JANGAN BERHENTI (CI)

Shasha menekan punat pengelap cermin memandangkan hari hujan. Kereta dipandu perlahan. Hari dah hampir senja. Jambatan Tasik Banding begitu sunyi tanpa sebarang kenderaan. Dia meramalkan dalam masa mungkin 3 jam lagi dia akan tiba di Gopeng.

Tiba-tiba dia ternampak seorang budak lelaki duduk di tepi jalan berhampiran dengan birai jambatan. Basikal terbalik di tepinya. Dia ingin memberhentikan kereta, tetapi dia teringat pesan ibunya.

“Jangan berhenti di atas Jambatan Tasik Banding walau apa pun terjadi!”

Entah kenapa.

Shasha menjengok dari dalam kereta. Nampaknya lutut budak itu luka. Seorang diri pula. Hari dah hampir malam. Bahaya kalau budak tinggal seorang diri di situ.

Shasha memberi isyarat ke kiri lalu memberhentikan kereta.

“Jatuh basikal ya, Dik?”

Budak itu mengangkat wajah. Pucat. Barangkali kesejukan. Dia mengangguk perlahan.

“Marilah akak hantar balik. Di mana rumah kamu?”

Budak itu menunjukkan ke satu arah. Shasha menjengok. Tidak ada rumah di situ.

“Kamu tunjuk jalan, ya?”

Shasha membuka bonet kereta, lalu mengangkat basikal budak itu. Perjalanan diteruskan.

“Kat mana, Dik?”

“Depan lagi, Kak!”

Budak itu tidak banyak bercakap. Katanya namanya Awang. Itu sahaja yang Shasha tahu.

Tiba-tiba ada satu cahaya yang begitu terang di hadapan jalan sehingga menyilaukan mata Shasha. Dia menutup pandangannya. Bahunya dipegang. Shasha mengangkat tangannya dari bahagian mata. Dia mengintai pada cermin hadapannya. Tiada apa-apa pun di jalanraya.

“Cahaya apa tadi?” tanya Shasha pada dirinya sendiri.

“Dah sampai, kak,”

Shasha memberhentikan kereta. Di bahagian kiri jalan kelihatan kampung yang tenang dan damai. Hujan masih renyai-renyai.

Shasha menggaru kepalanya.

“Tadi tak ada pun kampung ini,” kata Shasha dalam hati.

Shasha membantu budak itu membawa basikalnya lalu perlahan berjalan ke rumah budak itu.

“La, kenapa ni Awang?” kelihatan wajah seorang wanita berusia lewat 30-an muncul di pintu. Pakaian ibu budak itu kelihatan sedikit aneh. Bagaikan ketinggalan zaman. Kain batiknya juga kelihatan pelik. Awang terus masuk ke dalam rumah.

“Terima kasihlah tolong si Awang. Marilah masuk dulu, minum-minum,” jemput wanita itu, mesra.

“Hmm … tak apalah, kak. Jauh lagi perjalanan saya ni,”

Wanita itu hanya senyum miring memandang Shasha. Pandangannya kosong namun mengerikan. Hati Shasha tiba-tiba bergetar. Terasa seram-sejuk badannya melihat tingkah ibu Awang.

“Orang yang menjejakkan kaki ke kampung kami tak boleh balik dah,” kata Awang tiba-tiba. Dia berdiri di sebelah ibunya.

Shasha tersentak. Dia terus berlari lintang-pukang tanpa menghiraukan mereka. Kedengaran hilaian yang memekakkan di belakangnya. Sangat mengerikan.

Gelap malam langsung tidak membantu Shasha. Dia terus berlari menuju ke tepi jalan. Entah sudah berapa kali dia tersungkur tidak dihitungnya. Tidak lama kemudian, dia ternampak cahaya lampu jalan. Hatinya sangat bersyukur.

Dia mempercepatkan langkah. Kemudian dia ternampak ramai orang mengerumuni keretanya. Ada treler panjang yang terbalik di sebelah kanan jalan. Ada kereta polis juga. Hatinya tertanya-tanya. Dengan cepat, dia ingin menghampiri kerumunan itu, namun kakinya tidak dapat melangkah.

Dari jauh, dia ternampak orang ramai mengangkat tubuhnya yang berlumuran darah keluar dari kereta. Kepalanya pecah sehingga menampakkan isi otak. Tangan kirinya terputus.

“Apa ni?!!” jerit Shasha sekuat hati. Dua tiga kali dia menjerit, namun tiada siapa pun mendengar jeritannya.

Tiba-tiba dia terasa tangannya dipegang. Tangan itu terasa sejuk bagaikan ais.

“Mari, kak. Jom kita pulang,” Awang menarik tangan Shasha perlahan.

Bagaikan tersampuk, Shasha hanya mengikuti Awang tanpa sebarang kata, menuju ke hutan tebal yang gelap-gelita. Hanya kedengaran cengkerik berbunyi, dan lolongan panjang anjing hutan membelah malam, menyambut kehadiran orang baru di Hutan Banding.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s