VELOSITI (CI)

“Ada pengimbas retina, pengimbas cap jari dan analisis ‘gait’,” kata Max ketika memeriksa di sekitar hadapan pintu bilik kebal.

“Bawakan pengurus bank ke sini,” kata Emma sambil membetulkan balaclava yang dipakainya.
Tanpa banyak soal, Anton menarik pengurus bank yang berusia hampir 40an. Dia kelihatan sangat takut, mukanya kelihatan pucat. Matanya tidak lepas merenung Pistol CQB yang dipegang Emma sejak tadi. Emma membelek tag nama pengurus bank itu.

“Harris, kan? Dengar sini baik-baik. Aku tak mahu buang masa dan aku juga tak mahu mencabut nyawa hari ini. Kau akan bekerjasama dan kau boleh pulang kepada anak isteri kau petang ini, faham?” kata Emma sambil memegang kolar baju Harris itu. Matanya memandang anak mata Harris dengan tajam.

Dengan pantas, Harris mengangguk. Emma menolak dia ke hadapan pintu bilik kebal. Dengan perlahan, Harris berjalan di pelantar analisis ‘gait’. Sinaran laser memancar seketika pada badan Harris lalu Harris meletakkan ibu jarinya pada pengimbas cap jari dan matanya pada pengimbas retina. Setelah pintu kebal dibuka, dengan pantas, Anton menarik Harris, ditolak Harris ke atas lantai, lalu tangan dan kaki Harris diikat. Mulut Harris dilekat dengan pita pelekat. Harris mengerang perlahan.

Max dan Henry yang masing-masing juga memakai balaclava dengan pantas memasuki bilik kebal. Henry mengambil jongkong-jongkong emas lalu dimasukkan ke dalam beg sandangnya. Henry mencari kotak hitam yang menjadi tujuan utama rompakan mereka hari ini. Emma hanya berdiri di pintu bilik kebal. Avery dan Jakob berkawal di hadapan. Anton kembali ke ruang legar bank untuk berkawal bersama-sama dengan Avery dan Jakob.

“Cepatlah! Kita hanya ada 3 minit sahaja lagi,” panggil Emma. Max dan Henry mempercepatkan gerakan mereka.

“Dapat!”

“OK, move it!”

Mereka bertiga berlari pantas ke ruang legar bank. Kelihatan pekerja dan pelanggan bank semuanya terbaring ketakutan. Pengawal keselamatan diikat.

Emma mengeluarkan beberapa silinder hitam dari poketnya.

“Ini adalah sensor pergerakan yang sangat sensitif. Sekiranya sensor ini mengesan pergerakan dalam masa kurang 7 minit selepas ia dihidupkan, bom yang telah kami pasang dalam bank ini akan meletup dengan sendirinya,” kata Emma sambil meletakkan silinder hitam itu di setiap sudut ruang legar bank lalu menghidupkannya. Kelihatan laser merah melantunkan gelombang di udara. Seorang wanita yang telah terbaring meletakkan pipinya di atas lantai lalu menangis ketakutan. Masing-masing cuba merapatkan diri ke lantai agar badan tidak tersentuh gelombang merah yang dipancarkan oleh silinder hitam itu.

Emma, Max, Henry, Anton, Avery dan Jakob berlari ke ruang belakang bank. Dengan pantas, mereka menaiki sebuah van hitam yang berhampiran lalu memandu dengan pantas, keluar dari kawasan bank tersebut. Mereka bersorak dalam van dengan gembiranya. Rancangan berjaya. Tanpa sebarang masalah.

“Bila kau pasang bom dalam bank, Emma?” tanya Jakob dengan rasa ingin tahu. Dia tak pasti Emma ada masa untuk melakukan perkara itu tadi.

“Mana ada. Aku gertak saja. Silinder hitam itu penanda perimeter laser,”

Jakob tertawa sambil menepuk bahu Emma.
______________________________________

“Aku akan ke Bahamas, dengan tequila di tangan dan wanita-wanita cantik dalam pelukanku,” kata Max dengan senang hati sambil membahagikan jongkong emas yang dirompaknya kepada ahli kumpulan yang lain. Avery tertawa besar.

“Adakah wanita yang mahu berada dalam pelukan kau?” tanya Avery sambil menimbang jongkong emasnya. Max hanya tersenyum miring.

“Emma, bila kau nak jumpa klien untuk barang dia ni?” tanya Henry sambil mengangkat kotak hitam berbentuk seperti sebuah briefcase kecil yang mereka ambil dari bank. Emma yang sedang terbaring keletihan di atas sofa bangun lalu duduk menghadap Anton.

“Anton?”

“Malam ini,”

Henry mengangkat kotak itu lalu melemparkan ia kepada Anton, Anton gagal menyambutnya lalu kotak itu terjatuh di atas lantai. Kotak hitam itu terbuka dengan sendirinya. Yang terkeluar hanyalah sebuah ‘pendrive’ kecil berwarna kelabu.

“Hey! Barang klien kita itu. Kau tak mahu bayarankah?” jerkah Emma. Dia mengutip ‘pendrive’ yang bertanda Abrasax Weaponry. Dahinya berkerut apabila melihat nama itu.

“Abrasax Weaponry?” kata Emma dalam hati. Nama ini memang sangat biasa didengarinya. Ia adalah sebuah syarikat persenjataan yang terkenal.

“Anton, siapa klien kita?”

“Gergasi farmaseutikal. Ini adalah formula bagi dadah ujian untuk rawatan antiretroviral dari syarikat pesaing,” kata Anton, teragak-agak. Peluh memercik di dahinya. Emma menggengam kolar Anton, keras. Wajahnya didekatkan dengan wajah Anton.

“Berterus-terang dengan aku, otherwise I will beat the shit out of you!!!” kata Emma, keras. Anton terdiam seketika.

“Ahli politik Donald Rice,”

Emma menumbuk pipi Anton dengan kuatnya sehingga Anton terhempas ke lantai. Anton memegang wajahnya yang merah ditumbuk Emma. Ternyata tumbukan padu bekas tentera elit ini sangat berbisa.

“Henry, semak isi ‘pendrive’ itu sekarang,”

Avery, Jakob, Max dan Emma berdiri di belakang Henry ketika dia memasukkan pendrive itu ke dalam Mac Air di atas meja makan. Masing-masing cemas.

“Holy shit. Ia adalah sebuah blueprint. ‘Blueprint’ serangan pengganas!” jerit Henry. Kelihatan pelan bangunan, jenis senjata, bom, rutin harian bangunan, maklumat jaringan pengganas dan pelbagai lagi maklumat penting terdapat dalam ‘pendrive’ tersebut. Semua mata memandang Anton. Emma menghampiri Anton.

“Sudah aku katakan dulu, kita hanya ambil wang, tapi kita takkan ambil nyawa. Kita pencuri, bukannya pembunuh!!”

“Jadi kau adalah seorang pencuri yang bermoral? Itu yang kau nak katakan?” ejek Anton. Emma mengetap bibir, menahan marah. Dia menunjukkan jarinya tepat ke muka Anton. Lalu sebiji penumbuk padu dilepaskan ke perut Anton. Anton mengaduh kesakitan. Emma berpaling pada rakan-rakannya yang lain.

“Look guys, aku tahu kita telah berhempas pulas untuk misi ini. Aku janji. Aku akan cari jalan untuk dapatkan duit, namun bukan dari misi ini. Dan aku tak pernah mungkir janji,” kata Emma, tegas.

Dia mengambil ‘pendrive’ itu dari Mac Air kepunyaan Henry.

“Mereka akan mencari kita semua, Emma. Mereka adalah manusia berbahaya!”

“Jadi mengapa kau menjolok sarang tebuan?” kata Emma, memandang tepat wajah Anton.
_________________________________________

Senator Donald Rice terdiam mendengar penjelasan Anton. Telefon bimbitnya diletakkan di atas meja. Dia mengangkat kepala, memandang tentera upahan yang bersut hitam di hadapannya. Mereka berdiri tegak. Sedia menerima arahan seterusnya.

“Dapatkan ‘pendrive’ itu. Cari Emma sampai dapat. Hidup atau mati!”
__________________________________________

Emma menanti di pinggir tanah perkuburan itu dengan rasa tidak sabar.

“Mana Jakob ni?”

Jakob sedang menyediakan dokumen perjalanan palsu untuk Emma dan dirinya. Mereka bercadang untuk keluar dari negara pada malam itu. Namun sudah hampir satu jam menanti, batang hidung Jakob tidak muncul juga. Hati Emma kuat mengatakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan situasi ini.

“Emma …” terdengar suara memanggilnya dari semak. Dengan pantas, Emma bangun dan mendekati semak itu.

“Oh Tuhanku, Jakob,” Jakob merangkak dengan tubuh berlumuran darah. Dia menyerahkan plastik berzip berisi passport dan semua dokumen perjalanan Emma. Matanya terpejam menahan kesakitan.

“Lari, Emma. Mereka dalam perjalanan ke sini,” kata Jakob, perlahan.

“Bagaimana dengan kau?” kata Emma, risau. Dia menyelak luka tembakan di dada Jakob. Liang itu berada di bahagian peparu kirinya. Emma cuba menekan liang itu, menghalang darah dari keluar lebih banyak. Jakob memegang tangan Emma.

“Aku takkan bertahan lama, pergilah sekarang!”

Kedengaran tapak kaki mendekati mereka. Emma mengangkat kepala. 2 lelaki bersut hitam dengan senjata Vector SP profesional mencari-cari sesuatu. Pembunuh upahan. Emma terus berlari meninggalkan Jakob. Kedengaran tembakan di belakangnya. Emma tidak menoleh lagi. Kakinya terus membuka langkah sekuat hatinya. Tiba-tiba dia terasa sesuatu yang panas membakar menembusi bahunya. Emma memegang bahunya. Darah … dia tidak memperlahankan larian. Kakinya terus melangkah walaupun dia dapat merasakan tenaganya semakin kurang.
_____________________________________________

Tom mencabut senjata Colt M1911 dari uniform tenteranya. Dia hanya mendengar ketukan pada pintu belakang rumahnya, namun kelibat manusia tidak kelihatan.

“Siapa?!” jerit Tom. Tiada jawapan. Terdengar lagi ketukan.

Perlahan Tom membuka pintu. Hatinya sangat terkejut dengan apa yang dilihatnya.

Emma sedang terbaring berlumuran darah di hadapan pintunya. Dengan pantas dia menarik Emma ke dalam rumahnya. Dia keluar untuk meninjau kiri dan kanan, bimbang sekiranya ada orang yang mengikuti Emma. Emma diangkatnya ke bilik tidurnya.

__________________________________________

Tom merenung Emma yang sedang tidur di atas katilnya. Wajah itu sedikit berkerut menahan kesakitan walaupun dalam tidur. Tom menyelimuti tubuh Emma. Dia bernasib baik kerana tidak kehilangan darah yang banyak, peluru itu tidak mengenai organ penting. Tom sudah pun mengeluarkan peluru tersebut dan menjahit luka Emma. Sedikit pun Emma tidak mengeluarkan suara ketika proses mengeluarkan peluru dan proses jahitan. Itulah Emma yang dia kenali sejak zaman remaja, ketika Emma mula-mula dibawa masuk ke dalam negara ini sebagai pelarian. Dia memang keras hati.

Dia teringat kata-kata Emma 5 tahun lalu.

“Aku tidak mahu lagi menjadi askar,” kata Emma perlahan. Tom terperanjat.

“Bukankah ini cita-citamu?”

“Ya, kerana didorong perasaan untuk membalas dendam bagi keluargaku yang dibunuh oleh tentera Assad di Syria. Namun bila aku renung kembali, apa bezanya aku dan tentera Assad? Kedua-duanya adalah pembunuh. Nyawa manusia tetap menjadi taruhan,”

“Tetapi kita berada di pihak yang benar,” ujar Tom lagi. Dia tidak mahu Emma meninggalkan Skuad Taktikal Tentera begitu sahaja kerana dia adalah askar yang berkebolehan.

Emma hanya tersenyum mengejek.

“Siapa yang menentukan benar dan salah? Kau, aku atau mereka? Bagimu, kau berada di pihak yang benar, bagi mereka, meraka yang berada di pihak yang benar. Lalu bagaimana?”

Tom juga masih belum mempunyai jawapan untuk soalan itu. Dia meletakkan senjatanya berhampiran dengannya di atas lantai, menepuk bantal lalu memejamkan mata.
_____________________________________________

Lena Tom dikejutkan dengan tepukan di atas bahunya. Segera dia mencapai senjatanya di atas lantai namun tangannya dipegang kemas.

“Rileks,”

Matanya dibuka luas. Wajah gadis berkulit putih merah, berkening lebat dan berambut hitam pekat itu tersenyum memandangnya. Dia sudah mandi dan memakai pakaiannya. Beg pakaiannya disandang kemas. Jam menunjukkan pukul 5 pagi. Suasana di luar masih gelap.

“Dengar sini baik-baik. Benda ini sangat penting. Aku mahu kau sampaikannya kepada pihak yang betul. Jika tidak, ramai yang akan mati. Aku tahu kau akan melakukan perkara yang betul,” kata Emma sambil meletakkan ‘pendrive’ berwarna kelabu dalam tapak tangan Tom. Tom menggenggam ‘pendrive’ tersebut.

Emma bangun menuju ke pintu bilik. Tom bangun lalu mengikuti Emma. Dia menarik tangan Emma.

“Kau nak ke mana?”

Emma hanya tersenyum lemah.

“Kalau kau tidak mendengar dariku lagi, bermakna aku sudah mati. Namun jangan risaukan aku. Terima kasih atas pertolongan kau,”

“Zoraya …”

Emma memejamkan matanya. Sudah terlalu lama dia tidak mendengar nama itu. Kepedihan dan kesengsaraan itu masih terasa. Bagaikan terdengar pekikan adiknya yang terakhir sebelum roket menghentam rumah mereka di Homs menjadi debu.

“Tom, jangan kau ingatkan aku akan masa silamku,”

Tom memegang pipi Emma. Rasanya masih seperti dulu. Rasa yang sama yang menggetarkan hatinya setiap kali dia bersama dengan Emma. Tom mendekatkan wajahnya pada wajah Emma namun Emma menahan bibir Tom dengan jemarinya. Dia hanya tersenyum lemah, mengelus pipi Tom lalu keluar dari rumah, meninggalkan Tom seorang diri, berteleku di dalam haruman Emma, mengenang kisah lama antara mereka.
___________________________________________

Senator Donald Rice memandang Tom sekilas dengan pandangan yang tajam. Polis menolak kepalanya masuk ke dalam kereta polis sebelum di dibawa pergi ke ibu pejabat polis.

“Tahniah Mejar Thomas, kita berjaya menghentikan salah satu kumpulan pengganas yang paling aktif di rantau ini. Kerja kita bukan terhenti di sini sahaja. Banyak lagi yang perlu dilakukan,” kata Leftenan Kolonel David sambil menepuk bahu Tom. Tom hanya mengangguk. Ini semua datang dari Emma.

Dia puas kerana kejahatan yang dirancang oleh Donald Rice dapat dibendungnya dengan baik. ‘Pendrive’ itu diserahkan kepada pegawai pemerintahnya selaku orang yang paling Tom percayai. Siasatan dibuka untuk beberapa bulan, sehingga Senator Donald Rice serta jaringan pengganas yang dihubunginya dapat dikesan dan dihapuskan. Senator Donald Rice ingin mengebom Bangunan Kedutaan, seterusnya menggunakan ketakutan orang ramai untuk berkempen bagi mendapatkan jawatan Presiden negara. Permintaan Emma telah dia tunaikan.

Sudah hampir setahun dia tidak mendengar khabar berita dari Emma. Apakah dia sudah mati? Sukar hati Tom untuk menerimanya namun, segalanya mungkin. Mungkin Donald Rice berjaya menghapuskan Emma sebelum dia ditangkap? Tom tidak pasti. Dia mengeluh perlahan.

“Encik, ada poskad untuk Encik,” kedengaran posmen memanggil dari luar.

Tom membelek poskad itu. Setem dari Tahiti. Tanpa sebarang tulisan. Aneh. Dia membalikkan poskad. Gambar tangan yang memakai rantai tangan ‘charm’ huruf E menyentuh pasir pantai yang basah. Tom tersenyum sendirian. Teka-teki dalam fikirannya sudah berjawab.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s