BIDADARI BISKUT BIN-BIN (CF)

Manusia yang melilau bagaikan lalat-lalat sampah di stesen keretapi yang besar itu memeningkan kepala Ben. Berasal dari bandar yang terpencil, Ben berasa janggal dengan gaya hidup metropolitan. Dia tidak pasti ke mana harus dituju. Dia membelek-belek peta kota itu ditangannya. Dia merenung lama peta laluan monorel di dinding stesen keretapi. Dia pening dan keliru. Dia menyesal kerana gagal dalam subjek Geografi sewaktu sekolah dahulu.

Tiba-tiba …

Whoosh! Hiya! Whoop! Wachaaaa!!!

Bagaikan dalam filem aksi Thailand Ong-Bak, gadis yang berada di belakangnya membelasah seorang lelaki pertengahan umur. Setelah dibelasah, lelaki itu berlari lintang-pukang tanpa memperdulikan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu. Ben ternganga. Tidak semena-mena, gadis itu menyerahkan dompet kulit miliknya. Ben berasa keliru.

“Kau sangat cuai untuk seorang lelaki yang hidup di kota metropolitan,”

Itulah cara dia mengenali Annie. Seorang guru Muay Thai di sebuah kota metropolitan yang begitu asing baginya. Annie menawarkan pertolongan kerana Ben kelihatan sangat sesat dan celaru. Dia menolong Ben mendapatkan tempat tinggal, menunjukkan kedai makan yang murah dan sedap, juga menunjukkan jalan ke ibu pejabat syarikat makanan segera, tempat dia akan melaporkan diri sebagai seorang pengurus cawangan sebuah restoran. Ben pastinya takkan dapat melakukannya seorang diri. Dia tiada saudara-mara mahupun teman-teman di sini. Annie bagaikan rahmat yang turun dari Tuhan padanya.

“Kau mesti bidadari yang Tuhan turunkan pada aku. Terima kasih. Pastinya hari ini akan menjadi hari yang paling melelahkan jika aku tidak berjumpa dengan kau,”

Annie hanya tersenyum.

****

Sejak dari itu, mereka menjadi teman rapat. Ben tertarik dengan Annie yang bijak, kelakar, tangkas dan bermulut tajam. Walaupun Ben berasa kurang senang dengan tingkah itu pada mulanya, namun Ben sedar, Annie sangat jujur. Annie juga sangat gemarkan Biskut Beras Bin-Bin. Ke mana-mana pun, pasti dia akan membawa biskut beras itu.

“Di sinilah pejabat pendaftaran,” kata Annie, ceria sambil mengunyah Bin-Bin. Ben tersedar dari lamunannya.

Segera dia mengeluarkan dokumen untuk menukar alamat pada kad identitinya. Annie terus ke hadapan untuk mengambil nombor giliran untuk Ben, dan tiba-tiba dia terlanggar seorang lelaki. Wajah Annie terus berubah. Mereka berbicara sesuatu dengan air muka yang kurang menyenangkan dan kemudian lelaki itu terus menarik tangan perempuan di sebelahnya. Perempuan itu melemparkan senyuman sinis pada Annie. Annie melangkah perlahan lalu menyerahkan nombor giliran kepada Ben.

“Kau OK?”

Annie hanya mengangkat bahu. Sepanjang petang itu, Annie hanya mendiamkan diri. Ben terasa janggal lalu dia mengajak Annie untuk makan malam. Mereka tidak banyak berbual. Akhirnya Ben tidak dapat menahan dirinya.

“Siapa lelaki yang terlanggar kau di pejabat pendaftaran itu?”

“Mantan suamiku,”

Rupanya Annie pernah berkahwin. Suaminya telah melarikan diri dengan perempuan lain. Mereka ke pejabat pendaftaran untuk mendaftarkan perkahwinan. Annie merupakan seorang anak yatim. Kekurangan kasih sayang yang diterimanya sepanjang hidup membuatkan dia mencintai suaminya sepenuh hatinya. Akhirnya dibalas pengkhianatan. Annie sudah putus asa dengan cinta dan terkadang membenci lelaki.

“Tapi kau tak benci aku?”

Annie senyum tawar.

“Kau bagaikan anak kucing sesat. Aku hanya menolong kau,”

Ben hanya mengangkat bahunya. Jawapan Annie sangat mengecewakannya. Ben sendiri tidak tahu mengapa. Ben tidak menghiraukan persoalan hatinya lalu menghantar Annie pulang ke apartmennya yang terletak di pinggir kota. Ketika cuba membuka pintu, tergopoh-gapah Annie mencari kunci lalu terjatuh. Annie cuba mengambil kunci itu, begitu juga dengan Ben. Tanpa sengaja, Ben tersentuh tangan Annie. Dia dapat merasakan sesuatu, bagaikan kembang api yang sedang meletus dalam hatinya. Perlahan Ben merenung wajah Annie. Annie juga terpaku memandang Ben. Alam bagaikan terhenti seolah mereka ditarik ke dalam dimensi lain. Waktu dan ruang menjadi tidak relevan. Tidak lama kemudian, Annie menarik tangannya. Ben bagaikan tersedar dari mimpi. Annie terus masuk ke dalam rumahnya.

Ben melepaskan sebuah keluhan yang berat. Sedang kembang api masih bersemarak di hatinya.

****

“Tunggu siapa? Tunggu Annie?” tanya teman sekerja Ben setelah dia tamat syif. Ben hanya tersenyum.

“Iyalah. Siapa lagi?”

Temannya menepuk bahu Ben. “Kau dan Annie ada apa-apakah?” Ben hanya mampu tertawa.

“Tidak. Dia benci lelaki. Aku hanya dianggap teman baiknya,”

“Naif sangat kau ni, Ben. Kalau dia benci lelaki, kenapa dia berbaik dengan kau? Takkan kau tak faham perempuan, bro?”

Ben mengerutkan dahinya. Seumur hidupnya, inilah pertama kali dia mempunyai kawan perempuan yang agak rapat. Namun disebabkan Annie seorang yang sangat terbuka dan tidak pemalu, Ben mampu mengikut rentak Annie.

“Tak mungkinlah. Dia panggil aku anak kucing sesat. Dia tu psiko. Mulut tajam. Panas-baran. Bukan perempuan yang lemah-lembut. Tak mungkin aku boleh jadi teman lelakinya,”

Temannya hanya tertawa.

Tiba-tiba dia mendapat Whatsapp dari Annie. Mereka tidak jadi untuk ke pusat bowling kerana Annie ada kerja. Sejujurnya, Ben terasa amat kecewa. Setiap saat untuk bersama Annie memang ditunggu olehnya.

****

Sudah lima hari, Annie tidak menjawab panggilan atau Whatsapp darinya. Ben dilanda kerisauan. Dia sebenarnya … merindui Annie.

“Ada sesuatu terjadi pada Annie?” tanya Ben dalam hati.

Walaupun matanya memandang setiap tingkah laku pekerja restoran itu, namun fikirannya hanya melayang pada Annie. Ben mencuba lagi untuk menelefon Annie. Masih tiada jawapan.

Tamat syifnya, Ben bercadang untuk terus ke apartmen Annie. Apartmennya bagaikan tidak ada orang. Puas diketuk pintunya.

“Di mana studio Muay Thai nya?” tanya Ben dalam hati. Ben ada alamatnya, namun dia tidak tahu bagaimana hendak ke sana. Yang dia tahu, studio itu terletak kira-kira 20 minit dari apartmen Annie.

Ben bertanya orang-orang di stesen keretapi itu. Rupa-rupanya studio itu tidak berada di jalan utama yang menghubungkan monorel. Dia terpaksa mengambil teksi, bas dan berjalan sedikit ke destinasinya. Peta di tangannya langsung tidak berguna kerana Ben keliru sekali membacanya. Hampir 3 jam Ben mencari, barulah berjumpa dengan studio itu.

Ben mengesat peluhnya. Hatinya terasa damai melihat Annie selamat. Annie sedang mengajar anak-anak muridnya tarian Wai Kru Ram Muay, tarian menghormati guru. Ben melihat dengan penuh asyik kerana Annie kelihatan luar biasa dengan ‘mongkol’ di kepalanya. Apabila Annie ternampak Ben, air mukanya bertukar. Wajahnya menjadi merah. Ben tidak faham dengan kelakuan Annie.

Setelah tamat kelas, Annie cuba keluar dari studio tanpa memperdulikan Ben. Ben menarik tangan Annie.

“Kenapa dengan kau? Apa salah aku? 3 tiga jam aku cari studio kau, semata-mata nak jumpa dengan kau, tahu tak? ” jelas Ben. Annie hanya mendengus.

“Aku kan psiko, mulut tajam, panas baran, bukan perempuan yang lemah-lembut. Jadi kenapa kau cari aku?”

Annie telah mendengar kesemuanya. Ben sangat menyesal. Dia hanya kurang senang dengan pertanyaan rakannya, kerana itu dia mengeluarkan kata-kata begitu. Tanpa diketahuinya, Annie berada berdekatan pada waktu itu.

“Aku minta maaf. Aku tak maksudkan begitu. Kawan aku sibuk sangat nak tahu pasal hubungan kita, sedangkan aku tahu kau tak mahukan apa-apa hubungan dengan aku. Kau bencikan lelaki, bukan?,”

Annie hanya mendengus. Dia menarik tangannya lalu menolak bahu Ben.

“Kau ni memang bodoh, Benjamin,”

Ben keliru. Apakah benar kata-kata temannya tempoh hari?

****

“Annie! Annie! Keluar cepat! Aku belikan kau 10 paket Biskut Beras Bin-Bin!” jerit Ben menghala pada tingkap dapur apartmen Annie di tingkat 2. Paket Biskut Bin-Bin diangkatnya tinggi-tinggi. Orang-orang di apartmen dan di jalan raya mula memerhatikan Ben yang terpekik-pekik bagaikan orang gila pada waktu pagi yang hening itu.

“Cepat keluar! Sedap ni!” jerit Ben lagi. Akhirnya Annie mengeluarkan kepalanya dari tingkap. Dia masih berbaju tidur. Wajahnya menjadi merah dengan pandangan orang ramai padanya. Dia memandang Ben sambil mengetap bibir.

“Kau dah gila ke?” balas Annie.

“Annie! Mari datang ambil biskut beras kau!” jerit Ben lagi. Annie masuk ke dalam rumah. Tidak lama kemudian, dia muncul di luar apartmen. Orang sekeliling bertepuk tangan melihat kehadiran Annie. Wajah Annie semakin merah. Mungkin sedang menahan malu. Annie terus menarik tangan Ben ke dalam bangunan, terus ke apartmennya.

“Dungu!” marah Annie sambil menutup pintu. Ben hanya tersenyum.

“Kalau aku tak buat begini, kau takkan mahu jumpa aku atau jawab panggilan aku,” kata Ben sambil meletakkan biskut beras itu di atas meja makan.

“Sekarang kau boleh pergi,” kata Annie, tegas. Ben menghampiri Annie perlahan-lahan. Annie mengundur ke belakang sehingga melanggar dinding.

“Kalau kau rapat lagi, kau akan menyesal,” kata Annie, memberi amaran. Ben menghentikan langkahnya.

“Aku minta maaf, Annie. Aku sangat-sangat rindukan kau. Janganlah kau mengelak dariku lagi,”

Annie terdiam mendengar kata-kata Ben. Matanya memandang Ben dengan rasa tidak percaya. Ben memandangnya dengan pandangan yang penuh harapan. Mata Annie redup seketika.

“Aku sebenarnya amat sukakan kau. Kau bijak, berdikari dan tegas walaupun kadang-kadang, kau memang psiko, tapi aku tak kisah,”

Annie memukul bahu Ben. Ben tertawa kecil. Kemudian, Annie menarik nafas sedalamnya.

“Kau tahu sejarah hidup aku,”

“Aku tahu. Aku harap aku boleh mengubah pandangan kau terhadap lelaki. Boleh kau beri peluang pada aku?”

Annie mengetap bibirnya. Terdiam seketika. Kemudian, dia mengangguk perlahan …

Hati Ben terasa berbunga mekar bagaikan di taman syurga.

“Aku tidak boleh hidup tanpa mendengar kata-kata sarkastik daripada kau,”

“Aku juga rindukan lelaki cuai yang tak pandai baca peta ini,”

Mereka saling berbalas senyuman. Tiba-tiba, Ben menarik tangan Annie ke pintu.

“Hey, nak ke mana?” tanya Annie, cemas. Dia masih berbaju tidur.

“Aku dah tak tahan,”

“Tak tahan apa?”

“Nak kahwin dengan kau!”

“Gila!”

Mereka tertawa kemudiannya. Ben menggengam tangan Annie.

“Kau ingat apa yang aku katakan ketika aku mula-mula jumpa kau?”

Annie terdiam seketika. Barangkali mengingat kembali pertemuan mereka pada kali pertama.

“Kau mesti bidadari yang Tuhan turunkan pada aku?”

Ben senyum.

“Waktu telah membuktikan kebenarannya.”

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s