CB : Aku Dan Pria Aprilia Siri 18

Xeva melangkah lemah. Pandangan dihalakan ke lantai dengan beg dokumen dihayunkan sewenang-wenangnya. Justo bangun lalu mendapatkan dia.

“Bagaimana?”

“Mereka bilang mereka akan telefon,” kata Xeva sambil melepaskan keluhan. Justo menepuk bahu Xeva.

“Jangan risau. Ia bukan berita buruk. Masih ada harapan. Cheer up! Jom makan, OK,”

Xeva hanya mengangguk lemah. Justo hanya mampu menggosok bahunya. Memberikan semangat yang semakin luntur dari hati Xeva yang sudah sedia tidak keruan.

_____________________________________

Dahiku lekapkan pada dinding kaca yang membatasi diriku dan ayah yang sedang tidur di dalam unit penjagaan intensif itu. Ingin sekali aku berbicara dengan ayah. Tentang ‘pitching’, tentang adik-adik yang mendengar cakap ketika ayah tiada di rumah, tentang novel dan pelbagai lagi perkara, namun aku hanya mampu menyimpan semua di dalam hati. Jantung ayah lemah. Itu kata doktor. Jadi ada baiknya jika aku biarkan ayah rehat tanpa membangkitkan apa-apa isu yang bakal mengganggu kesihatan jantung ayah. Ayah sudah cukup runsing.

Bil hospital yang baru kuterima tadi ku keronyokkan di dalam genggaman. Wang bulanan hampir habis. Aku memejamkan mata. Hatiku terasa begitu berat. Jiwaku tertekan.

“Celaka kau, Heryanto!” ku tumbuk dinding batu hospital. Buku limaku terasa pedih. Namun tidak mampu menghilangkan amarah di hatiku. Dialah penyebab semua ini. Dasar politikus bangsat! Aku tidak boleh terus merintih begini. Aku harus mencari jalan agar belanja keluarga dapat ditampung.

Aku bercadang untuk membantu sahabatku, Peter yang membuka gerai burger di tepi jalan, tidak jauh dari rumahku pada malam hari. Gerainya laris. Dia tidak mampu menguruskannya seorang diri. Maka aku menawarkan diri untuk membantunya. Peter amat gembira mendengar berita ini.

“Eve!” kedengaran suara adik bongsuku, Andy, memanggil ketika tanganku sedang lincah membalikkan daging burger yang ku panggang. Kepalaku angkat. Andy berdiri sambil tersenyum. Dia menunjuk ke arah belakang. Justo. Berdiri di sana sambil memandangku dengan pandangan yang tidak dapat aku fahami. Aku senyum padanya lalu mengangkat tangan sebagai isyarat, menyuruh dia tunggu sebentar, kerana malam itu kami agak sibuk. Pelanggan terlampau ramai. Dia mengangguk lalu duduk.

“Kau dah makan?” tanyaku pada Andy, yang hanya berseluar pendek tanpa baju. Dia hanya tersengih menampakkan giginya yang rongak. Aku mencuit perutnya.

“Nanti aku buatkan satu untukmu. Pergi tanya abang Justo kalau dia nak makan,”

Andy berlari pada Justo, berbicara sebentar dengannya, lalu kembali padaku.

“Abang Justo tak nak makan. Dia nak minum saja. Dia nak jus limau,”

Setelah menyudahkan semua menyudahkan semua pesanan burger, pantas aku membuat jus limau yang diminta Justo.

“Betul tak nak makan?” tanyaku setelah menghidangkan jus limau pada Justo. Dia menggeleng. Matanya hanya memandangku.

“Kau tak perlu buat semua ini, Eve. Kalau kau ada masalah kewangan, aku akan menolong kau,” katanya sambil menyelitkan rambutku yang menutupi mata kiriku ke telinga. Aku hanya mampu tersenyum lemah padanya.

“Kau sudah banyak membantu aku, Justo. Inikan masalah keluargaku. Aku tak patut libatkan kau. Bil ayah banyak memakan belanja. Gaji aku tidak cukup. Takkanlah aku nak berdiam diri? Aku juga tidak tahu bila ayah akan keluar dari hospital. Cukuplah kau menjadi pendengar setia,” kataku sambil memegang pipinya.

Dia mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya lalu menyerahkan dalam genggamanku. Duit. Aku menggeleng. Aku meletakkan kembali lipatan duit itu dalam poketnya.

“Aku tidak mahu hidup atas belas ihsan, Justo. Selagi ada kudrat, biar aku membanting tulang,” kataku, tegas. Justo hanya mengeluh.

“Aku hanya ingin membantu,”

“Terima kasih atas ingatan,”

Aku terpaksa meninggalkan Justo kerana pelanggan semakin ramai. Dia meninggalkan gerai bersama Andy apabila aku berjanji yang aku akan menelefonnya selepas habis kerja. Aku bersyukur sekali punya teman lelaki yang memahami.

______________________________________

Entah mengapa semua kiraannya tidak menjadi. Sekejap simennya berlebihan. Kemudian pasirnya pula kurang benar. Dia menyemak formula kiraan pasir dan simennya berulang kali. Pandangannya diarahkan pula pada ‘In tray’ yang penuh dengan dokumen tender-tender projek juga masih belum disentuhnya. Justo menyandarkan belakangnya ke kerusi. Otaknya terasa penat. Di kepalanya hanya terbayangkan kelibat Xeva yang lincah membalikkan daging burger dengan wajah yang penat dan hati yang runsing. Dia kasihan dan tidak suka melihat Xeva melakukan kerja-kerja rencam begitu. Xeva tidak mahukan bantuannya sedangkan dia ingin sekali membantu Xeva. Dia sedia maklum Xeva juga tidak suka didesak. Pasti dia takkan punya masa untuk berkarya juga.

“Ah! Pasti lebih mudah jika dia menerima bantuanku,” kata Justo dalam hati. Dia juga pasti takkan hilang fokus begini.

“Boss!” kedengaran suara Yvonne, sekretarinya memanggil. Justo memusingkan kerusinya, lalu memandang Yvonne. Yvonne menunjukkan skrin Ipadnya. Sesuatu tentang Trans-Pacific Landmark. Justo memberi isyarat agar Yvonne meneruskan bicaranya.

“Menurut kajianku, Trans-Pacific Landmark telah mendapat kelulusan kerajaan untuk meneruskan projek perumahan mereka di kawasan setinggan itu. Trans-Pacific Landmark sebenarnya memiliki kawasan seluas 2000 hektar radius di kawasan tersebut termasuklah kawasan rumah setinggan tersebut dengan pegangan bebas,”

“Pegangan bebas?”

Yvonne mengangguk. Justo menongkat dagunya pada meja.

“Dan satu lagi, bos,” kata Yvonne. Nadanya sedikit berubah. Justo memandang Yvonne.

“Tuan Juninho adalah salah seorang ahli lembaga pengarah Trans-Pacific Landmark,”

Justo membulatkan matanya. Sekarang dia tahu kenapa Trans-Pacific Landmark bagaikan pernah didengarnya sebelum ini. Bagaimana jika perkara ini sampai ke pengetahuan Xeva? Justo tidak dapat memikirkan akibatnya.

Bersambung

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s