CB : Aku Dan Pria Aprilia Siri 22

Jantungku masih berdegup kencang. Bagaikan surrealis, apa yang berlaku di hadapan balai polis sebentar tadi. Mimpikah aku? Justo mencium bibirku? Aku menyentuh bibirku perlahan. Serta-merta aku terbayangkan kejadian itu sekali lagi. Aku memejamkan mata dan menggeleng-geleng. Ah … kacau! Aku mahu melupakannya. Aku tidak mahu perkara itu menjadikan aku berlembut dengan Justo. Berani dia ya! Dia fikir kalau dia berbuat begitu, dia akan berjaya melembutkan aku.

Justo menarik brek Aprilianya apabila berhadapan dengan lampu trafik. Aku terdorong ke hadapan dan secara tidak sengaja, tersentuh bahu kanan Justo.

“Ahhh!” Justo mengerang. Dia berpaling padaku. Mata bertaut seketika. Namun dia tidak berkata apa-apa. Dia berpaling ke hadapan kembali. Memberi perhatian kepada pemanduan.

Perlahan jari aku menyentuh bahu kanannya. Masih berbalut. Kesan tikaman tempoh hari masih belum baik sepenuhnya barangkali. Serta-merta aku terasa … entahlah. Hati aku bercampur-baur. Aku bencikan lelaki ini dalam masa yang sama aku … aku … ahhh!! Berserabut kepalaku memikirkannya. Dia anak lelaki musuhku. Secara automatik, dia adalah musuhku, bukan? Yang harus aku tentang habis-habisan, bukan? Dia juga membohongiku. Aku paling pantang manusia yang membohongiku hidup-hidup begini. Kata hatiku begitu kuat mematikan hujah fikiranku yang bernada lembut.

Justo memperlahankan motorsikalnya ketika membelok masuk ke rumahku. Kelihatan orang kampung sudah berdiri di hadapan rumahku. Mereka bersorak melihat kehadiranku. Aku lihat ibu dan Naela bercucuran air mata di hadapan rumah. Setelah Justo memberhentikan motorsikal, ibu meluru ke arahku.

“Kau tidak apa-apa? Cukup makan? Kenapa kau kelihatan kurus? Mereka ada memukul kau?” ibu memelukku dan mencium pipiku berkali-kali. Aku tidak dapat menahan air mataku mendengar kata-kata ibu. Aku memeluk ibu erat.

“Aku tidak apa-apa, bu. Aku baik-baik saja. Jangan risau, ya,” kataku perlahan sambil mencium pipi ibu. Naela pula memelukku.

“Dari kecil, kau tidak habis-habis menyusahkan aku!” tingkah Naela, sambil mencium pipiku. Dia teresak-esak memelukku. Aku tahu Naela tak maksudkannya. Aku tahu dia juga risau. Dia membantah keras rancanganku untuk berdemonstrasi di hadapan bangunan Trans-Pacific Landmark, namun aku tetap dengan rancanganku. Aku perlukan lebih pendedahan untuk perkara ini, agar mendapat pembelaan sewajarnya. Itulah tujuanku. Aku mencium pipi Naela kembali, dan aku tidak akan menjawab kata-katanya.

James dan Andy memeluk pinggangku.

“Eve, kau masuk TV!! Hebat kau!!” kata Andy, girang. Aku tersenyum dalam tangisan. Ah … kanak-kanak.

Pelbagai soalan orang kampung ajukan padaku, namun aku terlalu letih untuk menjawab. Aku pohon pada mereka agar tinggalkan aku bersendirian untuk berehat terlebih dahulu, nanti akan kujawab semua persoalan mereka. Perlahan-lahan mereka beransur pulang, menghormati permintaanku. Aku memandang kawasan hujung kampung yang telah dibersihkan. Nampaknya, kerja-kerja pembersihan telah dihentikan.

Ketika aku menggalas beg untuk masuk ke dalam rumah, Justo menarik begku. Melihat kejadian itu, ibu dan Naela meninggalkan kami berdua.

“We need to talk,” katanya perlahan. Aku menggeleng.

“Aku tak ada apa-apa yang nak aku katakan pada kau, Justo,”

“Sampai bila kita nak berperang dingin begini? Boleh tak kau dengar dulu penjelasan aku?”

Aku merentap begku, terus melangkah ke dalam rumah, lalu menghempaskan pintu.

“Eve, aku akan tunggu di luar selagi kau tak mahu jumpa aku. Aku nak kita selesaikan perkara ini hari ini juga!” jerit Justo dari luar.

Malas aku nak menjawabnya. Suka hati kaulah. Aku nak tidur. Ibu memandangku.

“Tak baik buat Justo begitu,”

“Dia lagi tak baik, memusnahkan kehidupan kita,”

“Kalau bapa dia yang buat, bukan salah dia,”

“Aku tak peduli, bu. Dia tipu aku. Aku tak suka. Aku nak masuk tidur.”

Pintu bilikku tutup. Badanku hempaskan atas katil. Akhirnya, dapat aku kembali atas tilamku sendiri setelah berhari-hari tidur di atas lantai sejuk lokap. Serta-merta aku terlena dengan amannya.

***

“Eve .. bangun makan malam,” ibu mengetuk pintuku. Perutku berkeroncong. Aku tidak makan ketika ibu kejutkan aku makan tengah hari tadi. Dengan malas, aku membuka mata. Hari telah beransur gelap. Aku mengerling jam tanganku. Pukul 6.30 petang. Aku menggosok mukaku. Selimutku tolak, lalu aku bangun untuk mencuci muka.

Dah balik agaknya syaitan tu? Aku menguak langsir tingkap. Hampir tidak percaya aku melihat Justo kini terduduk di atas tanah di sebelah Aprilianya sambil melambung telefon bimbitnya.

Eh … dah gila ke dia? Sejak aku pulang pada pukul 12.30 tengah hari tadi, setelah 6 jam, dia masih tunggu aku di luar?

“Kau tak kasihan melihat dia menanti kau begitu?” tegur ibu. Aku mendengus.

“Biarkan dia. Barulah padan mukanya. Aku nak tengok sampai bila dia akan menunggu. Kejap lagi baliklah dia,” kataku, malas. Ibu memukul bahuku sambil menggeleng. Di tangannya ada sepinggan nasi.

“Ibu nak bagi pada siapa?”

“Pada Justolah. Dia tak bergerak sejak kau pulang. Dia tak makan tengah hari. Takkan ibu nak biarkan dia tak makan malam pula?” kata ibu prihatin.

“Untuk apa berbuat baik dengan dia?” aku berlalu ke dapur lantas membuka peti sejuk untuk mengambil air minuman. Alangkah terperanjatnya aku melihat peti sejuk aku dipenuhi dengan pelbagai makanan. Barangkali Naela belikan untuk ibu.

“Lihat Eve, abang Justo belikan aku marshmallow. Banyak, kan?” kata James sambil menunjuk pada plastik marshmallow. Mataku membuntang.

“Abang Justo belikan semua ini?” pantas James mengangguk. Oh, pandai pula dia merasuah semua ahli keluargaku.

“Dia nak beri duit, ibu tak mahu ambil. Ibu tahu kau tak suka. Kemudian dia belikan barang-barang dapur. Bagaimana ibu nak menolak?” kata ibu setelah kembali dari hadapan. Aku mengetap bibir dan mengeluh perlahan. Aku terus duduk di meja makan dan makan tanpa berkata apa-apa lagi. Dia fikir wang dapat melembutkan hati aku, pergi matilah.

***

Aku curi-curi mengintai di sebalik langsir. Justo masih duduk di hadapan rumah. Sesekali dia terlelap. Jam menunjukkan pukul 8 malam. Pergi baliklah. Jangan harap aku nak keluar. Sesekali kedengaran guruh berdentum. Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Justo bangun. Ha … baguslah. Pergi balik.

Justo membuka tempat duduk dan mengeluarkan kanvas berwarna biru lalu Aprilianya diselubungkan dengan kanvas. Kemudian, dia duduk kembali tanpa menghiraukan hujan. Sesekali dia mengesat air hujan yang membasahi wajahnya. Eh … bodoh ke dia ni?

Ibu datang ke hadapan, memakai selipar dengan membawa sehelai tuala.

“Eh, ibu nak ke mana?”

“Nak bawa Justo masuk ke dalamlah. Ibu bukannya kejam macam kau,” kata ibu bernada marah. Aku terpempan. Kejamkah aku?

Ibu menyelubungi kepala Justo dengan tuala lalu menarik tangan Justo ke dalam rumah. Aku hanya berdiri berpeluk tubuh di dinding. Justo menggigil. Matanya hanya memandangku. Dia menarik rapat tuala kerana kesejukan. Aku ternampak tuala putih itu telah dicemari darah pada bahu kanan Justo. Hatiku menjerit mengatakan sesuatu yang tidak aku fahami. Aku memekakkan telinga dengan jeritan hatiku sendiri.

“Duduklah dulu, Justo. Nanti pergi mandi. Auntie akan bawakan baju Uncle untuk kamu pakai, ya!” Dia hanya mengangguk sambil melabuhkan punggungnya di atas kusyen. Bibirnya membiru. Rambutnya melepek kerana basah. Dia menanggalkan stokin, dan aku lihat tapak kakinya mengecut dan memutih. Dia terbersin dan terbatuk-batuk. Hidungnya mula menjadi merah. Ah … kejamkah aku?

Aku tidak tahan lagi untuk melihat keadaannya. Aku bimbang kalau aku akan berlembut hati. Aku terus berlalu ke bilik dan menutup pintu. Tubuhku baringkan perlahan, pandanganku lemparkan ke siling yang kosong. Kejamkah aku? Wajarkah aku bersikap begini padanya? Patutkah aku keluar dan dengar saja apa yang dia nak cakap?

Bersambung.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s