DIA (CF)

Aku seorang lelaki, OK? Jikalau ada seorang wanita yang aku suka, menanggalkan pakaiannya satu persatu di hadapanku, mampukah aku berdiam diri? Aku tahu benar, ia salah. Aku tahu. Namun bagaimana aku mampu menahan gelora yang bergelombang di dalam diriku setiap kali bersamanya? Perasaan ini membuak-buak, mengambil alih seluruh tubuhku, tanpa memperdulikan jeritan waras otakku, yang mahu aku menghentikannya. Benakku seringkali berbalah dengan hatiku. Dan pastinya, setiap kali, hatiku yang akan memenangi perdebatan itu. Aku akur.

Hari ini dia kembali lagi. Dengan mata yang membengkak dan lebam. Dihentam lelaki durjana yang dikejarnya saban waktu. Ya. Dia sudah ada yang punya. Dia amat mencintainya. Dia menyerahkan jiwa dan raganya pada lelaki yang langsung tidak menghargai dirinya, sebagai kekasih atau seorang wanita. Setiap kali ais kutekap pada matanya yang berbekas merah kebiruan itu, dia akan mendesit. Serentak dengan itu, airmatanya mengalir. Apabila terpandangkan keadaannya, hatiku menjadi sakit. Marah. Rasanya menyucuk seluruh pori-pori di tubuhku. Tanganku kepal. Bibirku ketap. Tiba-tiba, tangannya memegang tanganku. Pandangannya sayu, seolah-olah memohon simpati. Kepalanya digelengkan. Entah jenis apa hubunganku dengannya, begitu mendalam sehingga tanpa meluahkan sebarang kata, dia dapat membaca isi hatiku. Aku juga dapat membaca kata-katanya yang hanya dihamburkan dalam hati. Tanpa dilontar dari bibir yang mongel itu.

Malam itu, dia tidur lagi dalam dakapanku. Tubuhnya yang separuh terdedah itu, aku selimutkan. Dahinya ku cium. Lebam di matanya kian surut. Tidurnya begitu lena sekali. Bagaikan seorang bayi yang kekenyangan susu. Sesekali rambutnya yang coklat keperangan itu ku belai. Tiba-tiba matanya dibuka perlahan, pandangan tajam menusuk terus ke dalam hatiku. Perlahan aku menarik nafas sedalamnya. Pandangannya itu telah melemahkan seluruh tubuhku setiap kali. Tubuhnya kutarik rapat ke dadaku, namun tangannya menahan dadaku. Kepalanya dibetulkan di atas bantal. Sekali lagi, dia memandangku dengan pandangan yang sukar aku tafsirkan dengan kata-kata. Apakah ia cinta? Sayang? Nafsu? Akhirnya, aku juga tewas dalam pandangan itu. Aku merenungnya kembali.

“Mengapa bukan kau, Vir?” katanya perlahan.

Aku agak terkejut dengan soalan itu, namun aku berlagak tenang dan terus mengelus pipinya.

“Maksudmu?”

Dia menarik nafas sedalamnya lalu menghembuskan ia perlahan-lahan.

“Barangkali aku sudah gila. Entahlah, Vir,” – dengan kata-kata itu lantas dia mengucup bibirku, menolak selimut dan terus mencapai seluar dalam dan seluar jeansnya yang berselerakan di lantai.

Dia membelakangkan aku, menyarung seluar dalamnya. Jelas kelihatan parut biratan akibat dipukul dengan sesuatu yang tumpul dan panjang, melintasi belakangnya yang halus. Dengan itu, bibirku ketap lagi menahan marah. Dayus sahaja yang memukul wanita sesuka hati. Laknat sahaja lelaki sial yang melayan perempuan yang mencintainya bagai kain buruk.

Aku mengangkat tubuhku lalu bersandar pada kepala katil. Dia telah siap berpakaian. Sekali imbas, dia kelihatan seperti seorang anak remaja lepasan sekolah di bawah samar-samar sinar lampu jalan yang berjaya menembusi bidai jendelaku, menerangi kamarku yang kelam. Aku telah mengenali dia selama 10 tahun. Aku tahu dia luar dan dalam. Entah mengapa, hubunganku dengan dia setakat ini sahaja. Di atas pagar. Tidak maju, tidak juga mundur. Bukan juga kekasih, sudah pasti melebihi daripada sekadar seorang sahabat.

“Kau ingin kembali kepada lelaki syaitan itu?”

Dia tidak menjawab. Hanya pandangan kosong diberikan. Aku hanya mampu mendengus menahan kebencian. Lantas aku bangun, menolak selimut dan terus berlalu ke dapur. Peti sejuk kubuka lalu aku capai sebotol air kosong dan ku teguk perlahan. Semoga air dingin ini mampu menyejukkan kemarahanku yang semakin hari, semakin tidak tertahan dengan semua ini. Ku dengar pintu hadapan ditutup perlahan. Bidai jendela kutarik, melaluinya aku terlihat dia membuka pintu keretanya dan lantas menghidupkan enjin. Perlahan Ford Fiesta itu dipandu keluar menuju ke jalanraya yang sunyi.

Seperti biasa, aku yang gagal lagi. Aku gagal menahan dia daripada terus memusnahkan kemudaannya. Mengejar bahagia yang takkan kunjung tiba di dalam neraka yang diciptanya sendiri. Sedangkan aku berdiri di hadapannya, dengan sepenuh jiwa, aku ingin dan mampu menyediakan sebuah syurga yang diimpikannya. Tapi bukan syurgaku yang diinginkannya. Neraka itulah syurganya. Biar terbakar luluh hati nuraninya. Biar, katanya padaku suatu ketika.

Hey, aku bukan lelaki bodoh. Aku takkan biarkan diriku dipergunakan. Menurut perasaan. Diulit bayangan kegembiraan yang sekadar itu.

Bayangan. Tidak nyata. Menghilang di ufuk senja.

Sudah berkali-kali aku ingin pergi darinya. Sudah bertahun-tahun aku memaksa kakiku melangkah. Kau takkan dapat apa yang kau mahu, Vir. Jadi untuk apa kau melukut di tepi gantang? Untuk apa menanti kucing bertanduk? Pergi saja. Kau sedang membunuh dirimu sendiri, menyaksikan dia memusnahkan dirinya. Pergi dan kau takkan melihat lagi semua ini. Mulakan hidup baru. Kanada sedang memanggilmu. Daun maple berguguran menanti kau menyambutnya dan menikmati keindahannya. Tunggu apa lagi, Vir?

Tidak. Aku cuba mewajarkan jeritan batinku. Dia pernah mengeluarkan aku dari lohong hidup yang paling gelap. Membantu aku di saat tiada sesiapa pun mahu melemparkan pandangan padaku atau mengasihani aku. Memimpin aku berjalan pada saat terasa lumpuh kakiku walaupun untuk melangkah setapak. Dialah temanku ketika semua orang melupakan aku. Menarikku melangkah ke hadapan dan sehingga kini, aku mampu berdiri di atas kaki sendiri. Tanpa mengharapkan sesiapa. Dan kini, aku ingin meninggalkan dia? Tidakkah aku bersikap kejam?

Dia sedang mengacau teh yang telah dimasukkan 2 ketul gula kiub. Begitulah kegemaran syaitan laknat itu. Dia menghafal semua kegemaran jantan itu. Hari ini dia berblouse lengan panjang warna peach. Warna kegemaran jantan itu. Perlahan dia meletakkan cawan teh itu di hadapan lelaki tidak guna itu. Wajah lelaki itu masih mencuka. Bukan sahaja tidak mengucapkan terima kasih, bahkan entah apa dimakinya wanita itu sehingga terpisat-pisat wajahnya menahan malu di hadapan orang ramai yang sedang minum pagi di Arts Café itu. Semuanya kelihatan jelas di mataku. Walaupun mereka duduknya kira-kira 400m dari café kegemaranku.

“Encik?” cemas sahaja pelayan menegurku.

Aku memandangnya tanpa kata. Secara tiba-tiba, kesakitan menular pada tapak tanganku. Aku telah menggengam gelas jus itu terlampau kuat sehingga ia pecah di tapak tanganku tanpa sedar. Aku mencapai napkin yang diserahkan oleh pelayan itu, mencabut serpihan kaca yang terlekat pada lukaku satu persatu, sebelum membalutnya dengan napkin itu. Aku menyarung ‘aviator’ Raybanku, meletakkan not RM20 di atas meja, dan meninggalkan café kerana aku tahu kini banyak mata sedang memandangku. Kedamaian café itu tidak lagi membantu aku.

“Maaf, Vir,” katanya sambil menundukkan kepalanya. Dia menyandarkan belakangnya pada sofa kulit yang berkilat setelah aku kilatkannya semalam.

“Otak ini,” – sambil menelunjukkan jarinya pada pelipis yang halus itu, “Entah apa yang berselirat bagaikan bebenang sinaps yang bergumpal-gumpal tanpa arah tuju. Kau ada di sini,” – kali ini menunjukkan ke dadanya, “… dan di sini. Namun takhta itu … ahhh …”

Dia tidak mampu meneruskan kata-katanya. Birat itu masih mengeluarkan darah yang hampir beku itu pada lengan kirinya, ku cuci perlahan dengan Dettol. Dia mengerang perlahan. Gelombang amarah memancar di seluruh tubuhku. Meluap-luap. Rasanya rumahku mampu dibakar jika api kemarahan itu keluar melalui percikannya di jariku. Jeritan jiwa yang merayu-rayu aku agar melakukan sesuatu untuk menghentikan semua kegilaan ini. Kau dayus, Vir. Dayus.

“Jika kau takkan menghentikannya, biar aku saja yang melakukannya!” bentakku. Dia kaget. Kapas ku letakkan di atas meja kopi. Aku bangun, lalu mencapai kunci kereta.

“Vir! Vir!!!!”

Pintu aku hempaskan. Dia masih terpekik-pekik akan namaku. Persetan. Aku akan hentikan semua ini!

***
Enjin kereta aku matikan. Lampu aku padamkan. Pandangan aku tumpukan pada tingkat tiga bangunan yang lusuh itu. Sudah tiada pejalan kaki pada waktu ini. Sunyi. Sepi. Dingin juga malam ini. Aku menarik rapat hoodie fleece agar tubuhku sedikit hangat. Dalam remang bilik yang separa kelam itu, dengan jelas lelaki itu sedang berasmara hangat dengan seorang gadis lain. Tubuh gadis yang barangkali 10 tahun lebih muda darinya itu melekat pada dinding. Matanya terpejam menikmati saat-saat hangat itu. Sudah lama aku ketahui perkara ini. Dia juga tahu. Mungkin kerana ini juga, dia mencemar persahabatan suci denganku. Persahabatan yang penuh dengan rasa hormat dan simpati, tiba-tiba dipalit dengan dosa.

Dia datang padaku dengan ribut yang bergelora di belakang kepalanya, lantas mencium dan menggomoli aku sehingga akhirnya aku tewas dalam pelukannya. Hubungan asmara yang aneh dan jelik. Yang tiada arah tujuan. Yang membunuh aku perlahan-lahan setiap hari. Barangkali, inilah caranya membalas dendam pada lelaki itu. Tanpa sedar, dia telah merenggut semua kewarasanku, yang sebenarnya sudah lama hilang saat aku mula jatuh hati padanya. Sayang sekali, aku hanya perolehi tubuhnya, bukan jiwa dan hatinya.

Walther P38 itu kutimang-timang perlahan. Beratnya tidak terasa. Malah ringan sekali rasanya untuk aku menarik picunya ketika larasnya kuhalakan tepat pada dahi lelaki tidak guna itu. Saat peluru menembusi dahinya, memercik darah kotor, dan menghancurkan otaknya. Biar bersepai di lantai agar boleh ku pijak-pijak. Selayaknya otak milik lelaki itu hanya layak berada di bawah tapak kakiku. Ku hinjak-hinjak sehingga puas hatiku. Biar tubuhku dibasahi darah malam ini. Sudah terlalu lama idea ini tergantung. Sudah terlalu lama.

***
Berkali-kali wajahku basuh. Air pili kubiarkan mengalir. Jiwaku kosong. Benakku lompong. Belakangku masih sakit kerana tidur dalam keadaan duduk. Belakang leher ku gosok. Lenguhnya terasa. Pandangan ku lempar sekilas ke arah bilik tidur. Katilku kemas. Dia tidak tidur di sini. Aku tidak tahu dia ke mana. Malas aku untuk menyemak telefonku. Biarkan dia. Pastinya di kepalanya kini bukan aku yang memenuhinya.

Kabinet dapur kubuka perlahan. Ahhh … kopi sudah habis. Pastinya aku akan mengantuk sepanjang pagi jika tidak minum kopi. Setelah mandi dan menyarung sut Versace putih, aku melihat sekilas wajahku di cermin. Aku punya segala-galanya. Akaun bank yang tidak pernah surut isinya, rumah yang cantik bak mahligai, pekerjaan yang baik. Jika aku petik jari ini, pasti ramai gadis yang ingin melemparkan diri mereka ke dalam rangkulanku. Aku mampu miliki segalanya kecuali satu …

“Boss, you have a meeting this morning at 10,” begitulah pesan sekretariku.

Biar apa pun, aku harus mulakan pagiku dengan kopi. Kopi itu penting.

***
Kakiku langkah tenang saat pelayan tersenyum memandangku. Aku membalasnya dengan rasa malas sekali. Dengan pantas, tanpa sebarang soalan, Decaf Pike Place Roast panas, biji kopinya dibakar sederhana dengan rasa yang seimbang dan kaya aromanya seringkali menjadi pembuka pagiku, diletakkan di meja kegemaranku. Meja yang mempunyai pandangan 180 darjah yang jelas, tanpa halangan, menghadap Arts Café.

Belum sampai lagi. Maka dengan perlahan, aku menyisip kopi hitam yang begitu mewangi aromanya. Akhirnya, yang ditunggu telah tiba. Aku meletakkan not RM20 di atas meja dan terus bangun. Keluli hitam di dalam poket sut, aku gosok perlahan.

Aku ternampak mata dia membuntang melihat aku menuju ke arahnya. Aku hanya berlagak bersahaja. Akhirnya aku berdiri betul-betul di hadapan meja mereka. Lelaki itu kaget.

“Apa ini? Siapa kau?” tanyanya terpinga-pinga.

Pandangannya dihalakan pada dia, yang begitu cemas memandangku.

“Vir … jangan, Vir,” kata dia, perlahan.

Aku tidak memperdulikan kata-katanya kali ini. Sudah berkali-kali semua kata-kataku selama 10 tahun, dia tidak pedulikan. Biar aku memulangkan paku buah keras. Tangan kiriku menyeluk poket sut, mencapai keluli hitam yang berkilat itu, lalu larasnya ku angkat dan aku acukan. Terdengar jeritan menggila di Arts Café. Orang ramai bertempiaran lari. Suasana damai pagi telah aku cemarkan.

Tanpa membuang masa picunya aku tarik. Bergema bunyi tembakan di ruang udara. Burung-burung merpati bertempiaran terbang. Aku terlihat kening dia berkerut namun kemudiannya melontarkan senyum manis. Aku merenung sayu sinar kehidupan pada matanya yang makin semakin malap direnggut nyawa yang keluar dari tubuhnya.

“Terima kasih, Vir. Akhirnya … aku bebas …”

Terdengar lolongan dan tangisan menggila milik si bangsat itu.

***
Suasana mahkamah menjadi hingar. Kerlipan flash dari kamera wartawan tabloid telah menjamah wajahku berkali-kali. Aku biarkan. Aku ternampak ibuku menangis pada salah satu kerusi yang tidak jauh dari kandang pesalah. Dia sedang dipujuk oleh penjaganya yang ku upah untuk menjaga ibu yang lumpuh kakinya. Aku bersalah kerana membiarkan ibu bersedih keranaku. Maafkan aku, ibu. Wajah ibu diangkat. Pandangannya dihalakan padaku. Miripnya wajah dan pandangan ibu seperti dia. Saling tak tumpah. Kerana itu, aku tidak tertahan melihat penderitaan dia. Aku memaki diriku sendiri kerana gagal melindungi dia kerana aku merasakan yang aku gagal melindungi ibuku sendiri. Setiap hari, selama 10 tahun, aku menyumpah diriku.

“Hari ini, kita bakal mendakwa lelaki ini. Lelaki yang telah mengambil nyawa seorang wanita yang tidak berdosa kerana cemburu!”

Bodoh benar pendakwaraya ini. Aku tidak membunuh dia kerana cemburu. Aku tidak cemburu. 10 tahun aku hidup dengan cemburu, cemburu kini adalah teman baikku. Tidak berdosa? Hahaha! Ulanglah kata-kata itu pada dirimu sendiri. Aku saja yang tahu betapa berdosanya kami berdua. Aku telah membebaskan dia daripada neraka dunia, memulangkan dia kepada yang lebih menyayanginya, yakni Tuhan. Lebih baik daripada membiarkan dia menyiakan hidup di dunia ini. Menyesalkah aku? Tidak. Aku telah menamatkan penderitaannya. Mengapa perlu penyesalan?

Lelaki bangsat itu mengesat airmatanya. Ahhh … simpan saja airmata buayamu. Apakah kau menangis saat kau menyakiti hatinya, membunuh perasaannya, dan menyiksa tubuhnya? Budak lelaki kecil itu memeluk ayahnya. Lalu pandangan tajam dilemparkan padaku. Entah mengapa aku membalas renungannya dengan senyuman. Pandangannya seperti pandangan ibunya. Walaupun aku tahu, di matanya penuh dengan api kebencian padaku, namun raut wajahnya yang lembut itu mengaburkannya. Sebagaimana ibunya dahulu.

“Sudah tiba saatnya, Vir,” kata pegawai penjara itu.

Lamunan ku terhenti di situ sahaja. Aku bangun. Mereka memakaikan pasungan yang agak berat pada kaki dan tanganku. Perlahan aku mengambil langkah. Bikin apa terburu-buru? Bukannya aku mahu ke mana-mana. Setiap anak tangga menuju ke destinasiku, aku menapak dengan kemas. Tanpa rasa takut atau gentar.

Tali itu. Bersedia menantiku

“Kamu didapati bersalah kerana membunuh Dia Sukmawati dengan niat. Dengan itu, kamu dihukum gantung sampai mati,” kata pegawai itu.

Aku tersenyum malas. Aku tidak membunuh Dia. Aku memulangkan Dia pada Tuhannya. Aku tahu jika nyawa lelaki bangsat itu ku ambil, Dia akan bersedih dan sudah pastinya Dia takkan memaafkan aku. Dia akan lebih menderita, menyalahkan dirinya seperti selalu. Aku akan menghancurkan kota cintanya yang dibina sendirian, tanpa sentuhan lelaki jahanam itu. Aku tidak sanggup menghadapi perkara itu. Namun, aku juga tidak mahu Dia terus-menerus menyiksa dirinya. Menggalas beban kota cintanya sendirian. Menari-nari dalam salju diulit lagu “The Blue Danube” yang menjadi kegemarannya, sendirian. Biarkan dia bebas dari neraka dunia ini. Biarkan Dia mengecap bahagia untuk sekian kalinya. Kini, aku pula akan menyusulnya.

Saat leherku dikalungkan dengan tali gantung, aku terlihat lingkaran cahaya yang besar yang membuka perlahan-lahan bagaikan satu laluan halimunan di atas kepalaku. Cahayanya yang terang, menyilaukan mata. Aku terlihat kerajaan yang indah di seberang sana, di dimensi yang entah di mana, entah yang keberapa, aku tidak tahu. Dia melambai-lambai.

Bam! Lantai di kakiku terbuka.

Malaysia 2 November 2016

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s