SATU MALAM DI TEPI TASIK (CF)

Suasana di kelab malam itu benar-benar memeningkan aku. Dry martini yang kupesan kini tinggal separuh. Kucapai kayu kecil yang dicucukkan buah zaitun padanya. Buah zaitun itu kutarik lalu ku lontarkan ke dalam mulut. Alkohol kini mula menunjukkan kesannya. Kepalaku terasa sedikit pening. Bukan pening yang menyakitkan, tetapi pening yang mengujakan. Kepala ku baringkan di atas meja bar.

Aku renung gelas berbentuk tiga segi berkaki itu. Kelihatan wajah Ben di dalamnya. Ben tersenyum mengejek melihat aku.

“Kau celaka!” marahku.

Semakin galak Ben tersenyum. Kemudian dia menarik Mariah bersamanya, lalu menari berpusing-pusing. Kini mereka berdua tersenyum mengejek padaku.

“Kau dua-dua celaka!”

Tiba-tiba wayang putus. Gelasku dirampas.

“Hey!” jeritku. Aku cuba mencapai gelasku kembali agar wayang itu dapat diputarkan lagi. Biar aku maki mereka sepuas-puasnya.

“Sudahlah, Jen,”

Aku mendongak. Henry.

“Kau lagi? Kau kan kawan baik suamiku? Kenapa kau tak pernah nasihatkan dia? Mariah tu kawan baik aku. Kau lelaki semua pun sama!”

“Mari aku hantar kau balik.”

Aku menggeleng. Tangan aku goyangkan.

“Kau sama juga macam waktu sekolah dulu. Asal aku mabuk je, kau sibuk. Asal aku mabuk je, kau hantar aku balik. Penyibuklah kau ni. Boleh tak kau biarkan saja aku? Aku tak perlu pertolongan sesiapa.”

“Yalah tu.”

Henry mengangkat lenganku lalu diletakkan atas pangkal lehernya. Bahu kananku dipegang, lalu aku diusung keluar dari kelab malam itu.

“Henry, aku tak nak balik.”

“Kenapa?”

“Rumah itu terlalu melukakan aku. Bayangan memori dan pengkhianatan berlumuran pada dinding rumah. Aku boleh mati jika aku memandangnya lagi.”

Henry terdiam seketika.

“Jom kita ke tepi tasik.”

Aku melompat kesukaan. Bagai zaman kanak-kanak dan remaja. Aku dan Henry sering ke sana untuk menghilangkan kesedihan. Aku memeluk leher Henry.

“Kau terlalu memahamiku.”

Henry tersenyum memandangku.

Setelah Henry membawaku minum teh panas untuk menghilangkan sedikit kemabukanku, barulah aku dibawa ke tasik. Langit malam begitu indah. Dengan bulan mengambang yang membalikkan cahayanya pada permukaan tasik, aku dapat melihat dengan jelas suasana taman rekreasi itu. Begitu juga dengan wajah Henry.

Henry terbaring tenang di sisiku. Dia selalu begitu. Tenang. Hidupnya juga tenang. Tak pernah ada drama. Tidak sepertiku. Hampir setiap dekad, hidupku pasti punya drama yang meruntun jiwa. Aku sudah penat sebenarnya.

“Kau ingat kali pertama kita ke sini?”

“Ya. Ketika Bobby menyebarkan surat cinta kau padanya ke seluruh sekolah,”

“Kedua?”

“Ketika Alfred cuba mencabul kehormatan kau di sebuah parti.”

“Ketiga?

“Ketika Ozzy mencuri semua simpanan kau dan melarikan diri dengan teman wanita baru,”

Aku terdiam. Kini aku di sini lagi bersama Henry. Kerana Ben dan Mariah.

“Kenapa aku sering bernasib malang, Henry? Apakah aku disumpah untuk takkan bahagia selamanya?”

Henry bangun. Lalu duduk memeluk lututnya di hadapanku.

“Bukan sumpahan. Kau tu magnet lelaki tak berguna.”

Aku ketawa seolah-olah ada batu yang menyekat kerongkongku. Kata-kata Henry jelas kebenarannya.

“Hmmm … ada jalan keluar tak? Aku tak nak jadi magnet lelaki tidak berguna lagi.”

“Ada. Dengan menyayangi diri kau sendiri terlebih dahulu sebelum menyayangi orang lain.”

Aku terdiam lagi. Benarlah, aku obses dengan kasih sayang lelaki lain. Aku tidak pernah merasakan kasih bapa sejak kecil. Aku menjadi bodoh setiap kali lelaki memberi perhatian kepadaku.

“Boleh berikan tips lagi wahai doktor cinta?”

Henry tersenyum lebar setiap kali aku memanggilnya doktor cinta. Henry memang seorang doktor. Oleh kerana dia sering bersamaku setiap kali aku putus cinta, maka aku memanggilnya doktor cinta.

“Ah … bagi tips banyak-banyak pun, bukannya kau praktikkan pun. Buang masa saja bagi tips dekat kau.”

“Tuan doktor, aku ni pesakit kau. Kau dah angkat Hippocratic Oath. Mana boleh kau bagi preskripsi tak lengkap?”

Henry terdiam seketika. Dia menggosok dagunya.

“Baiklah, pesakitku. Aku akan berikan preskripsi yang berbeza kali ini. Cuba kau cari kebahagiaan dengan mencari lelaki yang menyayangi kau, bukan kau menyayangi mereka,”

“Selama ini, memanglah aku mencari lelaki yang menyayangiku.”

“Oh, tidak, wahai pesakitku,” kata Henry dengan suara seperti suara pelakon alih bahasa, membuatkan aku tersenyum kecil.

“Kau mencari lelaki kerana ciri lahiriah mereka. Yang paling pintar, yang paling popular, yang paling kacak, dan yang paling berharta. Kau terlupa mencari yang paling menyayangi kau.”

“Yalah, yalah, tuan doktor. Di mana boleh aku cari lelaki yang paling menyayangi aku?” aku bangun lalu duduk memeluk lutut menghadapnya. Perbincangan menjadi lebih menarik.

“Tak susah, tak susah. Dia yang sering bersama kau ketika susah dan senang. Berada di sana ketika kau dalam situasi yang paling buruk. Melihat semua kelemahan kau tetapi masih lagi menerima kau,”

Aku berfikir sebentar. Adakah lelaki sebegini dalam hidup aku?

“Lagi tuan doktor?”

“Dia ada di hadapan kau tetapi kau tidak memerhatikan dia, sedangkan dia memerhatikan kau sepanjang hidup kau,”

Aku melopong. Henry masih berlakon seperti sedang memberikan aku preskripsi.

“Lagi tuan doktor?” tanyaku perlahan.

“Yang selalu membawa kau ke tepi tasik setiap kali kau bersedih,”

“Lagi tuan doktor?”

“Yang pakar dalam semua permasalahan cinta kau dan kau memanggilnya doktor cinta,”

Pandangan Henry tepat padaku. Aku membungkam.

“Jelas preskripsinya?”

Aku mengangguk. Sesungguhnya aku masih buta dalam menilai manusia. Kehadiran Henry dalam hidup aku seringkali aku pandang sebelah mata. Henry bangun lalu menghulurkan tangan padaku.

“Ayuh, aku hantar kau pulang,”

Tangannya ku sambut. Kali ini, aku menggenggam kuat tangannya, takkan ku lepaskan lagi.

Malaysia 28 September 2016

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s