GERIMIS MENJAUH (CF)

Sampel kad undangan dan barang perkahwinan yang lain yang dijinjit dengan baik, dilepaskan Lourdes secara tiba-tiba. Perasaan yang teruja kini bertukar rasa. Dadanya terasa sesak. Tersepit. Menghimpit. Melemaskan. Dunia Lourdes bagai gelap seketika.

“Lourdes, kau tak apa-apa?” Sharon memegang bahu Lourdes apabila dia sedar yang Lourdes terhuyung-hayang secara tiba-tiba. Lourdes menutup matanya seketika bagaikan menahan sakit. Dia memegang lembut jemari sepupunya itu.

“Aku tak apa-apa. Boleh kau tolong bawa pulang semua barang ini, Sharon? Aku ada hal,”

Sharon terpisat-pisat memandang Lourdes. Kemudian dia mengangguk perlahan lalu mengutip semua barang yang dilepaskan Lourdes dan berlalu dari situ. Meskipun dia tidak faham mengapa tiba-tiba mood Lourdes yang ceria tiba-tiba bertukar angin, namun dia takkan bertanya kerana Lourdes jarang berkongsi perasaannya dengan orang lain.

Lourdes menguatkan perasaannya yang kini rapuh bagaikan ranting dimakan anai-anai. Dahinya memercik peluh dingin. Dia mengangkat kepala perlahan-lahan. Stanley memandangnya tepat, menghampirinya perlahan-lahan, akhirnya tegak berdiri di hadapan Lourdes. Lourdes memandangnya dengan rasa tidak percaya.

****

Mata Lourdes sekali-sekala melirik kepada pemuda yang duduk selang tiga kerusi daripadanya dalam dewan syarahan itu. Dia kelihatan bijak dan kemas. Sudah lama sebenarnya Lourdes memerhatikan lelaki ini. Namun dia tidak berani untuk memulakan langkah pertama. Tanpa disangka, renungannya ditangkap oleh lelaki itu lalu dia menguntumkan senyuman yang paling menawan. Lourdes terus menundukkan pandangannya. Dia berpura-pura menulis sesuatu di dalam buku notanya. Apabila diangkat kepalanya sekali lagi untuk curi-curi merenung pemuda itu, dilihatnya dia sudah pun duduk di sebelahnya. Jantungnya berdegup kencang.

“Hai, aku Stanley,” katanya sambil menghulurkan salam.

Bermula dari detik itu, Stanley dan Lourdes bagaikan tidak boleh dipisahkan lagi. Kemana-mana sahaja mereka akan berdua. Daripada sebuah persahabatan, akhirnya cinta berputik. Apabila mereka berada di tahun akhir pengajian, Stanley memperkenalkan Lourdes kepada kedua orang tuanya. Ternyata Stanley berasal daripada keluarga yang berada, menyebabkan Lourdes berasa canggung. Dia sedar akan kedudukannya, namun Stanley memujuk Lourdes.

“Perkara itu tiada ertinya bagi keluargaku,”kata Stanley.

Lourdes ingin sekali mempercayainya. Namun kegusaran Lourdes berjawab, apabila dia dilayan dengan baik sekali oleh orang tua Stanley ketika Lourdes diperkenalkan. Lourdes membayangkan hari-hari yang indah bersama Stanley.

Sehinggalah pada suatu hari …

Kelly, ibu kepada Stanley ingin berjumpa dengan Lourdes secara rahsia. Lourdes tidak memikirkan apa-apa yang buruk.

“Barangkali Kelly ingin merancang kejutan buat Stanley,” begitulah pada fikiran Lourdes.

Apabila Kelly sampai di restoran itu, wajahnya mencuka. Lourdes agak hairan. Kelly berlainan daripada biasa, entah kenapa.

“Hey, anak pungut. Kau dengar sini baik-baik. Aku takkan benarkan kau kahwin dengan Stanley. Dasar perempuan pisau cukur. Ambil duit ini. Jauhkan diri kau dari anakku. Aku takkan teragak-agak untuk memusnahkan hidup kau jika kau berkeras ingin bersama Stanley,” kata Kelly sambil melemparkan bungkusan duit di atas meja.

Lourdes terpempan. Dia tidak pernah berasa sebegini hina seumur hidupnya. Rupanya, selama ini, Kelly berlagak baik di hadapan Stanley untuk mengambil hati satu-satunya anak lelakinya itu. Hati Lourdes bagaikan dihiris belati tajam. Dia sudah menjangkakan perkara ini. Namun, dia terlalu dibutakan oleh cinta.

Sejak dari hari itu, Lourdes cuba mengelak dari bertemu Stanley. Dia tidak ingin menghabiskan hidupnya menghadap perempuan itu jika bersama Stanley. Lebih baik dia sendiri daripada hidup tersiksa, dihina bagai binatang sepanjang hidupnya. Namun Stanley, bukanlah manusia yang mudah mengalah. Ke mana sahaja Lourdes pergi, dia akan mencari. Walaupun berkali-kali Lourdes melukakan hatinya sendiri dengan memaki Stanley dengan harapan agar Stanley menjauhinya, namun taktik itu sama sekali tidak menjadi.

“Lourdes! Buka pintu ini. Kenapa kau tiba-tiba berubah?” Stanley mengetuk pintu rumah sewanya dengan begitu kuat sekali. Lourdes tidak boleh lagi menahannya. Dia membuka pintu.

“Kau pasti dungu. Sudah aku katakan yang aku sudah tiada hati padamu lagi. Pergilah kau dari sini,”

Dengan wajah yang begitu sedih, Stanley memegang kedua-dua pipi Lourdes. Lourdes cuba meronta namun Stanley terlalu kuat baginya.

“Lihat ke dalam mataku, dan katakan kau tidak cintakan aku lagi,”

Lourdes merenung anak mata yang berwarna kelabu kehijauan itu. Dinginnya menusuk kalbu. Mengapa ujian begini yang Tuhan berikan padaku sedangkan aku adalah penganutNya yang setia? Dia tidak sanggup merenung mata Stanley lagi. Airmatanya tumpah akhirnya. Stanley mengesat airmata itu.

“Aku tahu kau masih sayangkan aku,” bisik Stanley.

Stanley mengucup lembut bibir Lourdes. Getaran itu menusuk ke seluruh tubuh Lourdes. Mungkin mulutnya boleh berbohong, namun tubuhnya tidak pandai melindungkan reaksinya terhadap sentuhan Stanley. Lourdes membalas kucupan Stanley. Tangannya mula mencari butang kemeja Stanley. Stanley juga mula mencari hujung T-shirt Lourdes lalu diangkat perlahan. Dinding bisu menjadi saksi manifestasi cinta Lourdes dan Stanley, diiringi bunyi pungguk mendayu rindukan bulan.

****

“Dengar kata, kau akan berkahwin?” suara Stanley yang dingin dan keras bagaikan keluli menghilangkan lamunan Lourdes secara tiba-tiba. Dia menyedut jus orennya perlahan lalu mengangkat kepala memandang Lourdes. Lourdes menarik nafas dalam.

“Takkan kau mengharapkan aku menunggu kau setelah lebih 11 tahun kau meninggalkan aku tanpa sebarang kata?” balas Lourdes pula. Tajam. Sinis.

Lourdes masih teringat hari-harinya yang dihabiskan bagai manusia yang separuh gila setelah Stanley menghilang begitu sahaja tanpa sebarang berita. Setiap dia berendam air mata. Mereka baru sahaja menamatkan pengajian universiti. Lourdes masih mencari-cari pekerjaan. Begitu juga Stanley. Mereka berjanji untuk menghabiskan hidup bersama, susah dan senang. Sehingga kini, Lourdes tidak pernah memberi tahu Stanley tentang pertemuannya dengan Kelly.  Sehinggalah pada suatu hari, Stanley menghilang begitu sahaja. Tidak tahu ke mana dia pergi. Telefonnya tidak dijawab sehingga perkhidmatan talian Stanley ditamatkan. Ibu bapanya telah berpindah. Lourdes tidak tahu ke mana hendak dicari Stanley lagi.

“Apa salahku? Ke mana dia pergi?”

Berulang kembali soalan itu bermain di kepala Lourdes. Dalam keributan situasi dan perasaannya itu, Lourdes dapati dirinya sudah lewat datang bulan. Apabila terlihat dua garisan yang timbul ketika Lourdes menggunakan alat penguji kehamilan, dunia Lourdes runtuh begitu sahaja.

Ibu saudara Lourdes, Maria yang merupakan penganut Katolik tegar benar-benar marah dengan Lourdes. Namun hatinya tidak kesampaian untuk membuang Lourdes begitu sahaja.

“Anak itu tidak bersalah,” begitulah kata Maria. Setelah cukup hari dan waktunya, lahirlah Michelle ke dunia. Anak matanya bulat, hidungnya persis Stanley. Apakah wajah ini akan menghantui Lourdes sepanjang hidupnya? Tidak! Lourdes bertegas dengan dirinya. Yang bersalah itu Stanley. Bukan Michelle.

Maka Lourdes menghadapi perit getir menjadi ibu dan bapa untuk Michelle. Tinggal di kawasan yang rata-rata merupakan mereka yang konservatif, mereka sering memberi pandangan yang sinis terhadap Lourdes . Lourdes tidak mahu Michelle membesar dengan kata-kata sinis, renungan dan ejekan penduduk setempat, maka Lourdes membuat keputusan untuk keluar dari kampung halamannya itu. Mencuba nasib di Kota Raya. Sharon mahu mengikutinya kerana ingin membantu Lourdes dan bimbang akan keadaannya berseorangan di Kota Raya menjaga Michelle.

****

“Maafkan aku, cik,” wajah lelaki itu merah dengan rasa bersalah.

Lourdes mengelap bajunya sambil mendengus marah. Sharon hanya terdiam. Minuman yang dibelikan untuk dibawa masuk ke dalam panggung wayang sudah tumpah mengenai satu-satunya baju Donna Karan miliknya yang amat disayangi, kini sudah kotor dengan Coke dan tiada harapan untuk kembali seperti asal.

“Aku akan membayar harga baju ini. Ini nomborku. Aku benar-benar minta maaf,” lelaki itu menyerahkan kad perniagaannya pada Lourdes.

Charlie Spencer. Akauntan. Begitulah yang tertulis di atas kad itu.

Selang 2 minggu, Lourdes menelefon lelaki yang bernama Charlie Spencer itu. Lelaki itu benar-benar membayar harga baju itu sepenuhnya, bersekali dengan membelanja dia dan Sharon untuk tengok wayang bersama.

Bibit pertemuan yang membuahkan persahabatan, dan akhirnya pada tahun kedua persahabatan mereka, Charlie melamar Lourdes.  Lourdes merasa amat terkejut kerana Lourdes tidak pernah memikirkan hal percintaan. Hatinya bagaikan mati. Dia sudah bersumpah pada dirinya sendiri, dia takkan menerima lelaki lain. Namun kebaikan Charlie menahan dia daripada menolak Charlie bulat-bulat. Dia menolak dengan baik dan menjelaskan bahawa dia senang bersama Charlie, bersahabat, dan tidak mahu kehilangan semua itu. Dia memohon Charlie bersabar dengannya kerana dia belum bersedia meniti alam perkahwinan. Charlie akur. Kini hampir 9 tahun mereka bersama.

Charlie menerima Michelle bagaikan anaknya sendiri. Dia sering memanjakan Michelle dan memberi kasih sayang seorang bapa kepadanya walaupun Lourdes tidak pernah berjanji akan berkahwin dengannya.

“Aku faham kau belum bersedia, aku sanggup menunggu. Aku sayangkan kau dan Michelle,” kata-kata Charlie menyentuh hati Lourdes. Ternyata Charlie merupakan seorang lelaki yang amat baik.

***

“Kau memang langsung tak dengar apa yang aku cakap? Kau dah berubah, Lourdes,” kata Stanley dengan nada kecewa. Sekali lagi lamunan Lourdes terhenti. Fikirannya sangat berkecamuk. Lourdes melemparkan senyuman tawar. Dia hanya mengangkat bahu.

Stanley menyatakan yang dia baru pulang dari luar negara, menyambung pelajaran dan mencari pengalaman di sana sebelum pulang ke tanah air. Pemergiannya tergesa-gesa. Dia hanya mengetahui tentang kemasukannya ke universiti idamannya 2 hari sebelum berlepas kerana ibunya terlupa memberitahunya. Dalam masa yang sama telefonnya hilang. Segalanya serba kelam-kabut. Stanley memang tidak berpeluang untuk memberitahu Lourdes. Dia berpesan kepada ibunya agar memberitahu Lourdes akan pemergiannya ke luar negara. Sekali lagi Lourdes melemparkan senyuman tawar.

“Apakah kau belum tahu perasaan ibumu terhadapku, Stan? Kau memang bodoh, Stan,” Lourdes hanya mampu berkata-kata di dalam hati. Dia tidak mahu memotong percakapan Stanley. Stanley juga memberitahu dia kembali untuk mencari Lourdes ketika cuti semester, namun Lorde, Sharon dan Maria sudah tiada lagi di bandar kecil itu. Dia amat tertekan kerana dia tidak tahu apa yang berlaku.

Lourdes hanya mampu merenung wajah Stanley yang berada di hadapannya. Entah sepatah kata Stanley pun tidak masuk dalam kepalanya. Wajah Stanley sudah ada garis usia. Lourdes cuba mencari getaran yang pernah dirasainya dahulu setiap kali memandang wajah Stanley. Tiada lagi getaran. Waktu telah mengeraskan hatinya yang lembut dahulu. Ruang cinta sudah tidak ada. Barangkali hanya simpati kerana Stanley juga mangsa keadaan.

“Aku juga tiada wanita lain sepanjang 11 tahun ini. Hatiku parah. Aku cuma terus hidup dengan harapan agar aku bertemu dengan kau kembali,” kata Stanley hampir sebak. Kolam mata Lourdes juga berkaca. Walaupun sukar bagi Lourdes untuk mempercayai kata-kata Stanley, Lourdes persetankan perasaan itu. Ia sudah tidak bermakna lagi. Lourdes cuba menahan airmata.

Lourdes mencari foto Michelle di dalam tas tangannya. Stanley berhak tahu, kerana dia adalah bapa Michelle. Perlahan dia mengeluarkan foto terbaru Michelle dan menyerahkannya kepada Stanley.

Stanley mencapai foto itu. Dia terkesima. Matanya merenung tepat pada foto itu. Siapakah anak gadis yang begitu cantik ini, tersenyum riang di atas basikalnya? Berbaju merah dan berseluar jeans. Rambutnya ditocang tinggi. Jarinya menyentuh foto itu perlahan. Wajahnya berbentuk hati seperti Lourdes, namun hidung dan mulutnya milik Stanley. Dia membeliakkan matanya. Menahan nafas kerana serbuan perasaan secara tiba-tiba.

“Apakah dia … ?”

“Ya. Michelle namanya,”

Air mata Stanley tumpah. Dia merasa terlalu berdosa pada Lourdes dan Michelle. Tidak dia ketahuinya yang dirinya telah menjadi seorang bapa kepada seorang anak gadis yang tampak bijak dan Lourdes, bersusah-payah membesarkannya sendirian. Dia berjanji kepada dirinya sendiri. Waktu yang telah hilang itu akan ditebus kembali. Dia cuba meraih tangan Lourdes namun tersentak bila dia tersentuh cincin pertunangan Lourdes. Perlahan dia menarik tangannya kembali. Dia memulangkan foto Michelle kepada Lourdes. Baru sekarang, dia terasa betapa canggungnya situasi. Betapa kejamnya kehidupan mempermainkan mereka berdua.

“Lourdes,”

Lourdes berpaling ke arah suara yang memanggilnya. Charlie. Lourdes merasa serba-salah. Lantas dia bangun. Wajahnya merah. Charlie dengan tenang menghampiri mereka. Wajahnya tersenyum bersahaja.

“Sharon risau akan keadaan kau. Kerana itu aku datang. Kau tidak apa-apa?,” lantas Lourdes mengangguk. Dia masih teragak-agak. Berfikir apa yang patut dilakukannya dalam situasi yang mengelirukan ini.

“Charlie, kenalkan ayah Michelle, Stanley. Stanley, inilah bakal suamiku, Charlie,”

Charlie terdiam. Dia menarik nafas sedalam mungkin. Stanley juga begitu. Perlahan dia bangun menghulurkan salam. Charlie menyambut salam Stanley dengan kemas dan cuba berlagak tenang. Stanley hanya membalas dengan senyuman yang canggung.

Dalam kereta, Charlie tidak banyak bercakap. Begitu juga dengan Lourdes. Masing-masing hanya melayan perasaan masing-masing sehingga Charlie membuka mulut buat pertama kalinya.

“Apakah dia mahu bersatu denganmu kembali?”

Lourdes hanya mengangguk.

“Apakah kau begitu juga?”

Lourdes tidak menjawab. Dia sendiri tidak tahu jawapannya. Stanley adalah bapa kepada Michelle. Resah. Lourdes hanya memilih untuk diam.

“Kalau itu yang kau mahu, aku tidak mahu menghalang. Dia bapa Michelle. Dia lebih berhak dari aku,” kata Charlie perlahan tanpa memandang Lourdes. Charlie sedikit tersentak apabila Lourdes memegang tangannya erat. Charlie memandang wajah Lourdes yang sugul disertai dengan mata yang berkaca-kaca.

****

Lourdes membetulkan veil putihnya dan melihat dirinya ke dalam cermin. Sempurna. Dia tersenyum manis. Inilah hari yang ditunggu-tunggunya. Meniti bahagia dengan lelaki yang begitu menyayanginya dan Michelle. Ini bagaikan mimpi jadi kenyataan. Perasaannya berbunga-bunga.

“Wah … kau bagaikan bidadari. Cepat keluar. Semua orang sedang menanti kau,”kata Sharon.

Lourdes mengangkat kain gaunnya lalu melangkah keluar dari bilik persalinan. Perlahan-lahan dia melangkah ke dalam dewan utama gereja. Memandang ke kiri kanannya. Hanya wajah-wajah ceria sahabat handai dan keluarganya dan pasangannya melambai-lambai padanya. Bidadari kecil menabur bunga pada setiap langkah yang diambil. Segala penderitaan yang dilalui selama ini bagaikan hilang dibawa bayu yang bertiup pada pagi itu.

Di sana, si dia menanti dengan penuh sabar. Tersenyum padanya. Wajahnya penuh cinta.

Lourdes menghulurkan tangan. Si dia menyambutnya.

Ketika paderi mengumumkan mereka sebagai suami isteri, pipi Lourdes dicium dengan penuh kasih sayang. Air mata kegembiraan mengalir di pipinya. Si dia mengesatnya lalu tersenyum sambil perlahan-lahan menggelengkan kepalanya.

“Sudahlah, sayang,” kata Charlie sambil menggenggam tangan Lourdes, erat.

Tidak jauh dari mereka, kelihatan Michelle tersenyum riang, melambai-lambai sambil memegang erat tangan ayahnya.

“Jadi aku mempunyai 2 ayah? Bukankah itu sesuatu yang hebat?” begitulah reaksi Michelle apabila diberitahu dan diperkenalkan kepada Stanley. Dia bercadang untuk memanggil Stanley ‘papa’, manakala Charlie akan dipanggil ‘daddy’.

Lourdes memandang  Stanley dari jauh. Stanley kelihatan bersahaja. Melemparkan senyuman tawar. Namun kolam matanya bergenang.

“Maafkan aku, Stan,” kata Lourdes dalam hati.

Lourdes melemparkan pandangan pada mentari pagi yang bersinar. Sekian lama hidupnya dirundung kesuraman yang mencengkam, hari ini mentari pagi seolah-olah menghapuskan semua duka dalam kehidupan silamnya dalam senyuman Charlie yang lebih hangat dari mentari.

 

 

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s