BENIH SANG OBERFUHRER : KEBANGKITAN REICH KELIMA (CI)

13 September 1942

 Semua Ketua Kematian berdiri tegak di hadapan Oberfuhrer. Di jari masing-masing sudah tersarung SS-Ehrenring (Cincin Penghormatan SS), yang sudah disarung Reichsfuhrer sebentar tadi. Sudah pastinya bersemangat untuk menjalankan tugas sebagai pegawai yang paling berpengaruh dalam Schutzstaffel atau SS khususnya, dalam tentera Nazi amnya. Karl Maria Wiligut memandang Reichsfuhrer dengan pandangan yang sukar dimengertikan. Namun Reichsfuhrer mengangguk perlahan, seolah – olah mengerti apa yang ingin diperkatakan oleh idolanya itu. Himmler menggosok pangkal hidungnya.

“Katakanlah, Oberfuhrer. Kami sedia mendengarnya.”

Wiligut menarik nafas dalam lalu mengetuk lantai Obergruppenführersaal (Dewan Jeneral SS) dua kali dengan tongkatnya.

“Aryan … Bangsa Germanic yang terhebat. Waktu akan tiba untuk kita menguasai dunia sekali lagi. Kita harus lebih bijak, berani, tangkas, kuat. Kerana ini, kita harus sempurna dari segala segi. Dan aku percaya, kesempurnaan itu harus datang dari baka yang baik. Saintis kita telah menjumpai rahsia terhebat untuk mengubah bangsa kita menjadi bangsa yang hebat. Kejuruteraan genetik!”

Sieg Hail! (Majulah ketuaku)” jerit semua Ketua Kematian SS.

“Kemari, Hagne!”

Seorang anak perempuan kecil, berambut perang, berpakaian lengkap tentera Nazi masuk menghadap semua yang berada di situ. Reichsfuhrer menggosok kepalanya.

“Tunjukkan, Hagne,”

Hagne mencapai pistol Walther P38 yang berikan oleh Oberfuhrer. Lalu burung merpati dilepaskan oleh seorang askar Nazi ke dalam Obergruppenführersaal.

“Berapa Oberfuhrer?”

“8,”

Gadis kecil bernama Hagne menembak 8 ekor merpati dengan tepat dalam masa kurang 5 saat, tanpa ragu-ragu dan tanpa belas kasihan. Wajahnya kosong dari sebarang emosi. Dengan itu, Oberfuhrer ketawa terbahak-bahak. Masa depan cemerlang bangsa Aryan jelas terbayang di fikirannya. Lebih ramai Hagne. Itulah impiannya.

***

“HAHAHAHAHA!”

Ketawa syaitan itu lagi. Dia benci mendengar ketawa itu. Ketawa itu berlanjutan sepanjang malam, disusuli dengan jeritan sayu, bunyi pukulan, koyakan fabrik dan desiran zip seluar yang dapat didengarinya dengan begitu jelas, walaupun mereka dipisahkan oleh dinding setebal 3 kaki. Hagne mempunyai pendengaran super. Telinga bagaikan telinga kelawar, yang mempunyai lingkungan pendengaran serendah 4 Hz, namun kemampuannya mendengar bunyi juga lebih tinggi daripada manusia biasa sehingga 40KHz. Ia menjadikan Hagne begitu resah setiap malam apabila hendak tidur.

Biliknya tidak jauh dari bilik Oberfuhrer, yang juga bapa biologinya, yang obses untuk menghasilkan bangsa Aryan melalui benihnya sendiri. Setiap malam, tentera Nazi akan membawakan pada Oberfuhrer, wanita-wanita Jerman yang paling sihat dari segi fizikal dan mental untuk menjadi ‘santapan malam’ Oberfuhrer. Maka setiap malam, Hagne akan mendengar pelbagai bunyi yang benar-benar mengganggu kesihatan mentalnya, menyebabkan dia mengamuk, memukul dinding sehingga bergegar biliknya. Saintis-saintis dan tentera yang berkawal di biliknya akan masuk, dan memberikan ubat penenang padanya. Begitu pun, sejak akhir-akhir ini, ubat penenang tidak memberikan kesan padanya. Usianya baru 7 tahun, namun pelbagai jenis dadah telah disuntik ke dalam badannya. Namun nampaknya, Hagne telah imun kepada sebarang dadah.

Walaupun telah diajar oleh gurunya, agar bermeditasi dan memilih bunyi yang hendak didengarinya dan mengabaikan yang lain, Hagne tidak boleh berbuat demikian. Masakan dia boleh berdiam mendengar bunyi-bunyi itu? Ibunya, Mary Anne, juga mengalami siksaan yang sama.  Dia tidak boleh melupakan wajah ibunya yang mati di bilik bedah, meninggalkan dia sebatang kara di dunia ini, dengan bapa yang gila dan langsung tidak memperdulikannya.

Hebatkah menjadi bangsa Aryan? Hagne dikatakan spesimen terbaik yang terhasil dari ujikaji mereka. Setakat ini, hanya Hagne yang benar-benar mampu menghadapi semua perubahan genom dan DNA tanpa reaksi berbalik. Saintis yang bernama Elsje Merkel yang mengepalai eksperimen ini hanya berjaya menyudahkan kerjanya pada Hagne. Namun begitu, entah mengapa, setelah Hagne diuji di makmal, Elsje telah membunuh dirinya dan memusnahkan semua hasil eksperimen dan kertas kerja eksperimen tersebut. Ini telah melumpuhkan penyelidikan manusia meta di Wewelsburg. Dengan itu, Reichsfuhrer telah mengarahkan agar lebih ramai saintis didatangkan ke Wewelsburg untuk meneruskan penyelidikan ini. Setakat sekarang, mereka masih gagal mengetahui prosedur dan formula DNA yang tepat, untuk menghasilkan satu lagi Hagne.

Hagne mempunyai pendengaran super, IQ setinggi 250, kekuatan luarbiasa,  mempunyai kuasa telekinesis, boleh berkomunikasi dalam 5 bahasa dan mempunyai penglihatan yang tajam dan jelas sejauh 10km yang boleh di zoom bagaikan sebuah kamera canggih, namun apakah ertinya semua ini pada Hagne? Hagne merasa kehilangan, bagaikan ada yang kurang dalam dirinya. Dia tiada teman berbicara. Dia tidak pernah berbual dengan adik-beradiknya yang lain, hasil ujikaji yang sama. Gurunya hanya mengatakan,

“Mereka defektif, kau sempurna. Maka tiada gunanya berbual dengan mereka.”

“Ah, persetan kalau mereka defektif atau tidak. Aku mahu teman berbual,” ujar Hagne dalam hati.

Hari-hari yang berlalu, Hagne hanya bertukar pandangan dan senyuman sahaja dengan adik-beradik lain melalui tingkap makmal. Kadang-kadang dia melambai. Terkadang hatinya sayu melihat adik-beradiknya yang diarahkan supaya duduk di atas sebuah kerusi, kemudian direnjat dengan aliran elektrik, dan disuntik dengan pelbagai jenis solusi. Ketika mata mereka menancap pada Hagne, Hagne ingin meluru kepada saintis-saintis gila itu supaya menghentikan segala ujikaji mereka, namun tentera yang berkawal di sekitar makmal tidak akan teragak-agak melepaskan tembakan sekiranya Hagne menghampiri mereka.

***

13 April 1945

Suasana di Istana Wewelsburg menjadi kelam-kabut. Kedengaran jeritan di sana-sini. Dokumen-dokumen penting di bawa lari keluar oleh tentera Nazi. Hagne hanya memerhatikan kekalutan itu.

“Bawa semua aset keluar dari Wewelsburg. Tentera Soviet telah menawan Reichstag. Mereka tidak boleh dijumpai oleh tentera Soviet dan tentera Berikat. Ini arahan Reichsfuhrer,” kedengaran salah seorang daripada SS-Gruppenfuhrer (Ketua Kumpulan SS) telah mengarahkan para saintis dan jurutera di Wewelsburg untuk bersedia meninggalkan Wewelsburg bersama dengan aset mereka.

Dengan kawalan tentera dan senjata diacukan pada mereka, anak-anak Wiligut dibawa keluar dari Wewelsburg menggunakan kenderaan perisai. Inilah pertama kali, Hagne dapat duduk rapat dengan adik-beradiknya lain. Ada 10 orang anak-anak Wiligut berada di dalam kenderaan itu, termasuk Hagne menjadikan 11 orang semuanya. Di sisi Hagne, seorang budak lelaki berkepala botak, berusia kira-kira 11 tahun, hanya tunduk ke lantai kenderaan.

“Hello abang, aku Hagne,” bisik Hagne pada budak lelaki itu. Budak lelaki itu mengangkat kepalanya. Lantas Hagne tersenyum. Budak lelaki itu membalas senyumannya.

“Aku Egbert,”

“Abang rasa kita akan di bawa ke mana?”

“Aku tak tahu, Hagne. Kenapa? Kau takut?”

Pantas Hagne menggeleng. Tiba-tiba kepala Hagne diketuk dengan punggung senjata.

“Jangan bercakap!”

Hagne menggosok kepalanya. Dia melemparkan pandangan tajam pada tentera Nazi itu. Hagne mengangkat tangannya dan memulas punggung senjata askar itu dengan kuasa telekinesisnya perlahan-lahan. Adik-beradik Hagne yang lain melihat apa yang dilakukan oleh Hagne dengan wajah yang teruja.

“Hagne!” jerit gurunya. Hagne terperanjat lalu menurunkan tangannya.

“Kalau kau tak mahu hidup lama, kau teruskan. Kau yang lain-lain, begitu juga. Jangan memandai-mandai, jikalau tak mahu mati hari ini!” ugut guru mereka yang bertanggungjawab mengajar dan memprogramkan ilmu-ilmu akademik ke dalam kepala mereka. Anak-anak Wiligut kembali tunduk ke lantai. Namun Hagne masih menegakkan kepalanya dan memandang tepat pada gurunya. Gurunya, menyimpan rasa gementar di dalam hatinya menatap pandangan tajam Hagne itu. Dia tahu Hagne benar-benar berbeza berbanding adik-beradiknya yang lain. Bukan kerana semua kuasa supernya, tetapi ada kuasa lain yang tersembunyi, menjadikan Hagne begitu berbahaya, walaupun kepada Nazi sendiri. Dia adalah raksasa kecil yang menanti waktu untuk menunjukkan kekuatannya yang sebenar.

Ada Braun tidak merekodkan pemerhatian ini dalam rekod tentera Nazi. Dia telah dipaksa bekerja di Istana Wewelsburg atas arahan Reichsfuhrer memandangkan kecemerlangannya dalam lapangan psikologi dan pendidikan. Apa yang dilakukannya di Wewelsburg adalah berlawanan dengan kehendaknya yang ingin menggunakan psikologi dan pendidikan untuk kebaikan sejagat, bukan untuk memusnahkan dunia. Dia berharap dengan terkuburnya rahsia ini, suatu hari nanti Hagne akan menebus semua dosanya yang telah menabur bakti membantu memanifestasikan idea gila Karl Maria Wiligut.

Tiba-tiba, kenderaan itu berhenti. Mereka diarahkan turun segera. Mereka kini berada di sebuah kawasan lapang. Di hadapan mereka, terdapat 11 kotak berbentuk seperti keranda. Hagne dan adik-beradik berpandangan sesama sendiri. Adakah mereka akan dibunuh? Mereka diarahkan masuk ke dalam kotak itu yang dipenuhi cecair separa likat. Ada Braun menghampiri Hagne, lalu berbisik,

“Kau adalah manusia. Kau boleh memilih untuk menjadi baik atau jahat. Gunakan kelebihanmu untuk menjadi manusia yang baik, bukannya raksasa.”

Tiba-tiba, Ada Braun rebah apabila ada peluru menembusi kepalanya. Darah merecik pada wajah Hagne. Kolonel Margarete Himmler menghampiri Hagne dengan wajah yang keras lalu mengacukan pistol itu ke dahi Hagne. Mengenali Margarete, Hagne tahu dia bukanlah wanita yang berperikemanusiaan walaupun dia sering berselindung di bawah bayangan German Red Cross ketika menguruskan operasi hospital tentera. Dia memandang tinggi cita-cita suaminya, Heinrich Himmler Sang Reichsfuhrer. Hagne segera masuk ke dalam kotak itu lalu membaringkan diri. Kotak itu ditutup. Cecair itu mula memasuki hidung dan mulutnya, membuatkan Hagne lemas. Hagne mengetuk kuat kotak itu dan cuba menjerit. Paru-parunya terasa perit seolah-olah terbakar. Hagne lemas dan akur dengan nasib yang bakal menimpanya. Setelah semua anak-anak Wiligut masuk ke dalam kotak itu, Margarete mengeluarkan arahan yang ringkas.

“Tetapkan pada masa yang telah ditetapkan Reichsfuhrer. Sieg Hail!”

Sieg Hail!”

Salah seorang SS-Gruppenfuhrer (Ketua Kumpulan SS) yang berada di situ hanya mengangguk mendengar arahan itu dan segera melakukan apa yang disuruh oleh Kolonel Margarete.

***

7 May 2007

Mak Utih merenung anak orang putih yang dijumpai suaminya itu. Dia tertidur lagi. Mak Utih masih lagi ingat saat Pak Utih kembali dari menjala dengan mengheret kotak pelik yang sangat berat. Ia mengambil masa berminggu-minggu untuk Pak Utih membuka kotak itu, sehinggalah pada suatu hari, kotak itu terbuka dengan sendirinya. Alangkah terkejutnya Pak Utih apabila melihat ke dalam kotak yang disangkanya penuh dengan harta karun itu. Dia mengangkat budak perempuan itu keluar dari kotak yang dipenuhi cecair separuh likat itu. Sangkanya, budak perempuan itu sudah mati, namun begitu dia masih bernyawa dan hidup!

Sudah tiga bulan, dia keluar dari kotak itu, sepatah perkataan pun tidak terkeluar dari mulutnya. Setiap kali Mak Utih berkata-kata padanya, dia hanya memandang Mak Utih dengan pandangan yang kosong sambil matanya bagaikan meneliti setiap gerakan bibir Mak Utih. Mak Utih merasa hairan melihat telatahnya. Barangkali budak itu bisu. Bisu pun tidak mengapa. Mak Utih sendiri tak punya anak. Budak itu sangat cantik orangnya. Mungkin ini adalah rahmat Tuhan padanya yang tidak mampu mempunyai zuriat sendiri. Oleh kerana mereka tidak tahu nama budak itu, maka Mak Utih memanggilnya Ain. Sebuah nama yang Mak Utih inginkan sekiranya dia mempunyai seorang anak perempuan.

Setelah Marghrib, seperti biasa, Mak Utih akan mengaji Al Quran. Mak Utih tidak memahami Bahasa Arab, namun hati Mak Utih akan tenang setelah membaca Al Quran. Mak Utih berharap dia akan dapat belajar Bahasa Arab suatu hari nanti untuk memahami apa yang diperkatakan Allah padanya. Mak Utih mengangkat wajahnya. Ada anak mata biru yang bundar sedang merenungnya, sedikit takut-takut di sebalik pintu. Mak Utih menggamit memanggil Ain. Ain menghampirinya. Mak Utih menepuk ribanya, menyuruh Ain merehatkan kepalanya di riba Mak Utih. Ain menurut sahaja. Matanya dipejamkan seolah-olah menghayati setiap bait yang dibaca oleh Mak Utih.

 “Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik (Al-A’raf : 56), “kata Ain perlahan dengan mata terpejam. Mak Utih terperanjat.

“Ain? Ain boleh bercakap?” – tangannya memegang bahu Ain, “Apa Ain cakap tadi?”

Ain hanya membuka matanya tanpa berkata apa-apa. Mak Utih memandang Pak Utih yang turut ternganga mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Ain. Pak Utih mendekati mereka.

 “Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik. Itulah makna ayat yang mak baca tu,” kata Ain, perlahan lalu memejamkan matanya. Mata Mak Utih bergenang mendengar perkataan ‘mak’ yang terkeluar dari mulut Ain. Mak Utih membelai rambut Ain.

“Ain faham Bahasa Arab?” tanya Pak Utih pula.

Ain tidak menjawab. Sebaliknya terus berkata, “Boleh tak mak baca ayat-ayat ni tiap-tiap malam sebelum Ain tidur? Suara mak sedap.”

Mak Utih mengangguk sambil bercucuran air mata. Pak Utih menggosok bahu isterinya. Benarlah, Ain adalah ‘harta karun’ dan rahmat Allah buat mereka.

***

Ain dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan dihantar ke sekolah seperti kanak-kanak lain. Ain adalah anak pintar yang menjadi kebanggaan Mak Utih dan Pak Utih. Pada mulanya, Ain merupakan kanak-kanak pendiam. Namun akhirnya, Ain membesar menjadi anak periang. Namun Mak Utih dan Pak Utih masih belum tahu dari mana asal-usul Ain. Puas Mak Utih dan Pak Utih bertanya, namun Ain hanya membisu. Akhirnya, Mak Utih dan Pak Utih tidak lagi bertanya. Biarlah Ain menjadi anak mereka buat selama-lamanya. Kini Ain sudah berusia 16 tahun. Dia pandai memasak masakan Melayu.

“Hmm… sedapnya anak mak masak,” kata Mak Utih pada Ain. Ain hanya tersenyum pada maknya. Dia membuka tingkap dapur. Tiba-tiba dia terpandang sekilas seorang lelaki berbaju hitam, berdiri menghadapnya, kemudian menghilang. Ain membuntangkan matanya. Sudipnya terjatuh.

“Kenapa Ain?”

“Tak ada apa-apa, mak. Mak tengokkan lauk sekejap,”

Ain berlari keluar dari rumah mencari kelibat manusia itu. Dia menggunakan pendengaran supernya untuk mencari lelaki itu dalam hutan dara Kampung Kayu Jati yang menjadi tempat tinggalnya sekian lama.

“Keluarlah! Sebelum aku keluarkan kau,” kata Ain dalam Bahasa Jerman yang sekian lama tidak digunakannya.

Hello, kleine schwester (Hello, adik kecil),” lelaki itu muncul di belakang Ain. Ain berpusing. Raut wajah itu amat dikenalinya. Ain meluru lalu memeluk lelaki yang berusia 20-an itu. Lelaki itu agak terperanjat. Dia tidak biasa dengan keintiman ini, namun dia menggosok belakang Ain.

“Sudah lama tidak berjumpa, Egbert,”

Egbert meregangkan badannya. “Aku datang untuk memberi amaran. Mereka akan datang mencari kau kerana kau tidak kembali ke Jerman. Semua orang sudah menanti kau di sana. Lass uns nach Hause gehen, Soldat (Marilah kita pulang, askar),”

Ich will nicht (Aku takkan kembali), Egbert,”

Egbert menarik nafas dalam, dan melepaskannya bagaikan terpaksa.

“Baiklah, aku takkan memaksa kau,” Egbert terus berlalu. Kemudian, Egbert berhenti seketika, bagaikan ingin mengatakan sesuatu yang penting kepada Ain.

“Aku tahu, kau fikir, dengan menjalani kehidupan manusia biasa, kau akan menjadi manusia biasa. Hakikatnya, kau sendiri lebih tahu. Hadapi siapa diri kau yang sebenar, Hagne. Kebenaran akan menyapamu, biar pun kau cuba menguburkannya ke dalam perut bumi sekali pun. Jangan sampai orang yang tidak bersalah menjadi mangsa.”

 Ain termangu sendirian. Kini dia risaukan keselamatan mak dan bapanya.

***

Ahmad bertentang mata seketika dengan Ain. Namun dengan pantas dia melarikan pandangannya. Wajahnya kelihatan gementar. Tangannya mengeletar ketika membetulkan kopiahnya. Rohaya menyiku Ain. Ain membetulkan selendangnya, tidak memperdulikan Rohaya yang sibuk mengusiknya. Kakinya berselipar Jepun itu dilangkah perlahan di atas rumput.

“Bertuahlah kau. Anak Pak Imam yang kacak itu sukakan kau,” bisik Rohaya. Shima dan Mas tersenyum-senyum. Ain tidak membalas. Dia tahu. Ahmad gementar, bukan kerana dia sukakan Ain. Dia teringat insiden yang berlaku antara Ahmad dengannya, 9 tahun lalu.

Terdengar bunyi plastik air dijatuhkan. Ain berpaling, lantas sudu dan garfu yang dilayangkan ke udara menggunakan kuasa telekinesisnya, dijatuhkan. Air teh-O membasahi kasut sekolah Ahmad, namun tidak diperdulikan. Mulutnya menganga, melihat sudu dan garfu melayang di udara bagaikan ada hantu yang memegangnya.

“Kau, kau, berkawan dengan jin!” jerit Ahmad. Ain merenung Ahmad dengan tajam. Lantas sudu dan garfu disimpan kembali dalam bekas makanannya.

“Kalau kau bilang sesiapa, patah kepala kau seperti ini,” – Ain mengangkat tangannya, menumpukan kuasa untuk mematahkan sebatang pokok meranti di luar pagar sekolah dengan kuasa telekinesisnya. Derapan batang pokok yang patah itu begitu kuat sehingga mengejutkan Ahmad. Wajahnya pucat, mengalir peluh dingin. Sehingga sekarang, Ahmad tidak berani membuka mulut.

Dia tersenyum mendengar buah butir bicara rakan-rakan perempuannya yang masih galak bercerita tentang Ahmad. Mereka baru pulang mengaji Al Quran dengan ibu Ahmad. Sudah berkali-kali dia khatam Al-Quran, namun dia masih suka untuk pergi mengaji bersama rakan-rakannya. Dia suka menjadi manusia biasa. Dia ingin melupakan yang dia seorang manusia meta yang dicipta untuk melampiaskan nafsu gila seorang lelaki yang ingin melahirkan bangsa terhebat. Lelaki gila itu sudah pun mati. Begitulah kata buku sejarah yang dipelajarinya di sekolah. Maka, dia ingin biarkan masa silamnya juga menjadi sejarah.

Ain merasakan bagaikan ada sesuatu yang tidak kena. Menggunakan penglihatan supernya, dia ternampak pintu rumahnya terbuka. Jantung Ain berdegup kencang. Mak dan bapanya takkan sengaja biarkan pintu rumah terbuka malam-malam begini. Ain mengangkat kain baju kurungnya lalu berlari sepantas mungkin, meninggalkan rakan-rakannya yang terpinga-pinga melihat telatah Ain. Dia melompat naik tangga kayu lalu terus ke dalam rumah. Dia melihat bapanya sudah terbaring berlumuran darah di tengah rumah papan itu.

“Bapa!!!!”

Kelihatan anak-anak Wiligut yang lain, seramai 5 orang, sudah berada di dalam rumahnya. Adik perempuannya mengacukan Colt M1911 pada dahi ibunya yang berlutut di hadapan mereka, menangis ketakutan. Ain menggunakan kuasa telekinesisnya untuk menepis tangan adiknya dari memegang pistol itu. Colt itu tercampak ke tanah. Ain menarik nafas dalam, secara telekinetik, menolak kesemua abang-abang dan adiknya tercampak sejauh 2 meter ke belakang. Medan kuasa telekinesis Ain bergegar seketika, menandakan Ain sedang memuncak kemarahannya. Ain mengetap bibirnya. Wajahnya yang putih melepak itu menjadi merah bagaikan udang dibakar. Air mata dikesat. Bapanya sudah tidak dapat diselamatkan lagi. Ain menarik ibunya. Mak Utih memeluk Ain dengan erat.

“Hello Hagne. Kau masih hebat seperti yang diperkatakan,” Ain berpaling kepada suara itu. Dia mengecilkan matanya. Seorang lelaki, berusia kira-kira pertengahan 20-an tersenyum miring padanya. Dia tidak mengenali lelaki ini.

“Kau tahu aku boleh menamatkan riwayat kamu semua malam ini juga,”

Lelaki itu tersenyum.

Vogel …”

“Hentikan ia,” jerkah Hagne. Lelaki itu tidak menghiraukan kata-kata Hagne.

Blume. Siebzhen. Funf,”

Hagne dapat merasakan kepalanya mula berdenyut. Sel-sel neuronnya bagaikan dikejutkan dengan tindakan sinaps secara tiba-tiba. Wajah adik beradiknya yang lain turut berkerut. Mereka bagaikan diserang sakit kepala secara tiba-tiba.

Feuer. Rauch. Zerstorung. Oberfuhrer!”

Serapah itu terus dibacakan dengan  tenang oleh lelaki itu. Kesemua anak-anak Wiligut termasuk Ain menjerit dan meronta-ronta seketika, kemudian berdiri tegak dan tunduk. Tabik Nazi diangkat.

Sieg Hail!” jerit mereka, serentak. Lelaki itu tertawa terbahak-bahak. Dia menghampiri Mak Utih yang duduk mengerekot di dinding papan itu.

“Maafkan aku, perempuan tua,” kata lelaki itu dalam Bahasa Jerman. Mak Utih memeluk kepalanya dan terus menangis teresak-esak. Darah mengalir keluar dari hidungnya. Ketika lelaki itu mengacukan pistol ke dahi Mak Utih, tiba-tiba pistol itu melayang, seolah-olah ditarik sesuatu. Lelaki itu berpaling.

Ain berdiri di hadapannya. Dengan mengacukan pistol padanya.

“Kau tahu apa yang membuatkan aku ciptaan sempurna? Aku tidak boleh dikawal oleh oleh apa pun, biar dadah atau pun mentera bodoh kau ni,” dengan itu, Ain melepaskan tiga das tembakan ke dada lelaki itu. Lelaki itu menggeletik seketika, kemudian perlahan-lahan diam. Membatu.

Ain memandang adik-beradiknya yang lain dengan pandangan tajam sebagai amaran. Mereka sedar mereka bukanlah lawan Ain. Lantas beramai-ramai mereka keluar dari rumah papan itu. Ain memeluk maknya.

“Siapa Ain sebenarnya? Siapa mereka semua?” tanya Mak Utih terketar-ketar.

“Maafkan Ain, mak. Ain terpaksa tinggalkan mak,”

Ain mencium dahi maknya. Dia masuk ke dalam bilik bapanya, menarik keluar kotak yang membawanya ke Malaysia untuk 78 tahun lalu, yang disimpan rapi oleh bapanya di bawah katil. Dia membukanya dan menarik sebuah beg kulit yang tersimpan di dalam kompartmen di bahagian bawah kotak itu. Dia keluar dari rumah itu, mengabaikan tangisan Mak Utih yang tak berhenti-henti memanggil namanya.

***

Mata Albie  masih memandang dinding yang dilukis dengan lambang organisasinya, Autonome Nationalisten Wetzlar (Nasionalis Autonomi Wetzlar) dengan lambang salib Celtic berwarna hitam ditengah-tengahnya. Bagi Albie, lambang salib Celtic adalah lambang yang begitu suci. Sesuci perjuangannya untuk membawa martabat bangsanya yang gah suatu ketika, untuk menakluk dunia sekali lagi. Di hadapannya, di atas mejanya, terdapat beberapa fail lama yang mengandungi maklumat tentang anak-anak Wiligut. Dia masih menanti berita dari Diedrich, yang dihantarnya ke Malaysia untuk membawa pulang Hagne. Hagne dikatakan ada di Malaysia kerana kapal pemusnah Tirpitz telah menjatuhkan kapsul masa milik Hagne di Laut China Selatan, berdekatan dengan Malaysia pada tarikh yang tidak dapat dipastikan sebelum Perang Dunia Kedua tamat.

“Maafkan kami. Tiada berita dari Diedrich,” kata pemuda yang berpakaian serba hitam itu kepada Albie. Albie mengeluh. Dia tahu dia tidak patut menghantar Diedrich untuk misi ini, tetapi Diedrich beria-ia ingin melakukannya. Katanya dia sudah bersedia untuk berhadapan dengan Hagne. Dia juga tahu, walau dia menghantar 5 manusia meta untuk bersama dengan Diedrich, belum tentu boleh menundukkan Hagne. Dia membuka fail Hagne. Dia mendapati satu pola pemerhatian yang agak luar biasa. Seolah-olah, kebolehan Hagne menjadi matang dan bertambah mengikut usia. Ini menjadikan Hagne sangat berbahaya kerana mereka tidak tahu sejauh mana hebatnya Hagne sekarang.

Telefon berdering.

“Albie, bagaimana? Sudahkah kau berjaya membawa pulang Hagne?” kedengaran suara baritone milik Adolf Voight yang seringkali membuatkan Albie resah. Presiden Parti Demokratik Nasional Jerman itu sering menekannya untuk menyegerakan penyelidikan manusia meta.

“Belum,”

Sunyi seketika. Tidak lama kemudian, barulah Voight bersuara kembali.

“Usaha untuk menakluki dunia bukan sesuatu yang mudah, Albie. Kita harus membuktikan  bangsa Aryan itu wujud dan boleh dikembangbiak untuk masa depan Jerman. Tiada pelabur yang akan melabur untuk impian atas angin atau sekadar khabar angin untuk menaikkan martabat Himmler dan Wiligut. Kau faham, bukan?”

Albie meletakkan telefonnya. Dia resah kini. Tiba-tiba Albie dapat merasakan aura luar biasa di belakangnya, bagaikan bahang yang bergelombang, berserak di dalam pejabat itu. Dengan tenang, perlahan-lahan dia memusingkan dirinya. Kelihatan seorang gadis berambut perang, dalam usia remajanya,  memandang Albie dengan pandangan tajam. Walaupun dia kelihatan seperti anak remaja, usianya sudah mencapai 78 tahun. Dibantu dengan teknologi canggih saintis Wewelsburg mencipta kapsul masa, Hagne berjaya mengekalkan kemudaannya. Jiwanya bergetar. Albie tahu. Di sebalik wajah yang suci itu, dia bagaikan malaikat maut yang boleh menjemputnya ke neraka pada bila-bila masa sahaja. Perlahan, Albie menekan butang kecemasan yang terletak di bawah mejanya.

“Siapa kau? Mengapa kau mencari aku? Tak bolehkah kau biarkan aku hidup tenang?” tanya Hagne. Matanya masih tidak lepas memandang Albie.

Tiba-tiba kesemua Wiligut bersaudara serta lain-lain orang suruhan Albie meluru ke pejabatnya. Masing-masing membatu melihat kehadiran Hagne. Albie menunjukkan isyarat agar senjata tidak diacukan pada Hagne.

“Tenang, Hagne. Kita boleh berbincang mengenai perkara ini,” nada suara Albie kedengaran bergetar, meskipun dia berusaha menunjukkan sikap yang tenang.

Merasakan aura penentangan, Hagne memandang adik-beradiknya yang lain.

“Saudara-saudaraku, kau bukanlah musuhku. Aku hanya mahukan kebebasan dan aku tidak mahu diganggu,”

“Tak mungkin, Hagne! Bangsa Jerman telah bergadai wang dan nyawa untuk ujikaji kamu dan adik-beradik kamu yang lain,” kedengaran satu suara yang amat dikenali Hagne. Di sebalik pintu pejabat itu, kelihatan Oberfuhrer Karl Maria Wiligut menunjukkan dirinya. Dia kelihatan sebagaimana sewaktu mereka masih bersama. Langsung tidak berubah.

“Tak mungkin, Oberfuhrer?”

Bukankah dia sudah mati pada 3 Januari 1946? Karl Maria Wiligut tersenyum miring melihat Hagne melongo. Seolah-olah dia tahu apa yang Hagne fikirkan. Ternyata Sang Oberfuhrer juga telah tinggal dalam kapsul masa seperti adik-beradik Wiligut yang lain. Kematiannya dipalsukan. Kemudian dia tidur. Sementara menanti masa yang sesuai untuk menghidupkan kembali impian Nazi, bersama para pendokong impian Neo-Nazi yang sama gilanya dengan harapan mereka.

“Tangkap dia!” arah Sang Oberfuhrer. Serta-merta Hagne menjana medan kuasa telekinesisnya. Adik-beradik Wiligut tidak dapat menghampiri Hagne, kerana medan kuasa itu, bagaikan medan magnet yang sama kutubnya, menolak adik-beradik Wiligut yang masing-masing mempunyai kekuatan super. Hagne tahu, lambat-laun dia akan letih kerana bilangan mereka lebih ramai daripadanya.

“Aku tak ingin menjadi raksasa. Aku tak ingin memusnahkan bumi Tuhan sebagaimana kau dan mereka yang seangkatan dengan kau, memusnahkan dunia ini dahulu,” ujar Hagne dengan wajah yang mengerut dan berpeluh, menahan tentangan daripada adik-beradiknya yang lain.

“Tuhan?!! Hahahaha!!” -bagaikan sasau, Oberfuhrer ketawa menggila. Kemudian dia menyambung, “Konsep Tuhan itu dipercayai oleh mereka yang lemah. Kita bangsa terkuat dan terhebat. Kita sudah pun menjadi Tuhan. Kita telah menciptakan manusia yang lebih baik, dan kaulah contoh terbaik, Hagne!” tempik Sang Oberfuhrer. Hagne menggeleng mendengar kata-kata Oberfuhrer.

Hagne mengangkat wajahnya memandang Egbert, yang berada paling hadapan dengannya, dalam jarak 2 meter, yang sedang sedaya-upayanya menolak medan kuasa telekinesis Hagne. Dia bagaikan terapung, ditolak oleh kuasa yang tidak kelihatan. Apabila Egbert mengangkat wajahnya, Hagne memandangnya sayu, memohon simpati. Peluh mulai mengalir ke pipinya.

“Kau juga, Egbert?” tanya Hagne perlahan. Anak mata birunya yang penuh dengan keresahan dan kepayahan meluncur lancar ke hati Egbert. Mereka berpandangan seketika, bagaikan berbicara dalam senyap. Tiba-tiba Egbert melepaskan medan telekinesis Hagne. Adik-beradik Wiligut yang lain terpinga-pinga. Apakah Egbert juga mahu mengkhianati perjuangan bangsa Aryan?

“Apakah kau sudah gila, Egbert?” jerkah Oberfuhrer. Egbert berpaling lalu mencekak leher Oberfuhrer, lalu diangkatkan tinggi sehingga kakinya tidak mencecah lantai. Oberfuhrer terbatuk-batuk akibat dicekak Egbert. Dia cuba menolak tangan Egbert yang sekukuh besi itu namun tidak berjaya. Dia hanya mampu meronta perlahan.

“Hentikan, atau aku akan hancurkan leher orang tua ini,” dengan pandangan yang tajam, Egbert memandang adik-beradiknya yang lain. Mereka teragak-agak, namun masih lagi menekan medan telekinesis Hagne.

“Egbert!” jerit Freida, adik perempuannya yang bongsu. Matanya memandang abang sulungnya, seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilakukan oleh Egbert.

“Aku tidak main-main, Freida!” tempik Egbert. Perlahan-lahan adik-beradik Wiligut yang lain melepaskan medan telekinesis Hagne. Hagne menarik nafas sedalamnya, cuba mengatur kembali tenaganya yang begitu lemah sekarang.

Egbert menghampiri Hagne dengan sebelah tangannya masih mencekak leher Oberfuhrer.

“Kau OK?”

Hagne mengangguk. Pandangannya diangkat, lalu dia memandang wajah Egbert. Wajah Egbert tanpa emosi, seperti biasa. Namun pada sinar matanya, ada sesuatu yang gagal ditafsirkan oleh Hagne. Hagne cuba melangkah keluar dari pejabat itu. Kuncu-kuncu Autonome Nationalisten Wetzlar memandang Hagne memandangnya dengan curiga. Albie masih membatu. Dia tidak mahu mengambil risiko kerana kini, ada 2 manusia meta yang menentang mereka. Ia merupakan resepi bencana yang dahsyat, jika situasi tidak dikawal dengan baik.

“Hagne,”

Hagne berpaling. Egbert mendepangkan tangan kirinya. Egbert ingin mengucapkan selamat tinggal. Hagne melangkah perlahan, lalu memeluk abang sulungnya itu. Dia menggosok perlahan bahu Egbert. Tiba-tiba ada kesakitan yang menyucuk pada bahu kanan Hagne. Hagne mengangkat kepalanya. Kelihatan sebuah picagari berisi cecair berwarna metalik telah ditusukkan pada bahunya oleh Egbert. Serta-merta tubuh Hagne menjadi lemah, dia tidak mampu berdiri dengan betul lagi. Hagne menjerit sekuat hatinya. Ia merupakan luahan kesakitan dan kekecewaan yang bercampur-baur.

Egbert mengarahkan adik-beradik Wiligut yang lain menangkap Hagne. Hagne dipegang oleh adik-beradiknya lalu dipasung pada kerusi makmal yang digunakan untuk melaksanakan eksperimen bagi manusia meta. Tangan dan kaki Hagne dikunci dengan pasung titanium. Darah di tubuh Hagne terasa mendidih. Egbert menurunkan Oberfuhrer lalu memohon maaf atas tingkah lakunya. Oberfuhrer menepuk bahu Egbert. Albie tersenyum. Egbert telah memerangkap Hagne!

“Merkuri …”

“Ya, merkuri, Hagne. Satu-satunya perkara yang mampu melemahkan kau. Sementara itu -” Egbert mengeluarkan picagari yang lain dari laci alatan makmal, lalu menikam paha Hagne. Hagne mendesit. Egbert menarik picagari itu setelah sampel darah Hagne berjaya diambil.

“Lihat di atas sana. Aku ada hadiah untuk kau,”

Hagne memandang arah yang ditunjukkan Egbert. Kelihatan Mak Utih yang lemah, tidak berdaya, diikat tangan dan kakinya pada sebuah kerusi. Matanya lebam, bibirnya pecah. Hagne merasa sangat marah melihat Mak Utih dilayan sebegitu rupa, dia cuba melepaskan dirinya, namun tidak berjaya. Egbert menampar pipi Hagne. Hagne memandang Egbert dengan penuh kebencian.

“Bodoh! Perasaan sentimental kau pada manusia yang lemah ini merugikan cita-cita kita untuk menguasai dunia. Alangkah sia-sianya IQ 250 yang dimiliki oleh kau, jika kau berkelakuan begini! Ketika kecil dahulu, kami seringkali mendengar tentang kebolehan kau yang amat hebat. Aku menahan diri untuk semua eksperimen yang menyakitkan itu, dengan harapan, aku akan menjadi seperti kau! Tetapi kau?”

Pipi Hagne ditampar sekali lagi. Barulah terbayang kepuasan pada wajah Egbert. Sampel darah milik Hagne diserahkan kepada Albie. Albie menyambutnya lalu menyimpan ia di dalam sebuah kotak hitam elektronik.

“Dengan teknologi terkini, kami mampu mereplikakan DNA kau, untuk melahirkan ratusan, ribuan, mungkin jutaan Hagne sebagai persediaan kebangkitan Reich yang kelima,”

“Ada sebab mengapa Tuhan jadikan manusia itu lemah dan tidak berdaya. Manusia seperti kita hanya akan menghancurkan bumi, bukan sebaliknya!” tingkah Hagne. Egbert hanya tersenyum miring.

“Kehancuran adalah tanda permulaan baru. Permulaan kepada dunia yang lebih baik!”

“Kau gila!! Gila!!” jerit Hagne.

Wajah Mak Utih, kawan-kawan sekolahnya serta orang-orang Kampung Kayu Jati yang baik hati bermain di fikirannya. Kemudian dia terbayang keadaan mereka semua berlumuran darah. Hagne memejamkan matanya seketika. Kemudian,  wajahnya diangkat. Pandangannya tepat pada Egbert. Egbert membalas renungan Hagne.

Es tut mir Leid (Maafkan aku),”

Mata Egbert membuntang. Dia tahu dia telah terlepas pandang sesuatu kerana Hagne telah menggerak-gerakkan jari-jarinya. Egbert mendongak. Kelihatan 5 laras mesingan jenis Rheinmetall MG3 yang disimpan dalam gudang senjata Autonome Nationalisten Wetzlar kini terapung di udara. Tanpa sempat mereka berbuat apa-apa, bertubi-tubi tembakan dilepaskan oleh senjata tersebut pada semua yang berada di situ. Kedengaran jeritan, raungan dan pekikan yang mengerikan menyelubungi ruang udara buat seketika sebelum ruang itu menjadi sunyi … sesepi tanah perkuburan. Perlahan-lahan Hagne mengawal gerakan tangannya untuk menurunkan kelima-lima senjata itu ke lantai.

Hagne melepaskan dirinya dari pasung titanium itu dengan mudahnya. Dia telah mendapat paras tenaga optimum kembali. Tubuhnya mempunyai mekanisma penyembuhan dan anti-toksik yang luar biasa. Itulah yang tidak direkodkan oleh Ada Braun kepada Nazi. Hagne sukar untuk sakit dan cedera. Dia kebal dalam erti kata lainnya. Dia menyepak mayat Egbert yang menghalangi jalannya.

Di sebelah kirinya terdapat kabinet fail yang terbuka sedikit, memperlihatkan beberapa fail kertas terkeluar serta telah dilubangi trajektori peluru. Dia mengeluarkan fail tersebut. Kelihatan fail bertulis Aktion T4, program eutanasia secara paksa yang ditandatangani oleh Hitler sendiri dan satu lagi fail bertulis Uranprojekt, yakni program kajian uranium melibatkan reaktor nuklear dan pemisahan isotop uranium, juga ditandatangani oleh Hitler. Di bahagian lain bangunan itu, kelihatan berpuluh-puluh kotak jongkong emas dan senjata automatik. Serta-merta dada Hagne berbuku dengan kemarahan. Kegilaan manusia-manusia ini tiada batasnya. Apakah mereka hendak memulakan Perang Dunia Ketiga? Dia melemparkan fail itu ke lantai lalu meludahnya.

***

Api itu semakin marak. Kelihatan percikan bara berterbangan di udara. Bangunan berwarna putih yang terletak jauh di dalam Hutan Hitam itu mula dijilat api tanpa belas kasihan. Hagne memandangnya tanpa rasa. Hatinya sudah beku. Dia tidak merasa kesal membunuh kesemua saudara-maranya termasuk bapanya sendiri, dan juga kesemua manusia yang terlibat dalam projek yang menjijikkan ini. Biarkan. Dunia lebih indah tanpa mereka. Hagne memandang Mak Utih yang lemah di dalam dukungannya. Dia mengangkat Mak Utih ke dalam sebuah trak askar yang telah ditinggalkan. Fail yang lusuh dengan lambang Swastika padanya diletakkan di sebelah Mak Utih.

“Jom, mak. Kita balik,”

Mak Utih mengangguk lemah. Rambut Hagne dibelai perlahan. Ain tersenyum sambil menghidupkan enjin trak. Walaupun Jerman, tanah tumpah darahnya, tidak terlintas di hatinya untuk tinggal di sini. Segalanya terasa asing, dan perit. Dia ingin segera pulang ke Malaysia. Pandangannya dialihkan pada fail yang berlambang Swastika itu. Hagne berazam untuk menghapuskan rangkaian mereka, setelah keselamatan Mak Utih dipastikan. Dia akan memburu mereka sehingga ke titisan darah yang terakhir kerana Hagne tahu, mereka takkan membiarkan Hagne hidup dengan tenang di muka bumi ini.

Dari jauh, Diedrich memandang dua beranak itu meninggalkan markas rahsia Autonome Nationalisten Wetzlar itu. Dia menggosok dadanya, yang masih berbekas kesan tembakan Hagne atau Ain tempoh hari. Dia tersenyum miring. Hagne hanya mampu melukakannya, tetapi tidak boleh membunuhnya. Perisai badan subdermal yang terhasil daripada suntikan titanium cecair di bawah kulitnya, telah menyelamatkannya. Ia adalah hasil teknologi terkini penyelidikan manusia meta.

Telefonnya berdering. Dia menekan butang hijau pada skrin telefonnya.

“Diedrich, aku mahukan Hagne dan juga teknologi perisai badan kau,” kedengaran suara garau Sergey Gerasimov menggegarkan gegendang telinganya. Nada Jeneral Tertinggi Tentera Federasi Russia itu kedengaran begitu serius.

“Sudah tentu, Jeneral. Jika kena dengan bayarannya,”

Telefonnya berdering lagi. Pada skrin, terpapar nama Xi Chen Pang, Jeneral Tertinggi Angkatan Tentera Republik China. Diedrich tersenyum sendirian. Kini hanya dia seorang bakal menguasai ‘lubuk emas’ itu. Matahari terbenam di Hutan Hitam, suasana gelap dan sepi. Segelap hati Diedrich yang sudah dibutakan dengan wang dan kekayaan, tanpa memikirkan masa depan dunia akibat tindakannya.

Mengapa perlu Iblis menyinsing lengan, ketika manusia sendiri berpusu-pusu untuk mempercepatkan kiamat?

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s