CB : Aku Dan Pria Aprilia Siri 16

“Ayuh, cuba!” kata Justo sambil menepuk bahuku. Aku mengerutkan dahi memandang Justo.

“Wake up!” jeritku. Terperanjat dengan suaraku, pengunjung Starbucks yang duduk berdekatan denganku melemparkan wajah kurang senang dengan tingkahku. Aku terpisat-pisat mengangkat tangan, tanda meminta maaf. Justo mencubit pipiku.

“Tak perlu begitu kuat. Hmmm … Sekarang cuba cakap sesuatu,” kata Justo, tenang sambil menyandarkan diri ke sofa.

“I love Justo,” kataku perlahan. Justo tersenyum memandangku.

Bagaikan keajaiban, perkataan ‘I love Justo’ tertaip dengan sendiri di skrin komputerku.

“Oh my God!” kataku separuh menjerit. Justo segera menutup mulutku. Dia mengangkat tangan kepada semua pengunjung Starbucks bagi pihakku. Dia memandangku sambil menggelengkan kepalanya.

“Suka?” tanyanya. Aku mengangguk pantas. Pasti ini akan memudahkan kerjaku. Justo menghadiahkan aku perisian ‘speech-to-text’ bernama Dragon Professional untukku. Bagiku ia merupakan perisian yang sangat hebat, cuma aku harus melatih ia terlebih dahulu agar ia terbiasa dengan nada suara, sebutan dan ejaanku.

“Terima kasih,”

“Terima kasih saja?”

Aku mengerutkan dahi. Justo memandangku dengan lirikan nakal. Aku mengecilkan mataku.

“Don’t even dream about it!” kataku, tegas. Kerlingan yang tajam ku lontarkan padanya.

“Oh, so crude! I didn’t even say anything. OK, sekarang mulakan kerjamu. Pitching lagi 2 minggu, bukan?” katanya sambil mengeluarkan telefon bimbitnya. Pastinya dia ingin membaca email dari pejabatnya sambil menemaniku menyudahkan novelku.

Aku ingin menghabiskan sekurang-kurangnya 3 bab lagi sebelum ia akan dipersembahkan kepada syarikat penerbitan. Walaupun hatiku ingin sekali mencuba Dragon, aku tahu pasti Starbucks akan menghalau aku keluar kerana berbuat bising.

_______________________________________

Suasana pagi yang damai itu tiba-tiba dikejutkan oleh deruman kenderaan berat di luar. Naela yang ingin menghabiskan masa cutinya berkelubung di bawah selimut, bingkas bangun dari katilnya apabila terdengar bunyi itu lalu terus ke jendela. Kelihatan 3 buah jentolak memasuki kawasan kampung mereka. Naela berasa cemas. Orang kampung perlahan-lahan keluar dari rumah mereka, meninjau situasi yang mengelirukan ini.

“Apakah ertinya semua ini?” kata hati Naela. Dia segera berpakaian, menyarungkan selipar jepun lalu terus ke laman rumahnya. Dia berlari mengikuti salah satu jentolak itu.

“Encik, encik. Apa hal ni?”

“Saya pun tak tahu, Cik. Saya diarahkan datang untuk membersihkan kawasan sana,” katanya sambil menunjukkan arah hujung kampung. Walaupun tiada orang di sana namun hati Naela tetap gusar. Dia mundar-mandir di hadapan rumahnya. Segera dia mencapai telefon.

“Eve, kembali segera!”

_______________________________________

Naela kelihatan risau. Dia yang berseluar pendek, barangkali baru bangun tidur, berdiri di tepi jalan sambil menggigit kukunya. Aku terus membuka topi keledar lalu menyapa Naela.

“Eve,”

Aku memeluk Naela lalu menenangkannya. Aku dapat merasakan darah menyirap ke kepalaku apabila terpandang jentolak yang sedang garang menolak semua pokok-pokok, tempat aku bermain ketika usia kanak-kanakku. Kini kawasan itu kelihatan seperti padang jarak, padang terkukur. Dasar kapitalis yang tidak tahu menghargai alam sekitar atau kehidupan orang lain. Kebencianku semakin membuak-buak. Ahli politik juga tiada bezanya. Ketika pilihanraya, menabur benih janji sehingga subur pohon kesetiaan penduduk kampung padanya. Sesudah pilihanraya, kapitalis disembah laksana berhala hidup.

“Heryanto dasar pengkhianat,” lancar mulutku meluahkan amarah.

Justo memegang bahuku, cuba menenangkan aku. Namun bagaimana bisa aku bertenang dehgan semua ini? Aku meninggalkan Justo lalu terus menerpa pemandu jentolak itu. Dia kelihatan gugup melihat aku menghampirinya. Ini bukan pertama kali dia bersua denganku. Berulangkali dia katakan, dia hanya menjalankan tugasnya. Tiba-tiba Justo telah pun berada di belakangku, memegang kedua-dua bahuku, lalu memandang tepat wajahku.

“Eve, chill. Ini takkan menyelesaikan masalah,”

Justo cuba mendapatkan lebih maklumat daripada pekerja-pekerja pembersihan kawasan, namun hampa. Ayah menghampiri kami. Bahu Justo dipegang.

“Mereka akan mengambil tempat ini, bukan?” Tangannya bergetar. Justo menggeleng.

“Saya tak tahu, Uncle. Uncle sepatutnya duduk. Uncle kelihatan sangat pucat,” Justo terus memandangku dengan pandangan risau.

“Ayah …” aku menarik tangan ayah lalu cuba membawanya kembali ke rumah. Aku tahu ayah pastinya sangat khuatir sekarang. Sejak akhir-akhir ini, ayah kelihatan sugul. Kata ibu, ayah risau tentang pemaju yang hendak mengambil tempat itu. Dia sudah tua, sedangkan adik-adikku masih bersekolah. Gaji aku pula tidak banyak dapat membantu. Aku mengeluh perlahan.

Justo berpaling semula kepada jentolak yang sibuk menolak kesemua pokok-pokok di kawasan hujung kampung. Hampir 100 meter persegi kawasan sudah dibersihkan. Dia juga kelihatan cuba berbual-bual dengan pekerja pembersihan di situ. Barangkali untuk mencari lebih maklumat dengan bermesra dengan mereka.

Ayah semakin sukar melangkah. Tiba-tiba ayah mengerang kuat lalu memegang dadanya. Aku tidak dapat menampung badan ayah yang besar lalu ayah rebah ke tanah.

“Ayahhhhhh!!!!!!”

Bersambung

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s