THOUGHTS – ANTARA KELUARGA DAN CITA-CITA

Suatu ketika dahulu, aku pernah menginginkan untuk menjadi seorang pegawai tentera. Keluargaku membantah habis-habisan. Entah mengapa, tidak ada jawapan konkrit yang diberikan. Semua alasan-alasan itu, adalah picisan pada taakulanku, maka akalku menolak mentah semua rasionaliti mereka. Sudahnya, aku mengambil keputusan untuk membantah keputusan keluargaku dan meneruskan latihan sehinggalah ibu berkata,

“Sekiranya kau melangkah masuk ke dalam kem lagi, kau bukan lagi anakku!”

Tegas sekali nada suara ibu. Jelas ibu tidak main-main dengan kata-katanya. Aku tahu. Kerana kedegilan itu aku warisi darinya. Maka langkahku terhenti. Sedang gerbang kem yang gah berdiri di hadapanku, aku berundur setapak demi setapak, dengan airmata berguguran di pipi. Aku akur. Tamatlah kisah ‘combat’ impianku di situ.

Maka aku melakukan pelbagai pekerjaan selepas itu, menggunakan sifat kepimpinan yang ada dalam diriku untuk mengepalai pelbagai sektor syarikat swasta, namun kepuasan hidup tiada di sana. Jelas aku masih belum menjumpai diri dan jiwaku di dalam setiap perkara yang aku lakukan. Pada masa yang sama, aku belajar mengenal diriku. Aku adalah seorang yang suka mengambil risiko dan aku juga sukar menerima arahan orang lain. Mungkin ada rahmatnya, aku tidak menjadi pegawai tentera. Jika tidak, aku akan menyumpah diriku sendiri setiap kali menerima arahan yang tidak diterima oleh akal dan jiwaku, sedangkan kepatuhan kepada arahan, menjadi nadi dalam jiwa setiap manusia yang menyarung uniform tentera.

Namun begitu, dalam pencarian yang belum terhenti ini, aku menjumpai bidang sukarelawan. Perlahan-lahan, aku jatuh cinta padanya. Aku bukanlah malaikat yang tiada berdosa, namun aku punya rasa empati yang tinggi. Aku suka melihat manusia lain tersenyum. Maka, aku tinggalkan semua jawatanku dalam syarikat korporat dan mula berkecimpung dalam bidang sukarelawan.

Aku ada bilang pada keluargaku, aku ingin menyumbang bakti di zon peperangan dan kebuluran. Sekali lagi, keluargaku membantah habis-habisan. Pelbagai alasan picisan ditaburkan, sekali lagi, dan sudah pastinya, mindaku sudah menolak segarangnya, tetapi ku kunci mulutku seketat-ketatnya. Aku biarkan diri dihujani alasan mereka selebatnya, sebagaimana lebatnya kasih sayang mereka padaku. Aku tahu. Aku juga sayang akan mereka.

Aku cuma berharap ibu tidak membuang aku sebagai anaknya, sekali lagi. Kali ini, tekad aku begitu kuat. Aku sedang mencari jalan untuk meneruskan misiku, tanpa pengetahuan keluarga.

Maafkan aku, ibu. Aku bukanlah anakmu yang terbaik.

Hidup kita terlalu pendek untuk takut kepada kegagalan dan kematian. Hidup kita terlalu pendek untuk mengeluh sepanjang waktu. Terlalu singkat untuk risau hal-hal picisan. Terlalu hebat untuk dihabiskan sekadar mencari duit.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s