HUTANG NYAWA (CI)

Bala apa lagi?

Sudahlah mataku tertutup dengan ikatan yang begitu ketat dan memeningkan, kini mulutku pula ditekup dengan tangan yang kasar, berpasir. Tanganku yang telah sedia digari itu diheret pantas sehingga tidak sempat untuk aku meronta atau melawan. Ahh … bagaimana hendakku lawan? Kalau tangan, mata dan mulut sudah dikekang? Agaknya begitu sukar untuk mengheret sambil menekup mulutku, entah kain apa disumbat pula ke dalam mulutku, lalu aku dipikul atas bahunya. Sudahnya aku berserah saja. Tubuhku sudah terlalu penat. Seingat aku, untuk hari ini aku hanya menjamah sekeping roti dan sebotol air.

Sudah berjam-jam aku dibawa entah ke mana dengan mata bertutup dan tangan berikat. Kini aku diculik oleh entah siapa pula. Tiba-tiba aku diturunkan ke tanah dan dibongkokkan secara paksa untuk melalui sejenis bukaan. Tiba-tiba aku terasa belakang pedih dicalar sesuatu, namun aku tidak mampu menjerit. Kutahan kesakitan itu dengan menahan nafas. Aku dapat merasakan airmata merembes. Akhirnya aku ditarik dan dibawa masuk ke dalam sebuah kenderaan (barangkali sebuah jip diesel kerana enjinnya berbunyi begitu kuat sekali), dan ia dipandu dalam keadaan kelam-kabut.

Tuhan … andai aku mati dipenggal hari ini, aku sudah hidup menurut jalanMu tanpa menyimpang.

***

Roti dan ayam bakar itu diratah dengan rakusnya olehku. Rasanya seperti sudah dua hari aku tidak menjamah makanan. Aku tahu mata lelaki itu memandang aku dengan pandangan yang jelik, namun sudah tidak aku hiraukan. Dia kelihatan seperti berusia dalam 20-an, barangkali sebaya denganku. Wajahnya bujur sirih dan kulitnya putih merah. Rambutnya dipotong pendek gaya askar, namun kelihatan hitam berkilat. Mungkin dia berasal dari tanah barat Marawi. Seroan? Janggi? Atau Tanah Tinggi Dawus? Apakah aku kini berada di tanah barat Marawi? 500 batu dari Nawakarta? Dapat aku rasakan minyak daripada ayam bakar berjejeran di tepi bibir, lalu ku kesat dengan lengan bajuku.

“Wow, rupanya ahli politik dan warga marhaen tiada bezanya jika diruntun kelaparan,” katanya dengan nada mengejek.

Aku berhenti mengunyah ayam. Wajah dia bersahaja memandangku yang sudah kemerahan, menahan marah. Muka saja cantik, mulut tajam bagai pisau. Ah … biarkan dia. Aku ingin makan. Aku terus mengunyah.

“Jadi kau ni politikus atau seekor tikus?”

Apa masalah dia ni? Aku sudah cuba mengelak daripada berbalah dengan dia, mengenangkan dia telah mengeluarkan aku dari tahanan penculik dan menjaga aku. Bukankah ini tidak wajar?

“Tidak bolehkah kau biarkan aku makan dengan aman?”

“Bagaimana hendak aku biarkan? Kau sudah makan bahagian aku.”

Aku menganga. Ya, aku sudah habiskan semua makanan. Tiba-tiba aku rasa bersalah pula. Namun aku berlagak tenang. Aku terus mengunyah makanan itu tanpa memperdulikan dia lagi. Dia hanya menggeleng. Dia memberi aku masa setengah jam, kemudian kami akan bergerak pergi dari situ. Katanya, kami tak punya banyak masa di sini. Mereka (entah siapa mereka itu) akan melaksanakan gerakan mencari aku besar-besaran.

“Siapa kau? Mengapa aku mesti ikut kau?” tanyaku, tegas. Dia kelihatan tidak sabar.

“Aku Lunar, Paksi Gimar yang menghantar aku,”

Paksi Gimar? Pemberontak gerila yang menerima bantuan dari negara Lbehan untuk menentang kerajaan Marawi?

“Aku takkan bekerjasama dengan pengkhianat negara!” kataku, tegas.

Lunar tertawa dengan kuat. Tanpa disangka, dia menarik aku dengan kasar, mengikat mulut, kaki dan tanganku lalu dimasukkan aku ke dalam kanvas pelindung jaket dan dizipkan. Aku meronta dengan kuat.

“Kau akan berdiam diri di dalam kanvas ini, atau kita berdua akan mati sebelum semua ini berakhir,” kata Lunar dengan kuat. Aku keliru.

Apa yang Paksi Gimar mahu dari aku?

***

Jip itu berhenti seketika. Kedengaran suara lelaki berbual namun tidak jelas. Aku rasa ini adalah poin pemeriksaan tentera. Kedengaran bagaikan soal-siasat diluar sana. Aku terdengar Lunar mengatakan hanya ada baju dan peralatannya di dalam jip. Aku cuba membatukan diri. Nasib baiklah tubuhku yang kecil ini boleh dimuatkan ke dalam kanvas pelindung jaket itu. Jip itu bergerak lagi. Cuaca malam yang dingin membuatkan aku agak selesa berbaring di dalam kanvas itu. Tiba-tiba, jip dibrek.

Kanvas dibuka. Aku ditarik keluar lalu ditolak ke tempat duduk hadapan. Aku memandang sekeliling. Aku yakin kami berada di hutan Sogja yang merintangi sempadan Marawi-Lbehan. Bunyi unggas dan cengkerik yang berselang-seli menjadi irama malam.

“Jika kau janji, kau takkan cuba melarikan diri, aku akan buka ikatan kaki dan tangan kau,” katanya, perlahan. Aku terus mengangguk pantas. Aku takkan cuba melarikan diri. Entah siapa lagi yang mahu aku mati, aku tidak tahu. Dia memotong tali yang mengikat kaki dan tanganku. Dashboard dibuka untuk menyimpan tali dan aku terlihat ada Revolver R8 di dalamnya. Perlahan aku menelan air liur. Apabila terlihat keadaanku begitu, dengan pantas Lunar menutup laci dashboard.

“Boleh aku tahu, kemana kau nak bawa aku?” tanyaku, lemah. Tubuhku sandarkan.

“Kembali ke Nawakarta.”

“Untuk apa?”

“Untuk mengemudi gerakan kebangkitan rakyat.”

Aku menganga sekali lagi.

***

Aku menggeleng pantas. Tidak, aku takkan lakukan ia atas nama Paksi Gimar. Ya, aku berterima kasih kerana mereka menyelamatkan aku dari penculikan oleh Tentera Pembebasan Marawi menurut Lunar, namun itu tidak menjadi alasan untuk aku bekerjasama dengan mereka. Aku punya prinsip.

“Kerana prinsip, ribuan mati kebuluran di tanah barat. Tanah rakyat dirampas. Hasil kerja tanah rakyat juga dirampas. Makanan dicatu. Sejak kerajaan Marawi melaksanakan gerakan ofensif terhadap Lbehan dan negara lain di benua Galia, hidup marhaen makin tersiksa. Jika tidak kerana Paksi Gimar, minoriti yang dilupakan takkan melihat hari esok lagi. Sekarang kau bercakap soal prinsip?” kata Lunar, marah. Tangannya menggenggam stereng jip dengan kuat.

Aku mengetap bibir.

“Aku tidak pernah melupakan kamu semua. Aku berjuang atas nama rakyat menentang perikatan parti Republikan!”

“Strategik, strategik, strategik. Itulah kata kau dalam Konvensyen Demokrat yang lepas. Bagaimana nasib golongan minoriti?”

“Siapa kau untuk berbicara dengan aku soal politik? Pemberontak macam kau, hanya tahu bikin onar. Ada hati kau nak bicara soal politik dengan aku?” kemarahanku meledak.

Dia memberhentikan jip secara tiba-tiba. Pintu dikunci. Apa yang nak dia lakukan kali ini?

Tiba-tiba dia menanggalkan T-shirt biru tua yang dipakainya.

“Kau … kau … jangan berani lakukannya!” jerit aku. Lunar ketawa sinis.

“Jangan jadi bodoh, Era Perkasa. Kau bukan taste aku!”

Bajunya ditanggalkan. Kelihatan cacahan bintang dan matahari pada dadanya. Dia pernah menjadi ahli Gerakan Rakyat Marawi. Gerakan rakyat bebas yang begitu kuat pada satu ketika dan diharamkan oleh kerajaan Marawi dan kesemua pemimpin gerakan itu ditangkap. Ketika itu, aku sudahpun lantang di dalam Parlimen. Aku pernah menunjukkan simpati kepada gerakan mereka, namun aku percaya saluran politik lebih efektif berbanding gerakan sebegitu.

“Jadi kau pernah masuk gerakan rakyat. Apakah itu melayakkan kau untuk berbahas dengan aku soal politik?”

“Jangan kau fikir kau begitu hebat, Era. Jikalau bukan mendiang datukmu, Hendra Perkasa, seorang senator, dan mendiang bapa kau, Alwi Perkasa, seorang Perdana Menteri, kau fikir kau akan sampai ke tahap ini? Kau sekadar menumpang nama keluarga!” tingkah Lunar.

Kurang ajar! Wajah Lunar aku tempeleng sekuat hati. Dadaku berombak. Nafasku kencang. Tubuhku menjadi panas. Kemarahanku tak dapat aku ucapkan dengan kata-kata.

“Kau … orang macam kau, takkan faham apa yang aku hadapi untuk sampai ke tahap ini. Aku diserang dari pelbagai sudut. Semuanya aku hadapi seorang diri. Tanpa ahli keluarga!”

Lunar menggeleng. Lunar sambil melemparkan sesuatu ke wajahku. Aku mencapainya. Ia sebuah foto seorang gadis yang mati kebuluran dengan wajahnya yang cengkung, matanya hampir tersembul keluar, darah hitam meleleh dari tepi bibirnya, begitu menakutkan. Aku membalikkan foto itu, pantas. Tidak sanggup aku melihatnya lagi.

“Itu adik perempuanku. Fotonya aku ambil dan aku lihat setiap hari agar ia mengingatkan aku, mengapa aku memilih jalan ini.”

Lunar menghentakkan kepalanya ke stereng dan melepaskan keluhan yang kuat. Aku terpempan. Kemarahanku perlahan-lahan reda diganti dengan rasa bersalah. Benarkah aku hipokrit? Aku bukan pejuang rakyat? Jadi apakah aku selama ini? Aku tahu ada kebuluran terjadi di Marawi. Bagiku, ia hanya statistik yang kuulang-ulang di dalam Parlimen untuk menentang usul kerajaan sebagai Ketua Pembangkang, namun kali ini … aku rasakan barangkali aku telah gagal menjadi Ketua Pembangkang yang efektif. Penculikan yang dilakukan oleh Tentera Pembebasan Marawilah buktinya. Aku pasti, ada pengkhianat di dalam barisan pembangkang. Mereka mengkhianatiku bukan kerana kuasa, namun kerana aku seorang Ketua Pembangkang yang teruk. Aku lupa memperjuangkan golongan yang benar-benar memerlukan aku. Aku memegang bahu Lunar. Dia mengangkat wajahnya. Keningnya berdarah dihentam stereng. Aku menyerahkan foto itu kembali padanya. Dia merampas foto itu.

Giliran aku pula melepaskan keluhan yang berat.

***

Lunar diam sahaja sepanjang perjalanan. Akhirnya dia memberhentikan jip di tengah hutan. Kegelapan menyelubungi. Bunyi burung hantu bergema di ruang udara. Lunar kelihatan sangat penat. Dia menghidupkan unggun api lalu membakar saki-baki ayam yang dibawanya. Separuh diberikan pada aku. Setelah makan, dia tidur. Tanpa memperdulikan aku. Aku juga malas berbalah dengannya. Badanku penat, namun mataku tidak mahu lelap. Banyak perkara yang difikirkan.

Beberapa hari lagi, parlimen akan bersidang. Aku ada terdengar yang belanjawan gerakan ofensif untuk menakluk negara lain di benua Galia akan dibentangkan melalui perbualan tentera yang menculik aku. Sudah pastilah, aku akan menentangnya. Belanja peperangan bukan sedikit. Negara sudah dilanda kebuluran, ekonomi dan kadar inflasi meruncing, hasil pertanian tidak begitu baik. Namun, ada di antara ahli-ahli pembangkang sudah termakan cakap-cakap orang kerajaan. Sudah berpaling tadah. Terlampau gilakan laba yang belum tentu terlunas dalam jangka waktu terdekat. Apa mereka fikir benua Galia akan berdiam diri? Apakah rakyat Marawi harus mati dalam peperangan yang tidak membawa apa-apa makna? Aku mencapai kertas yang disimpan Lunar dalam dashboard. Masa yang ada ini akan aku gunakan untuk menulis usul.

Masa berlalu pantas. Rasanya sudah hampir 3 jam aku berfikir dan menulis. Mataku masih belum mahu lelap. Malam semakin larut. Aku meletakkan kepalaku di atas banir pokok berdekatan dengan unggun api. Tanpa sengaja, mataku bertaut dengan renungan Lunar yang penuh misteri. Dia belum tidur? Aku cuba menganalisa pandangan itu, dan entah kenapa, aku merasakan ia merupakan pandangan yang pernah aku lihat sebelum ini. Kejengkelan yang sama. Rasa yang sama. Namun persoalan siapa, di mana dan bila menari-nari di ruang fikiran.

“Kenapa kau pandang aku begitu?”

Lunar hanya mengangkat bahu. Dia memusingkan badan, menghadapkan kepalanya ke langit. Tiba-tiba dia bingkas bangun. Matanya meliar ke kiri dan kanan.

“Kenapa?”

Dia meletakkan jari telunjuk di bibirnya, mengarahkan aku supaya diam. Dia berlari ke jip lalu mencapai Revolver yang tersimpan di dalam dashboard. Dia ingin berlari pantas ke arahku. Tiba-tiba sesuatu yang amat besar, berbelang-belang oren dan hitam menerkam ke arah Lunar. Revolvernya tercampak ke lantai hutan.

Aku menjerit sekuat-kuat hatiku. Nafasku kencang, bagaikan aku tidak boleh bernyawa lagi. Adrenalin menderu, menyelinap ke dalam seluruh salur darahku.

Harimau itu bergelut dengan Lunar. Aku ingin mencapai Revolver itu, namun aku terlalu takut. Kaki dan tanganku terketar-ketar. Aku tidak pernah merasa sebegini takut dalam seluruh hidupku. Aku gagahkan diri lalu menerpa dan mencapai Revolver itu. Harimau itu mengalihkan pandangannya padaku. Aku mengacukan Revolver padanya namun tanganku terlalu menggigil, aku tidak mampu menarik picunya. Harimau itu mula menerkam ke arahku. Revolver itu terlepas dari tanganku lalu aku memegang kepalaku. Aku hanya mampu berserah pada malaikat maut. Tubuhku dihempap. Aku membuka mata. Lunar melindungi aku dari terkaman harimau itu, matanya tepat memandangku sedangkan harimau itu mencengkam belakangnya. Aku tahu, beberapa saat lagi harimau itu pasti akan mematahkan leher Lunar. Pantas aku mencapai kembali Revolver.

Bammm!!!!

Darah memercik ke wajahku. Aku terjerit. Kepala harimau itu terkulai, jatuh hanya 2 kaki dari kepalaku. Pandanganku terus berpinar. Tekakku meloya dengan rasa melekit darah pada wajahku.

“You did good,” kata Lunar sambil menepuk bahuku. Dia terbaring letih di sebelahku. Darah di wajah ku kesat. Mulutku terasa pahit.

Tubuh Lunar penuh dengan calar-balar dan darah. Bajunya koyak-rabak. Rasanya lengan kiri Lunar sedikit koyak digigit harimau itu. Aku cuba berdiri namun lututku tidak mampu menampung tubuhku lalu aku terduduk kembali. Aku tidak mampu melihat darah sebegitu banyak. Akhirnya aku mengalihkan pandangan, dan merangkak ke belakang jip. Mencapai kotak pertolongan cemas yang ada di dalamnya. Lunar perlu dibantu. Ketika aku menghampiri Lunar, aku tidak tahu kemana harus aku lontarkan pandangan. Sekali imbas, tiada luka yang dalam kecuali kesan cakaran harimau itu. Namun kemabukan darah yang melanda membuatkan aku termuntah melihat keadaan itu. Aku ingin rebah ke tanah namun bahuku disambut Lunar.

“Tengok muka aku. Jangan tengok bahagian lain,” katanya lemah. Dia duduk menghadap aku.

Hanya bahagian mukanya saja yang tiada darah atau luka teruk. Lalu aku memandang pipinya saja. Tanganku masih menggigil. Menggunakan intuisi, aku membalut lengan kiri Lunar yang teruk digigit harimau itu. Setelah itu, aku menyuruh Lunar mengalihkan badannya. Penuh cakaran namun tidak serius. Aku muntah sekali lagi. Kemabukan darah menyerang lagi. Tubuhku terasa longlai.

“Hey, kau OK ke?” tanyanya lemah namun penuh dengan nada mengejek.

Dalam keadaan begini, dia masih sebegitu sinis. Kemarahan yang meledak tiba-tiba menghilangkan kemabukan aku. Aku tahan kemabukan itu, lalu tubuh Lunar aku balut setelah lukanya ku cuci. Lunar tidak berbunyi sedikit pun. Setelah semua lukanya aku balut, Lunar bangun perlahan, dengan langkah yang lemah dan terjingkit-jingkit, kembali ke belakang jip lalu mencapai beg pakaiannya. Dia terus menanggalkan baju dan seluarnya, menampakkan tubuhnya yang begitu atletik namun kini dipenuhi dengan balutan putih bernoda merah. Aku menganga.

“Kau akan terus berdiri di sana untuk melihat aku menyalin pakaian?” Sinis lagi.

Pantas aku mengalihkan pandangan dan terus duduk menghadap unggun api. Fikiranku berserabut bagaikan lingkaran wayar yang tiada penghujungnya. Aku tersentak apabila tanganku dipegang. Aku mengangkat wajah. Lunar sudah siap berpakaian. Mengenakan T-shirt hitam dan seluar kargo hijau. Sekali imbas, gaya dan tubuhnya itu, aku yakin dia adalah seorang pegawai tentera. Dia kelihatan sedikit lemah namun dia menggagahkan dirinya.

“Kau juga luka,” Lunar mencapai pencuci antiseptik dan pembalut lalu membalut luka kecil pada lengan kananku. Sesekali aku dapat merasakan Lunar memandang ke arahku. Hatiku mengatakan sesuatu, namun aku tidak pasti buah butir bisikannya.

Setelah itu, dia mengajak aku meninggalkan tempat itu. Lunar rasakan tempat itu tidak lagi selamat. Selalunya harimau menjauhkan diri dari api, namun kali ini entah kenapa ia mendekati. Barangkali ia terlalu lapar. Dia memadamkan unggun api lalu bersedia untuk memulakan kembali perjalanan. Aku menawarkan untuk memandu tetapi Lunar menolak. Aku tak tahu kawasan ini, itu alasan Lunar. Dan aku terpaksa mengakuinya.

***

“Era, kau di mana? Keadaan menjadi begitu kecoh di sini dengan ketiadaan kau!” Jerit Armi melalui corong telefon awam yang lusuh itu.

Dia kedengaran cemas. Dia menceritakan bagaimana paksi pembangkang melakukan mesyuarat tergempar tempoh hari untuk menggantikan aku namun tiada persepakatan dicapai. Aku dituduh melarikan diri kerana aku dibantai teruk dengan isu video seks yang kononnya aku melakukan skandal dengan pekerja bawahan parti. Aku hanya mampu ketawa. Jangankan skandal seks, untuk tidur juga aku tidak punya masa. Waktu tidurku selalunya aku habiskan di sofa pejabat. Habis lama 4 jam saja aku tidur. Aku takkan melarikan diri dengan isu picisan begitu, ujarku pada Armi. Aku ceritakan apa yang berlaku dan Armi semakin risau.

“Aku dengar, ada pembunuh upahan dihantar untuk membunuh kau. Hati-hatilah, Era. Aku akan cuba mempertahankan kau di sini sehingga kau pulang,” ujar Armi sebelum Lunar datang memegang bahuku, mengajak aku meninggalkan tempat itu. Parti Republikan nampaknya begitu terdesak untuk kempen ketenteraan. Mereka sanggup melakukan apa saja.

Lunar berhenti seketika di kampung kecil itu, untuk menambahkan bekalan makanan dan air, serta mengisi minyak bagi meneruskan perjalanan. Aku memohon untuk menelefon Armi, sahabatku sejak kecil, yang juga sepupuku yang bersama denganku, susah dan senang. Sejak ayahku meninggal, Armilah yang membantu dan melindungi aku. Dia bagaikan abang kepadaku.

“Hati-hati dengan siapa kau berbicara. Bukan semua orang yang ingin kau hidup,” itu sahaja pesan Lunar. Hatiku berdebar-debar. Apa maksud Lunar? Dia menyerahkan sebuah sampul surat bersaiz A4 padaku. Namun matanya kekal ke hadapan, fokus pada pemanduan.

“Apa ni?”

“Bukalah. Kau akan faham,”

Laporan perubatan ayahku? Aku merenungnya dengan tidak percaya. Pipiku panas. Perlahan-lahan, kemarahan meluap dengan tiba-tiba. Tanganku menggigil.

Keracunan digitalis jangka panjang? Umum mengetahui, ayahku mati kerana kegagalan jantung.

“Bagaimana kau …” terasa panas airmata yang mengalir ke pipi. Lunar mengeluh perlahan.

“Doktor yang merawat bapa kau itu kenalanku. Dia dipaksa menyembunyikan hal ini dari pengetahuan umum oleh orang-orang kerajaan sendiri. Dia membunuh diri tahun lepas. Tak sanggup menyimpan rahsia ini, katanya. Jika umum tahu bapa kau dibunuh, pastilah akan berlaku revolusi. Kerana itu ia dirahsiakan,” kata Lunar, tanpa memandangku.

Aku tidak dapat menahan sebak, lalu aku meraung semahu aku. Walaupun aku tahu, berkali-kali aku katakan pada diriku, inilah permainan politik. Ianya kotor dan busuk, namun manusia baik harus lakukannya. Jika tidak, ia akan dikawal oleh manusia jahat. Begitulah pesan ayah dahulu.

“Maafkan aku, Era Perkasa,” kata Lunar, perlahan.

Aku mengesat air mata, lalu memandang ke luar jip. Terbentang luas padang jagung, ia menguning bagaikan hamparan emas. Namun ia tidak cukup untuk menenangkan aku.

“Apakah sepupuku Armi boleh dipercayai?” Entah mengapa, aku meminta pandangan lelaki yang tidak aku kenali ini. Entah apa yang merasukku, aku tidak tahu. Jauh di sudut hatiku, aku mempercayai dia. Perlahan, Lunar mengangguk. Aku memandang Lunar seketika, kemudian menarik nafas lega. Esakan masih bersisa. Aku cuba menenangkan diri. Mengosongkan fikiran. Aku capai kertas yang ku tulis usul semalam. Aku cuba menyambung isinya. Perasaan yang bercampur-baur itu berlegar sehingga aku tertidur dalam esakan yang belum putus.

***

“Era.” Lembut bahuku dipegang. Perlahan aku membuka mata. Kepalaku sedikit pening. Airmata yang masih bersisa, aku seka. Lunar menghulurkan bagel dan sebotol air. Aku menyambutnya. Tiba-tiba aku aku perasan akan tanda lahir yang besar di belakang leher Lunar. Ia berbentuk seperti setompok percikan cat air. Aku pernah melihat tanda lahir ini!

“Lunar, siapa kau sebenarnya?” tanyaku, tegas.

Lunar kelihatan agak terperanjat, namun dia berpura-pura berlagak biasa. Gaya ini juga seperti aku tahu. Dia mendiamkan diri, mengunyah bagel itu tanpa melayan soalan aku. Aku memegang tangannya, menghalang dia dari terus mengunyah bagelnya sebelum menjawab soalan aku. Dia menolak tanganku perlahan.

“Kita harus bergerak sekarang,” kata Lunar, meletakkan bagel lalu menghidupkan enjin jip. Aku memegang tangannya pada gear.

“Kau, secara peribadinya tahu, aku takkan berhenti tanpa mendapat jawapan setelah soalan aku lontarkan,”

Lunar terpempan seketika. Dia mengeluh perlahan. Dia terdiam seketika kemudian menyambung,

“Ini bukan waktunya untuk aku ceritakan tentang diri aku. Yang penting, kau sampai ke Nawakarta, sebelum persidangan parlimen tamat, agar semua kegilaan dalam negara ini terhenti. Jutaan nyawa dalam negara ini bergantung pada hadirnya kau di sana. Lebih sedikit kau tahu tentang aku, lebih baik,”

Dia menolak tangan aku, lalu menghidupkan enjin jip. Wajahnya bertukar riak serius. Aku tahu. Aku kenal lelaki ini. Jahat atau baik, aku tidak pasti, tetapi aku tidak dapat mengaitkan kewujudannya pada mana-mana dasawarsa hidup aku. Atau mana-mana dasawarsa sebelum terjadinya kemalangan ngeri yang meragut nyawa ibuku. Kecederaan pada otakku menyebabkan aku kehilangan memori alam kanak-kanakku. Apakah dia berasal dari memori alam kanak-kanakku? Kepalaku terasa sakit mencari kewujudan Lunar di dalamnya. Akhirnya aku beralah pada kegagalanku.

***

Jam menunjukkan pukul 6 pagi. Masih ada 4 jam sebelum sidang parlimen bermula. Aku tidak pasti kalau Lunar sempat membawa aku ke sana. Lunar menekan minyak dan menambah kelajuan. Aku tahu Lunar mengelak jalan bandar agar CCTV tidak menangkap kelibat aku dan kelibatnya. Aku menelefon Armi, memberitahunya agar menyiapkan pakaian persidanganku di belakang bangunan Parlimen, 3 jam dari sekarang. Tanpa pakaian persidangan parlimen, aku takkan dibenarkan masuk. Kertas-kertas usul aku periksa sekali lagi. Aku belum berpuas hati, namun aku yakin, otakku ini, ketika sampai masanya, idea itu akan keluar dengan sendirinya. Matahari sudah mula menampakkan dirinya.

Ketika kami sampai di belakang Parlimen, sidang Parlimen sudah bermula selama setengah jam. Menggunakan telefon bimbit Lunar, aku menyaksikan sidang itu berlangsung melalui lintas langsung di Youtube. Semua poin-poin pihak kerajaan aku catatkan. Kesemua lemah dan dangkal. Nampaknya poin-poin ini dibuat secara cincai kerana mereka yakin aku tidak akan berada di situ. Mereka silap besar!

Dari jauh, aku lihat wajah Armi begitu cemas di luar pagar bangunan Parlimen. Ketika aku turun dari jip, serta-merta wajah Armi bertukar ceria dan lega. Dia begitu gembira dapat melihat wajahku. Dia terus berlari dan memelukku dengan kejap, namun matanya memandang Lunar dengan curiga.

“Syukurlah!”

Dia memberikan jubah Parlimen yang hitam keunguan itu kepadaku lalu mengarahkan aku dan Lunar segera ke dalam bangunan untuk menukar pakaian. Lantas aku masuk ke dalam tandas dan membuka butang kemejaku, tiba-tiba aku lihat pandangan Lunar tertancap padaku dari pintu.

“Kau akan terus berdiri di sana untuk melihat aku menyalin pakaian?”

Lunar berdehem lalu mengalihkan pandangan. Jubah ku salin segera. Ahhh … bagaimana pula dengan sanggulku? Aku tidak tahu membuatnya. Selalunya aku akan ke salon sebelum sidang parlimen. Aku terpinga-pinga di hadapan cermin. Tiba-tiba Lunar berdiri di belakangku. Dia mencapai sikat. Dengan pantas, rambutku disisir, dijalin, kemudian disanggul menurut tradisi Marawi. Aku tidak dapat memberikan reaksi lain melainkan ternganga dengan kebolehan Lunar.

“Aku pernah mempunyai seorang adik perempuan, bukan?”

Aku mengangguk. Kesan kotoran kehitaman di wajahku, dikesat Lunar dengan hujung T-shirtnya. Aku segera berlari keluar. Tiba-tiba tanganku ditarik. Lunar memandang wajahku dengan serius.

“Aku minta maaf dengan apa yang aku katakan pada kau tempoh hari. Aku tahu kau seorang ahli politik muda yang berbakat. Selain daripada kau, ahli pembangkang lain tidak mempunyai kekuatan untuk menyatukan rakyat. Tolong bela kematian adikku dan ribuan ahli keluarga lain yang senasib dengannya.”

Aku mengangguk perlahan.

“Apakah aku akan berjumpa kau lagi?”

Lunar tersenyum.

“Aku membawa kau ke sini dengan selamat untuk membalas budi kau menyelamatkan nyawaku satu ketika dulu. Nampaknya, dalam pertemuan kali ini, aku masih terhutang nyawa dengan kau, Era Perkasa.”

Aku menggelengkan kepalaku. Aku sedikit pun tidak memahami apa yang Lunar katakan. Aku ingin meneruskan perbualan namun masa sudah suntuk. Aku harus ke sidang sekarang atau belanjawan gila itu bakal diluluskan tanpa tentangan. Aku berlari meninggalkan Lunar sebelum berpaling sekali lagi menangkap senyuman Lunar yang begitu menawan.

Tepat pada masanya, ketika Yang Dipertua Dewan Parlimen mahu menutup usul dengan kelulusan, aku menjerit dari pintu dewan.

“Saya, Era Perkasa, Ketua Pembangkang Dewan Parlimen Marawi, ingin membawa usul bantahan terhadap belanjawan yang dibentangkan!”

Kedengaran tepukan gemuruh dan sorak-sorai dari arah ruang duduk pembangkang. Perjuangan ini masih belum tamat.

***

Demonstrasi menentang kempen ketenteraan kerajaan Marawi aku gemblengkan secara besar-besaran di seluruh negara. Semua perniagaan ditutup. Semua golongan kelas pekerja mogok. Bursa saham menggila. Hartal selama 2 hari itu telah melumpuhkan Marawi sepenuhnya terutamanya di kawasan-kawasan bandar besar. Aku berjanji mogok ini akan diteruskan sehingga kempen ketenteraan di benua Galia dimansuhkan sepenuhnya.

Sidang mesyuarat tergempar pembangkang telah aku adakan, strategi untuk pilihanraya akan datang telah aku ubah sepenuhnya. Golongan minoriti kini berada di dalam perhatianku, walaupun ia dibantah oleh sebahagian ahli pembangkang. Aku mahu golongan minoriti dibela oleh negarawan sendiri. Bukan orang lain.

Aku membina dinding tebal dalam hatiku agar tidak lagi begitu mudah mempercayai orang. Ayah diracun melalui makanan. Jelas sekali, hanya mereka yang rapat dengannya sahaja yang mampu melakukan perkara sedemikian. Ahli Demokrat yang menjadi musuh dalam selimut akan ku cantas satu-persatu agar kesucian perjuangan ini tidak dicemari dengan kegilaan pada harta dan wang.

Sesekali aku terfikirkan Lunar. Aku tahu. Lunar bukanlah nama sebenar lelaki itu. Sungai yang deras. Tangan yang digenggam. Tanda lahir bagaikan setompok percikan cat air. Itu sahaja yang mampu aku ingatkan kembali. Lunar pernah muncul dalam hidupku, tetapi kewujudannya masih samar-samar. Katanya, dia masih terhutang nyawa denganku. Menurut peribahasa Marawi, hutang nyawa, hutang budi, tidak dibalas, rosak pekerti. Apakah aku akan bertemu lagi dengan dia?

“Era, aku baru kembali daripada ibu pejabat polis. Paksi Gimar tidak ada menghantar orang untuk menyelamatkan kau. Aku meminta ketua polis menganalisis CCTV parlimen. Tiada data tentang lelaki yang bersama kau tempoh hari. Dia bagaikan tidak wujud,”

Kata-kata Armi membuatkan aku terpana. Armi mendekatkan dirinya padaku.

“Menurut ketua polis, lelaki itu merupakan seorang pembunuh upahan. Dia dihantar oleh mereka yang mahukan kau mati.”

Aku terus terduduk. Bagaikan tidak percaya dengan semua ini.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s