CIKGU JANGGUT (CF)

Aku tergumam.

Wajah tua itu berdiri di hadapanku. Dahulu janggutnya hitam, kini memutih bagaikan berus lukisan sekolah. Dia turut terkesima melihat aku tanpa berkelip. Barangkali masih cuba mengingati siapa gadis yang berdiri di hadapannya, yang memandangnya bagaikan ternampak hantu.

Serta-merta fikiranku melayang kepada belasan tahun yang lalu, ketika aku masih lagi di alam remaja …

***
“Cepatlah! Lembab nak mampuslah kau ni,” kata Aisha sambil menolak sikuku. Aku mendengus. Perengkuh dawai terlepas dari tanganku. Suasana di tanah perkuburan itu sunyi seketika. Malam yang gelap itu sedikit pun tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan rancangan yang telah kami susun di ¬†bilik dormitori.

“Hey, kau ingat kalau kau tolak aku, kita boleh cepat-cepat keluar dari sini?” marahku pada Aisha. Aisha terdiam lalu tunduk. Hashima menyuluh pada pagar dawai yang masih utuh.

“Korang mahu ditangkap ke? Cepatlah,” kata Hashima dengan suara yang sedikit kuat. Suaranya dikawal agar tidak didengari oleh pengawal.

Aku segera memotong dawai pagar, membuat lubang yang sepadan dengan ketinggian kami bertiga. Setelah berjaya, kami bersorak perlahan lalu keluar menjejak kaki ke tanah perkuburan itu.

“Ohh… tok nenek anak cucu tumpang lalu,” kata Aisha perlahan. Aku menunjal dahi Aisha.

“Bagi salamlah, bodoh. Ni tanah perkuburan Islam,”

Aisha terpisat-pisat. Aku memang suka melihat wajah Aisha begitu setiap kali aku mengusiknya.

“Assalamualaikum ya ahlil kuburrrrrrrrrr …” kata Aisha, perlahan. Aku dan Hashima ketawa. Kami berlari pantas meninggalkan tanah perkuburan itu, menuju ke jalan raya yang berdekatan. Hashima menahan teksi, akhirnya kami berjaya sampai ke Lolla Parade.

Kami ketawa terbahak-bahak. Misi berjaya!

Peperiksaan SPM hampir tiba. Aku, Aisha dan Hashima tidak tertanggung lagi stres di kepala lalu kami bercadang untuk keluar secara haram dan bermain boling di Lolla Parade.

Aisha sudah pun menanggalkan tudungnya, mendedahkan rambutnya yang diwarnakan perang. Aku dan Hashima juga menanggalkan tudung. Barulah rockers! Kami pun mula bermain boling sebanyak 3 ‘game’. Terasa ringan kepala. Masing-masing sudah bertungkus-lumus menelaah pelajaran selama beberapa jam. Bukankah kami berhak berehat juga?

“Ehem!” kedengaran suara yang biasa didengari berdehem di belakang kami. Perlahan-lahan aku memalingkan wajah. Terasa darah tiba-tiba berderau ke kepalaku. Janggut. Tegak dihadapanku dengan senyuman miring menandakan hukuman berat yang bakal kami terima kerana keluar dari sekolah secara haram.

“Dah puas main boling? Hilang stres? Amboi, keluar dari sekolah, tudung pun hilang ya!”

Hashima menelan air liur. Muka Aisha menjadi pucat bagaikan tidak berdarah.

Keesokannya, masing-masing berbirat tangan dirotan setelah keluar dari Bilik Guru Disiplin.

***
“Cilaka Janggut tu!” kata Syazwan, menyumpah guru disiplin yang terkenal garang itu. Dia menggosok tangannya yang berbirat dirotan kerana ditangkap merokok.

Aku hanya senyum miring pada Syazwan.

“Memang padan muka kau pun. Banyak cara hilangkan stres, kau pergi merokok buat apa? Bodoh,”

“Hey Pinat, kau mana tahu nikmat merokok? Bila asap dihembus … pusss … keluar stres. Cikgu pun patutnya fahamlah. Kita stres. Bakal menghadapi peperiksaan besar. Longgarkan sedikit peraturan, tak bolehkah?”

“Yalah tu. Sekolah larang merokok, kau hisap juga. Kalau sekolah benarkan rokok, agaknya kau hisap ganja pula,” perli aku. Aisha dan Hashima mengangguk tanda setuju. Syazwan hanya mendengus.

Tiba-tiba, Fakhrul berlari ke arah kami. Termengah-mengah dia menahan nafas.

“Kau ni kenapa pula?”

“Kau tak dengar ke? Janggut mencadangkan Fathi, Anwar, Syahir dan Fadil dibuang sekolah!!”

“Apa!!!”

***

Aku menahan Janggut di pertengahan korridor. Janggut memandangku bersahaja.

“Kenapa Pinat? Ada masalah?” kata Janggut, tenang. Janggut tak pernah memanggilku dengan nama sebenar sebagaimana guru lain. Malah aku rasa, antara aku dan Janggut, ada keserasian yang aneh. Mungkin kerana kerap kali aku melawat pejabat Janggut dengan tangan berbirat.

“Cikgu tak boleh buang Fathi, Anwar, Syahir dan Fadil. SPM dah dekat, cikgu!” kataku membela teman-teman rapatku itu. Janggut menolak bahuku dan meneruskan perjalanannya ke Bilik Guru Disiplin.

“Cikgu!”

“Pinat, kamu jangan masuk campur. Kawan-kawan kamu sepatutnya lebih faham dengan akibat daripada tindakan mereka,” Janggut sudah memegang tombol pintu.

“Mereka tak bersalah, cikgu!”

Janggut melepaskan tombol pintu.

“Mana kamu tahu? Kamu ada di sana waktu kejadian?”

Aku terdiam. Janggut menggeleng lalu memulas tombol pintu dan masuk ke biliknya dengan tenang.

***

Pelajar-pelajar sudah pun memasuki dewan. Guru-guru juga telah mengambil tempat masing-masing. Bagaikan pencuri, aku, Aisha, Hashima dan Zulfikar berbisik-bisik di belakang dewan. Zulfikar menyerahkan teks ucapanku yang telah dicop dengan perkataan ‘LULUS’.

“Nah, Pinat. Biar cikgu-cikgu tahu yang kita takkan berdiam diri melihat masa depan kawan-kawan kita hancur begitu sahaja. Kita semua pelajar cemerlang. Cikgu tak ada hak untuk rosakkan masa depan kita,” kata Zulfikar, yang merupakan ketua pengawas sekolah. Semua ucapan yang bakal disampaikan oleh pelajar ketika perhimpunan harus melalui saringan guru dan diluluskan oleh Penolong Kanan sekolah, barulah boleh disampaikan. Namun Zulfikar, menggunakan kedudukannya sebagai ketua pengawas, telah ‘meminjam’ cop LULUS itu, entah bagaimana. Zulfikar juga percaya yang Fathi, Anwar, Syahir dan Fadil tidak bersalah, maka dengan itu berpakat dengan kami.

“Tugas ini sememangnya untuk kau, Pinat. Sebagai ketua pasukan bahas sekolah, tiada yang lebih baik lagi untuk tugas ini,” kata Aisha sambil menepuk bahuku. Syazwan dan Fakhrul baru sampai di belakang dewan.

“Hoi! Perhimpunan dah nak mula!” jerit Syazwan.

Aku naik ke atas pentas dengan tenang. Ah! Pentas ini permainanku. Tidak pernah aku diserang fobia pentas. Barangkali aku dilahirkan di atas pentas. Entahlah. Cikgu Rohana meminta teks ucapanku. Dia berpuas hati melihat tanda LULUS pada teks tersebut.

Zulfikar mengangkat ibu jari tanda ucapan selamat berjaya. Aku membetulkan blazer dan tali leherku. Tudung kulipat secantiknya, sehingga berbentuk muncung tirus ke depan.

“Berdirinya saya pada hari ini, untuk membicarakan, perihal bagaimana guru-guru berfikir yang mereka ini Tuhan, layak untuk memusnahkan masa depan pelajar-pelajar mereka sendiri!”

Mendengar kata-kataku, para pelajar bersorak ganas. Ada yang mengambil bunga lalu berlari ke atas pentas dan diberikan padaku. Para guru berpandangan. Pengetua tidak senang duduk. Janggut memandangku dengan perasaan marah. Aku tidak peduli. Biar aku luahkan semua hari ini.

Ucapanku yang berapi diteruskan dengan sorakan demi sorakan, sehingga aku ditarik keluar oleh Cikgu Rohana. Serta-merta perhimpunan disuraikan.

***
Bilik guru disiplin terasa biasa saja hawanya. Ini bukan pertama kali aku ke sini. Aku tidak takut dengan Janggut. Aku merenung papan nama Janggut yang berukir, “En. Mohammad Radzi, Guru Disiplin”

Kedengaran pintu bilik dibuka, Aku cepat-cepat duduk tegak menghadap meja Janggut. Janggut duduk di hadapanku, lalu memandang wajahku dengan lama sekali. Kemudian, melepaskan sebuah keluhan berat.

“Saya hairan, bagaimana seorang pelajar yang pintar seperti kamu, boleh bertindak tanpa berfikir sedalamnya. Bagaimana seorang pelajar pintar dan berbakat seperti kamu, boleh nakal sebegini. Apa gunanya kepintaran jika sikap tidak menyamai kepintaran?”

Bla … bla … bla … masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Aku mendengar acuh tidak acuh sahaja.

Tiba-tiba Janggut mengeluarkan beberapa keping gambar lalu diserahkan kepadaku.

“Tengok!” Janggut memberi arahan. Aku mengambil gambar itu. Ada kapak kecil, buku lima, pisau belati, sebatang kayu panjang dan kayu hoki. Aku mengerutkan dahi.

“Apa ni, cikgu?”

“Saya takkan buang pelajar, kalau setakat bergaduh. Tapi kawan-kawan kamu merancang rusuhan. Kamu fikir apa akan terjadi kalau mereka terus dibiarkan di sekolah ini? Ini Sekolah Sains Mega Maya. Sekolah elit pelajar-pelajar pintar. Ini bukan sikap pelajar pintar. Ini sikap gengster. Saya tidak menghebahkan perkara ini kerana saya mahu mereka boleh bersekolah di tempat lain, mengambil peperiksaan dan insaf,” kata Janggut sambil menarik nafas dalam.

Serta-merta, rasa bersalah menguasai diriku. Tak ku sangka, Fathi, Anwar, Syahir dan Fadil mampu merancang perkara yang sebegitu. Ya, mereka sangat nakal. Sangkaku, nakal mereka, hanya nakal biasa anak-anak remaja sekolah.

“Saya minta maaf, cikgu. Saya benar-benar minta maaf!” aku menahan sebak. Aku benar-benar bersalah terhadap Janggut. Aku telah bertindak melulu. Aku telah memalukan Janggut dan cikgu-cikgu lain tanpa mengetahui atau menyiasat hal sebenar. Aku terlampau mengikut hati.

Janggut hanya menggeleng. Dia menyuruh aku keluar dari pejabatnya dengan tenang. Dengan berat hati, aku melangkah keluar dari pejabatnya.

Tidakku sangka, itulah kali terakhir aku melihat Janggut kerana Janggut telah menghantar notis berhenti kerja 24jam pada hari yang sama.

Tuhan, ampunkan kesalahanku pada Cikgu Mohammad Radzi.

***
“Cikgu!”

Aku berlari, mencapai tangan Cikgu Mohammad Radzi lalu menciumnya berkali-kali. Airmataku menitis laju.

Akhirnya Tuhan menjawab doaku. Beberapa tahun aku dihurung rasa bersalah. Mencari Cikgu Mohammad Radzi di merata-rata tempat. Cikgu Mohammad Radzi mengelus rambutku. Aku tidak peduli kalau manusia-manusia di pusat membeli-belah itu memandang aku dengan penuh tanda tanya.

“Pinat, ya?” katanya, perlahan. Aku mengangkat kepala. Mata Cikgu Mohammad Radzi juga berkaca-kaca.

“Cikgu ingat saya?”

Cikgu Mohammad Radzi tersenyum. Cikgu kelihatan sangat lemah dan tua berbanding ketika aku masih bersekolah dulu. Aku terus menangis di hadapan Cikgu. Aku terasa amat berdosa.

“Mana mungkin saya lupa pada Pinat? Pelajar pintar, ketua pasukan bahas sekolah dan anak nakal yang sering melawat bilik saya. Tudung tak pakai juga,” kata Cikgu sambil tersenyum. Aku tertawa kecil sambil mengesat airmata.

“Saya tahu anak yang nakal ini akan jadi seorang yang hebat. Maka tak salah tekaan saya. Bekerja di PricewaterhouseCoopers sekarang, kan?”

Aku terkesima. Macam mana cikgu tahu?

“Cikgu tahu semua perkembangan anak murid cikgu. Tapi belum tentu anak murid cikgu tahu bagaimana keadaan cikgu,” kata Cikgu sambil tersenyum. Kali ini aku diserang rasa bersalah yang lebih kencang. Tangan cikgu kuraih sekali lagi, dan kucium.

“Ampunkan saya, cikgu. Pinat salah. Pinat minta ampun,”

“Dah lama cikgu ampunkan. Kamu masih terlalu muda ketika itu. Cikgu faham. Orang muda selalu melakukan kesilapan, tetapi memang begitulah cara mereka belajar. Cikgu harap kamu benar-benar belajar daripada kesilapan kamu,” Cikgu memegang kepalaku.

Aku mengangkat kepala. Wajah cikgu yang tua itu kurenung.

“Ya, cikgu. Pinat sudah belajar dan benar-benar insaf. Kalau tak kerana cikgu, mungkin Pinat tak sampai ke tahap ini. Terima kasih, cikgu!”

Cikgu Mohammad Radzi aka Janggut hanya tersenyum. Dia senyum sebagaimana sewaktu aku masih bersekolah dulu. Ketika aku keluar dari biliknya, dengan tangan berbirat. Dia senyum kerana dia tahu, kebencian pelajar padanya hanya sementara. Suatu hari nanti, mereka akan faham mengapa cikgu begitu tegas dan garang. Kini aku memahaminya.

Terima kasih, cikgu.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s