LIRIKAN (CF)

Christopher terpaku melihat wajah gadis itu. Gadis itu lagi. Gadis yang sama. Bagaikan penunggu misteri, kehadirannya di mall itu hampir setiap hari membuatkan Chris tertanya-tanya dan terpesona dalam masa yang sama. Senyumannya manis sekali dengan lirikan mata yang tajam, menusuk kalbu. Matanya nakal, melemparkan renungan demi renungan di sebalik rak-rak baju di sekitar seksyen pakaian lelaki di pusat membeli-belah itu. Renungan itu menerbitkan aura misteri yang benar-benar menggoncang logik akal Chris. Sesekali dia bersembunyi di sebalik lipatan baju-baju kemeja.

“Permainan apakah ini? Adakah dia mengenali aku? Atau aku pernah mengenalinya?” ujar Chris dalam hati.

Chris bersembunyi. Mencari jalan untuk menerpa gadis itu secara berdepan. Dia mengintai di sebalik rak baju. Gadis itu bagaikan tercari-cari sesuatu. Sah. Memang gadis itu sedang bermain-main mata dengannya. Dia melompat ke sisi gadis itu dan menerpa dia secara berdepan. Gadis itu terkejut bukan kepalang. Mata bertentang mata. Momen itu bagaikan terawang di udara seketika dan menyusup ke lantai di bawah tapak kaki mereka setelah masing-masing sedar yang mereka telah merenung antara satu sama lain terlalu lama.

“Kenapa awak main mata dengan saya? Awak kenal saya?” tanya Chris, lembut.

Gadis itu hanya tersenyum. Bagaikan mengejek. Chris terasa geram, sekaligus terpukau dengan senyuman itu.

“Saya tak main-main mata dengan awak. Saya main-main dengan budak kecil itu,” katanya sambil menunjuk ke arah pukul satu dari tempat mereka berdiri. Kelihatan seorang budak lelaki berusia kira-kira 5 tahun sedang melambai-lambai ke arah gadis itu.

Chris dapat merasakan darah menyirap ke wajahnya. Alamak ehhh … malunya. Gadis itu hanya tersenyum dan terus berlalu darinya. Chris membetulkan hoodienya yang sudah melorot ke leher. Kalau boleh, dia ingin menyelubungi kepalanya dengan hoodie itu.

Sebelum gadis itu melangkah keluar dari pusat membeli-belah, dia berpaling, melemparkan senyuman yang paling manis, menggegarkan dunia Chris sekali lagi.

***

Dita hanya merenung dari jauh. Kelihatan lelaki yang menegurnya kelmarin sedang bergembira dengan seorang budak perempuan berusia kira-kira 9 tahun, yang memakai hoodie yang sama dengan lelaki itu. Mereka sering berada di pusat permainan video itu. Dita meneka yang mereka itu mungkin adik-beradik, kerana mereka kelihatan akrab sekali. Seringkali berpakaian senada warnanya dan gayanya. Sesekali mereka menari secara sinkronasi ketika bergema lagu hip hop di ruang udara pusat membeli-belah itu. Sungguh comel.

Lelaki itu berusia dalam lewat 20-an. Mungkin 7-8 tahun lebih tua darinya. Dita sering terfikir kenapa setiap hari lelaki itu berada di situ. Dia tidak berbuat apa-apa. Sekadar meninjau keadaan Silver Mall yang seringkali padat dengan manusia, terutamanya golongan remaja. Kadang-kadang dia menghabiskan masa yang lama dalam satu-satu seksyen. Membelek peralatan yang dijual atau pun baju-baju yang terkini. Namun dia tidak membelinya. Setelah meninjau-ninjau sekitar seksyen, dia akan duduk di atas bangku panjang, mengeluarkan tabletnya, seolah-olah menghantar laporan pada seseorang. Adakah dia ‘undercover security officer’ di situ? Dia tidak kelihatan sebegitu sasa sebagaimana pengawal sekuriti. Mungkinkah dia sekadar berpeleseran? Tak mungkin. Kerana dia selalunya berseorangan.

Kelmarin, adalah kali pertama mereka benar-benar bersua muka dan bertegur sapa. Sebelum ini, mereka hanya berbalas pandangan. Entahlah. Bagaikan ada tarikan antara mereka berdua. Dita sendiri tidak mengerti kenapa. Lelaki itu tidaklah sekacak mana, namun ada karismanya. Wajahnya yakin, seolah-olah tahu apa yang dia lakukan, walaupun dia sekadar berpusing-pusing di Silver Mall.

Kelihatan lelaki itu memegang tangan adiknya ke eskalator. Dia berpaling lalu menangkap renungan Dita padanya. Dia bagaikan terkesima, melihat Dita yang sedang duduk di atas kerusi panjang di ruang legar pusat beli-belah itu. Dita hanya tersenyum, mengangkat beg sandangnya dan melihat jam tangannya sekilas. Kuliah akan bermula sebentar lagi. Dita bangun, lalu menghala ke pintu automatik pusat beli-belah itu. Mata lelaki itu menghantarnya keluar. Dita tahu. Kerana bayangan renungan lelaki itu terpapar pada kaca pintu automatik itu.

***

Chris cuba mencari kelibat gadis itu lagi. Tetapi dia sudah hilang di sebalik rak kuali Cina yang anti lekat itu.

Hah … terlepas.

“Siapa dia?” Chris ingin sekali mengenalinya. Renungan gadis itu telah menterbalikkan dunianya berkali-kali. Setiap kali mereka bertemu, hanya lirikan mata yang berkata-kata. Ada tarikan yang menjalar tetapi ia terhenti di situ sahaja. Sekadar renungan penuh makna, tanpa apa-apa maklumat konkrit yang bertukar. Chris terasa geram dan teruja. Gadis misteri itu telah mencabar keberaniannya. Bukanlah Chris tidak berani mendekati gadis sebelum ini, namun gadis-gadis yang dikenalinya terlalu terbuka. Sehingga tiada cabaran atau misteri yang tergendala. Tidak seperti gadis ini.

Penampilannya sederhana dan kemas. Seringkali dengan T-shirt berwarna ‘baby blue’ dan jeans. Selalu dengan beg sandangnya. Dia mungkin seorang pelajar kolej kerana kadang-kadang ada buku yang dikeleknya.

Dua hari lepas, di seksyen pakaian lelaki;

“Saya di sini mencari hadiah untuk teman lelaki saya. Bukannya cari awak,” jawab gadis itu dengan selambanya. Sekali lagi, Chris terasa seolah-olah ingin membenamkan kepalanya di dalam hoodie Abercrombie and Fitch berwarna kelabu itu. Gadis itu mengambil sehelai seluar trek, membawanya ke kaunter, tetapi dia tidak membelinya. Dia sekadar meletakkan seluar itu di atas meja kaunter dan terus berlalu.

Minggu lepas, di seksyen permainan kanak-kanak;

“Saya nak beli hadiah untuk adik saya,”

“Tapi tak beli pun,”

“Sebab tak cantik.”

“Bukan sebab awak cari saya?”

“Jangan perasan. Awak bukan juara Man Hunt.”

Chris terasa bagaikan ingin terjun daripada tingkat 5 setelah mendengar jawapan gadis itu.

“Siapa dia? Adakah dia pengintip korporat syarikat lawan? Tak mungkin. Jika sudah ditangkap aku, maknanya kerjanya begitu teruk sekali,” Chris begitu curiga. Teka-teki ini menjadi semakin kompleks.

Tiba-tiba dia terlihat gadis itu sudah pun berada di pintu automatik. Chris berlari mendapatkannya.

“Boleh kita keluar minum?” termengah-mengah Chris melemparkan kata.

Gadis itu tersenyum manis dan menggeleng. Dia berlalu pergi.

“Saya terlalu sibuk. Lain kali saja,”

Chris mengetap bibir. Ada-ada saja jawapannya. Semakin bingung Chris dibuatnya.

***

Tidak kelihatan lelaki itu di mana-mana hari ini. Puas Dita mengintai-intai. Mencari sesusuk tubuh sederhana, ber ‘hoodie’ dan berseluar kargo ¾ dan berkasut Nike atau Adidas.

Seksyen pakaian lelaki dan wanita. Tiada.

Seksyen pakaian kanak-kanak. Tiada.

Seksyen peralatan dapur dan perhiasan rumah. Tiada.

Ahhh … entah mengapa hatinya terasa kecewa. Kecewa benar.

Baru sahaja dia hendak melangkah pergi, dia terlanggar seseorang. Cepat-cepat Dita memohon maaf, dan mahu berlalu tetapi lelaki yang bersut hitam dan bertali leher berbelang putih hitam itu menghalang jalannya. Dia mendengus marah.

“Kan saya dah minta maaf?”

Dia mendongak. Ehhh … aku kenal wajah ini? Selalunya gaya bernada hip hop, hari ini bernada korporat. Rambut bertata ‘out-of-bed’, hari ini bersikat kemas. Dan sepertinya baru sahaja ke salon. Lelaki itu berpeluk tubuh, hanya memandangnya tanpa kata. Dita terasa janggal.

“Cari apa kali ini? Cari cangkul? Nak berkebun? Atau awak sekadar berlegar-legar, jadi penunggu mall ni?” suara lelaki itu bernada perli. Dita menjeling dan cuba berlalu, namun tangannya dipegang kemas. Dia menarik Dita ke elevator.

“Eh, ke mana awak nak bawa saya?”

Lelaki itu hanya diam. Tingkat 8, 9, 10, 11. Ting! Pintu terbuka. Kelihatan ruang yang amat luas, penuh dengan meja pejabat dan manusia-manusia yang sibuk dengan kerja masing-masing. Dita keliru.

Apa yang cuba dilakukannya?

Lelaki itu terus menarik tangannya ke ruang paling hujung di pejabat itu. Mata-mata di pejabat itu memandang Dita dan lelaki itu dengan pandangan yang curiga dan berbisik-bisik. Dita merasa kurang senang. Dia cuba menarik tangannya, namun pegangan lelaki itu terlalu kejap. Sampai saja di sebuah pintu yang terpapang nama, Christopher Erlanggi – Presiden, lelaki itu memasukkan kata laluan, lalu membuka pintu dan menarik Dita ke dalam pejabat itu.

“Christopher Erlanggi?” getus hati Dita. Jantung Dita semakin kuat berdebar-debar.

Pintu ditutup. Cermin pejabat yang lutsinar dikabutkan menggunakan teknologi bangunan yang canggih. Dita menelan air liur.Dita melihat sekeliling pejabat itu. Ruang pejabat itu kelihatan sangat minimalis dan kontemporari dengan hitam putih menjadi temanya. Terdapat patung Nabi Isa yang indah menghiasi dinding di belakang meja Christopher. Dita dijemput duduk di sofa, dan lelaki itu menelefon seseorang memberi arahan agar dibawakan dua cawan teh.

Dia mencari-cari nama syarikat itu. Silver Chronicles Ltd. Hati Dita bagaikan ingin luruh. Matanya membuntang. Tak mungkin … Jadi pusat beli-belah ini adalah milik Silver Chronicles Ltd. Nama yang gah di sudut hatinya suatu ketika dulu. Dia sepatutnya sudah tahu.

Kini dia tahu kenapa setiap hari lelaki itu berada di situ. Dia bukan berpeleseran. Dia sedang bekerja. Dia bukan kutu pusat beli-belah, dia pemilik tempat itu. Baru dia faham, kenapa lelaki itu meninjau-ninjau di semua bahagian pusat beli-belah itu – dia mengkaji trend dan kemahuan pelanggannya. Dia berpakaian kasual kerana tidak ingin dikenali sebagai pemilik tempat itu.

“Ke ke ke … napa awak bawa saya ke sini?” terasa bergetar nada suara Dita. Dia takut, marah namun teruja.

“Saya ajak awak berbual dan minum, tapi awak berikan pelbagai alasan. Jadi saya fikir ini saja caranya untuk kita berbual,”

“Tak perlu. Saya harus pergi sekarang,” kata Dita, tegas. Dia tidak mahu lama-lama di situ. Dia tahu sekarang yang tidak patut berlegar-legar di sini lagi. Dia takkan kembali ke pusat beli-belah itu lagi.

“Duduk minum teh dulu. Saya benar-benar nak kenal awak,”

“Buka pintu ni, Tuan Presiden atau saya akan pecahkan dinding kaca pejabat awak ni,” renungan Dita serta-merta bertukar tajam. Ketajamannya menusuk hati Chris dan dia seolah-olah faham yang gadis ini langsung tidak main-main.

Chris memegang tombol pintu yang mempunyai sensor cap jari. Pintu itu terus terbuka apabila Chris menyentuhnya. Dinding kaca menjadi lutsinar kembali. Chris menahan tangannya di pintu.

“Kenapa awak begini? Salah ke saya nak kenal awak?”

Dita tergumam diam.

“Kabutkan dinding kaca awak,”

Chris mengerutkan dahinya. Dinding kaca dikabutkan kembali. Tanpa diduga, gadis itu menampar pipinya dengan kuat. Chris amat terkejut. Perlukah gadis itu bertindak sedemikian?

“Kenapa awak tampar saya?”

“Kerana awak tarik saya secara paksa ke sini,”

Chris menggosok pipinya. Panas. Dia terasa sangat marah namun dia akui, memang silapnya menarik gadis itu secara paksa ke pejabatnya.

“Sepatutnya saya yang tampar awak. Kerana awak yang mulakan permainan ini,”

Mata kecil yang agak sepet itu dibesarkan. Rambutnya yang ikal mayang separas bahu diselitkan ke telinga. Dita bagaikan tidak percaya mendengar kata-kata Chris.

“Baiklah, kita tamatkan di sini saja. Kalau awak nak tampar saya, tamparlah. Kemudian, jangan cari saya lagi,” kata Dita sambil memejamkan matanya dan mengerutkan dahinya. Amarah Chris mencair melihat wajah comel itu cuba menahan tamparan. Chris membiarkan saja Dita. Setelah agak lama, Dita membuka matanya.

“Saya takkan tampar seorang gadis. I am a perfect gentleman.”

Dita melepaskan nafas lega. Terus gadis itu keluar dari pejabatnya, kali ini langsung ke elevator tanpa berpaling dan melemparkan senyuman seperti selalu. Chris buntu. Sehingga kini, nama gadis itu pun dia tak tahu.

***

Berhari-hari Chris menunggu. Mencari. Bagaikan orang gila, dia menyusup di sebalik rak pakaian atau rak barangan dapur, mencari kelibat gadis itu. Namun dia tidak muncul-muncul lagi untuk bermain mata dengannya.

“Abang cari siapa?” tanya adik perempuannya Selina, yang berusia 9 tahun, berjalan membontoti abangnya yang seolah-olah ingin bermain hide-and-seek dengan manusia halimunan. Chris menggosok kepala adiknya.

“Cari hantu penunggu perempuan yang selalu ada di sini,” jawab Chris, separuh sakit hati. Wajah Selina berubah. Dia kelihatan takut. Pantas tangan abangnya dipegang. Lantas Chris ketawa. Tiba-tiba telefonnya berdering.

“Tuan Chris, kami perlukan Tuan Chris di pejabat untuk menandatangani beberapa dokumen,”

Chris menyisip telefon bimbitnya pada poket seluar jeansnya. Tangannya menarik Selina. Kakinya terasa berat melangkah untuk ke tingkat 11.

Bagaimana jika gadis itu muncul ketika dia berada di atas? Namun entah mengapa, jauh di sudut hatinya, dia tahu gadis itu takkan kembali lagi. Chris melepaskan keluhan yang berat lalu menekan butang 11 pada elevator itu. Selina terus membontotinya.

***

“Selamat malam, Tuan Chris. Jangan bekerja terlampau kuat,” kata sekretarinya, Anna melalui intercom. Chris hanya tersenyum kelat. Matanya masih terlekat pada skrin computer, menganalisis data-data pemasaran yang baru diemail oleh pengarah pemasarannya. Tiba-tiba dia terasa penat dan lapar.

Ya. Dia terlupa untuk makan sepanjang hari.

Dia sengaja menyibukkan diri bersungguh-sungguh. Dia tidak mahu lagi berfikir tentang gadis misteri itu. Jualan hujung tahun sudah semakin hampir. Dia harus memastikan semuanya berjalan lancar, agar bonus yang dijanjikan kepada semua pekerja syarikatnya dapat dilunaskan. Dia meregangkan otot-ototnya yang terasa kebas lalu dia terpandang kamera sekuriti yang terletak di sudut pejabatnya.

Tiba-tiba dia mendapat satu idea.

Perisian kamera sekuriti dihidupkannya. Dia mencari-cari kelibat gadis itu dalam kamera sekuritinya pada 3 minggu lepas.

***

Dita merasa sangat letih. Dia melangkah perlahan ke perhentian bas. Walaupun Pak Abbas boleh mengambilnya di situ, tetapi Dita lebih selesa menaiki bas.

“Belajarlah bersusah-payah. Kalau benar ditimpa kesusahan suatu hari nanti, tidaklah janggal menyesuaikan diri,” begitulah pesan papa. Dita tak punya kereta sebagaimana teman-temannya. Pakaiannya juga tidak pernah bermewah. Sekadar ber’T-shirt’ dan berseluar jeans. Papa tidak mahu dia menjadi anak manja. Walaupun dia anak tunggal papanya. Setelah mamanya meninggal dunia, papalah ibu dan bapanya. Segarang mana papa sekalipun, Dita tahu papa sangat sayangkannya.

Peperiksaan besar akan tiba dalam 5 minggu lagi. Tiba-tiba Dita terasa dia tidak mempunyai cukup waktu untuk menelaah kesemua subjek untuk peperiksaan itu.

“Ahhhh … boleh gila aku jadinya,” jerit Dita sendirian. Lain-lain pelajar kolej yang berdiri di perhentian bas itu memandangnya dengan pandangan yang aneh. Dia tidak peduli lagi. Dia merancang untuk pulang terlebih dahulu, mandi dan kembali ke kolej untuk mengulangkaji di perpustakaan. Ada 2 tugasan yang perlukan dihantar pada hujung minggu ini. Dita tak mahu membuang masa.

Pin! Pin!

Terdengar hon motorsikal yang agak kuat di hadapannya. Ah … si gila mana yang mengejutkan lamunannya yang sedang begitu stress dengan pembelajarannya? Dia tidak memperdulikan persekitarannya dan terus melamun. Tenggelam dalam dunianya sendiri.

Pin! Pin!

“Saya rasa lelaki itu panggil awak,” tegur seorang pelajar kolej yang duduk di sebelahnya. Dia mengangkat kepala. Matanya membuntang tidak percaya. Christopher Erlanggi yang berpakaian kasual ala hip hop sedang menunggang motorsikal buruk 250cc. Dia memakai topi keledar separuh yang kelihatan seperti seekor kura-kura di atas kepalanya. Lucu tetapi comel. Dia terus menekan hon. Pelajar-pelajar yang sedang menanti di perhentian mula bising-bising apabila Dita enggan bergerak dari tempat duduknya.

“Nak gaduh dengan boyfriend pun pergilah tempat lain. Bukan di tempat awam,” tegur seorang pelajar lelaki di situ.

Dita mengetap bibir. Dia bangun lalu menghentakkan kakinya dengan kuat. Chris tersenyum. Dia memberikan topi keledar separuh juga kepada Dita. Dita merampas topi keledar dari tangan Chris lalu memakainya.

***

Dita tidak berkata apa-apa sewaktu makan. Dia hanya makan tanpa memandang Chris sedikit pun.

“Saya minta maaf,” kata Chris, perlahan. Dita mengangkat wajahnya seketika, merenung Chris dengan pandangan yang boleh menterbalikkan dunia Chris seperti biasa, lalu menggeleng perlahan.

“Saya rindukan renungan itu. Sejujurnya,” kata Chris sambil memandang tepat wajah Dita. Dita terasa pipinya panas. Dia dapat merasakan yang rona-rona merah mula mewarnai pipinya yang putih gebu itu. Jantungnya berdebar-debar. Dia juga sebenarnya begitu. Namun dia lebih tahu. Perhubungan ini tidak harus diteruskan. Untuk kebaikan Chris dan juga dirinya.

“Kenapa awak naik motorsikal buruk itu? Kita tahu awak lebih dari mampu untuk menunggang motorsikal yang lebih baik,” kata Dita sambil mengelap hujung bibirnya.

Chris tersenyum.

“Saya nak awak berasa selesa dengan saya. Saya nak awak lupakan yang saya Presiden Silver Mall. Just Christopher Erlanggi,”

Dita tertawa besar. Chris turut tersenyum mendengar tawa itu. Inilah pertama kali dia mendengar Dita tertawa.

“Bodoh amat. Aku tak peduli pun kalau kau Presiden Silver Mall. Aku tidak mahu keluar dengan kau sebab kau tu cucu keluarga Erlanggi,” kata hati Dita.

“Dengar sini baik-baik, Christopher. Jangan cari saya lagi. Ini untuk kebaikan kita bersama,”

“Tapi kenapa?”

“Kerana dalam tubuh saya, mengalir perseteruan yang besar antara kita berdua,” kata gadis itu.

Christopher terpempan. Dia tidak faham apa yang Dita perkatakan. Siapa gadis ini sebenarnya?

***

Puas Christopher memujuk Dita agar menerangkan lebih lanjut maksud kata-katanya namun Dita hanya membisu. Sudahnya Christopher bercadang untuk menghantar Dita pulang sahaja. Dalam perjalanan hujan turun dengan lebatnya. Dita dan Chris kebasahan dan kesejukan. Chris singgah sebentar di apartmen studionya untuk mengeringkan baju mereka. Dita membantah sekeras-kerasnya namun mereka tidak punya pilihan.

“Saya janji. Saya tukar baju. Awak boleh pakai baju saya sementara tunggu baju awak kering. Hanya 45minit. Lepas tu saya hantar awak balik dengan kereta. Hujan terlampau lebat,” janji Christopher. Dita hanya mampu melepaskan keluhan yang berat. Matilah jika bapa dia tahu yang dia berduaan dengan lelaki yang tidak dikenalinya begitu.

“Boleh saya pinjam telefon? Nak telefon papa. Mesti dia risau. Handphone saya kehabisan bateri,”

Chris menyerahkan telefon bimbitnya. Chris terdengar yang dia membahasakan dirinya sebagai Dita kepada papanya, dan bilang yang dia singgah di rumah kawannya sebentar kerana ada tugasan dan akan pulang segera setelah siap. Kemudian gadis itu menyerahkan kembali telefon bimbit sekali dengan baju dan persalinan sembahyang yang tersimpan di dalam begnya pada Chris.

“Oh, dia Muslim,” kata hati kecil Chris. Baju diletakkan dalam pengering. Kini dia hanya berpandangan dengan Dita di dalam ruang yang tidak seberapa luasnya. Dita kelihatan sangat tidak selesa. Chris faham situasi Dita lalu dia memohon diri untuk keluar dan akan kembali setelah 45minit berlalu. Barulah Dita bertenang.

Sepeninggalan Chris, Dita meninjau rumahnya. Terdapat beberapa koleksi buku yang sangat menarik dan juga gambar-gambar keluarga yang indah. Barangkali Chris amat rapat dengan ahli keluarganya. Dita terpandang wajah yang amat dikenalinya dalam gambar keluarga itu. Wajah Stephen Erlanggi. Dia rindukan bicara-bicaranya bersama Stephen dahulu. Stephen melayan Dita bagaikan cucunya sendiri. Dia tidak pernah bertemu dengan Chris. Jika tidak, pasti dia akan ingat. Mungkin Christopher tinggal di luar negara sebelum ini.

Dia menarik buku Short Stories by O. Henry.Dia terlalu bosan menanti pengering.

***

Dita …

Apa nama keluarganya? Perseteruan apa yang dikatakan oleh Dita? Dia tidak faham. Kalau dapat nama keluarganya, mungkin Chris boleh bertanyakan Lebai Google, mungkin ada jawapannya. Dia segera memarkirkan keretanya lalu terus ke apartmennya.

“Dita, ayuh!”

Tiada jawapan. Chris menjengukkan kepalanya di dalam rumah. Kelihatan Dita terbaring di atas sofa sambil memeluk buku O. Henry. Haruskah dia mengejutkan Dita? Baru sahaja tangannya ingin menyentuh bahu Dita untuk dikejutkan, dia terlihat Dita tersenyum dalam mimpinya. Ah … senyuman itu. Chris duduk berteleku di hadapan Dita, menikmati senyuman yang indah itu. Chris tersenyum melihat Dita menyarungkan T-shirtnya yang besar itu. Tatkala ini, otaknya sudah tidak berfungsi lagi. Hatinya memujuk agar membiarkan sahaja Dita tidur. Perlahan dia menarik buku yang dipeluk Dita, mengangkatnya perlahan, dibaringkan di atas katilnya, lalu dia selimutkan Dita.

Tidurlah wahai bidadari. Esok sahaja aku hantar kau pulang ya …

***

Cahaya matahari yang menembusi langsir siang itu menyilaukan mata Chris. Lantas dia bangun dari sofa. Matanya mencari kelibat Dita. Dia sudah tiada di dalam rumah. Beg dan pakaiannya telah diambil. Chris memegang kepalanya yang masih pening kerana bangun tidur secara tiba-tiba. Katil telah siap dikemas. Baju Chris dilipat cantik.

Namun di atas mejanya, terdapat sebuah buku berjudul Calculus yang dia yakin bukan kepunyaannya. Tangannya mencapai telefon bimbit. Dia mendail nombor yang dihubungi Dita semalam.

“Hello, Erwan Sastro bercakap.”

***

Rumah agam itu direnungnya. Dita Sastro bukanlah dari keluarga kelas pertengahan seperti yang difikirkannnya. Misteri lagi. Chris turun dari kereta dan menekan loceng pagar. Seorang lelaki yang memakai pakaian perkebunan mendekatinya.

“Cari siapa nak?”

“Saya mencari Encik Erwan Sastro. Saya ada hubungi dia tadi. Nak pulangkan buku Dita,”

Tiba-tiba lelaki dalam usia 50-an keluar menghampirinya. Kulitnya sawo matang dan wajahnya menunjukkan yang dia seorang yang amat tegas. Chris memberanikan diri. Dia menyerahkan buku Dita kepada papanya.

“Semalam Dita tidak pulang. Dia tidur di rumah kamukah?” Nadanya begitu tegas. Chris tidak pasti bagaimana untuk menjawab soalan ini. Jika tersilap jawapan, pastinya dia akan dipukul oleh papa Dita yang bertubuh sasa meskipun sudah berusia 50-an.

“Dia tertidur di bilik adik saya, Selina. Mereka melakukan tugasan bersama,” bohong Chris. Erwan memandangnya seolah-olah curiga dengan penjelasan Chris.

“Saya tak pernah dengar dia ada kawan bernama Selina. Apa nama keluarga kamu?”

“Erlanggi. Nama saya Christopher Erlanggi,”

Serta-merta wajah Erwan berubah. Mukanya menjadi merah padam. Penumbuk dikepalnya.

“Berambus kau keluar dari kawasan rumah aku dan jangan kembali lagi. Kau dan adik kau, jangan berani dekati Dita lagi.”

Chris menggeleng dengan rasa tidak percaya. Perseteruan apakah yang terjadi antara keluarga Erlanggi dan Sastro sehingga Erwan dan Dita bertindak sedemikian rupa?

***

“ANAK BIADAP!!”

Pipi Dita ditampar tanpa belas kasihan. Dita memegang pipinya lalu mengesot ke dinding.

“Ampun papa, ampun …”

“Kau salah gunakan kebebasan yang papa berikan. Sudah kau bohong papa. Kau palitkan wajah papa dengan arang. Dengan cucu lelaki keluarga Erlanggi pula. Memalukan keluarga!!”

“Demi Allah, tiada apa-apa yang terjadi antara kami, papa,” perlahan saja Dita menjawab. Dia benar-benar takut dengan papanya yang bagaikan kerasukan syaitan. Erwan menghampiri Dita tetapi dihalang oleh ayahnya.

“Sudah, Erwan! Kau nak bunuh satu-satunya anak kau, ya!” tempik Johan Sastro. Dita bersembunyi di belakang datuknya.

“Esok jangan kau ke kolej lagi …”

“Tolong, papa, tolong. Dita nak habiskan pengajian. Datuk, tolong,” Dita memegang lengan datuknya.

“Erwan …”

Erwan Sastro mendengus. Marahnya bukan kepalang pada keluarga Erlanggi. Kenapa mereka harus muncul lagi dalam kehidpan mereka?

***

“Dita telah memberhentikan pengajian di kolej itu,” ujar Anna di intercom. Chris tersandar di tempat duduknya.

“Apa yang telah terjadi?” kata hatinya. Dia tidak mahu lagi bermain dengan teka-teki ini dengan dirinya sendiri. Misteri ini harus diselesaikan. Dia bangun, mencapai kunci kereta dan pulang ke rumah.

“Sudah pulang? Awal hari ini?” Tegur Stephen Erlanggi, datuknya. Dia berdiri dengan wajah sugul di hadapan datuknya.

“Datuk, tolong beritahu saya kalau Datuk kenal Erwan dan Dita Sastro,”

Wajah Stephen serta-merta berubah murung.

***

“Ya Tuhanku, apa yang saya dah buat?” kata Chris, perlahan. Dia bagaikan tidak percaya mendengar cerita bapa dan datuknya berkenaan sejarah keluarganya dan keluarga Dita.

“Erwan bukan orang yang penyabar. Kamu dah menyusahkan Dita,” kata Jonathan Erlanggi, bapanya. Chris memegang kepalanya yang tiba-tiba diserang sakit kepala.

“Bagaimana sekarang, ayah, datuk?”

Jonathan dan Stephen saling berpandangan. Masing-masing seolah-olah memikirkan jalan terbaik unuk menolong Dita. Stephen memandang gambar 2 keluarga itu yang masih digantungnya di dinding rumah. Betapa dia benar-benar menghargai kemesraan yang tergambar dalam potret itu.

***

“Berani kau berpijak di sini, Jonathan? Kau tak ada rasa malu ya?” tingkah Erwan. Johan datang ke depan lalu menolak Erwan masuk ke dalam rumah. Wajah Jonathan berkerut, namun Stephen menyabarkannya.

“Masuklah, sahabat lama. Kita berbincang secara baik,” kata Johan lalu membuka pintu pagar.

Suasana menjadi begitu sunyi di ruang tamu keluarga Sastro. Jika pin terjatuh, barangkali kedengaran juga. Mungkin masing-masing menilai kembali kenangan silam yang tidak terungkap di antara mereka. Mungkin mereka juga berfikir bagaimana takdir telah membawa dua buah keluarga yang pernah mempunyai hubungan bagaikan isi dan kuku kini menjadi jauh sedemikian rupa.

“Kami ingin Dita menjadi ahli keluarga kami,” Stephen Erlanggi bersuara selunak mungkin. Wajah Erwan berubah serta-merta. Dia menghentak sofa dengan kuat.

“Mustahil aku akan benarkan!!”

“Erwan!! Selama ini, ayah diam sahaja dengan tingkah laku kau! Kalau kau nak sertai perbincangan ini, kau tenangkan diri. Jika tidak, kau masuk ke dalam!” tingkah Johan. Dia mengurut dadanya yang terasa perit dengan tingkah laku Erwan yang tak ubah seperti anak kecil. Erwan terdiam, lalu perlahan dia duduk kembali. Setelah keadaan kembali tenang, Stephen bersuara kembali.

“Chris kami amat sukakan Dita,”

“Tetapi Dita bilang Chris bukan teman lelakinya,” kata Johan dengan tenang. Stephen memandang Christopher.

“Benar, mereka bukan pasangan kekasih. Malah kejadian tempoh hari, sebenarnya terjadi ketika Chris cuba mengenali Dita. Chris kami langsung tidak menyentuh Dita. Percayalah. Kemuliaan anak perempuan kamu masih terjaga. Dita yang terlebih dahulu mengetahui latar belakang Chris sebenarnya, lalu dia cuba mengelak dari bertemu Chris, demi menjaga maruah keluarga. Namun Chris tidak putus asa,”

Erwan mendengus, “Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?”

Dia masih terbayang bagaimana tangan Marissa di bawa ke altar oleh Jonathan. Sedangkan Erwan terlebih dahulu mengenali Marissa. Namun Erwan memaafkan Jonathan kerana dia membesar dengan Jonathan. Jonathan adalah sahabat baiknya. Sebagaimana bapa mereka, Stephen dan Johan yang telah bersahabat baik sejak kecil dan telah berjaya membuka perniagaan bersama-sama. Akhirnya, perniagaan tersebut diperturunkan kepada Jonathan dan Erwan, mereka masih bersahabat baik. Sehinggalah terjadi krisis ekonomi pada tahun 1997, di mana perniagaan masing-masing menghadapi masalah. Erwan terlebih dahulu tersungkur, tidak mampu mengawal beban hutang yang bertimbun. Lalu kerana terdesak, Erwan terpaksa menjual syarikat turun temurun itu kepada orang yang paling dipercayainya, yakni Jonathan. Dia mohon Jonathan berjanji agar syarikat turun-temurun milik keluarganya itu tidak dipecahkan kerana dia ingin mengambil kembali hak keluarganya itu setelah ekonominya stabil kelak. Namun, Jonathan telah menjual separuh daripada syarikatnya itu kepada orang lain. Pengkhianatan demi pengkhianatan membuatkan Erwan benci kepada semua ahli keluarga Erlanggi. Baginya keluarga Erlanggi begitu sinonim dengan perkataan pengkhianatan. Lalu cerita ini diulang-ulang di dalam keluarganya bagaikan mentera pembunuh yang meracuni fikiran semua ahli keluarganya.

Jonathan ingin menjawab ejekan Erwan, namun ditegah Stephen.

“Jangan kita ulang kisah lalu dengan dua kehidupan yang baru sahaja ingin dimulakan,” kata Stephen perlahan. “Apa saja yang kau fikir tentang keluarga kami adalah salah faham semata-mata, sebagaimana insiden Chris dan Dita tempoh hari, Erwan. Sudahlah.”

“Salah faham? Salah faham apa, pakcik? Syarikat yang ayah bina selama puluhan tahun, Jonathan pecah-pecahkan bagaikan pinggan kaca yang tiada nilainya. Hati siapa yang tidak sakit?”

“Jangan begitu, Erwan. Ketika krisis ekonomi, bukan keluarga kamu sahaja yang mengalami kesukaran. Kami terpaksa menjual syarikat itu untuk mendapatkan pertambahan modal. Syarikat kamu juga kami beli ketika kami sendiri sarat dengan pelbagai hutang. Kami lakukannya kerana kami fikir, kami takkan biarkan kamu dan keluarga kamu kesusahan, atas dasar persahabatan yang terbina. Jikalau kami juga tersungkur, bererti kedua-dua syarikat kita akan dimiliki oleh orang lain. Tidakkah itu natijah yang lebih buruk?” terang Stephen dengan tenang.

Inilah pertama kali, keluarga Sastro mendengar sendiri penjelasan daripada keluarga Erlanggi. Ketika mendengar sahaja berita Silver Chronicles Ltd telah dipecahkan dan dijual aset-asetnya, Erwan menjadi terlampau marah sehingga dia sanggup menyerbu Jonathan di pejabat mereka. Tanpa mendengar penjelasan, Erwan membawa semua ahli keluarganya berpindah dari tempat tinggal mereka dan memutuskan semua hubungan dengan keluarga Erlanggi. Sedangkan, ketika Jonathan sudah berjaya menstabilkan situasi, dia berusaha mencari Erwan, namun gagal. Setelah berdekad lamanya, kini barulah mereka mampu bertemu dan menjelaskan situasi.

Erwan terdiam sebentar. Dia masih lagi ingin menyuarakan rasa tidak puas hatinya, namun ditahannya. Dia bukan lagi muda. Sewajarnya dia harus berfikiran lebih matang dan tenang. Ini semua keputusan perniagaan. Bukan soal pengkhianatan. Tangan Erwan dipegang Jonathan. Erwan mendongak melihat wajah sahabat lamanya itu.

“Aku minta maaf. Sepatutnya, aku beritahu kau terlebih dahulu sebelum aku menjual aset Silver Chronicles. Aku tak ada pilihan. Masa terlalu suntuk,”

Erwan memeluk Jonathan. Airmatanya bergenang. Kenangan zaman kanak-kanak berputar kembali di mindanya. Memang dalam apa jua situasi, Jonathan sentiasa berada di sisinya. Bukankah tidak adil untuk mengadili Jonathan untuk satu insiden ini? Stephen dan Johan juga saling berpandangan dan tersenyum. Mereka bersyukur yang mereka masih hidup untuk menyaksikan penyatuan ini. Bukankah pedih apabila perhubungan yang sekian lama dijalinkan terputus begitu sahaja kerana salah faham?

“Panggilkan Dita,” kata Johan pada isterinya.

“Pertemuan Dita dan Chris telah menyatukan dua keluarga. Tetapi kami takkan lakukan apa-apa tanpa persetujuan Dita,” kata Stephen pada Dita. Dita memandang wajah papanya. Papanya hanya mengangguk.

“Dita nak tamatkan pengajian,” jawab Dita perlahan. Wajahnya tidak diangkat. Masih takut-takut.

“Tak apa. Tamatkanlah pengajian. Itu tak jadi masalah, kan? Betul tak, Erwan?” Stephen memandang Erwan. Erwan mengangguk perlahan.

“Kamu sukakan Chris?” tanya Jonathan pula. Dita memandang Chris. Wajah Chris bagaikan penuh dengan bunga-bunga harapan. Wanginya membelai rasa Dita. Namun Dita bagaikan masih sangsi.

“Tak …”

Chris melongo. Begitu juga dengan Stephen dan Jonathan.

***

“Tak … saya tak suka bila dia pakai baju ala gangster hip hop. Selain dari itu … dia OK,” sambung Dita perlahan. Wajahnya kemerahan. Jantung Chris hampir berhenti mendengar jawapan itu. Tawa berderai dalam rumah agam itu. Kemeriahan dan kemesraan kembali terjalin antara 2 buah keluarga ini.

“Baguslah, kalau dua-dua sudah berkenan. Perinciannya kita bincang kemudian. Namun, hmmm … sebagai Muslim, kami hanya boleh kahwinkan anak perempuan kami dengan Muslim juga. Tidak seperti lelaki Muslim yang boleh berkahwin dengan Ahli Kitab. Jadi bagaimana ya?” tanya Johan dengan penuh hati-hati. Risau kalau ia menyinggung perasaan keluarga Erlanggi.

“Bukankah Tuhan lebih suka kita berkasih sayang dan menyambung persahabatan? Jangan kita jadikan Tuhan sebagai alasan untuk menghalang penyatuan ini. Kami sudah berbincang dengan Chris. Ini pasti takkan jadi masalah,” kata Stephen sambil menggosok bahu Christopher. Chris mengangguk perlahan.

“Tapi Dita ada satu syarat,”

Semua kembali terdiam. Kembali menghadap Dita.

“Dita mahu nama keluarga digabungkan. Sastro-Erlanggi. Boleh, kan?”

Stephen bangun lalu memeluk Dita. Dia menggosok belakang Dita, sebagaimana dilakukannya ketika Dita kecil dahulu. Lirikan mata yang tajam itu kembali pada Chris. Chris tersenyum lebar.

Misteri dirungkai. Hubungan terjalin setelah terbengkalai. Semoga hubungan persahabatan yang bertukar menjadi hubungan kekeluargaan ini berkekalan selama-lamanya.

 

 

 

 

 

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s