CB : Aku Dan Pria Aprilia Siri 11

Studio latihan Justo merupakan studio yang agak besar. Ada 20 orang penari semuanya. Justo memperkenalkan aku pada rakan-rakannya.

“Ini pertama kali Jay bawa rakan wanita ke studio,” kata mereka. Walaupun sukar untuk aku mempercayainya, namun aku tidak berkata apa-apa.

Mereka merupakan manusia-manusia yang peramah dan ceria. Namun apabila muzik dimainkan kesemuanya kembali serius, menumpukan pada rentak dan kareografi. Tarian mereka bergenre ‘street dance’ dan kontemporari. Menarik bagaimana manusia biasa berkata-kata menggunakan gerak tubuh yang mengasyikkan.

Dimulakan dengan muzik yang perlahan, kemudian bertukar rancak, diseling seli dengan lagu antarabangsa yang lama dan baru, aku hanya mampu mengatakan bahawa muzik itu merupakan ‘remix’ yang genius. Muziknya boleh dijiwai oleh generasi baru dan lama. Aku tidak pasti bagaimana hendak ku terangkan kareografinya kerana aku bukan pakar tarian, namun aku boleh katakan ianya menghiburkan. Takku sangka badan Justo yang agak tinggi dan besar itu, boleh digerakkan dengan lembut dan versatil. Dia memang berbakat. Wow …

“So?” tanya Justo ketika mereka berehat seketika. Aku hanya mengangkat bahu.

“Aku tak pandai komen tentang tarian. Namun bagiku ianya menghiburkan. Kau pandai menari,” kataku. Justo hanya tersenyum. Tualanya yang basah akibat peluh dilemparkan ke wajahku. Aku melemparkan kembali tuala itu kepadanya. Justo ketawa.

“Kami ada pertandingan dalam masa 3 bulan lagi. Sebab itu kami berlatih dengan bersungguh-sungguh,”

“Oh, bagusnya. Seronoknya kalau pandai menari,”

Justo memandang wajahku. Dia mendekatkan wajahnya ke telingaku.

“Kalau kau nak, aku boleh ajar kau menari. Tapi ianya bukan percuma,”

Aku mengerutkan dahi.

“Maksudnya?”

“Kau kena makan malam dengan aku dulu, baru aku ajarkan,” katanya dengan senyuman nakal. Aku menyiku perutnya. Dia mengaduh kesakitan sambil tertawa.

Setelah tamat sesi latihan, kami keluar untuk makan malam di ibu kota. Kami bercadang untuk makan sushi sahaja. Justo memilih restoran yang mempunyai ‘kaiten belt’ supaya kami boleh memilih sendiri hidangan. Baru seronok, katanya.

Sambil makan, Justo mengajak aku bermain ‘Truth or Dare’. Menarik. Permainan ini rasanya aku mainkan zaman kanak-kanak saja. Tak sangka dewasa ini, masih ada yang mahu bermain permainan ini. Ketika makan pula.

“OK, OK. Truth. Apa yang kau paling takut?,”

“Hmm … aku klaustrofobia,” kata Justo, perlahan. Matanya hanya terlekat di atas ‘kaiten belt’, memilih hidangan lain. Barangkali mengelak pandanganku. Aku sedikit menyesal.

“Oh, sorry. Teruk ke?”

“Kadang-kadang nak masuk tandas pun takut,”

Aku terdiam seketika. Ah … terasa bersalah pula. Tak sangka di sebalik personaliti Justo yang tenang tetapi ceria ini, takku sangka dia menghidap apa-apa fobia.

“OK, giliran kau pula. Dare,”

Matilah aku.

“OK,” jawabku, yakin. Justo hanya tersenyum nakal. Sukar untuk meneka apa yang bermain di kepalanya. Dia mengambil anak sotong di atas piring.

“Kau kena makan anak sotong ini …”

“Mudah!” kataku lalu cuba mencapai anak sotong di tangannya. Dia menarik tangannya.

“Eh, eh, tak semudah itu,” katanya sambil menggigit salah satu kaki sotong itu. “Di sini,” kata Justo sambil menunjuk ke bibirnya.

Aku dapat merasakan dengan laju darah naik ke wajahku. Pastinya ia merah bagaikan ketam bakar sekarang. Justo hanya tersenyum nakal. Dia menguit jari telunjuknya, memanggil aku menyahut cabarannya.

“Cepat. Aku jawab semuanya soalan Truth kau dengan sejujurnya. Mari sini, sahut Dare kau,”

Aku memandang sekeliling restoran. Pengunjung restoran itu agak ramai juga.

“Ramai oranglah,” bantahku. Dia menggeleng.

“I don’t care,” katanya sambil tersenyum nakal.

Aku teragak-agak mendekati wajah Justo. Dia hanya tersenyum memandang gelagatku. Terasa jantungku berdegup begitu kencang. Aku cuba menggigit salah satu kaki anak sotong itu, mencuba sedaya-upaya agar aku tidak tergigit dagu Justo. Justo tertawa kecil. Akhirnya aku berjaya menarik sebahagian daripada anak sotong itu, namun Justo enggan melepaskannya. Anak mata kuangkat memandangnya. Dia juga begitu. Waktu kurasakan hilang bagaikan berada dalam dimensi lain. Segera aku pandang ke bawah. Tangan kananku mencabut sotong dari mulut Justo.

“Hey, kau main tipulah!” kata Justo sambil ketawa.

Aku mengipas diriku dengan jari. Aku cuba mengatur kembali nafasku yang tidak teratur sambil mengunyah sotong.

“Nak main lagi?”

Aku menunjukkan penumbukku pada Justo. Lagi kuat Justo ketawa. Nakal.

Aku mengerling pada jam tangan, sudah pukul 8.30malam. Aku mengajak Justo pulang. Sampai sahaja di hadapan rumah, baru aku terfikir untuk bertanyakan Justo.

“Kau bilang, kau kerja di syarikat kejuruteraan awam, bukan?”

Justo bagaikan terkejut mendengar persoalanku. Aku terasa hairan. Barangkali soalan aku ini tidak terduga olehnya, maka dia terkejut. Dia berdehem seketika, kemudian mengangguk.

“Ya, kenapa?”

Aku menceritakan perihal proses pengukuran tanah yang berlaku tempoh hari dan kegusaran aku mengenainya. Kata Justo, barangkali benar kata wakil rakyat itu. Ia cuma rutin pihak kerajaan untuk merekod tanah tersebut, namun dia berjanji untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya. Dia memerlukan masa sekurang-kurangnya 2 minggu. Aku hanya mengangguk tanda setuju.

“Hey, lain kali aku mahu pergi ke tempat kegemaran kau pula,”

Tempat kegemaran aku? Aku mengangkat ibu jari tanda setuju. Justo memberikan senyuman yang paling manis. Kemudiannya dia memakai topi keledarnya dan terus memecut pergi.

Entah mengapa, tiba-tiba aku merasakan bagai berada di taman yang penuh dengan bunga-bungaan yang bercahaya indah, lalu aku berpusing dan menari sesuka hatiku.

“Dah gila agaknya budak ni. Masuk! Jangan kau nak menari di depan rumah. Tak malu dengan jirankah?” jerkah ayah tiba-tiba.

Aku terpisat-pisat masuk ke dalam rumah.

 

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s