MELEBUR PARUT NERAKA DUNIA (CI)

Bukaan kecil pada dinding selku dibuka. Cahaya menerjah masuk menyilaukan mataku. Penderitaanku bakal bermula. Aku tahu. Tubuhku yang telanjang, lemah, dan cedera diheret bagaikan kain buruk lalu dicampak ke dinding. Aku mengerang perlahan. Mengeliat kerana kesakitan dibelakangku. Mataku buka perlahan.

Seorang saja kali ini? Apakah ini peluang untuk aku melarikan diri? Dia telah memandang rendah kebolehanku. Aku tersenyum dalam hati. Aku memandang sekeliling sel, menempa rancangan untuk keluar dari neraka dunia ini.

Lelaki berpakaian tentera itu bertinggung di hadapanku.

“Kau masih ingin berdiam diri, Jane Doe?”

Jane Doe? Si bodoh ini dan kerajaannya masih belum tahu siapa aku sebenarnya.

“Usah panjang bicara, bikin saja apa yang kau mahu. Jika sudah penat, bunuh saja aku,” kataku perlahan. Sungguh. Ini saja yang aku mahu. Mereka tidak akan dapat apa yang mereka mahu. Takkan aku berikannya.

Tubuh kurusku diangkat dan diletakkan di atas kerusi lalu diikat. Tali plastik berdiameter kira-kira 1cm itu menghimpit dan mencalar buah dadaku. Sakit. Namun aku sudah tidak menghiraukannya. Kalau mati, matilah aku. Biarkan. Kerusiku direndahkan, tuala diletakkan atas mukaku, lalu air dituang. Perlahan-lahan aku aku kelemasan, kerongkongku perit, paru-paruku bagaikan terbakar kerana kekurangan oksigen. Aku mula meronta namun aku tahu sekiranya aku meronta semakin banyak oksigen yang akan hilang. Tubuhku mula bergetar. Hampir saja aku terasa bagaikan ingin mati, tuala direntap dari mukaku. Termengah-mengah aku menarik nafas, mengisi kembali oksigen yang hilang.

“Siapa kau sebenarnya? Kerajaan mana yang menghantar kau?” jerkah lelaki itu.

Cing! Aku ternampak gugusan kunci keluar dari poket seluar lelaki itu. Aku tersenyum kecil. Barangkali Tuhan ingin membantu aku kali ini. Dengan cepat, lelaki itu memasukkan kembali kunci dalam poketnya.

“Apa yang kau senyum!?”

Pang! Pipiku ditampar. Perit. Aku mengangkat wajah memandang lelaki itu dengan pandangan yang tajam. Proses interogasi terus berulang. Aku hanya mampu bertahan saja. Aku disiksa sehingga tubuhku benar-benar lemah.

Lelaki itu membuka belitan tali lalu tubuhku direbahkan ke lantai. Dari matanya, aku tahu apa yang dia mahu lakukan. Seluar serta seluar dalamnya pantas dilurutkan ke tepi. Cing! Kuncinya terkeluar lagi. Bagus! Dia berlutut dihadapanku lalu tersenyum bagaikan syaitan lalu memegang kedua-dua betisku. Tanpa disangkanya, dengan sepenuh tenaga dan dayaku, aku mencapai kuncinya lalu bangun dan menikam lehernya berkali-kali. Mulutnya kututup. Aku terus menikam lehernya sehingga dia terkulai lembik. Tanganku basah dengan darah. Mayat itu aku tolak ke tepi dinding agar tiada siapa yang perasan apa yang terjadi. Darah yang membasahi tanganku aku lapkan pada tuala yang digunakan untuk menyiksaku.

Babi! Ptui! Aku ludah mayat pegawai tentera itu. Baru puas hatiku.

Aku membuka pakaian seragam lelaki itu lalu kusarungkan ke tubuh. Kesakitan di tubuhku tidak lagi aku pedulikan. Di tepi pintu ada seorang pengawal. Perlahan ku buka pintu sel, dan memperlahankan langkah sehingga tidak disedari oleh pengawal itu. Apabila sudah dekat, mulut pengawal itu kututup, lalu lehernya ku patahkan dengan sekuat hati dan tenagaku. Prakkk! Tubuhnya terkulai. Aku tarik mayatnya ke dalam sel lalu ku kunci. Colt M1911 milik pengawal itu kusisip ke poket.

Aku berjalan dengan tenang di laluan sel-sel itu. Topi pegawai tentera itu aku rendahkan agar tiada sesiapa yang sedar siapa aku sebenarnya.

“Berhenti!”

Aku meraba Colt dalam poketku. Aku berpaling, bersedia untuk menyerang.

Tegak dia di hadapanku. Preston. Memandangku dengan mata yang terbelalak.

_____________________________________________

Kunci diserahkan. Dia menjenguk melalui tingkap kereta. Wajahnya tampak berbalam diselubungi gelap malam.

“Pandu terus dari sini, kau akan sampai ke hutan yang menjadi sempadan antara Antolia dan Valko. Di kawasan itu tiada kawalan tentera. Duit ada dalam dashboard. Pakaian ada dalam bonet. Di Valko, cari Restoran Duff and Muff. Muff adalah sekutu kita. Ini saja yang dapat aku bantu,” kata Preston dengan wajah yang serius. Dia memandang ke kiri dan kanan untuk memastikan tiada sesiapa pun nampak kami.

Aku mengangguk lalu menghidupkan enjin kereta. Preston memegang tanganku.

“Maafkan aku kerana tidak menolongmu sebelum ini. Setelah kau ditangkap, aku tidak tahu di mana kau dikurung atau sama ada kau masih hidup atau mati. Tiada arahan untuk mengeluarkan kau dan aku masih ada misi dalam kem ini. Kalau tidak, identitiku akan terbongkar,” kata Preston perlahan. Di wajahnya penuh rasa bersalah. Aku tidak dapat menggambarkan perasaanku ketika ini, semuanya bercampur-aduk, namun aku faham situasi Preston.

“Aku faham. Kau hanya menjalankan tugas kau,”

_____________________________________________

Tuan Andika memandangku dengan rasa tidak percaya. Dengan pantas, tanganku ditarik ke dalam rumahnya lalu pintu ditutup pantas. Anak matanya redup melihat keadaanku yang kurus, cedera, hanya dibaluti pakaian lelaki yang ku dapati daripada Preston.

“Bagaimana kau lari? Selama ini kau masih hidup?”

Aku hanya mengangkat bahu. Tuan Andika kelihatan gusar. Dia melurut rambut yang hampir separuh ditumbuhi uban-uban halus. Dia mundar-mandir di hadapanku dengan seluar pendek tanpa baju. Berfikir bagaimana untuk menghadapi situasi yang tidak dijangkanya.

“Aku sangat bersyukur kau masih hidup. Namun aku tak pasti bagaimana aku harus laporkan situasi ini pada pihak atasan. Mereka takkan percaya kau melarikan diri. Mereka akan percaya yang kau bersekongkol dengan negara Antolia,” kata Andika dengan suara sedikit tertekan.

“Mereka boleh tanya Preston. Dia yang membantu aku keluar dari neraka itu,”

“Masalah juga. Preston dilarang membantu kau,”

Aku mengeluh. Hampir 10 tahun aku bekerja sebagai pegawai perisik tentera Regalia. Semua tugas aku jalankan tanpa banyak soal, malah aku sedia berkorban nyawa untuk Regalia. Apakah kepulangan aku satu beban kepada Regalia?

_____________________________________________

Sesi persidangan bermula. Tiga pegawai atasan di hadapanku memandangku dengan pandangan kosong. Aku diarahkan duduk di tengah-tengah arena. Persidangan tentera dilakukan setelah aku dimasukkan ke dalam hospital dan dikuarantinkan selama 1 bulan. Mereka ingin memastikan Antolia tidak memasukkan senjata biologi ke dalam tubuhku, juga ingin memastikan aku berada dalam kesihatan yang baik sebelum persidangan tentera dimulakan.

“Laporan perubatan Kapten Dyna Asfikar, No Tentera 75133655. Misi : Strategi ‘Counter Terrorism Antolia’. Ketika mendaftar, berat badan di bawah normal. Hampir kebuluran. Kecederaan – tiga tulang rusuk patah tanpa sebarang rawatan, slipped disc L1-L3, tulang femur retak. Kecederaan akibat disiksa secara seksual – bahagian labia terkoyak. Pelbagai lebam dan kecederaan akibat ditoreh benda yang tajam. Pernah disiksa secara waterboarding dan diberi renjatan elektrik. Terdapat sisa hemotoksin dan neurotoksin dalam badan. Tiada kesan senjata kimia atau biologi di dalam badan,” lapor pegawai tentera kor perubatan. Aku menahan airmata yang ingin keluar apabila mendengar laporan itu. Nafasku tahan. Dadaku sebak. Namun aku tetap tegakkan kepalaku.

Tuan Bambang memandangku dengan pandangan yang teduh. Tuan Zulfa dan Asfar juga saling berpandangan.

“Berikan laporan kamu, Dyna,” kata Tuan Bambang perlahan.

“Selamat pagi tuan. Kapten 75133655 Dyna Asfikar melaporkan hasil intipan misi Counter Terrorism Antolia. Antolia ingin memusnahkan kedamaian Regalia dengan menghantar pengintip untuk masuk ke dalam kultus-kultus pergerakan agama, memulakan pemberontakan kecil-kecilan seterusnya membawa kepada rusuhan dan peperangan saudara. Dengan ini, mudah bagi mereka untuk masuk dan menawan Regalia. Misi ini diberi masa selama 5 tahun. Mereka menyasarkan bahagian barat Regalia untuk ditawan terlebih dahulu. Senarai nama pengintip-pengintip itu telah saya berikan pegawai atasan saya, Mejar Andika,” kataku sambil berdiri dalam keadaan senang diri.

“Bagaimana identiti kamu terbongkar, Dyna?” tanya Tuan Zulfa.

“Saya tidak tahu, tuan. Saya sudah cukup berhati-hati melaksanakan tugas. Saya ditangkap ketika melakukan tugas harian saya sebagai pegawai rendah di kem Revgi, Antolia,”

“Bagaimana kamu keluar?”

“Berbekalkan latihan ketika berada di unit risikan tentera Regalia, saya masih mampu melawan dalam keadaan paling lemah sekali pun. Biasanya saya akan disoal siasat oleh 3-4 orang pegawai tentera. Barangkali kerana mereka fikir saya sudah lemah, maka pada malam saya melarikan diri, mereka menghantar hanya seorang pegawai tentera yang cuai dalam menjalankan tugasnya,”jelasku.

Tuan Bambang, Zulfa dan Asfar berpandangan sesama sendiri.

“Kami gembira kerana latihan yang kamu terima dapat membawa kamu keluar dari kem Revgi setelah hampir 2 tahun kamu disiksa di sana,” kata Tuan Bambang. Aku hanya mengangguk.

“Baiklah, kami memerlukan masa untuk mengesahkan kesemua laporan ini. Sementara itu, kamu tidak dibenarkan keluar dari Kementerian Pertahanan Pusat sehingga siasatan tamat. Selepas itu, jika tiada apa-apa perkara berbangkit, kamu boleh menyambung tugas kamu seperti biasa,”kata Tuan Zulfa pula. Mereka memeriksa dokumen masing-masing. Bersedia untuk menamatkan persidangan.

“Tuan,”

Mereka mengangkat kepala. Aku memandang mereka dengan pandangan tegas.

“Ya, ada apa Dyna?”

“Usai siasatan, saya ingin bersara, tuan,”

Mereka tersentak. Masing-masing berpandangan sesama sendiri.

_____________________________________________

Reza memandangku dengan satu pandangan yang tidak dapat dimengertikan. Aku menghampirinya dan memandangnya tanpa sebarang kata. Dia memegang pipiku, menyentuh kesan torehan akibat disiksa di pelipisku, tangannya bergetar. Airmatanya tumpah lantas dia menarikku ke dalam rangkulannya. Aku dipeluk erat bagaikan tidak ingin dilepaskan.

“Aku fikir kau sudah mati … Aku fikir kau sudah mati … maafkan aku,” bisiknya di telingaku. Dia mengongoi bagaikan bayi. Aku hanya mampu tersenyum lemah. Airmataku tumpah juga akhirnya namun kukesat perlahan. Bahunya ku tepuk.

“Sudahlah … isteri kau ada dibelakang. Aku nak jumpa Didi,” aku memandang wajah isteri baru Reza yang sedikit mencuka. Aku tahu apa perasaannya. Aku juga wanita.

“Didi baby, mari jumpa mama,” panggil Reza sambil menarik tangan anak kecil berusia 4 tahun yang berdiri di belakang isteri baru Reza yang entah apa namanya. Didi kelihatan takut-takut. Reza mendukungnya.

“Mama?” katanya perlahan. Aku menghulurkan dukungan. Dia menyambutnya. Ketika tangan kecil itu memeluk leherku, kehibaan tidak dapatku tahan lagi. Aku melepaskan esakan. Tubuh kecil itu kupeluk erat. Terhinggut-hinggut bahuku melepaskan sebak tanpa dapat kukawal. Airmataku turun dengan lajunya tanpa henti. Didi melepaskan pelukan lalu mengesat airmataku.

“Semua orang kata mama sudah mati, tapi mama masih hidup?” tanya Didi. Anak matanya yang bundar merenung ke dalam mataku. Esakanku masih bersisa.

“Mereka tak tahu mama masih hidup,” hanya itu yang mampu kubalas pada Didi. Pipi yang gebu itu kucium berkali-kali.

Reza dan isteri barunya memegang tangan Didi lalu perlahan-lahan berjalan menuju ke pos pengawal untuk keluar ketika tamat waktu lawatan.

Didi dan Reza. Merekalah sebab aku masih berdiri di sini. Menguatkan harapanku untuk hidup ketika disiksa sehingga setengah mati di Antolia. Hidup sebatang kara, aku tidak mempunyai ahli keluarga lain melainkan Didi dan Reza. Kini mereka juga sudah menjadi ahli keluarga orang lain. Hatiku terasa berat dan pedih, bagai disayat seribu bilah pedang.

Didi berpaling lalu tersenyum dan melambaikan tangannya. Aku membalas. Aku merenung pagar tinggi yang dipenuhi oleh kawat berduri itu. Di sebelahnya ada seorang pengawal, lengkap beruniform no 4 dengan Steyr disilangkan ke bahu. Tidak jauh dari tempat aku duduk, satu platun infantri sedang berkawad di hadapan bangunan utama kem. Semangat mereka berteriak “Kiri, kanan, kiri, kanan” sehingga bergema kem itu. Dahulu, pemandangan ini adalah syurga dunia padaku. Kecintaanku pada Regalia tiada duanya. Maka dengan itu aku memilih kor yang paling berbahaya dalam Angkatan Tentera Regalia, Kor Perisikan Ketenteraan.

Kini, perasaanku berbelah bahagi. Hatiku hampir separuh mati. Aku keliru. Masih adakah sebab untuk aku terus berada di dalam ‘penjara jiwa’ ini lagi?

Aku memakai beret merahku kembali, mengesat cebisan rumput atas butku yang berkilat, lalu melangkah lemah ke kediamanku.

______________________________________________

Setelah cukup 6 bulan, siasatan tamat, laporanku disahihkan. Kesetiaanku pada Regalia diakui setelah didapati tiada tanda-tanda aku bekerjasama dengan kerajaan Antolia. Dalam tempoh itu, aku berfikir panjang tentang kehidupan dan masa hadapan.

Pintu pejabat Mejar Andika ku ketuk. Kemudian aku diarahkan masuk.

“Kamu mahu membuat laporan penamatan tugas?”

Aku tidak menjawab sebalik terus berdiri memandang Mejar Andika. Dia memandangku kembali, menarik nafas dan terus membuka kata. Bahuku ditepuk.

“Kau adalah diantara pegawai terbaik, boleh diharapkan, dan berbakat. Aku sedih untuk apa yang terjadi di Antolia. Aku harap aku boleh buat lebih lagi untuk kau. Namun aku juga menurut arahan,” Mejar Andika melepaskan sebuah keluhan. Aku tidak berkata apa-apa.

Aku memberi tabik hormat, berdiri tegak, bersedia untuk membuat laporan.

“Saya, Kapten 75133655 Dyna Asfikar, melaporkan untuk kembali bertugas, Tuan!”

Mejar Andika tersentak. Bagaikan tidak percaya dengan apa yang aku perkatakan. Kemudian dia menguntumkan senyuman. Dia menghulurkan salam.

“Selamat kembali, Kapten Dyna,”

Aku masih ada seorang ibu, iaitu Regalia. Ibu pertiwiku. Menjadi tanggungjawab aku melindunginya. Regalia masih dalam bahaya. Sebagai anak yang taat, akan kuserahkan jiwa dan ragaku padanya. Apa yang terjadi di Antolia sudah kujangka dan sentiasa berada di dalam perkiraan risiko seorang pegawai tentera perisikan sepertiku. Jika neraka dunia seperti itu mampuku tahan, apa lagi yang mampu menghalangku dalam kehidupan? Apa yang tidak membunuhku, akan menjadikan aku lebih kuat.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s