aku mengeluarkan pisau lipat daripada poket seluar kargo hitamku. Dari riak wajahnya, aku tahu dia amat terperanjat. Dia bersungguh-sungguh cuba mengatakan sesuatu. Aku hanya menggeleng perlahan. Aku mendekatkan pisau itu pada paha kiri Iskandar yang masih dibaluti seluar uniform kerjanya yang bernombor 3 lalu aku tikam sekuat hatiku. Iskandar menjerit di sebalik ikatan mulutnya. Matanya terpejam menahan perit. Dia cuba menggoyangkan kerusinya, namun tidak berjaya.
Semua kesakitan emosi yang aku tanggung selama ini, akan aku balas dengan kesakitan fizikal. Segala desahan nikmat Iskandar dan perempuan jahanam itu akan ku balas dengan raungan kesakitan Iskandar.
(Wajah Nina yang putih bersih kini diselubungi kehitaman yang tidak pernah dilihat Iskandar sebelum ini. Sisi gelap yang Nina sembunyikan. Sisi Ashkenazi Zionisnya.)
“Saya nak tengok awak mati perlahan-lahan di hadapan saya …”
Aku mencabut pisau itu dan menikam paha kanan Iskandar pula. Makin kasar gegaran kerusi Iskandar. Dia membuat bunyi-bunyi yang menjengkelkan. Bagaikan ciut-ciut anjing yang sedang kesakitan. Sesekali merengus bagaikan babi keberahian.
Aku sanggup tinggalkan semuanya, keluargaku, bangsaku, agamaku demi Iskandar. Semuanya. Nasibku baik, kerana kacacatanku adalah palsu. Bagaimana jika ia kecacatan sebenar? Pastinya aku akan menderita dengan sikap Iskandar seumur hidup.
Setelah Iskandar berhenti meronta, aku membuka zip seluarnya. Matanya membuntang lagi. Dia cuba meronta lagi namun aku menekan pisau yang masih terpacak pada paha kanannya, dia melontarkan kepalanya ke belakang, menahan kesakitan. Pandangan dilemparkan padaku. Aku jangkakan dia akan memandangku penuh benci dan amarah, namun …
Pandangan itu, penuh kasih dan penyesalan.
Hatiku menjerit lagi.
Ah … persetan!
Hanya kerana merasakan kesakitan untuk beberapa saat, dia berubah penuh penyesalan.
Dasar jantan durjana!
Walaupun bukan kesakitan fizikal yang dilakukan Iskandar terhadapku, selama 3 tahun, aku menderita penderaan emosi yang begitu berat. Bukan sahaja dia tidak melayan aku, tetapi dia mencari betina lain untuk mengisi ‘kekurangan’ aku. Berjanji untuk sehidup semati, susah senang bersama, baru diduga begini, Iskandar telah mengalah pada nafsu jantannya?
Kemarahanku membuak lagi. Kini bagaikan gunung berapi yang menanti hari untuk meletus. Akalku sudah tidak berfungsi lagi. Aku mahu dia mati. Bukan saja kerana itu yang dimahukan Mossad, aku juga begitu. Aku melurutkan zip seluarnya. Matanya membuntang lagi.
Sisi seluar dalamnya yang berwarna hitam itu aku tarik dan aku rentap kasar, setelah getahnya aku potong menggunakan pisau lipat yang aku cabut dari paha kanan Iskandar. Iskandar sudah tidak melawan lagi. Dia hanya memandang aku sayu.
Aku memandang sepi alat sulit Iskandar. Ia masih seperti dahulu. Aku melayangkan jemariku padanya. Ia hanya mampu memberikan sedikit reaksi. Aku masih mempunyai sentuhan itu.
Berani kau meneroka perempuan lain? Hatiku seolah berkata-kata pada alat sulit Iskandar. Aku merasakan bagai api membakar dada. Seumur hidup aku, tiada yang berani mempermainkan kebaikan aku.
Perlahan Iskandar mengangkat kepalanya. Pandangannya, tidak dapat aku tafsir. Namun kini aku sudah tidak peduli lagi. Aku menggenggam alat sulit Iskandar lalu aku sembelih ia bagaikan seekor ayam. Iskandar meronta kesakitan sepenuh hatinya. Badannya menggigil kegilaaan. Aku melemparkan alat sulit Iskandar ke lantai bagaikan sampah busuk yang jijik. Darah kehitaman mula mengalir keluar dari luka itu. Kini Iskandar akan mati kerana kehilangan darah yang banyak. Secara perlahan-lahan, paru-parunya akan gagal berfungsi kerana tiada oksigen yang sampai, dan otaknya pula menuruti. Tubuhnya akan bergegar mencari udara. Inilah kematian yang paling menyiksakan yang aku tahu. Ditambah pula dengan kesakitan pada alat kelakiannya yang telah aku penggal dari tempatnya.
Aku puas. Aku menarik nafas dalam. Aku melihat Iskandar perlahan-lahan layu direnggut kematian secara perlahan-lahan.
Rasakan!
Sisa darah aku basuh di sinki.
Aku memeriksa keadaan bilik, memastikan aku tidak meninggalkan sebarang bukti yang bakal menimbulkan celaka pada diriku sendiri. Kemudian aku akan menyertai Alavi yang menanti aku tiga blok ke utara dari rumahku.
Pandangan terakhir aku lemparkan pada Iskandar, dalam kelayuannya, dia bagaikan ingin menyatakan sesuatu dengan bersungguh-sungguh. Aku mengerutkan dahi.
Biarlah dia menyatakan sesuatu buat kali terakhir. Dia akan mati juga dalam masa beberapa jam lagi. Aku melonggarkan ikatan mulutnya. Dia menarik nafas lega … pandangannya sayu padaku.
“Nina, sebagaimana awak, cinta saya pada awak juga benar. Jika ini adalah balasan … kepada apa yang saya lakukan pada awak sejak 3 tahun lepas, saya terima … maafkan saya,” katanya perlahan. Kepala juga sudah tidak mampu diangkat lagi.
Tidak berbekas kata-kata itu padaku. Ini hanyalah kata-kata orang yang hampir mati.
“Saya pulang malam ini, dengan harapan saya dapat memohon maaf kepada awak, dan kembali menjadi suami awak … sebagaimana dahulu, tetapi …”
Iskandar tersenyum paksa dalam kesakitan.
“Saya terima padahnya. Maaf, Nina. Saya gembira … awak sebenarnya tidak cacat. Masih sihat seperti dulu. Masih Nina yang saya kenal.”
Sunyi seketika.
“…Percayalah, saya masih cintakan awak. Cuma …saya tidak dapat menerima kecacatan awak. Maafkan saya … saya hanya manusia.”
Air mata mengalir di sudut matanya.
Bukankah aku juga bersalah dalam hal ini?
Dadaku berombak tanpa dapat dikawal. Perasaan bersalah mula menghentam benakku berkali-kali sehingga berbekas lohongnya. Tanganku menggigil. Tubuhnya Iskandar mula bergegar menahan kesakitan.
“Ahhh … ahhh”
Tanpa berfikir, aku memeluk kepala Iskandar. Dahinya kucium. Bagaikan dapat merasakan kesakitan Iskandar, aku memejamkan mata. Hatiku berdarah lagi.
Kenapa pada hari ini, keinsafan baru menjengah pada Iskandar?
Kenapa pada hari ini? Pada hari aku bertekad untuk menamatkan segala-galanya?
Dahinya kucium lagi. Sesal? Kini tidak berguna lagi …
“Sakit, Nina …”
Aku sudah tidak sanggup mendengar erangannya. Sesalan demi sesalan bertimpa di kepalaku. Lantas pistol SP-21 Barak aku keluarkan dari poket sisi. ‘Silencer’ Osprey aku pasang pada larasnya. Ku halakan tepat pada dada Iskandar. Pada jantungnya.
Sappp!
***
Dengan pantas, Laili memalingkan kepalanya ke kaca TV.
“Kematian Leftenan Jeneral Datuk Iskandar Saidon, Ketua Pengarah Bahagian Perisikan Kementarian Pertahanan Malaysia amat mengejutkan. Dia dibunuh dengan kejam, dipercayai disiksa sebelum mati. Isteri beliau, Datin Nina Sulaiman, yang lumpuh akibat kemalangan 3 tahun lepas, hilang tanpa dikesan, dipercayai diculik berdasarkan bukti-bukti di tempat kejadian. Motif penculikan masih belum diketahui. Pihak polis masih melakukan penyiasatan dan mengelaskan kes ini sebagai kes berprofil tinggi.”
Suara pembaca berita itu terngiang-ngiang berulang kali di telinganya. Airmata mula mengalir dari sudut mata Laili. Mengapa nasib begini menimpa Datin Nina yang telah sekian lama menderita?
“Kak Nina …”
Tiba-tiba Laili teringat yang sebelum bercuti, Nina ada memberikannya sebuah kotak kayu yang berukir cantik. Kotak itu masih belum dibukanya. Dengan pantas, dia berlari ke biliknya. Kotak kayu yang disimpannya di dalam almari pakaian itu ditarik secara tergopoh-gapah sehingga baju-baju yang telah dilipat terjatuh di atas lantai. Dia tidak memperdulikannya.
Dia duduk di atas katilnya dengan kotak itu diletakkan di atas ribanya. Perlahan kotak itu dibukanya.
Laili terlopong!
Di dalam kotak itu, terdapat beberapa ikatan not RM100 yang jumlahnya pasti tidak kurang dari RM30,000.
Apa ertinya semua ini?
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s