BERTEBARNYA SAYAP LEJION (CI)

Suatu ketika pada tahun 2016 …

“Jangan, jangan! Hey, jangan kau sentuh tubuhku!!!!”

Ia bagaikan mimpi. Berulangkali ku tampar pipiku dan mengharapkan aku bangun dari mimpi yang aneh ini namun aku masih belum terjaga. Di hospital, kelihatan manusia menanggalkan bajuku yang berlumuran darah, mendedahkan seluruh tubuhku yang pucat tanpa nyawa. Usus besarku yang sudah terburai akibat impak kemalangan, dimasukkan kembali lalu dijahit. Bagaikan terasa ngilunya setiap kali aku melihat jarum itu menyucuk kulitku. Aku menjerit separuh gila melihat situasi itu, namun tiada siapa yang mendengar. Aku berdiri di awangan bagaikan hembusan angin.

Aku terlihat sahabat dan ahli keluargaku menangis di luar bilik mayat.

“Kasihannya Amelia …”

“Shauna, aku di sini. Di sini!” jeritku memanggil Shauna. Aku menyentuh bahunya namun jariku menembusi tubuhnya. Apa ertinya semua ini?

Sudah matikah aku?

Aku melihat disekelilingku. Kepulan awan-awan putih yang entah dari mana melingkari tubuhku. Rasanya empuk. Namun hatiku tetap dirundung gelisah. Tiba-tiba ada satu tangan kekar yang besar menerpa dan menggengam tubuhku ke udara. Aku menjerit sekuat hatiku.
_________________

Di sebuah dimensi di mana ruang juga waktu adalah tidak relevan sama sekali …

“Hathor! Hathor!” jeritan suara garau itu menyebabkan aku terkejut lalu membuka mata.

Arggh!!! Aku begitu terkejut melihat kakiku sedang berpijak pada laluan meteorit yang terapung di udara. Tubuhku dibaluti pakaian labuh putih. Graviti tidak terasa namun tubuhku terasa seimbang.

“Aku bukan Hathor. Aku Amelia!” tukas aku, kegeraman.

Aku jengkel sekali mendengar suara garau yang datang entah dari mana. Tiba-tiba tangan kekar yang menarik tubuhku ke sini, menggengam kepalaku dengan kuat. Aku rasakan kepalaku bagaikan mahu pecah. Aku cuba melawan. Tiba-tiba, bagaikan ada ribuan skrin mula menerpa ruang fikiranku. Ia mengelirukan, namun lama-kelamaan ia semakin jelas. Aku berhadapan dengan Sang Cahaya Suci. Kukatakan Sang Cahaya Suci membiarkan manusia hidup dalam penderitaan tanpa memahami situasi mereka. Sang Cahaya Suci memotong sayapku. Pilunya masih terasa. Aku dilemparkan ke dunia. Dari ruang mata yang terbuka, aku melihat seorang wanita penyayang memanggil aku dengan nama Amelia.

Lalu tangan kekar itu melepaskan kepalaku. Perlahan-lahan sekujur tubuhnya menjelma di hadapanku. Dia juga memakai pakaian labuh putih sepertiku. Tangannya memegang skepter hitam berkilat. Matanya tepat memandangku. Roth, lejion penjaga dimensi gelap.

“Selamat kembali, Hathor. Mengertikah kini kau akan kasih sayang Sang Cahaya Suci pada manusia?”

Aku mengangguk perlahan. Sejak aku hidup dalam tubuh Amelia, aku mengerti kini mengapa Sang Cahaya Suci memberikan penderitaan kepada manusia. Tidak ada sesiapa pun yang dilupakan oleh Sang Cahaya Suci. Setiap kali manusia diuji dengan penderitaan, manusia akan bangkit, menjadi lebih kuat. Penderitaan juga tidak pernah berpanjangan. Kegembiraan akan menyusul. Begitulah caranya Sang Cahaya Suci menjaga manusia.

Serta-merta aku sujud, mengucapkan syukur dan terima kasih kepada Sang Cahaya Suci. Aku bangun lalu mendongak ke atas. Tiba-tiba kurasakan skapula dapat kugerakkan. Oh, syukurlah! Sayapku telah dikembalikan, malah ianya lebih baik dari yang asal. Pelepahnya kelihatan lutsinar dengan cahaya kebiruan, menerangi dimensi gelap itu.

Aku dapat merasakan yang Dia sedang melihatku seraya tersenyum.

“Aku kira, generasi lejion yang tiada kemahuan bebas terhenti dengan kewujudan aku?” tanya Roth lalu memandang tepat wajahku. Aku tiada jawapan bagi soalan Roth. Hanya Sang Cahaya Suci yang tahu jawapannya. Aku mengangkat bahu.

“Sang Cahaya Suci ada misi untukmu. Mendepani Raguel,”kata Roth, tegas.

Sebelum sempat aku bertanya apa-apa, Roth menegakkan skepternya. Dia mendekatkan kedua-dua tangannya lalu terbitlah percikan kilat dari hujung jarinya. Dia menolak aku menggunakan kuasanya masuk ke dalam sebuah lohong bergrid. Terdengar bunyi yang begitu kuat bergema di seluruh dimensi gelap itu. Sayap kurapatkan ke tubuh lalu badanku berpusing dengan lajunya. Jaluran-jaluran cahaya merah bagaikan sinar laser menembusi tubuhku. Bunyi bising yang memekakkan membuatkan aku menutup telingaku. Sepantas kelajuan cahaya, velositi itu pasti tidak mampu ditangani oleh tubuh manusia yang serba baru.
__________________

Sunyi.

Aku membuka mata. Gelap. Aneh sekali. Aku cuba mengangkat tanganku yang terasa begitu berat untuk meraba di sekelilingku. Debu-debu yang berterbangan membuatkan aku terbatuk-batuk. Ada sesuatu yang keras di hadapanku. Jalurannya seperti papan bersyelek. Keranda? Aku menolak objek yang keras itu lalu ia terpelanting ke udara.

Lantas aku bangun. Memandang sekeliling. Aku berada di tanah perkuburan yang kelihatan begitu usang. Dunia ini aneh sekali berbanding ketika aku tinggalkan ia. Sudah hampir gelap. Barangkali malam baru sahaja menjelma. Titis-titis air mengenai tubuhku. Hujan darah? Aku kesat cairan yang berwarna merah darah itu. Tidak. Ia hanya hujan yang tinggi kandungan asid dan toksik. Aku cuba menggerakkan skapula untuk membuang debu-debu pada tubuhku namun tiada sayap padanya. Aku telah dikembalikan kepada jasad manusia, sekali lagi.

Ada sebuah perhentian kenderaan awam, tidak jauh daripada tanah perkuburan usang itu, lalu aku bangun menghampirinya. Sepasang remaja sedang sibuk berasmara dengan seluar dalam mereka telah dilurutkan ke bawah di bangku perhentian. Aku mengerutkan dahi. Mereka berpaling ke arahku, berbisik kemudian meninggalkan perhentian itu. Apa semua ini? Kenapa manusia berkelakuan seperti binatang? Tidak ada rasa malukah dalam diri mereka? Ada papan tanda hologram pada tiang perhentian itu. 4 Julai 3016? Seribu tahun sudah berlalu di bumi?

Setelah sedar akan situasiku, mataku mula menganalisis situasi di sekelilingku. Kelihatan sebuah bangunan kaca yang dihadapanku. Di belakang bangunan itu, terdapat ratusan bangunan kaca dan konkrit yang kelihatan sofistikated dengan rekabentuk arsitektur yang tinggi. Ia kelihatan seperti sebuah residen futuristik. Dari luar, aku dapat melihat manusia-manusia ini dilayan oleh robot android yang patuh semua arahan, tanpa bangkangan. Kenderaan juga bergerak menggunakan suspensi magnetik, berapung di atas jalan yang berupa jalur magnetik. Dipisahkan oleh sebuah dinding konkrit laksana tembok Berlin, terdapat rumah-rumah setinggan yang lusuh, menunggu hari untuk runtuh. Manusia dipisahkan kelasnya oleh dinding dingin tidak bernyawa. Bahkan begitu hebat infrastruktur binaan manusia yang sudah maju akalnya, belum tentu maju jiwanya.

Aku terlihat polis memukul orang awam yang tidak melawan sehingga luka kepalanya, entah mengapa, namun manusia yang lalu-lalang tidak peduli. Mereka terlalu asyik dengan skrin bulat di tangan mereka. Kelihatan perempuan tua berpakaian compang-camping mengutip sisa makanan dari kawasan sampah. Begitu juga dengan beberapa orang kanak-kanak yang kelihatan comot, mengutip sisa makanan yang berteraburan di atas jalan. Namun mereka disepak terajang oleh sekumpulan kanak-kanak berpakaian indah. Kelihatan beberapa orang lelaki berseluar loreng tanpa baju, menembak kawasan awam sesuka hati. Polis yang berada berdekatan keluar untuk menghalang mereka, ditembak tepat di atas kepala menggunakan senjata plasma jarak dekat sehingga bolong kepalanya. Isi otaknya bertaburan keluar. Kawasan ini laksana neraka dunia yang hanya dibatasi dinding. Jurang kaya dan miskin begitu jelas. Aku mengalihkan pandangan. Tidak sanggup lagi melihat semua kebobrokan ini.

Tiba-tiba tubuhku dipeluk dari belakang. Aku ditolak ke tanah, lalu pakaianku diselak. Tangan yang kasar itu cuba meraba pangkal pahaku. Tanganku angkat. Tubuh yang cuba mencabulku itu terangkat ke udara lalu ku lemparkan ia mengenai tiang lampu yang berdekatan. Sebagai lejion, aku dikurniakan kuasa untuk menggerakan sesuatu dari jarak jauh melalui cahaya kuasaku yang berwarna biru, juga kekuatan yang melampaui batas pemikiran manusia. Ternyata Sang Cahaya Suci menurunkan aku ke bumi dalam bentuk manusia, namun sifat lejion aku dikekalkan.

Lelaki berjambang itu bangun sambil mengerang kesakitan. Aku memandang tajam padanya sehingga cahaya kebiruan keluar dari mataku.

“Kau adalah syaitan! Syaitan!” jeritnya sambil berlari lintang-pukang.

Syaitan? Aku ingin ketawa dalam hati. Kaulah syaitan. Tunduk dengan kehendak nafsu, bukan pada akal fikiran yang waras.

Jelik aku. Dunia apakah ini? Sudah tiadakah Sang Cahaya Suci di hati mereka? Hatiku menjadi marah. Di mana Raguel?

“Raguel!Raguel!” jeritku. Diam.

“Aku tahu kau mendengar, Raguel. Keluar, kau!”

Terdengar desiran kepak di belakangku. Aku berpaling. Kelihatan kelibat bersayap di atas bangunan yang berdekatan denganku. Ia kelihatan bersinar dengan cahaya hijau.

“Hathor, sudah lama tidak berjumpa,”

Raguel duduk di birai bangunan itu, Kakinya dihayunkan ke kiri dan kanan. Bangunan kaca itu membalikkan cahaya kehijauan yang indah dari sayap Raguel.

“Apa ertinya semua ini, Raguel? Mengapa kau biarkan manusia begini?Kenapa tidak kau pancarkan sinar cinta dan kasih sayang kepada mereka? Bukankah itu tugasmu?”

Raguel terdiam seketika. Kepak memeluk tubuhnya.

“Tidak kira sebanyak mana aku pancarkan cahaya cinta, manusia tidak pernah belajar menghargainya. Sebagaimana yang dijangka, mereka lebih suka melakukan kerosakan daripada memanifestasikan cinta. Jadi untuk apa aku pancarkan lagi sinar itu? Biar saja mereka berbunuhan sesama sendiri. Bukankah pengakhiran juga sudah dirancang untuk mereka?” kata Raguel lalu bangun, meniti birai bangunan kaca itu.

“Pengakhiran untuk mereka, bukan di tanganmu,”kataku, tegas.

Raguel memandangku seketika. Kemudian, dia bangun, menebarkan sayapnya, bersedia untuk terbang. Aku memejamkan mata lalu memohon agar Sang Cahaya Suci memulangkan sayapku. Terasa perit di skapulaku seketika, lalu aku cuba menggerakkannya. Ia melibas kencang. Raguel memandangku tajam. Dia melompat dan terus terbang ke langit. Aku juga melompat, melayang lalu mencapai sayap Raguel. Raguel berdesit.

“Sang Cahaya Suci mahu kau pulang,”

Raguel melibaskan badannya dengan kuat sehingga aku terlepas sayapnya. Dia terbang ke hadapan lalu berpusing menghadapku. Matanya bercahaya membakar. Dia mendepangkan tangannya lalu cahaya kilat kehijau-hijauan terbit dari hujung jarinya. Aku membentuk sfera bercahaya biru dari jemariku. Raguel hanya tersenyum mengejek. Aku melihat ke bawah. Manusia-manusia yang kehairanan berkumpul di bawah sana seolah-olah menyaksikan temasya bunga api ketika Hari Kemerdekaan. Mereka tidak tahu inilah permulaan sebuah pengakhiran.

Dengan pantas aku terbang ke bawah lalu menepuk bumi sehingga bergegar laksana gempa bumi yang dahsyat. Manusia mula terpekik-pekik mencari perlindungan. Ada anak kecil yang terjatuh di atas jalan jalur magnetik, dia menangis ketakutan. Aku berjalan perlahan ke arahnya, mendukungnya, lalu menyerahkan dia kepada sekumpulan manusia yang sedang bersembunyi di bangunan kaca. Mereka tunduk padaku lalu ku tahan kepala mereka dengan tanganku. Kepala mereka kaku. Di mata mereka terbayang ketakutan yang amat. Sayap kanan kulibas sehingga mereka semua terbalik ke belakang.

“Aku bukan Sang Cahaya Suci. Jangan tunduk padaku!”

Manusia naif! Mereka sudah lupa untuk tunduk kepada Sang Cahaya Suci, kini mahu tunduk pada aku pula.

Raguel masih menantiku dengan sabar diatas sana. Lalu terbangku menghadapnya.

“Ayuh, kita mulakan,”

Manusia menghantar jet-jet pejuang mengelilingi kami. Aku menggoyangkan jari telunjukku pada salah seorang juruterbang jet pejuang itu sebagai amaran. Misil dilepaskan. Aku menahannya dengan tanganku lalu menepis ia kembali pada mereka. Mereka tidak sedar yang mereka menghadapi kuasa yang melampaui batas pemikiran mereka. Dengan itu, sayap ku libaskan agar mereka menjauh. Berpusing jet-jet itu lalu menjauh.

“Kasihmu pada mereka amat menyentuh hatiku,” kata Raguel, menyeringai.

“Apakah kau punya hati?”

Raguel mengigit bibirnya. Menahan geram.

Aku membentuk sfera kuasa di belakangku. Ketika Raguel mengumpul kekuatan untuk menyerang, aku melepaskan sfera kuasa pada bahu Raguel. Raguel menjerit kesakitan. Gema suaranya yang begitu memekakkan sehingga manusia yang menyaksikan pertarungan epik antara 2 lejion ini menutup telinga, menahan bunyi yang berdesibel tinggi itu. Lalu dengan pantas aku terbang padanya, menolak keras tubuhnya, dan cuba merentap sayapnya. Raguel menepisku dengan kuat dengan melepaskan kuasa kubus kehijauan padaku sehingga terpelanting aku ke bumi, menggegarkan ia, memusnahkan apa sahaja yang berada di laluannya.

Mata Raguel tidak lepas memandangku. Aku meluncur kembali ke udara. Tanpa kusangka, Raguel terbang ke bawah kakiku lalu merentap keras sayap kananku sehingga terkulai. Aku menjerit kesakitan, melepaskan gelombang suara yang bingit. Aku memegang bahuku. Peritnya menggigit seluruh tubuhku. Aku memohon pada Sang Cahaya Suci agar membantu aku menewaskan Raguel. Dan tiba-tiba, sensasi renjatan elektrik menyelubungi tubuhku. Sang Cahaya Suci menghubungiku. Aku terasa damai sekali. Dapat ku rasakan serpihan sayap itu mula berkumpul kembali dan membentuk sayap kananku semula. Sayap lutsinar itu kulibaskan dua tiga kali.

Raguel cuba mengumpul kuasanya untuk menyerang kembali. Tanpa membuang masa, aku meluncur pantas, menepuk keras dadanya dengan sfera kuasaku. Raguel menjerit kesakitan. Sfera cahaya di dalam dadanya kian membesar dan mula bergerak melalui saluran darahnya. Cahaya itu meresapi seluruh tubuh Raguel lalu dia terkulai di hadapanku.

“Dengan nama Sang Cahaya Suci, aku bebaskan kau dari semua ikatanmu pada dunia ini,” perlahan aku menyentuh kepalanya. Sayap Raguel terbakar terlebih dahulu, diikuti kepala dan tubuhnya menjadi debu-debu merah yang berterbangan.

Perlahan-lahan aku turun ke bumi. Bumi musnah sama sekali. Bangunan-bangunan yang gah kini hanya puing-puing kelabu. Asap dan api kelihatan di sana-sini. Mayat bergelimpangan. Yang terselamat, merangkak keluar dari pesembunyian mereka. Tangisan mereka bergema di ruang udara. Aku sujud kepada Sang Cahaya Suci. Memohon penyelesaian bagi kejadian ini.

Kini Sang Cahaya Suci berkata-kata.

“Syabas, Hathor. Sekarang katakan apa yang kau mahu, akan Ku tunaikannya,”

“Sesungguhnya Sang Cahaya Suci lebih mengetahui apa yang aku inginkan,”

Sang Cahaya Suci tersenyum.
___________________
“Amelia, mari sini, sayang,”

Ibu? Ibu masih hidup?

Tangan ku hulurkan. Ibu mendukungku.

“Tengok tu,” kata ibu sambil menunjuk ke angkasa. Kelihatan bunga api di udara. Begitu indah. Lantas aku memeluk leher ibu.

“Amelia sayang ibu,”

Ibu tertawa kecil. Rambutku dibelai. Dia meletakkan aku di sebelah Shauna di tempat duduk belakang Cadillac miliknya. Ibu menguatkan lagu ‘Every Breath You Take’ nyanyian The Police yang begitu terkenal pada ketika itu. Kepalaku diusap perlahan. Shauna memelukku.

“Sayang adikku yang comel,” kata Shauna sambil membetulkan dres pendekku.

Dia mengambil suratkhabar yang ibu letakkan dalam kereta yang bertarikh 4 Julai 1983. Aku merenung keluar tingkap kereta. Kelihatan kanak-kanak riang menikmati gula kapas. Mereka diperhatikan dengan penuh kasih sayang oleh ibu bapa mereka. Ternyata Hari Kemerdekaan pada tahun itu sangat meriah dan penuh kecintaan.

“Lihat ini, Amelia. Sally Ride. Wanita Amerika pertama ke angkasa lepas untuk misi STS-7. Besar nanti, kamu nak jadi angkasawan seperti dia?” kata Shauna sambil menunjukkan suratkhabar itu. Aku tersenyum.

“Tidak, aku nak jadi penyebar cinta ke seluruh dunia,”

Shauna menganga. Ibu mencium pipiku setelah mendengar kata-kataku.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s