CB : Aku Dan Pria Aprilia Siri 20

Panggilan tidak berjawab. Panggilan ditolak. Atau telefon ditutup. Sudah hampir seminggu, Justo gagal menghubungi Xeva. Apabila dia ke rumah Xeva, Xeva tidak mahu keluar.

“Nayi …”

“Sorry, Justo. Aku tak boleh bantu kau dalam hal ini. Kau tak tahu betapa keras kepalanya Eve. Nanti aku dimakinya. Jadi aku takkan masuk campur. Sorry, okay,”

Jawapan Nayi melalui perhubungan telefon melemahkan Justo. Dia buntu kini. Dia terus menghantar pesanan ringkas kepada Xeva.

“I am sorry,”

“I miss you,”

“Marilah berjumpa. Kita selesaikan perkara ini.”

Sunyi. Tiada jawapan yang diterima.

Ting! Lif dibuka. Justo melangkah lemah ke pejabatnya. Dia memandang sekilas tempat Yvonne. Kosong. Justo mengerutkan dahinya.

“Freddy, mana Yvonne?” tanya Justo kepada ketua pentadbir pejabatnya. Freddy mengangkat bahunya.

“Entahlah, boss. Tak ada pula dia pesan apa-apa padaku,”

Justo membuka senarai panggilan. Yvonne cuba menghubunginya sebanyak 3 kali. Mungkin ketika dihubungi Yvonne, dia sedang sibuk menelefon Xeva sehingga tidak perasan akan panggilan Yvonne. Dia menyemak Whatsappnya.

“Sorry, boss. Aku akan lambat hari ini. Ada tunjuk perasaan di jalan utama. I am stuck.”

Justo membalas Whatsapp dari Yvonne dengan emoticon jempol. Tiba-tiba, Yvonne berlari masuk ke dalam pejabat. Blazer dan skirtnya dibetulkan. Gadis Tiong Hua itu mengesat peluh yang merecik di dahinya.

“Sorry, boss. Aku …”

“It’s OK. I got your message. Dah kau hantar tender semalam kepada pihak berkuasa tempatan?”

“Sudah, boss. Pheww. Ramai betul yang berdemonstrasi di hadapan bangunan utama Trans-Pacific Landmark,”

Mata Justo membuntang. Jangan-jangan …

“Siapa yang berdemonstrasi?”

“Penduduk Kampung Beranggi. Kampung yang boss suruh saya siasat tu,”

Shit! Kata Justo dalam hati.

“Yvonne, batalkan semua appointment hari ini. Aku keluar sekejap,”

***

Dari jauh, Justo ternampak Xeva sedang memegang ‘loud hailer’ dan menjerit “Hidup Rakyat Marhaen” dan “Kapitalis Bangsat”. Dia memakai T-shirt hijau pucuk pisang bercetak “Save Kampung Beranggi” pada dadanya, dengan jeans dan kasut Converse kegemarannya. Rambutnya yang beralun itu diikat tinggi. Wajahnya penuh dengan riak marah. Dia tampak seperti anak remaja sekolah menengah. Jelas kelihatan dia yang paling kecil antara mereka yang lain di atas pentas itu namun suaranya yang paling lantang.  Ketua kampung dan beberapa orang penduduk kampung yang lain turut berada di atas pentas. Justo cuba mencelah orang ramai untuk ke hadapan. Penduduk kampung kelihatan sangat marah. Mereka bersungguh-sungguh menurut apa sahaja yang dilaungkan oleh Xeva. Kelihatan pelbagai placard yang memaki hamun Trans Pacific Landmark dan Ahli Parlimen Heryanto dibawa oleh penduduk kampung. Suara Xeva kedengaran makin serak menjerit, namun dia tidak berhenti.

Kelihatan pegawai sekuriti Trans-Pacific Landmark telah membentuk pagar manusia bagi menghalang penduduk kampung daripada masuk ke bangunan utama. Kelihatan Al Jazeera dan lain-lain media elektronik tempatan turut membuat liputan terhadap demonstrasi ini. Ada beberapa orang lelaki dan wanita berpakaian kemeja dan berseluar hitam yang memerhatikan demonstrasi ini. Mereka kelihatan seperti peguam. Apabila Justo mendekati mereka, barulah Justo sedar yang mereka adalah NGO peguam-peguam di daerah itu atau lebih dikenali sebagai Bar Council.

Justo tahu Xeva bukanlah naif sangat orangnya, tetapi dia tidak sangka yang Xeva boleh bertindak sejauh ini. Kelihatan beberapa orang lelaki dan wanita yang berT-shirt kuning bertulis Amnesty International.Di sebelah mereka, kelihatan beberapa orang berT-shirt biru muda. Di belakangnya bertulis “Making The World Unsafe for Dictators since 1978”. Apabila Justo mendekati, Justo sedar mereka adalah sukarelawan Human Rights Watch. Justo tahu, jika Trans-Pacific Landmark tersalah langkah, mereka akan dikecam masyarakat antarabangsa, kerana Xeva nampaknya telah bersedia dengan pelbagai kemungkinan. Xeva melancarkan perang terhadap Trans-Pacific Landmark. Mungkin juga terhadap Justo sendiri. Mengenangkan perkara ini, Justo mengeluh sendirian. Justo terus menyelit untuk sampai ke hadapan Xeva. Akhirnya Justo sampai di hadapan pentas kecil itu. Matanya tidak lepas daripada memerhatikan Xeva. Justo cuma mahu memastikan keselamatan Xeva. Dalam demonstrasi begini, pelbagai kejadian tidak diduga boleh berlaku.

Xeva terus mengarah agar penduduk bertenang kerana mereka cuma akan berdemonstrasi aman di sini. Semua orang harus mengikut ketua kumpulan perarakan yang berT-shirt hijau pucuk pisang bertulis “Ketua Kumpulan”. Jangan dirempuh pagar manusia yang dibuat oleh pengawal dan sekuriti Trans-Pacific Landmark. Mereka mahu memanggil Ketua Pengarah Ekskutif Trans-Pacific Landmark untuk berbincang dan menyerahkan petisyen bantahan terhadap pembangunan rumah mewah di Kampung Beranggi.

Hilang gementar. Hilang semua kegugupannya. Begitulah Xeva apabila marah. Itu yang dapat Justo perhatikan.

Ketika sibuk menyampaikan taklimat, mata Xeva tertancap pada Justo. Dia terdiam seketika. Nafasnya bagaikan tertahan. Namun Justo dapat lihat, wajahnya perlahan menjadi merah. Bibir diketap rapat.

“Untuk semua borjuis yang berada di sini, aku ingin sampaikan sebuah sajak berjudul ‘PENGKHIANATAN’,” ujar Xeva dengan penuh semangat. Penduduk kampung bersorak dan bertepuk tangan. Justo hanya mampu mengeluh. Dia tahu kepada siapa sajak itu ditujukan.

PENGKHIANATAN

Pengkhianatan
Musuh dalam selimut
Berwajah manis bila ada
Saat kau berpaling
Tertancap pisau di dada
Mencari helah di dalam diam
Batu dilempar, tangan sembunyi
Mata meliar, mencari-cari
Jangan kau percaya, saudagar keparat
Sungguh pandai menahan jerat
Aku tidak dungu
Mata belum buta
Telinga belum tuli
Berundur tidak sekali-kali
Kaki tegak berpasak bumi
Aku berdarah srikandi Dato Betara Seri

Tepukan kedengaran bagai guruh membelah langit. Sajak Xeva benar-benar menikam hatinya. Namun dia bersabar kerana dia tahu Xeva tidak faham situasinya.

“Rempuh! Rempuh!” kedengaran jeritan entah dari mana. Mereka yang berada di atas pentas menjadi panik.

Kumpulan penduduk kampung yang sedang marah mengikuti suara itu, lalu merempuh pagar sekuriti di hadapan bangunan Trans-Pacific Landmark.

“Sabar! Nanti dulu!” Ketua kampung menjerit melalui loud hailer namun tidak diendahkan oleh orang kampung yang panas hati.

Keadaan menjadi tidak terkawal. Pentas juga dirempuh ganas penduduk kampung. Xeva terlambung akibat rempuhan itu lalu tercampak ke tanah. Gas pemedih mata ditembak oleh polis. Manusia berpusu-pusu melarikan diri dari gas tersebut. Ada yang mula terbatuk-batuk. Ada yang meraung. Justo melompat ke depan untuk mencari Xeva. Dia naik ke atas pentas. Dia mula panik apabila Xeva tidak kelihatan di mana-mana. Gas pemedih mata telah mengaburkan pandangan Justo. Justo terbatuk-batuk. Dia membuka kemejanya, meninggalkan hanya baju dalam putih membalut tubuhnya. Dia menggunakan kemeja itu untuk menutup hidungnya daripada terus terhidu gas pemedih mata itu. Dia harus bertindak pantas. Dia tahu jika Xeva terus berada di atas tanah, dia berisiko untuk dipijak oleh penduduk kampung bertempiaran lari daripada gas pemedih mata itu. Mungkin juga Xeva akan sesak nafas akibat gas pemedih mata.

Justo berharap dia sempat menjumpai Xeva sebelum terlambat.

Bersambung

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s