DRAMA SEORANG LELAKI (CF)

“Tuanya, mak!” kataku separuh menjerit, apabila mak berikan gambar tunangku. Dia kelihatan seperti berusia 40an. Rupanya tidaklah hodoh benar. Sekali imbas, kacak juga. Kulit sawo matang, senyumannya manis. Semua orang dalam rumah ini dah gila agaknya. Mak menarik pantas gambar itu dari tanganku.

“Kau tu muda sangatkah? Bertuahlah ada orang yang mahukan kau. Sudah 30an, berperangai bagai lelaki, bekerja di pelantar minyak. Ada hati kau nak memilih, ya?” kata mak sambil membetulkan gambar yang terlipat itu.

“Orangnya baik, elok budi bahasanya, dari keluarga baik-baik, kerja pun bagus. Di mana lagi kau nak cari lelaki begini zaman sekarang ini? Pergi jumpa dia petang ini sebelum balik ke pelantar minyak,”kata mak, tegas.

Menyesal. Memang aku menyesal setuju dengan mak untuk terima lamaran itu. Bukan apa, aku penat ditanya mak bila nak kahwin. Beberapa tahun ini, lebih kerap ditanya. Mana ada masa untuk aku berjumpa lelaki kalau bekerja di pelantar minyak? Kalau aku pulang ke daratan pun, aku terlampau penat untuk bersosial. Aku suka tinggal di rumah saja, baca buku. Sejak aku putus kasih dengan Daniel, hatiku tawar untuk menerima mana-mana lelaki lain dalam hidup aku.

“Kau nak keluar begini? Tak ada baju yang cantik sedikit?”tanya mak ketika aku melangkah keluar dari rumah. Memadailah rasanya dengan berseluar jeans lusuh, T-shirt dan ‘loafer’. Kalau sudah dia nak kahwin dengan aku, dia mesti terima aku seadanya, bukan?

_______________________________

“Remy?”

“Amanda, kan? Jemput duduk,” dia menghulurkan salam. Dia melihat pakaianku dari atas ke bawah. Tiada reaksi spontan namun dia tidak berkata apa-apa. Dia pula kelihatan sangat kemas dengan T-shirt Polo dan seluar slack berwarna kelabu. Setelah memesan minuman, aku dan Remy hanya mendiamkan diri seketika.

“Kenapa diam? Kecewa melihat bakal suami?” katanya bersahaja.

Wow … straight to the point. Semua ahli perniagaan beginikah?

“Aku tak nak kahwin pun sebenarnya,” kataku, terus-terang. Remy tersenyum hambar.

“Kalau begitu, mengapa lamaran diterima?”

“Sebab penat menjawab soalan bila nak kahwin,”

“Kita sama. Aku juga menghantar lamaran sebab ibubapa aku yang beria-ia sangat nak aku kahwin,” katanya.

Ohh … baguslah. Kedua-dua kami penat dihimpit soal jodoh oleh keluarga. Jadi kami akan saling memahami.

“Sekarang begini saja, baik kita putuskan pertunangan kerana kau dan aku sama-sama terpaksa, bukan?”

Remy terdiam. Dia menguntumkan senyum perlahan-lahan.

“Kenapa terburu-buru? Kau belum kenal aku, mana kau tahu, kau takkan suka padaku?” Pandangan Remy tepat dihalakan padaku. Aku terpempan seketika dengan pandangan itu. Namun aku mengeraskan hati.

“I am sure you are a very nice guy, but I am not interested in marriage, sorry,”

“Look, our parents are business partners. Kau nak tengok perniagaan ayah kau porak-peranda? In fact, sekarang bapa aku sedang membiayai salah satu projek besar bapa kau. This is a business arrangement,” kata Remy, tenang. Pandangannya dilemparkan ke kolam renang seketika kemudian, beralih padaku.

Business arrangement? Aku mengerutkan dahi. Abah gunakan aku untuk luaskan perniagaan?

“Beginilah, Amanda. Untuk tidak mengecewakan ibubapa kita, kita kahwin saja dahulu. Lihat dulu kalau kita ada keserasian, jika tidak, kita berpisah. Begini, mereka takkan begitu kecewa. Mereka tahu kita tidak saling mengenali, bukan?” kata Remy tenang.

Aku mengangguk perlahan. Kalau kali ini pun tak jadi, mungkin abah akan lebih kecewa.

“At least, kita berlakon jadi suami isteri yang baik,” kata Remy, selamba. Dia menyedut minumannya sambil menanti reaksi dariku.

Berlakon? Dah gilakah dia ni? Aku mengerutkan dahi.

“Anggap saja ia sebagai permainan. Dah letih main, kita berpisah. Ada berani?” kata-kata Remy yang bersahaja seolah-olah mencabar aku. Hmm … aku pantang dicabar.

“OK, but no sex,” kataku, tegas. Remy tersenyum mengejek.

“OK, no sex,”

“No sex, no hugging, kissing and the likes,”

“Alright,”

“Hanya pasangan hidup, bukan kekasih,”

Remy mengangguk. Dia mengangkat ibu jarinya tanda setuju.

OK, mak. Aku dah sedia untuk berkahwin.

_______________________

Petang itu, Remy menghantar aku sehingga ke helipad. Dia bilang dia akan menguruskan semua hal perkahwinan. Dia cuma mahu aku pilih gaun pengantin sahaja. Itu perkara enteng. Balik ke pelantar minyak, pekerja-pekerja dan rakan-rakan aku mempersendakan aku. Sebagai ‘drilling engineer’, teman-temanku kebanyakannya lelaki. Semuanya gila-gila. Mereka fikir aku akan membujang sampai ke tua.

Apa mereka fikir aku ni tak laku sangatkah?

___________________________

Majlis perkahwinan berlangsung dengan meriahnya walaupun kecil-kecilan. Itu permintaanku. Aku akan berpindah ke rumah Remy selepas ini. Remy akan uruskan semua. Sengaja aku pilih tarikh perkahwinan yang berdekatan dengan waktu untuk aku kembali ke pelantar minyak agar tak perlu aku bersama Remy untuk ‘berlakon’ jadi suami isteri yang baik. Biar dia seorang saja yang berlakon. Aku tak ingin. Selepas 3 hari majlis perkahwinan, aku kembali ke pelantar minyak. Sepanjang 3 hari, aku berjaya mengelak saat berduaan dengan Remy.

“Bila nak balik, telefon aku. Aku akan telefon kau setiap hari, pukul 8 malam. Jangan lupa angkat. Jaga diri baik-baik,” pesannya.

Aku mencebik. Ceh … selama ini pun aku sudah pandai menjaga diri baik-baik.

__________________________

Setiap hari, sepanjang 3 bulan pertama selepas perkahwinanku, Remy akan menelefon aku di pejabat pelantar. Aku menjawab acuh tak acuh saja. Namun tetap aku menjawabnya. Seronok juga ada yang ambil berat, namun tidak aku nyatakan pada Remy.

Jam sudah menunjukkan pukul 8.30malam. Aku menjadi tidak sabar. Sakitkah dia? Kemalangankah? …matikah? Kerisauanku memuncak. Dia tidak pernah begini. Walau apa pun situasinya di sana, dia pasti akan menelefon aku.

Ringgg!!!

“Remy! Kau OK?”

“Ya, Amanda. Maaf, kereta aku rosak dan bateri handphone habis ketika aku mem …” tanpa menantikan penjelasannya, aku memarahi dia kerana membiarkan aku menunggu sebegitu lama. Aku risau kalau sesuatu menimpanya. Remy hanya diam ketika aku memarahinya.

“Kau risaukan aku?”

“Yalah!!”

Aku terdengar dia tertawa kecil di hujung corong. Aku bengang.

“Aku fikir kau tak peduli tentang aku pun,” katanya, perlahan.

Tiba-tiba aku terasa bodoh. Ya … sejak bila aku pedulikan hal dia?

___________________________

Cukup 6 bulan, tibalah hari untuk aku kembali ke daratan. Turun saja dari helikopter, aku ternampak Remy sudah sedia menantiku di pagar. Dia berpakaian kasual dan bercermin mata hitam, kelihatan sungguh bergaya, berdiri berpeluk tubuh di hadapan BMWnya. Hatiku terasa berdebar-debar. Ah … mengapa perlu aku merasa begini? Bukannya aku sukakan dia pun.

Tiba-tiba aku teringat. Kini aku tidak lagi tinggal di rumah ibubapaku. Ini adalah pertama kali aku akan tinggal berduaan, satu rumah dengan Remy. Debaran kian terasa.

____________________________

Wow … besarnya rumah ini. Banglo 2 tingkat milik Remy terletak di atas sebuah bukit yang menghadap pantai. Dia membantu aku membawa barangku ke bilik tidur. Bilik tidur itu dinatakan dalam warna biru, warna kegemaranku dengan gaya kontemporari. Adakah dia tahu biru warna kegemaranku? Atau kebetulan? Ada katil bersaiz King dengan cadar baldu berwarna biru. Setelah meletakkan beg, Remy memandangku sejenak.

“Ini bilik tidur kau. Bilik tidur aku di depan sana. Kalau ada apa-apa, call saja. Kau pasti letih, kan? Aku sudah ‘book’ sesi spa pada pukul 5 petang. Kita keluar dinner pukul 8 malam. Boleh?”

Wah … dia sudah aturkan semua untukku. Aku hanya mengangguk.

“Lagipun ini makan malam pertama kita bersama setelah bergelar suami isteri. Aku mahukan ia istimewa buat kau, OK?” katanya lembut.

Aku tersentuh. Lelaki ini … sesuatu yang tidak aku duga.

“Macam mana? OK tak lakonan aku sebagai suami yang baik?” tanya dia. Serta-merta, aku terasa marah. Ini semata-mata lakonan?

“Keluarlah. Aku nak tidur,” kataku, dingin. Remy mengangkat bahu dan terus keluar.

__________________________

Remy membuntangkan matanya memandangku melangkah keluar dari spa, memakai gaun pemberiannya. Dia hanya senyum tanpa berkata apa-apa. Pintu kereta dibuka untukku.

Kami makan di sebuah restoran ‘fine dining’ yang mewah. Dia menarik kerusi untukku seperti seorang ‘gentleman’. Walaupun janggal, aku ikutkan saja. Semua lelaki di sekelilingku sebelum ini melayanku sebagai lelaki. Adik-beradikku. Rakan sekerjaku. Mungkin disebabkan oleh sikapku. Namun tidak bagi Remy.

“Baju ini lebih baik daripada ‘jumpsuit’ dan topi putih yang kau pakai di tempat kerja,” kata Remy tiba-tiba.

“Terus-terang, ini pertama kali aku memakai gaun malam. Terima kasih. Cantik,”

“Apa saja untuk isteriku,” katanya lembut. Matanya redup, senyumannya menguntum.

Ini juga satu lakonan? Arghh … bikin sakit kepala saja memikirkannya.

____________________________

Puas sudah aku pejamkan mata. Mengapa tak boleh tidur? Tiba-tiba perutku berkeroncong. Lapar pula. Aku menolak selimut, lantas bangun untuk ke dapur. Gelap biliknya, barangkali sudah tidur.

Aku membuka peti ais. Holy moly. Cadbury’s Coklat Susu dan Badam. Coklat kegemaranku. Penuh dalam peti ais. Takkan orang tua ni makan Cadbury’s? Kalau aku ambil satu, dia perasan tak?

“Ambillah, itu semua kau punya,” melompat aku tiba-tiba terdengar suara di belakangku. Dia dapat membaca fikiranku kah? Remy tersenyum memandangku.

“Apa ni? Kenapa pakai macam ni?”Aku menutup mataku dengan tangan. Remy hanya dengan boxer tanpa baju. Dah gilakah dia?

“Inikan rumah aku. Memang aku selalu begini. Kenapa? Tak bolehkah?”

Aku menjauhi dia. Remy menolak aku ke peti ais.

“Rileks. Kalau orang tak mau, aku pun tak ingin. Makanlah. Aku nak tengok EPL,” katanya sambil berlalu.

“EPL?” aku mencapai satu bar coklat dan pantas mengikut belakang Remy. Remy terus duduk depan TV, dengan popcorn, soda dan kerepek kentang. Remy adalah penggemar bolasepak? Sama sepertiku?

“Aku pun suka EPL. Game apa malam ini?”

“Man U lawan Blackburn Rovers,”

Malam itu kami menghabiskan masa dengan bersorak dan ketawa. Sebenarnya Remy ini ‘sporting’ juga orangnya. Kami menonton perlawanan demi perlawanan sehingga masing-masing tertidur.

Ketika aku buka mata, aku sedar yang aku telah tertidur di sofa. Di atas dada Remy. Jam menunjukkan pukul 8 pagi. Seronok benar malam tadi. Semakin aku kenal Remy, semakin serasi terasa. Aku mengangkat tangannya yang memeluk belakangku perlahan-lahan, namun dia menarik aku lebih rapat.

“Tidur di sini 5 minit lagi, lepas ni aku nak pergi kerja,” bisiknya. Aku merebahkan kembali kepalaku ke dadanya.

____________________________

“Amanda, kembali segera. Ada masalah di pelantar minyak,” OIM (Offshore Installation Manager) menelefonku sebentar tadi. Aku tidak menanti Remy pulang, sebaliknya aku terus mengambil teksi untuk ke helipad.

“Driller tersekat. Tak tahu apa masalahnya,” kata Jamal, penyelia driller. Aku meninjau skrin driller. Nampaknya skrin tidak boleh mengesan apa masalah driller. Aku mengajak Jamal untuk melihat ‘shaft’ driller. Ketika cuba menuruni tangga untuk ke ‘shaft’, tiba-tiba kakiku tergelincir, tanganku terlepas dari ‘railing’ lalu aku dapat merasakan tubuhku melayang jatuh ke laut. Platform spar yang ketinggiannya setinggi bangunan 3 tingkat daripada permukaan laut itu memberikan impak yang kuat pada tubuhku ketika mencecah air laut. Kepalaku bergegar lalu pandanganku berpinar.

“Remy …”

_______________________

Mataku buka. Badanku terasa lemah sekali. Aku memandang sekeliling. Ah … aku berada di hospital. Aku cuba mengingat kembali apa yang berlaku. Ada seseorang tidur berdekatan tanganku. Remy. Aku memegang kepalanya.

“Remy … aku nak air,”

Sekilas Remy terus menegakkan kepalanya. Remy kelihatan tidak terurus. Matanya bagaikan tidak percaya melihatku. Terus dia mencium dahiku berkali-kali.

“Kau dah sedar. Doktor!Doktor!” jerit Remy, tidak sabar. Kelihatan airmata mengalir di pipi Remy. Aku terdengar dia menelefon ibubapaku dan ibubapanya ketika doktor memeriksa aku.

Rupa-rupanya, sudah 3 bulan aku koma. Hentaman air menyebabkan kepalaku bergegar dan ada bahagian otakku yang tercedera.

“Remy yang paling risau. Siang malam dia di sini,” kata mak. Aku memandang Remy yang sedang berbual dengan doktor. Sekilas dia memandangku dan tersenyum. Setelah semua orang pulang, aku bertanya kepada Remy.

“Apakah tangisan kau juga lakonan seorang suami yang baik?”

Airmuka Remy berubah. Namun dia cuba tenang. Dia membelai rambutku perlahan.

“Tiada apa yang aku lakonkan sepanjang perkahwinan kita.”

________________________

Aku berada di hospital selama 2 minggu sebelum dibenarkan keluar. Namun aku dikehendaki menjalani latihan fisioterapi setiap hari sehingga tubuhku kembali bertenaga. Remy berada di sisiku sepanjang masa. Membantu aku berjalan, makan dan mandi. Aku mengambil masa 4 bulan untuk benar-benar sembuh.

“Nah, buah. Makan banyak sikit, cepat sihat,” Remy menghulurkan sepiring epal yang sudah dipotong. Dia memakai boxer tanpa baju lagi. Tubuhnya yang kemas itu tidak sepadan dengan umurnya. Barangkali kerana dia gemar bermain tenis setiap hari. Aku tidak dapat menahan perasaan. Kasih sayang yang Remy tunjukkan membuatkan aku benar-benar tertarik padanya. Dia tidak tahu betapa seksinya dia di mataku sekarang. Aku menolak piring itu.

“Tak nak?” Remy meletakkan piring itu di atas meja. Dahinya dikerutkan, barangkali hairan dengan pandangan dan reaksiku. Aku menolaknya ke atas sofa, lalu mengucup bibirnya tanpa kawalan. Remy terkejut.

“Kau pasti kau dah …” aku menutup mulutnya dengan jariku.

“Sekarang waktu terbaik, untuk kau tutup mulut,”

Remy tersenyum. Dia bangun lalu menarik wajahku padanya.

______________________

Aku terbaring di atas lantai. Menahan nafas yang masih kencang. Aku menarik tudung meja untuk menutupi badan. Kepalaku angkat. Ruang tamu bagaikan baru lepas dirompak. Kusyen berteraburan. Lampu terendak dan pasu bunga pecah. Bunga bertebaran.

Aku memandang Remy. Matanya terpejam. Aku meletakkan kepalaku di atas dadanya.

“That was … crazy,” kataku, perlahan.

“Yes …”

“Lain kali, di bilik aku saja,”

Sunyi seketika.

“Kau benarkan aku tidur di bilikmu?”

“Bukankah kau suamiku?”

________________________

Selalunya aku ingin cepat-cepat pulang ke pelantar, namun kali ini, kakiku terasa berat sekali. Remy membantu aku mengangkat beg. Aku bernasib baik kerana jawatanku masih belum diisi.

“Kalau tak kuat, sambung cuti lagi,” kata Remy melihat gelagatku. Aku menggeleng.

“Sudah terlalu lama bercuti,”

Sesampainya di helipad, Remy memegang tanganku.

“Sebelum kau pergi, aku nak cakap 2 perkara,” kata Remy, serius. Aku diam. Hatiku gementar.

“Pertama, boleh kau berhenti kerja?” kata Remy, perlahan.

Aku menggeleng. Remy mengangguk perlahan.

“Kedua, kau ingat tak pertemuan kita kali pertama? Yang aku cadangkan perkahwinan kita sebagai lakonan dan aku katakan lamaran kuhantar kerana terpaksa. Aku langsung tidak maksudkannya,”

Aku hanya memandangnya. Menanti perkataan seterusnya.

“Aku tertarik pada kau setelah melihat album foto yang ditunjukkan oleh ibu kau. Kau kelihatan bijak dan berkeyakinan. Kau baru putus cinta, kerana itu, aku tidak memaksa kau. Aku mahu kau kenal aku. Kata ibu, kau pantang dicabar, maka dengan itu aku mencabar kau berkahwin denganku. Aku jatuh cinta ketika itu, dan kini aku tahu yang aku benar-benar mencintai kau. Sekarang aku mohon, boleh kita jadi kekasih, bukan sekadar pasangan hidup?”

Aku bagaikan mabuk dan pening mendengar kata-kata Remy sehingga aku terpaksa memegang tingkap kereta untuk menahan diriku daripada rebah. Demi Tuhan, aku juga sayangkan lelaki ini. Remy menggenggam tanganku erat.

Mak, aku tak nak balik ke pelantar minyak!

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s