METALIA : BERANI MENONGKAH ARUS (CI)

Aku merenung keranda Amy yang perlahan-lahan dibawa turun ke dalam liang kubur. Amy disahkan meninggal dunia akibat mengambil heroin secara berlebihan.  Dia juga mengandung 2 bulan. Elena menangis tersedu-sedu ditepiku. Bahunya kupeluk. Aku tahu Elena paling rapat dengan Amy. Sara hanya membatu tanpa emosi di tepi kubur. Wajahnya diangkat lalu memandangku. Aku hanya menunduk.

“Rita, apa komen kamu mengenai kejadian ini? Adakah selama ini laungan bebas dadah serta kehidupan sosial yang sihat hanya sekadar gimik kumpulan Metalia?” pertanyaan wartawan media bagaikan pisau yang menusuk hatiku. Mikrofon pelbagai warna dihalakan berdekatan dengan mulutku. Kerlipan flash kamera menyilaukan mataku. Aku menarik nafas dalam, memandang wajah-wajah yang dahagakan informasi di hadapanku.

Aku memakai cermin mata hitamku, sambil berkata “No komen.”

Aku terserempak dengan James, vokalis utama Raging Beasts di perkarangan stesen TV. Dia hanya tersenyum miring, memandangku dengan pandangan mengejek.

Serta-merta aku teringat kata-kata papa beberapa tahun lalu.

“Kau fikir kau boleh ubah tradisi penggemar muzik syaitan itu?” kata papa ketika aku menyatakan hasrat untuk menubuhkan kumpulan pemuzik heavy metal wanita. Muka papa merah menahan marah.

Aku hanya tunduk, tanpa membalas kata-kata papa.

“Begini, ini segelas air suam. Kosong. Suci tanpa noda. Jikalau papa letakkan secebis kecil najis di dalamnya, mahukah kau minum air ini?”

Aku menggeleng pantas.

“Mengapa? Bukankah kesuciannya melebihi najis yang ada?” tanya papa lalu bangun meninggalkan meja makan. Kata-kata itu bukan sekadar datang dari seorang bapa yang prihatin, ia juga datang dari seorang bekas paderi Katolik yang memandang muzik metal sebagai manifestasi syaitan.

Apakah kejadian ini membuktikan bahawa kata-kata papa itu benar? Sebagaimana baiknya sekalipun aku menjaga diriku dalam dunia heavy metal yang penuh dosa, namun pasti akan terpalit juga nodanya.

______________________________________

Jualan album Metalia merudum. Syarikat rakaman mula bising-bising.

Kebanyakan pendengar Metalia adalah golongan remaja sekolah menengah. Ramai ibubapa yang tidak berpuas hati dengan Metalia selepas kejadian itu. Malah ada satu ketika seorang ibu datang meludah ke wajahku.

“Aku benarkan anak aku dengar lagu-lagu Metalia sebab aku fikir Metalia bersih. Ini yang kau ajar untuk anak-anak kami?”

Aku hanya mampu mengesat ludahnya dengan tisu. Apa yang boleh ku jawab?

“Hey,”

Aku mengangkat wajahku. Suzanne, kakak sulungku hanya memandangku dengan pandangan kasih di pintu. Sara dan Elena barangkali masih bersedih di dalam bilik. Mereka jarang keluar bilik sejak pulang dari majlis pengebumian Amy.  Suzanne menghampiriku di sofa lalu memelukku erat.

“Are you OK?”

“No, I am not, sis,” kataku sambil memeluknya. Suzanne membelai rambutku.

___________________________________________

Metalia, aku tubuhkan sejak 5 tahun lalu. Aku menginspirasikan sebuah kumpulan ‘heavy metal’ dengan semua pemuzik wanita, sebagai tamparan hebat kepada pengkritik muzik heavy metal. Kata mereka, muzik heavy metal adalah muzik syaitan. Penyumbang kepada gejala sosial. Ia sering dikaitkan dengan seks bebas dan dadah. Liriknya penuh dengan unsur-unsur kesyaitanan dan kelucahan. Bagiku muzik hanyalah muzik. Tidak lebih dari itu. Ia tidak ada kuasa untuk mengawal manusia, melainkan manusia sendiri mengawal muzik itu. Lirik boleh digubah. Gaya hidup boleh dibentuk. Tiada yang mustahil di dalam dunia ini.

Sejak kecil lagi, aku memang suka menjadi yang lain daripada yang lain. Sebagai anak kedua yang sering dianggap sebagai kambing hitam dalam keluarga, aku seringkali menjadi kerisauan papa dan mama. Sejak aku mencuri tonton konsert S&M Metallica di rumah kawan ketika usia remajaku, kecintaanku pada muzik metal tidak dapat dibendung lagi. Sembunyi-sembunyi, aku belajar bermain bass, menyimpan wang saku sekolah untuk membeli sebuah gitar bass berjenama Fender. Ketika papa dapat tahu tentang aktiviti gelapku, aku telah pun menjadi selebriti Youtube dalam muzik heavy metal. Papa tidak bercakap denganku selama 2 bulan selepas itu.

Akhirnya, aku bertekad untuk meneruskan impianku untuk menubuhkan kumpulan pemuzik wanita heavy metal. Maka aku pun bergerak mencari ahli kumpulanku. Sara, seorang jurutera audio, aku jumpai ketika dia bermain gitar eletrik solo di sebuah ‘gig’ tempatan. Petikan gitar yang mengambil inspirasi daripada Jimi Hendrix amat mengagumkan aku. Maka dia aku jadikan gitaris utama kumpulan Metalia. Elena, pemain drum Metalia adalah selebriti Youtube juga. Seorang yang aktif dalam sukan ekstrim, juga yang paling periang. Amy pula, pemain gitar rhythm Metalia aku temui ketika dia ‘busking’ di jalanan menggunakan gitar elektriknya. Amy mempunyai ibubapa yang kaki botol dan latarbelakang kehidupan Amy amat memilukan. Aku mengambil dia menjadi ahli kumpulan Metalia, dengan harapan dapat membantu dia memperbaiki kehidupannya. Kami semua sangat rapat bagaikan adik-beradik. Aku akui, wanita-wanita yang bersamaku merupakan wanita yang bersemangat tinggi dan berbakat.

Dunia industri muzik, tidaklah seindah yang kuharapkan. Kami seringkali ditipu promoter dan syarikat rakaman kerana kurangnya pengalaman kami. Namun Sara, Elena dan Amy tetap bersamaku. Susah dan senang. Sehinggalah kami berjumpa dengan Shiela, pengurus kami. Shiela, kami anggap sebagai kakak kami, membantu kami menjalankan promosi, menjaga hal ehwal peribadi, pakaian, imej, pendek kata semua yang berkaitan dengan industri muzik. Shiela juga tegas dalam hal-hal sosial. Dia akan memilih acara yang tidak melibatkan arak dan rokok. Juga sentiasa memastikan kami tidur awal dan tidak berparti. Shiela mementingkan disiplin dan kerja keras. Ketika Shiela menjaga kami, barulah bintang kami mula bersinar dalam industri muzik.

Oleh kerana juadah heavy metal yang kami hidangkan adalah berlainan daripada biasa, kami dengan pantas kami mendaki tangga populariti. Sehingga kami terpaksa bersaing, muka ke muka, dengan kumpulan heavy metal lelaki yang terkenal, Raging Beasts. Peminat Raging Beasts sangat ganas dan tidak menyambut baik kehadiran kami. Laman Facebook kami seringkali korup dan di’ hack’ berulangkali oleh individu yang tidak dikenali. Komen seksis seringkali kami terima di laman web.

“Kalau nak jadi baik, tubuhkan koir gereja!” kata James, vokalis utama Raging Beasts padaku suatu ketika.

Aku tidak menjawab kata-katanya. Aku tidak ingin membuang masa melayan mereka. Mereka ada peminat mereka sendiri, begitu juga dengan kami. Jikalau ada begitu banyak tentangan, bukankah bermakna kami sedang melakukan perkara yang betul? Inilah realiti dunia.

______________________________________________

3 bulan lagi, kami dijemput untuk membuat persembahan ketika merayakan Tahun Baru. Maka aku bekerja keras. Sepanjang hari ku habiskan di studio untuk mencipta lagu baru sempena tahun baru. Lirik amat penting bagiku. Tiada kelucahan atau unsur-unsur kesyaitanan. Itu telah lama menjadi motto untuk semua lagu-lagu Metalia. Teman-temanku tak putus berlatih dengan alat muzik mereka. Kecuali Amy. Entah di mana dia berada.

Amy masuk ke dalam studio tergopoh-gapah. Begnya dihempas ke lantai. Amy kelihatan penat dan pucat. Segera dia menyediakan gitarnya untuk latihan.

“Kenapa kau lambat, Amy? Kenapa wajah kau pucat?” tanyaku, tegas. Amy hanya mendengus marah. Pertanyaan tidak ku lanjutkan. Aku mahu sesi latihan tamat segera kerana aku perlukan waktu bersendirian untuk mencipta lagu.

Setelah tamat latihan, Elena menghampiriku.

“Aku ternampak Amy berciuman dengan James di ‘gig’ tempoh hari,”

Aku membuntangkan mata.

“James Raging Beasts?”

Pantas Elena mengangguk. Aku menyandarkan badan ke kerusi lalu memegang kepalaku yang mula sakit.

_______________________________________________

“Ini hakku sebagai individu, kau tak berhak masuk campur!” tengking Amy.

Aku hanya memandangnya dengan perasaan terkejut. Amy sudah berubah. Dia bukan lagi gadis yang aku kenali sebelum ini. Amy tidak pernah menengkingku, kerana aku juga tidak pernah menengking sesiapa.

“Ya. Itu hak kau. Aku tidak akan menghalang perhubungan kau dengan James, walaupun James adalah pesaing kita dalam industri. Kau sedia maklum misi kumpulan kita ketika awal penubuhan ini. Sebagai ketua kumpulan, aku terpaksa menegur kau. Kau seringkali lambat untuk latihan. Aku juga terjumpa rokok dalam bilik air selepas kau menggunakannya. Amy, kau tidak merokok sebelum ini. Apa yang berubah sekarang?” kataku, cuba mengawal kemarahan setelah ditengking.

“Kau dan falsafah bodoh kau tentang dunia heavy metal,” kata Amy, mengambil semua barangnya lalu meninggalkan studio.

Di mana kurangnya layanan aku pada Amy? Mindaku tak dapat mencerna situasi ini. Apakah James ingin memecahbelahkan kumpulanku dengan cara ini?

Tiba-tiba telefon berdering.

“Rita, kembali segera!! Amy pengsan di rumah!!” jerit Shiela melalui telefon.

____________________________________________

Beberapa hari selepas kematian Amy …

Shiela, Sara dan Elena memandangku dengan penuh perhatian. Semua masih bersedih dengan pemergian Amy, aku maklum, namun aku harus nyatakan hasratku kepada mereka.

“Aku, ingin menyuraikan kumpulan Metalia,”

Semua orang terkejut.

“Kau tidak maksudkannya, bukan?” tanya Sara dengan nada risau. Aku menggeleng.

“Jangan buat keputusan dalam keadaan keliru dan marah,” kata Shiela, lembut. Bahuku dipegang. Sara dan Elena memegang tanganku. Ahh … aku terlalu keliru untuk berfikir. Wajah-wajah ini memandangku dengan penuh harapan.

“Selama ini, kami bergantung kepada semangat kau. Tidak sekalipun kami berpaling. Tolonglah Rita, bertahanlah untuk kali ini juga,” kata Sara sambil menggenggam erat tanganku. Elena juga begitu.

“Kita dah melalui pelbagai rintangan. Semuanya nampak sukar, namun kita masih di sini. Ini juga, akan berlalu. Kita hanya perlukan rancangan dan tempoh bertenang,” ujar Shiela lagi. Aku, Sara dan Elena saling berpandangan.

“Bagaimana?” tanyaku.

Shiela hanya tersenyum.

______________________________________________

Selepas 4 bulan …

Elena tersenyum girang. Dia menayangkan sesuatu yang berkelipan di bawah cahaya matahari padaku melalui panggilan video Iphone. Pipinya masih berpeluh.

“Sekarang kau percaya?” katanya sambil tersenyum girang. Aku membalas senyumannya.

“Sudah tentulah aku percaya. Kau sudah mendengar berita Sara?”

“Ya, ya. Dia ada Whatsapp aku semalam dari US. Gementar suaranya. Namun aku yakin dia bisa lakukannya. Sebelum ini aku ada curi-curi melihat dia membinanya bila berseorangan di dalam bilik. Ia memang hebat. Dia mesti bolehlah! Aku yakin kebolehannya,”

“Aku akan menghubunginya hari ini. Hey, by the way, tahniah, kiddo. Kau memang hebat!”

Elena mengangkat ibu jarinya padaku.

“Rita, dah sedia?” panggil Shiela di luar bilikku.

“Ya, ya. I’m coming. Kiddo, kini giliran aku pula. Wish me luck!”

_________________________________________________

“Ini Sherry melaporkan untuk STV dari Konvensyen Buku Sedunia. Kita bersama Rita, vokalis utama serta pemain bass kumpulan Metalia. Beliau berada di sini untuk merasmikan sebuah yayasan pendidikan bernama ‘Heavy Metal Readers’ yang akan memupuk minat membaca di kalangan kanak-kanak dan remaja. Rita sudah pun memulakan pembinaan 2 buah perpustakaan di kawasan luar bandar. Apa khabar, Rita?”

“Khabar baik, Sherry,”

“Rita, sebagaimana yang kita ketahui, Elena telah pun berjaya memperolehi 2 pingat emas dalam X-Games yang kini sedang berlangsung di Stockholm, Sweden. Menurut berita yang baru diperolehi, gitaris utama Metalia, Sara kini berada di US untuk mempersembahkan aplikasi pos-produksi bagi teknologi kejuruteraan audio menggunakan Ipad di Ekspo Sains dan Teknologi MIT. Diberitakan juga bahawa Sara berjaya mendapatkan geran penyelidikan untuk mengembangkan lagi teknologi aplikasinya daripada sebuah syarikat teknologi audio terkemuka. Wow … kumpulan Metalia nampaknya melangkah lebih jauh sebagai pemuzik yang serba boleh. Apa komen kamu , Rita?”

Aku tersenyum. Kelihatan ramai anak-anak muda di bawah pentas menjerit-jerit namaku dan Metalia. Aku melambaikan tangan pada mereka.

“Ya, Sherry. Kami cuma ingin membuktikan pada semua orang yang pemuzik heavy metal bukanlah sampah masyarakat, peyumbang kepada gejala sosial. Kami juga, ingin menyumbangkan sesuatu yang positif kepada masyarakat serta menjadi penggerak kepada budaya sosial yang lebih sihat,” kataku tenang. Pandangan ku halakan pada Shiela. Shiela mengangkat ibu jarinya. Aku tersenyum puas.

“Metalia!Metalia!Metalia!” terdengar jeritan di bawah pentas.

Ya! Kami akan kembali. Pasti.

_________________________________________________

Mata kami terpaku di TV. Bagaikan tidak percaya.

“James, vokalis kumpulan Raging Beasts ditangkap pada pagi ini kerana memiliki heroin seberat 350g. Jabatan Narkotik telah menjalankan siasatan selama 3 bulan bagi memerhatikan gerak-geri James. Ahli kumpulan Raging Beasts yang lain turut ditahan bagi membantu siasatan. James juga dikaitkan dengan kematian Amy, gitaris rhythm kumpulan Metalia yang didapati meninggal dunia kerana mengambil heroin secara berlebihan,” kata-kata pembaca berita itu bagaikan tergantung di udara di hadapan kami.

Aku berpaling pada Elena. Airmatanya mengalir lagu di pipi. Bahunya kupegang. Cepat-cepat dia menyeka airmata.

“Akhirnya kematian Amy terbela. Kasihan, Amy,” kata Elena perlahan. Sara memeluk bahu Elena. Kami berpelukan seketika mengenang pemergian Amy.

________________________________________________

“Sedia?!!!” jeritku di mikrofon. Peluh yang mengalir tidak kuhiraukan.

Bergema peminat kami menjerit “Sedia!!!Metalia! Metalia!Metalia!”

Aku memandang Sara, memberi isyarat agar bersedia untuk lagu seterusnya. Sara mengangguk lalu membetulkan kedudukannya.

“Terimalah persembahan terakhir kami pada malam ini, a female rendition of the legendary Dio’s hit, Don’t Talk To Stranger!” umumku. Serentak laungan peminat bergema. Sara memetik gitarnya, Elena bersedia mengetuk ‘crash cymbal’nya, sebelah tangan lagi pada ‘snare drum’ . Erika, gitaris rhythm Metalia yang baru, mengangkat kening padaku. Dengan isyarat aku, bermulalah sebuah lagi persembahan bertenang pada malam itu.

“Katakan tidak pada rokok! Katakan tidak kepada dadah! Katakan tidak kepada seks bebas! Gegarkan heavy metal! Selamat malam semua!!! We love you!!!!” jeritku sekuat hati, menamatkan persembahan kami pada malam itu.

Heavy metal adalah muzik kami. Ia penuh dengan semangat pemberontakan. Sebagaimana jiwa kami yang memberontak, ingin keluar daripada sterotaip yang dikaitkan dengan muzik heavy metal. Papa masih belum menerima aku dan heavy metal dengan baik, namun dia tidaklah membantah sekerasnya seperti dahulu. Projek-projek sampingan kami juga masih perlu dikembangkan. Tempias daripada kematian Amy masih belum berakhir. Penentangan daripada pendokong tradisi heavy metal masih bersisa.

Perjalanan kami masih jauh. Namun ia tidak mustahil untuk dilakukan. Hanya memerlukan keberanian yang jitu untuk berenang menongkah arus. Jangan hanyut, terus ke hadapan.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s