LOLOS! (CI)

“RM20,000!! Awak dah gila ya, Sara!”

Dahi Emran yang sudah berkedut itu semakin berkerut. Cermin mata ditolak ke pangkal hidungnya. Rambut yang separuh kelabu, separuh hitam itu ditolak ke belakang. Dia mengipas kertas cadangan belanjawan untuk siasatan terbaru aku.

Aku hanya berdiri di hadapannya, acuh tak acuh sambil tersenyum mengejek.

“Come on, boss. Apalah sangat RM20,000 ni? Saya janjikan hanya yang ekslusif buat bos. Ini ‘win-win situation’. Lagipun saya dapat sokongan dan liputan dari ICIJ*, ILO*, UNICEF* dan Interpol*. Cerita ini akan jadi cerita sensasi antarabangsa, bos. Bayangkan bila cerita ini meletup, duit akan berguguran dari langit, bos,” kataku sambil mengawang-gawangkan tangan ke langit seolah-olah menyambut duit yang gugur dari atas sana. Emran hanya tersenyum senget melihat gelagatku.

Dia meletakkan kedua-dua sikunya di atas meja sambil merenung lama wajahku. Aku sudah beberapa kali membawakan cerita sensasi untuk Harian Galaksi. Emran juga tahu, aku takkan menghampakan dia. Aku hanya tersengih seperti kerang busuk apabila Emran menaikkan kening kanannya. Tangan Emran mula mencapai pen. Pen diketuk dua-tiga kali atas pangkal hidungnya.

Aku mengetap bibir. Akhirnya, Emran menandatangani kertas cadanganku.

Yes!

“This is why, I pledge my love to you, boss,” kataku sambil mengambil dokumen itu dari tangan Emran.

“Metaphorically, or do you really mean it?” tanya Emran sambil tersenyum nakal. Cepat-cepat aku keluar dari pejabatnya. Geli seluruh tubuhku melihat senyuman lelaki tua bermata galak itu.

***

Aku membelek ‘permainan’ terbaruku hasil ‘penajaan’ Harian Galaksi. Iphone yang berada di tanganku ini, bukanlah Iphone biasa. Ia merupakan Iphone yang kutempah khas dari US yang mampu menghantar isyarat satelit yang selamat dan tidak boleh ditembusi oleh jaringan komunikasi biasa. Ia dilengkapi oleh kamera mikro yang dibina di dalam sebuah loket khas. Apa saja yang dirakam oleh kamera ini akan terus ke telefonku, memori Icloud serta komputer Rosdi, sahabatku dan juga Penolong Pesuruhjaya Polis Bahagian Kongsi Gelap/Perjudian/Maksiat – D7 , di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman. Ia diletakkan dalam fail tersulit. Rosdi sendiri takkan mampu membukanya. Aku menganggapnya sebagai insurans atau ‘backup’, sekiranya apa-apa terjadi padaku.

Trit!Trit!

“Mabuhay (Selamat datang)! This is Rosales. Are you here already, in Quezon City?” begitu ceria sekali nada suara sahabat seperjuanganku ini.

“Yes, my friend,”

“So I see tomorrow night, yeah? Please dress nicely. Nicely, I mean the Olongapo City standard, OK?” aku terdengar Rosales ketawa mengekek di hujung corong.

“Yes, I know. Magandang gabi (selamat petang), friend,”

Amygdala otakku memberikan sensasi luar biasa terhadap tubuhku dalam situasi ini. Ketidakpastian, keterujaan, risiko, dan ketakutan bercampur aduk menjadi koktel perasaan yang begitu memabukkan aku. Membuatkan aku merasakan seolah-olah kaki tidak menjejak tanah. Ini salah satu sebab mengapa aku memilih untuk menjadi wartawan penyiasatan. Aku sukakan perasaan ini. Perasaan setiap kali aku yakin yang aku bakal mendapat cerita eksklusif. Aku hidup untuk momen begini.

Aku menarik nafas sedalamnya. Esok adalah hari aku beraksi. Malam, belailah aku agar aku bisa tidur. Entah apa yang bakal terjadi esok, hanya Tuhan yang tahu.

***

Hari menjelang senja. Rosales membawa aku ke sebuah hotel mewah di ibu kota, tidak jauh dari hotelku. Aku bersedia dengan loket kameraku dan mengaktifkan perakam suara. Rosales menjeling padaku sambil tersenyum miring.

“Why?”

“You look so sexy, mama. Your tits are nice,” usiknya.

Aku menendang punggungnya dengan stilletoku. Dia mengaduh kesakitan namun masih berupaya tertawa kecil. Aku mengenali Rosales ketika kami bersama-sama menyiasat Panama Papers di Washington DC. Dia mewakili Phillipine Center of Investigative Journalism (PCIJ). Daripada pertemuan itu, aku mendapat tips yang hebat tentang Paolo Manalo, kepala sindiket pemerdagangan manusia yang aktif di Asia Tenggara dan berpusat di Quezon City. Sejak dari itu, aku dan Rosales bagaikan pasangan kekasih yang tidak dapat dipisahkan lagi. Hampir setiap hari, kami berhubungan untuk bertukar tips dan maklumat. Katanya, ada ahli politik Malaysia yang terlibat dalam sindiket itu, dan dia perlukan bantuan aku untuk mengenal pasti empunya diri. Kami berhasrat untuk mengejar Paolo Manalo dan menghumban dia dan sindiketnya agar terus menyembah bumi. Itulah janji kami.

Setibanya di sebuah dewan, Rosales berhenti. Dia menyuruh aku mengeluarkan jemputan dan terus masuk ke dewan yang dinamakan Pippi Rose itu. Dia tidak boleh ikut bersamaku kerana cukong-cukong pemerdagangan manusia ini sudah kenal akan dia. Aku dan dia akan terbunuh sekiranya dilihat bersama. Setelah mengucapkan selamat berjaya, Rosales segera meninggalkan hotel itu. Aku melangkah yakin ke dewan itu. Pinggul sengaja aku gelekkan, kononnya meniru gaya ibu ayam yang datang untuk membeli ‘anak’ baru. Terdapat empat orang penjaga pintu yang sasa. Wajah mereka kelihatan sangat bengis walaupun masing-masing berpakaian kemas. Pada mulanya, mereka menahan aku daripada masuk ke dalam dewan. Apabila aku layangkan kad jemputan, mereka menjemput aku masuk dengan penuh hormat dan membawaku ke tempat duduk yang telah dikhaskan untukku.

Dewan telah dihiaskan seolah-olah sebuah kelab malam. Terdapat tiang-tiang di atas pentas berbentuk T besar dan dikelilingi oleh penari-penari kanak-kanak yang berpakaian separuh bogel, sedang menari dengan gaya yang begitu mengghairahkan. Di hadapanku terdapat kubus kaca yang besar, menempatkan kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berpakaian cantik, berusia antara 4 hingga 12 tahun. Ada yang menangis, ada yang memandang dengan penuh ketakutan. Ada yang langsung tidak memperdulikan keadaan di sekelilingnya, menonton rancangan kartun di hadapan mereka. Mereka kelihatan lemah dan tidak bertenaga. Barangkali sudah pasrah dengan takdir mereka. Di dada mereka diletakkan kain bernombor, barangkali untuk memudahkan para ibu dan bapa ayam serata Asia Tenggara untuk memilih mereka.

Aku mengetap bibir, menahan kemarahan yang membuak-buak di dada. Anak-anak kecil dilayan persis binatang di dalam zoo. Aku cuba menarik nafas sedalamnya, agar emosiku tidak kelihatan. Dari jauh kelihatan seorang lelaki metropolitan … oh, tidak. Lelaki lembut bersut putih dengan dua orang lelaki sasa datang menghampiriku. Sayang sekali. Wajah kacak Pan-Asian itu meminati sejenisnya. Tangannya nakal menepuk punggung kental milik pengawal peribadinya. Pengawal peribadinya pula tidak menunjukkan sebarang reaksi, sekadar membetulkan kaca mata hitamnya.

“Mamasan, how are you?” katanya dengan senyuman memikat.

Wow! Bergetar hatiku dibuatnya. Ternyata dia kacak sekali jika dilihat dari jarak dekat. Barangkali dia adalah kacukan Jerman dan Filipina. Kulitnya pula mulus sekali. Kurus dan tinggi. Sayang sekali. Tak mungkin boleh menjadi teman lelakiku. Mungkin kalau aku jadikan teman tetapi mesra …

“Fokus, Sara!” Akalku menyedarkan jiwa galakku, yang aku kini berada dalam misi penyiasatan yang berbahaya.

Lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai Calyx Rodrigo, pembantu kanan Paolo Manolo. Dia akan membantu semua pembeli menyelesaikan urusan pemilihan dan pembelian mereka. Mataku meninjau-ninjau kalau terlihat kelibat Paolo Manolo. Tiada. Barangkali belum tiba.

Pelayan dalam bikini G-string membawakan aku sejenis koktel yang dihiaskan dengan potongan nenas dan ceri Maraschino pada pengacau plastik itu. Aku terpisat-pisat mencapai gelas koktel itu. Bahuku yang telanjang itu digosok mesra oleh Calyx seolah-olah memahami keresahanku.

“Oh, mamasan. This one is on me. Stylish lady like you would enjoy our famous Ginpo – a mix of gin, pomelo juice and crushed ice, or a simple mix of gin and pineapple juice. We love gin so much,” mata hijaunya memandangku tepat, seolah-olah mahu melihat aku minum koktel itu di hadapannya. Matilah aku kali ini. Perlahan bibirku letakkan di atas gelas koktel, berusaha agar lidahku tidak menjamah campuran ‘liquor’ itu. Aku perlukan minda yang sedar dan jelas.

“How is the cocktail?”

“Strong. Very strong. Are all of them cherry girls* and boys?” – gelas koktel aku letakkan di atas bar. Badan ku pusingkan perlahan-lahan, agar kamera loket ku dapat mengambil gambar semua pengunjung di Pippi Rose. Keadaan agak gelap, namun kamera loket yang dilengkapi lensa kamera 20 megapiksel berdefinisi tinggi mampu menangkap visual sejelasnya dalam keadaan begitu. Aku ternampak sebuah ruangan VIP yang eksklusif yang tidak jauh dari tempat dudukku. Itulah destinasi aku selepas ini.

“Oh, yes, mamasan. All of them. Don’t you worry. Come, let’s get a closer look,” Calyx memegang lenganku dan membawaku ke ‘kandang kaca’ itu.

Hatiku meruntun sedih melihat keadaan anak-anak ini. Ada bekas pukulan di badan pada setiap kanak-kanak yang berada di dalam ‘kandang’ itu. Mereka juga dipakaikan mekap secara paksa. Maafkan aku, anak-anak. Hari ini, aku akan menyelamatkan seorang sahaja dari kamu, dengan harapan aku dapat menulis laporanku dan menyelamatkan kamu semua selepas ini, dengan izin Tuhan.

Calyx memohon diri untuk bersosial dengan tetamu yang lain. Aku hanya mengangguk. Inilah peluang aku untuk terus meninjau kawasan itu. Aku melintas di hadapan para penonton lelaki yang gatal sedang menikmati tarian yang memberahikan oleh para penari bogel muda di atas pentas. Ternyata, aku tidak dapat menarik perhatian mereka kerana aku sudah melepasi ‘had umur’ yang mereka gemari. Para pedofilia ini menjamu nafsu mereka dengan kanak-kanak. Pippi Rose adalah syurga mereka. Pusat pemerdagangan kanak-kanak dan pesta seks bagi penggemar kanak-kanak yang menjijikkan ini memang terkenal di Quezon City.

Budaya ‘bar girls’ adalah satu kebiasaan di Manila. Terdapat banyak ‘daerah lampu merah’ di seluruh Manila dan ini diketahui di seluruh dunia. Kerajaan Filipina ada menggubal Akta Anti-Pemerdagangan Manusia namun ternyata, ia hanya sekadar protokol. Sekadar mengaburi mata dunia. Tiada langsung pengawalan atau tindakan tegas bagi membendung budaya jelik ini. Industri seks merupakan industri yang paling menguntungkan di Manila. Cerita-cerita bahawa pihak berkuasa Filipina juga terlibat dalam mengembangkan industri seks ini bukanlah perkara baru atau asing.

Aku melintasi ruangan VIP yang bertutup dengan langsir yang berona keemasan itu. Aku tidak mempunyai pandangan yang jelas dari luar, dengan ini aku terpaksa mencari jalan untuk masuk ke dalam kawasan itu. Ketika aku cuba membuka pintu, aku dihalang oleh ‘bouncer’ kelab tersebut. Aku hanya katakan yang aku tersilap tempat. ‘Bouncer’ itu memandangku dengan penuh curiga. Aku kembali ke tempat yang sama di mana aku meninjau ‘kandang kaca’ itu. Mataku tertancap pada kelibat seorang kanak-kanak perempuan berbaju merah dengan nombor 6667 tersemat di dadanya. Matanya kelihatan garang. Kulitnya sawo matang dan bertubuh kecil.Dia barangkali berusia 8 atau 9 tahun. Aku menghampiri pintu ‘kandang’, meminta pengawal membawakan aku kanak-kanak bernombor 6667 itu.

“She is 35,000 peso,” kata pengawal itu sambil menolak kanak-kanak itu padaku.

Kanak-kanak itu merenung garang pengawal itu. Pengawal itu mengangkat tangannya untuk menampar, dengan pantas ku pegang tangannya. Pengawal itu memandangku garang. Tangannya ku lepaskan.

“Don’t ruin my asset, OK.”

Aku mengunjukkan sampul berisi 35,000 peso padanya. Dia mengambilnya, lalu mengira kepingan wang tersebut.

“I will prepare the documentation,”

Mataku kembali pada kanak-kanak itu. Dia merenungku tajam. Aku cuba tersenyum padanya.

“Anong pangalan mo? (Apa nama kamu)”

“Tak faham.”

Mataku membuntang mendengar jawapan singkat budak ini. Aku merendahkan badan, memegang bahunya sambil mendekatkan bibirku pada telinganya.

“Adik orang Malaysia?”

Dia juga bagaikan terkejut mendengar soalanku. Perlahan dia menganggukkan kepala. Tiba-tiba aku terpandang kelibat Paolo Manolo sedang berjalan masuk ke dalam Pippi Rose bersama beberapa lelaki lain yang berpakaian kemas, mungkin juga tetamu atau pelanggannya, menuju ke arah ruangan VIP. Aku memegang bahu budak itu dengan pantas.

“Siapa nama?”

“Lina.”

“Dengar sini, Lina. Kakak akan tolong kamu keluar dari tempat ini. Tapi Lina kena tolong kakak. Duduk baik-baik di sini. Kakak ada kerja. Nanti kakak datang balik,”

Lina mengangguk perlahan. Aku mengarahkan pengawal itu membawa Lina ke tempat dudukku dan memesan jus oren dan ‘club sandwich’ untuk Lina. Dengan pantas, aku cuba mengejar kumpulan itu dengan harapan agar kesemua wajah mereka dapat aku rekodkan ke dalam kameraku. Pengecaman akan dilakukan selepas itu dan aku akan memohon pertolongan Rosdi untuk membantu aku dalam proses ini.

Dalam kekalutan untuk mengambil visual kumpulan tersebut, punggungku diraba oleh seseorang. Aku berpaling untuk menampar bedebah itu, namun jantungku berdegup kencang melihat lelaki di hadapanku. Dato Sri Rahmat Bachtiar, Menteri Pembangunan Wanita. Mungkin dialah yang dimaksudkan oleh Rosales tempoh hari. Rahmat Bachtiar yang tersenyum nakal memandangku. Dia cuba mengelus buah dadaku namun tangannya ku tepis pantas. Perlahan air mukanya bertukar. Dia memandang wajahku seolah-olah otaknya sedang memproses maklumat penting.  Aku tidak mahu menunggu dengan lebih lama di situ. Aku harus mendapatkan Lina.

Aku melangkah pantas lalu mencapai tangan Lina. Lina hanya akur mengikutiku tanpa menghabiskan ‘club sandwich’nya. Aku berpaling ke belakang dan aku dapati Rahmat Bachtiar sedang berbicara sesuatu dengan wajah cemas kepada delegasi Paolo Manolo. Aku yakin dia sedar siapa aku sebenarnya. Tanpa membuang masa, aku terus berlari keluar dari Pippi Rose. Aku terdengar derapan tapak kaki yang kuat di  belakangku.

“Stop her! She’s a reporter! Punyeta (Celaka)!”

Aku berlari sekuat hati, tangan Lina ku tarik bersama. Terdapat sebuah meja IBM menghalangi pintu keluar, aku dan Lina sama-sama tunduk dan meluncur keluar dari bawah meja itu. Aku berlari menuju ke jalan besar. Jalanraya Manila sememangnya sibuk dan sarat dengan kereta dan pelbagai kenderaan lain. Tuhan tidak melupakan aku. Ketika sampai sahaja di jalanraya, lampu isyarat bertukar merah. Aku dan Lina berlari menyeberangi jalan raya.

Bamm! Bamm!

Kedengaran bunyi tembakan sebanyak dua das. Aku sudah tidak peduli lagi. Kakiku hanya terus melangkah pantas. Aku ternampak sebuah jalan sempit yang penuh dengan manusia. Aku terus membelok ke kawasan itu. Kawasan tersebut bagaikan sebuah pasar malam. Sibuk dengan aktiviti penjualan dan bingit dengan jeritan tawaran harga. Aku dan Lina menyelit di lautan manusia itu. Kemudian, aku berpaling ke belakang seketika. Tidak kelihatan kuncu-kuncu Paolo Manolo, namun aku tidak mahu leka. Aku mencari ruang untuk melepaskan lelah dan membuat beberapa panggilan.

Aku menyusup masuk ke belakang gerai menjual mi celup, yang kelihatan agak terpencil. Aku membeli air botol lalu kuserahkan pada Lina. Kasihan dia. Tercungap-cungap kepenatan namun pada wajahnya tidak ada rasa takut. Gadis kecil ini adalah seorang yang sangat berani. Aku menelefon Rosales.

“I have been compromised!”

“Damn it!” Kemudian Rosales terdiam seketika.

“Look, Sara. You have to get out from this country tonight. Don’t use the public transport and do not go back to your hotel. Don’t go to the airport or railway station. They will find you. You have no idea how crazy the network is. After this conversation, don’t call me again. I have to lay low too. Good luck!”

“Rosales! Rosales!”

Celaka!

Otakku ligat mencari jalan. Tanganku menarik rambutku yang sepanjang paras bahu ke belakang.

Fikir, Sara! Fikir! Kau tak nak mati di Manila, bukan?

Otakkku yang berputar laju mencari jalan keluar membuahkan satu nama. Rosdi. Lalu dengan pantas, nombor telefon Rosdi ku dail menggunakan ‘speed dial’. Rosdi sudah pun tidur ketika aku menelefon dia. Namun nada suaranya bertukar segar apabila terdengarkan suaraku yang hampir separuh menjerit. Aku menceritakan apa yang berlaku.

“Ini kes berprofil tinggi,” kata Rosdi, sambil menahan kuap.

“Aku tahu, Di. Aku kena bawa budak ni keluar dari Quezon City, malam ini juga. Kalau tidak, mati aku, Di!”

Rosdi terdiam. Barangkali memikirkan cara terbaik untuk menyelesaikan konflik ini. Telefon bimbit terasa panas di tanganku. Aku memandang kiri dan kanan. Jalan sempit dan sibuk itu dipenuhi dengan pelbagai jenis manusia yang sedang berdagang mengingatkan aku pada Pasar Karat di Kuala Lumpur. Aku cemas. Aku tidak kenal sesiapa di sini selain Rosales, dan aku juga tidak tahu bagaimana rupa musuh yang mengejar.

Aku menarik skirt kulit pendek yang sudah mendedahkan separuh pahaku. Lemas. Jikalau tidak terpaksa, aku tak ingin menyarungkan pakaian yang menjolokkan mata begini. Budak yang bernama Lina itu memegang pahaku. Aku menggosok kepalanya.

“Di!”

“Ya, aku masih berfikir ni. Sekejaplah!”

Bamm!

Serentak dengan itu, manusia-manusia yang berkeliaran di jalan yang sempit itu bertempiaran lari sambil menjerit “Saklolo! Saklolo!Saklolo!”

Cuping telinga kiriku terasa perit. Darah lelasan tembakan! Mataku meliar. Stilleto 7 inci itu aku tanggalkan dengan pantas. Aku tekad untuk berkaki ayam sahaja. Telefon bimbit yang telah ku rantai di tali pinggangku, aku selitkan saja dalam seluar dalam. Beg tangan ku kepit rapat.

Dengan pantas, aku mencapai tangan Lina dan kami berlari dengan sekuat hati kami. Terdengar beberapa das tembakan lagi. Ada yang mengenai lampu jalan, ada yang mengenai dinding bangunan. Lina terjerit. Aku melajukan langkah.

Aku takkan mati hari ini!

***

Aku ternampak ada tingkap yang terbuka pada bangunan yang kelihatan buruk dan tidak terurus itu. Aku mengangkat Lina dan menyuruhnya lompat masuk ke dalam bangunan itu. Kemudian, aku pula menyusup masuk. Aku meninjau dalam bangunan itu. Ia kelihatan seperti sebuah rumah, dalamnya kelihatan bersih. Barangkali ada penghuninya, namun mereka tiada di dalam rumah. Dari dalam rumah itu, aku meninjau jika ada kuncu-kuncu Paolo Manolo yang masih berada di luar. Lina masih memegang pahaku. Peluh di dahinya dikesat perlahan. Sekarang baru terasa pedihnya tapak kakiku yang calar-balar akibat memamah kasarnya jalan bitumen di sekeliling Quezon City. Aku memegang cuping telingaku yang terkena lelasan tembakan. Darah telah kering namun peritnya masih terasa.

Aku mengeluarkan telefon dari seluar dalamku. Terdapat 35 ‘missed calls’ dari Rosdi. Aku terus mendail nombornya.

“Syukurlah kau masih hidup!”

“Tak semudah itu untuk aku mati, Di. Aku pasti akan pulang membawa maklumat ini. Kita akan menyelamatkan ramai anak-anak yang tidak berdosa.”

Rosdi terdiam. Barangkali dia sudah lali dengan situasiku. Aku memang pandai melibatkan diri dalam situasi yang kompleks. Aku juga tahu Rosdi sentiasa mempunyai jalan keluar untukku walaupun dalam situasi yang tidak terduga. Dia memang seorang pegawai polis yang berbakat.

“Dengar sini baik-baik. Pergi ke Manila Port, berdekatan dengan Metro Manila Shipyard. Ada sebuah bot nelayan bernama Kelly Lesley, pemandunya bernama Emirez. Kau naik bot tu.”

“OKlah,”

“Sara?”

“Ya?”

“Jaga diri baik-baik. Aku tak mahu buka fail tersulit di komputer aku sendiri. Aku mahu maklumat ‘fresh’ dari kau,”

Entah mengapa, aku terasa tenang sekali mendengar suara Rosdi. Aku menekan butang merah pada telefon dengan pantas, mengangkat Lina yang tertidur keletihan ke atas belakangku. Perlahan-lahan aku keluar dari rumah itu dan menahan jeepney di tepi jalan.

***

Jam menunjukkan pukul 1 pagi ketika aku sampai di Metro Manila Shipyard. Aku terhendap-hendap mencari Kelly Lesley. Ketika aku menjumpainya, seorang lelaki berambut pendek dan kerinting telah pun menghidupkan enjin bot.

“Emirez?”

“Are you Sara? Hope in. Let’s go,”

Emirez membuka ruang yang paling bawah bot, di bahagian buritan kapal lalu menyerahkan selimut dan beg plastik. Katanya, gunakan beg plastik untuk muntah dan membuang air kecil dan besar dan gunakan air laut untuk mencuci. Ruang bawah bot itu hanya cukup untuk aku dan Lina duduk dan berbaring. Terdapat sebuah bekas air 7 liter berisi air minum juga beberapa kotak biskut. Itulah bekalan kami sepanjang perjalanan. Emirez melarang aku dan Lina keluar dari ruang itu sehingga sampai di Malaysia. Aku memandang Lina yang sudah mengantuk benar dan keletihan lalu aku baringkan dia di ruang itu. Badannya aku selimutkan. Dingin malam menggigit tubuhku yang yang dibaluti pakaian yang tidak cukup kain itu.

Aku hanya mampu berdoa pada Tuhan agar aku dan Lina selamat sampai ke Malaysia.

***

Entah berapa hari aku dan Lina berada di laut, aku tidak pasti. Yang pasti, aku berasa amat kotor, lapar dan sejuk. Aku fikir Lina juga begitu namun dia tidak merungut atau mengeluh. Aku sangat kagum dengan gadis kecil ini. Keberanian dan ketabahannya menjadi inspirasiku. Sesekali dia memelukku. Mungkin kerana kesejukan. Aku memeluknya kembali. Tubuhku terasa tidak bermaya kerana kami hanya menjamah biskut dan air kosong. Lina telah membuang air besar sebanyak dua kali. Perutku pula tidak terasa ingin membuang air besar. Kerana itu, perutku berasa tidak selesa.

Hari sudah menjelang malam, pada fikiranku. Melalui celah-celah dinding bot, aku tidak dapat melihat apa-apa.

Tiba-tiba, aku terdengar seperti bunyi tembakan senjata M-16. Aku merasa sangat terkejut. Nafasku mula turun naik. Dalam kegelapan itu, Lina memelukku erat. Aku mendakap tubuh kecil itu. Apakah ini pengakhirannya?

Kedengaran derap kaki yang semakin jelas. Barangkali 7-8 orang lelaki sedang berada di atas bot. Buah butir percakapan mereka tidak jelas. Kedengaran dentingan keluli beberapa kali, seolah-olah bunyi senjata yang digalas pada tubuh ketika memanjat sesuatu. Derap tapak kaki yang kuat dan pantas itu semakin jelas kedengaran. Mereka menghampiri ruang kami. Perbualan mereka juga semakin jelas. Aku memejamkan mata. Sensasi sejuk akibat adrenalin yang laju mengaliri setiap inci tubuhku kian terasa. Peluh dingin memercik di dahi.

Tuhan, selamatkan aku dan anak ini …

Pintu ruangan itu dibuka.

Aku hanya mampu memeluk Lina seeratnya.

***

Tanganku dicapai lalu ditarik ke jeti dari bot PA-24 itu. Lampu jeti yang terang menyilaukan mataku. Aku hanya mampu berjalan menurut arahan mereka. Dari jauh, kelihatan tubuh tinggi dan sasa sedang berpeluk tubuh memerhatikan kami bersama beberapa orang lelaki yang lain. Kakiku yang togel tanpa kasut terasa begitu sejuk memijak jeti konkrit itu. Setelah semakin hampir dengan mereka, kian jelas apa yang berlaku di hadapanku.

Di belakang lelaki-lelaki itu terdapat papan tanda yang besar bertulis ‘Jeti Pulau Tioman’. Apabila aku amati wajah-wajah lelaki itu, terdapat satu wajah yang amat aku kenali.

Rosdi mengambil langkah setapak di hadapanku. Dia memandang wajahku begitu lama tanpa berkata apa-apa. Riak wajahnya menunjukkan rasa kelegaan. Aku tidak dapat menafsir rasa yang terperuk di dalam hatiku setelah melihat wajah Rosdi. Gembira, sedih, lega, semuanya bercampur-baur. Lantas aku memeluk Rosdi seeratnya. Aku dapat merasakan tubuh Rosdi bagaikan kejang seketika. Dia kaget barangkali dengan tingkahku. Aku tidak peduli lagi apa yang Rosdi fikir. Aku hanya bersyukur benar melihat wajahnya di situ. Kemudian dia menggosok rambutku perlahan.

“Kau selamat.”

Dia membuka jaketnya dan menanggalkan kasutnya, lalu menutupi badanku yang hanya berbalut bustier dan skirt kulit pendek dan memakaikan kasutnya padaku. Kami dibawa ke Markas Polis Marin Pulau Tioman untuk bermalam di situ.

***

Lina telah dipulangkan kepada keluarganya. Rupanya Lina telah hilang selama 2 tahun. Keluarganya bergegas ke Markas Pasukan Polis Marin Kuantan setelah mengetahui Lina dijumpai. Aku sempat merekodkan pengalaman Lina. Dia menceritakan semuanya bagaimana dia diculik, bagaimana dia diseksa dengan kejamnya dan dibawa ke Filipina untuk dijual oleh sindiket pemerdagangan manusia.

Aku sudah menelefon Emran dan menceritakan apa yang berlaku. Emran amat risaukan keselamatan aku dan mahu aku menyiapkan laporan untuk disiarkan dalam Harian Galaksi dalam kadar yang segera. Serampang dua mata. Dia mahukan aku selamat dan dalam pada masa yang sama mahu segala pelaburannya untukku berbaloi.

“Makan.”

Aku mendongak. Rosdi kelihatan sangat kacak berpakaian awam berbanding pakaian seragam. Dia kelihatan terlalu garang dalam uniform. Dia meletakkan bungkusan makanan di tepi Mac Air yang diterbangkan oleh Emran padaku untukku selesaikan laporan segera. Aku membetulkan cermin mata dan bilang padanya yang aku mahu menyiapkan laporan terlebih dahulu. Dia hanya tesenyum sambil menggeleng. Dia sudah mangli dengan kegilaanku. Barangkali kerana itulah dia tidak berkata apa-apa selepas itu.

“Sampai bila kau akan berada di sini, Di?”

“Sampai Isnin.”

Maknanya dia akan berada di sini denganku dalam masa 3 hari sahaja. Aku tidak mampu menyiapkan semua dalam masa 3 hari. Aku tak pasti apakah rancangan Dato Seri Rahmat Bachtiar terhadapku. Yang aku pasti nyawaku memang dalam bahaya. Pastinya dia tidak mahu kedudukannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita dan ahli politik terjejas dengan cerita ini dan mahu menutup mulutku segera.

Menteri Pembangunan Wanita. Ptui!

Tajuk yang aku inginkan bagi artikel ini adalah Rahmat Bachtiar, Menteri Perosak Wanita. Barulah gempak.

“Jadi bila kau nak serahkan semua maklumat padaku agar aku boleh memulakan siasatan?” katanya sambil memeluk tubuh di hadapanku. Kelihatan jelas sekali bentuk dadanya yang berotot dan bidang itu. Perlahan aku menelan air liur. Aum! Seksi betul.

Aku hanya tersenyum padanya.

“You know the game. Semuanya akan aku serahkan pada kau setelah artikel aku disiarkan dalam Harian Galaksi.”

Rosdi hanya tersenyum miring.

***

Tersiarnya artikel aku menyebabkan Rahmat Bachtiar ditangkap untuk siasatan. Maklumat juga telah aku serahkan pada ILO dan UNICEF. Sementara itu, melalui Rosdi, Interpol juga memulakan langkah untuk memusnahkan sindiket ‘pasar pedofilia’ di Filipina, menyebabkan kerajaan Filipina terpaksa bertindak tegas menggunapakai Akta Anti-Pemerdagangan Manusia yang selama ini hanya cantik di atas kertas. Melalui Rosales, aku dapat tahu bahawa kanak-kanak yang diperdagangkan telah berjaya diselamatkan dan kini telah dipulangkan kepada keluarga masing-masing yang berada di sekitar Asia Tenggara. Hatiku berasa amat lega mendengar berita ini.

“My girl, Sara. Tak pernah mengecewakan aku,” kata Emran sambil tertawa besar.

Majlis meraikan kejayaan artikelku di Harian Galaksi berlangsung dengan meriahnya. Artikelku mendapat perhatian antarabangsa, barangkali yang paling berjaya dalam karierku sebagai wartawan penyiasatan.

Lina ada menghantar kad ucapan terima kasih padaku. Katanya dia sangat gembira dapat kembali kepada keluarganya dan kembali ke sekolah. Suatu hari nanti, dia nak jadi wartawan sepertiku. Aku tersenyum membaca tukilannya. Aku yakin Lina boleh mencapai cita-citanya. Dia seorang anak yang berani.

“Tahniah.”

Rosdi menghampiriku lalu menyerahkan gelas berisi jus oren. Aku menyambutnya. Aku hanya mengangkat bahu. Rosdi mengerutkan dahi melihat telatahku. Mataku hanya memandang rakan-rakan sekerjaku yang tertawa bersama Emran. Mereka juga bakal menerima bonus yang lebat disebabkan oleh artikelku. Penjualan akhbar melambung ke langit.  Aku gembira dengan keadaan ini namun jiwaku masih belum tenteram. Bagaikan ada yang terlepas pandang.

“Kau tak happy?”

“Paolo Manolo masih belum ditangkap,” kataku sambil menundukkan wajah. Keluhan berat aku lepaskan.

Masih terbayang di fikiranku, wajah anak-anak yang tidak berdosa diperlakukan bagai binatang, dan juga wajah anak-anak remaja yang terlompat-lompat separuh bogel di atas pentas, diperlakukan secara ganas oleh pedofilia yang bernafsu binatang.

Rosdi menepuk bahuku.

“Kau dah buat bahagian kau.”

Aku mengangguk. Rosdi memandang wajahku bagaikan ingin mengatakan sesuatu. Aku mengangkat kening.

“Bahagian aku pula bagaimana?”

Aku tersenyum sambil cuba berlalu. Namun lenganku dipegang Rosdi. Matanya tepat memandang wajahku.

“Sampai bila kau nak lari daripada menjawab soalan aku?”

“Masihkah kau sanggup menahan kehidupan aku yang serba celaru ini?”

Rosdi tersenyum.

“Aku akan tunggu sehingga kau bersedia.”

Aku tahu apa yang Rosdi mahukan. Tak mungkin aku boleh memberikan komitmen itu. Hidup kita penuh dengan agenda di bawah karpet yang perlu dibongkar. Wartawan bertanggungjawab memberi informasi dan menghalang pembodohan masyarakat. Tidak dinafikan, terdapat segolongan wartawan yang memanipulasikan kuasa hebat media untuk menyebarkan propaganda, namun aku bukanlah dari golongan itu. Aku akan menjadi kuasa neutral, menyampaikan hanya yang benar dan benar sahaja, dari perspektif yang lebih meluas agar masyarakat tahu apa yang tidak kena dengan kehidupan kita masa kini.

Selagi tubuhku berdaya, akan kupanjat Gunung Pinatubo sekali pun untuk mengejar … cerita eksklusif.

Glosari

Cherry girls and boys – masih dara

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s