TATKALA APOLLO MEMBISU (CI)

300 tahun selepas kematian Nabi Isa.

Decius memanjat gunung Nebo dengan kepayahan. Jikalau menurut inskripsi lama yang ditemuinya di Jerusalem, di kawasan ini, terdapat sebuah gua tersembunyi. Dia mengesat peluh menggunakan lengan toganya.

Lapang. Decius tertanya-tanya. Apakah inskripsi itu tidak benar?

“Argghhh!! Sial!” jerit Decius. Dia telah mengembara berulang-alik dari Rom ke Jerusalem, semata-mata ingin memastikan bahawa inskripsi itu benar. Nampaknya usahanya hanya sia-sia. Decius menyepak batu di atas puncak Gunung Nebo sambil menyumpah.

“Arghhhh!!!”

Tiba-tiba tanah di bawah tapak kakinya meruntuh dan dia terjerumus ke dalam lubang yang agak dalam. Decius mengangkat kepalanya. Dia sedar yang kini dahinya telah luka. Dia berusaha sedaya-upaya untuk keluar dari batu-batuan yang menghempap tubuhnya. Kakinya terasa sengal. Dia cuba berdiri. Baru dia sedar, kini dia berada di dalam sebuah gua. Inikah gua yang dimaksudkan? Decius memandang sekeliling. Gua itu kelihatan kosong, usang, gelap dan berdebu. Kecuali terdapat satu meja batuan yang di atasnya terdapat balang kaca.
Dia menyeret kakinya sedaya-upayanya untuk mendekati meja itu. Dia meniup debuan di atas balang kaca itu. Terdapat cawan tembaga yang berisi cecair merah yang kelihatan seperti darah segar di dalamnya.

“Eureka! (Aku dah jumpa!)” jeritnya sekuat hati.

Dia segera mengeluarkan cawan itu dari balang tersebut. Jesus anak Maryam Si Perawan sememangnya satu keajaiban. 300 tahun selepas kematiannya, darahnya masih segar tersimpan di dalam balang kaca ini. Darah ini ditadah oleh anak-anak murid Jesus ketika Jesus disalib ratusan tahun dahulu. Ada yang mengatakan ia bukanlah darah Jesus sebaliknya darah salah seorang anak murid Jesus, iaitu Judas Iscariot. Namun Decius tidak pedulikan semua itu. Decius terburu-buru mahu menjamah darah itu namun tiba-tiba dia teringat amaran inskripsi lama tersebut.

Sumpahan! Itulah kata inskripsi itu. Decius menggenggam Cawan Suci yang dikatakan mengandungi darah Jesus anak Mary Si Perawan itu. Mengapa sumpahan? Bukankah dunia ini dapat dinikmati sepuas-puasnya sekiranya dia meneguk cairan dari Cawan Suci itu?
Tanpa membuang masa, Decius meneguk darah itu. Dengan tiba-tiba, seluruh tubuhnya kepanasan. Dia menjerit-jerit kesakitan. Berguling menahan panas.

“Apakah aku akan mati?”

Tidak lama kemudian, kesakitan itu reda. Dia cuba bangun. Tangannya menyentuh bekas di mana dahinya terluka. Licin. Seolah-oleh tiada apa yang berlaku. Decius mengambil pisau yang diselitnya di pinggang. Tangannya bergetar. Dengan memejamkan mata, dia menikam jantungnya sendiri. Dia menjerit kesakitan lalu mencabut pisau itu dari dadanya. Serta-merta darah yang mengalir dari liang lukanya berhenti dan bekas lukanya bercantum kembali.

Decius ketawa terbahak-bahak. Keabadian kini menjadi miliknya.
***

15 tahun selepas itu …

Decius kembali ke kampung halamannya di Athens, membawa pelbagai kekayaan untuk ibunya setelah puas merantau. Dia melalui pasar pagi yang menjual pelbagai barang harian seperti keju, roti, buah fig dan lain-lain kemudian melalui simpang yang berhadapan dengan Kuil Apollo. Rumah ibunya terletak tidak jauh dari situ.

Seorang lelaki secara tidak sengaja melanggar bahu Decius. Lelaki yang berusia dalam 50an itu kelihatan sangat letih.

“Maafkan, aku,” katanya. Kemudian dia merenung wajah Decius. Decius mengerutkan dahinya.

“Decius?”

“Ya, tetapi kau siapa?”

“Tak mungkin. Aku Agapios, teman sepermainanmu. Kau sedikit pun tidak berubah. Ini … ini keajaiban!” jerit Agapios. Decius menutup mulut Agapios. Dia tak mahu menarik perhatian sesiapa.

Agapios memegang kepalanya. Decius kelihatan seperti berusia 30an sedangkan mereka adalah sebaya. Hati Decius berdebar-debar. Dengan pantas, dia meninggalkan Agapios.

Ibu Decius memandangnya dengan tidak berkelip. Dia tidak percaya yang berada dihadapannya adalah anaknya, Decius. Ibu Decius merasa curiga melihat lelaki yang kelihatan seperti anaknya tetapi sangat muda.

“Kau … kau bukan anakku! Kau ahli sihir! Pergi kau dari sini! Pergi!” lantas Althea mengambil penyapu jerami memukul lelaki di hadapannya. Decius menahan pukulan ibunya dengan tangan. Tiba-tiba ibunya memegang dadanya lalu rebah.

“Ibu!!!”

Decius hanya mampu memandang upacara pembakaran mayat ibunya dari jauh. Dia tidak ingin berada dekat dengan kawasan pengebumian kerana tidak ingin menarik perhatian sesiapa dengan keadaannya kekal muda sepertimana waktu dia meninggalkan Athens dahulu. Hati Decius bagaikan disayat-sayat kerana bukan dia sendiri yang menguruskan mayat ibunya. Sepatutnya dialah yang meletakkan syiling pada mata ibunya dan membakar mayat ibunya. Dia mencium rantai berloket ukiran Apollo pemberian ibunya. Dia mengesat air matanya dan terus berlalu.

Inikah sumpahan itu? Atau kebetulan? Decius tidak pasti.
***

Kira-kira 900 tahun berikutnya …

Decius merangkak di atas padang pasir yang kering itu. Sudah 3 hari dia tidak menjamah air atau makanan. Mungkinkah ini pengakhirannya?

“Ambillah aku, Apollo. Sudah puas aku hidup,” kata Decius, perlahan. Sepanjang 900 tahun hidupnya, Decius tidak pernah tinggal di sebuah tempat lebih daripada 10 tahun. Maka dia tidak pernah mempunyai sahabat karib. Hidupnya begitu sunyi, tiada hala tuju. Sepanjang hidupnya dia melihat Maharaja Constantine I dan II menaiki takhta. Dia melihat perjuangan Julian Si Murtad menentang gereja dan menyebarkan penyembahan berhala Neoplatonik masyarakat Rom. Dia turut berjuang di samping Maharaja Valens menentang orang gasar Goths dalam Peperangan Adrianople. Dia juga melihat bagaimana malunya bangsa Rom menerima kekalahan di tangan orang gasar Vandal, sehingga mereka menawan Sicily dan Sardinia. Begitu banyak peperangan, begitu banyak kematian. Namun dia masih di sini.

Dia bagaikan terlihat seorang lelaki menaiki kuda sedang menghampirinya. Apakah itu ilusi? Lalu pandangan Decius menjadi gelap.
Apabila Decius membuka mata, dia berada di sebuah rumah yang asing. Tulisan-tulisan aneh di dinding. Di tepinya ada seorang lelaki berserban, sedang membongkokkan badan, berdiri semula kemudian sujud ke lantai.

“Aku berada di rumah seorang Muslim?” hati Decius berdebar-debar. Setelah selesai bersembahyang, lelaki itu tersenyum sambil menghulurkan air dan buah-buahan padanya.

“Ana(saya),” katanya sambil memegang dada. “Ahmad,”

Dia terlihat buku-buku Aristotle di dalam rumah Ahmad. Dia hairan bercampur takjub. Lelaki ini barangkali seorang ilmuan.

Pada mulanya, Decius bercadang untuk tinggal beberapa hari sahaja di rumah Ahmad sebelum meneruskan perjalanannya mengembara. Namun Ahmad enggan membenarkan. Ahmad melayan Decius bagaikan saudara sendiri. Akhirnya Decius tinggal bersama Ahmad, membantunya menafsirkan buku-buku Aristotle ke dalam Bahasa Arab di ibu kota Bahgdad. Akhirnya mereka menjadi teman karib, kemana-mana sentiasa bersama. Ahmad sangat gemar mencari ilmu. Maka Decius turut mendapat manfaatnya. Decius juga belajar bahasa Arab sehingga fasih.

“Ah, sahabatku. Ini saja rezeki kita malam ini,” kata Ahmad sambil meletakkan kebab daging di dalam pinggan. Decius tersenyum sambil menepuk bahu Ahmad.

“Cukuplah. Asalkan perut dilapik,”

Tiba-tiba terdengar gegak-gempita di luar. Jeritan manusia meminta tolong, menangis dan bunyi rumah dibakar turut kedengaran. Decius mengintai melalui tingkap.

“Lari!Lari! Bahgdad telah diserang. Baitul Hikmah telah dibakar. Tentera Hulagu Khan menyerang!!!”

Ahmad kelam-kabut mengutip buku-bukunya. Decius menarik tangan Ahmad.

“Sudah! Jangan buang masa!”

“Kau tak faham, Decius. Jika kerja-kerja kita tidak diselamatkan, apa yang bakal tinggal untuk generasi akan datang?”

Ahmad merenung sayu wajah Decius. Decius menarik nafas sedalamnya, dan terus membantu Ahmad membawa semua buku-buku mereka ke dalam beg yang diperbuat daripada kulit lembu. Terus mereka berlari keluar dari rumah. Decius mempunyai tubuh yang lebih gagah berbanding Ahmad yang kurus-kering lalu dia menarik tangan Ahmad selaju yang dia mampu. Decius berpaling ke belakang. Seorang tentera Mongol sedang mengejar mereka.

“Decius!!”

Rupanya belakang Ahmad telah dilibas dengan pedang tentera Mongol itu. Decius menarik pedang tentera Mongol itu lalu menikam perut tentera itu sekuat hatinya. Decius memangku badan Ahmad.

“Ahmad!Ahmad!”

Ahmad hanya tersenyum lemah. Dia memegang bahu Decius.

“Sahabatku, janjilah denganku yang kau akan selamatkan semua kerja kita dan tinggalkan pada generasi berikutnya,”

Decius mengangguk. Airmatanya tidak dapat ditahan lagi. Decius mengambil beg kulit lembu milik Ahmad lalu berlari sekuat-kuat hatinya.
***

Kira-kira 600 tahun berikutnya …

Bayu bertiup mengenai wajah Decius. Pergerakan kapal yang perlahan itu menenangkan jiwa Decius yang seringkali gundah-gulana. Sejak kematian Ahmad, Decius menghadapi masalah untuk benar-benar rapat dengan mana-mana manusia lain. Dia takut kehilangan mereka. Namun begitu, Decius tidak mensia-siakan usianya yang panjang itu. Decius fasih dalam 10 bahasa termasuklah Bahasa Jepun dan Cina. Kedengaran lagu ‘Besame Mucho’ dendangan Jimmy Dorsey berkumandang di atas kapal itu, namun ia sedikit pun tidak meredakan kegundahan hatinya.

Dari jauh, dia sudah ternampak bukit-bukau kepulauan Hawaii. Mungkin sebentar lagi mereka akan selamat mendarat di Waikiki. Sudah hampir 10 tahun, dia berhijrah ke Amerika Syarikat. Dia bercadang untuk menyertai pasukan tentera Amerika Syarikat. Satu perkara yang Decius tahu tentang dirinya, dia adalah seorang askar yang baik. Sepanjang hidupnya. Sejak ratusan tahun yang lepas. Dia akan mendaftar di Pengkalan Tentera Laut Pearl Harbor sebagai juruteknik misil kapal selam balistik.

“Rekrut!”

Serta-merta lamunan Decius terhenti. Kru logistik wanita itu menyerahkan pakaian seragam pada Decius. Jantung Decius berdegup kencang. Keanggunan wanita ini benar-benar menarik perhatiannya. Rambutnya berwarna coklat diikat kemas dan bermata biru. Walaupun berpakaian seragam tentera, dia tetap kelihatan cantik. Wanita itu melirik mata memandang Decius. Decius menguntumkan senyuman.

“Mary, ambil makanan dalam rumah,” pesan Decius pada isterinya. Mary berlari-lari anak ke dalam rumah. Dia memegang kepala anaknya Jason dan Alicia yang sedang bermain pasir. Sudah hampir 7 tahun mereka berkahwin. Hidup Decius kini sangat bahagia. Dia dan Mary saling memahami. Decius tidak pernah merasakan hidupnya lebih indah sejak bertemu Mary, wanita yang lembut dan penyayang. Sejak minggu lepas, dia dan Mary cuba mendapatkan cuti untuk bersama-sama anak-anak mereka untuk berkelah. Akhirnya, cuti mereka sama-sama diluluskan pada Ahad, 7 Disember 1941.

Tiba-tiba kedengaran bunyi bom meledak. Kapal Perang Arizona telah diletupkan! Asap kelihatan jelas dari kawasan perumahan tentera laut di Pearl Harbor. Decius mendongak. Tentera Udara Jepun menyerang.

“Papa!Papa!” Jason dan Alicia memegang kaki Decius. Decius memeluk mereka.

“Mary!!!” jerit Decius apabila dia terlihat bom dijatuhkan ke atas rumahnya. Di hadapan matanya, rumahnya berkecai menjadi debu. Disebabkan impak bom, Decius dan anak-anaknya turut terpelanting. Pandangan Decius menjadi gelap.

Dengan sepenuh daya, Decius membuka matanya.

“Tidak!!!Tidak!!Jason!Alicia!” jerit Decius apabila melihat tubuh anak-anaknya tidak bergerak di atas pasir pantai. Nasib malang apakah yang menimpanya sehingga terpaksa melihat anak-anaknya mati sebelumnya di hadapan mata?

“Apollo!!!Ambillah aku!!!” Decius menangis semahu-mahunya. Dia menumbuk dadanya sendiri berulang kali, di bawah hujan bom oleh Tentera Udara Jepun.

***

“Begitulah, anak-anak. Nasihat yang baik, harus kita ambil. Walaupun pada mulanya, nasihat itu kedengaran mengarut, ambil ia dan fikirkan kesannya untuk jangka masa panjang. Jangan tamak,” kata John sambil merenung wajah-wajah polos anak-anak yatim yang mendengar ceritanya. Tiba-tiba, seorang anak kecil mengangkat tangan.

“Uncle John rasa, Decius hidup lagi tak?”

John menggeleng lalu tersenyum.

“Kan, Uncle sudah beritahu, cerita ini adalah fiksyen sahaja. Namun pengajarannya adalah baik. OK lah, semua orang datang peluk Uncle buat kali terakhir,”

Anak-anak yatim itu memeluk John. John mencium dahi mereka satu-persatu.

“Uncle nak ke mana?”

“Uncle dapat tawaran kerja di tempat lain,”

“Uncle akan datang balik?”

“Kalau ada peluang, Uncle datang. Tapi tak janji,” John melambaikan tangannya pada anak-anak itu. Dia akan merindui mereka. Martina, penyambut tetamu rumah anak yatim itu menyerahkan topi dan kot John. Di luar masih bersalji. Begitu dingin.

“Akhirnya Tuan John pergi juga,” kata Martina, sedih. John memegang bahu Martina.

“Jangan risau, dana untuk anak-anak ini saya akan teruskan,”

Martina merenung wajah John begitu lama.

“Ada apa Martina?”

“Tuan kelihatan sentiasa muda. 7 tahun saya kenal tuan, sedikit pun wajah tuan tidak dimakan usia,”

“Jagalah pemakanan. Bersenam. Itu saja,”

“Saya harap saya boleh sentiasa muda macam tuan,”

John menggeleng sambil tersenyum.

“Gadis muda, berhati-hati dengan permintaanmu,”

Tiba-tiba rantai berloket ukiran Apollo terjatuh dari poket John. Martina mengutipnya lalu menyerahkan pada John.

“Antik ni,”

John hanya tersenyum. Dia menggosok loket itu, dan diciumnya. Wajah Althea, Ahmad, Mary, Jason, dan Alicia bersilih ganti dalam kotak fikirannya. Hatinya terasa pedih sekali.

“Apollo, berapa lama lagi harus aku melata di atas muka bumi ini?” kata hatinya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s