CB : Aku Dan Pria Aprilia Siri 9

Sudah 4-5 kali Naela menguap. Entah apa yang paderi bilang dalam khutbahnya juga tidak sedikit pun masuk dalam kepalanya. Xeva nampaknya bersungguh-sungguh memasang telinga. Fikiran Naela hanya melayang pada perbualan penduduk kampung dengan wakil rakyat tempatan bernama Heryanto pada perjumpaan yang diaturkan 2 hari lepas.

“Tidak ada apa yang perlu tuan-tuan dan puan-puan risaukan. Proses pengukuran tanah yang dilakukan di kampung tuan-tuan adalah proses rutin kerajaan. Jangan risau. Saya jamin kedudukan tuan-tuan dan puan-puan selamat,”katanya dengan senyuman yang miring.

Penduduk kampung hanya berpandangan sesama sendiri.

“Kenapa sebelum ini tidak ada proses pengukuran rutin ini? Mengapa baru sekarang?” Dengan pantas dan tegas Xeva mengajukan pertanyaan.

Encik Heryanto memberikan pandangan kurang senang mendengar nada suara Xeva. Naela dapat merasakan sesuatu dalam hatinya melihatkan reaksi Heryanto. Tangan Xeva disentuh perlahan. Namun Xeva menjadi Xeva, dengan tegas serta berani, mengajukan pelbagai soalan yang bisa membuatkan Heryanto tidak senang duduk. Badannya yang kecil dan pendek itu tidak sepadan dengan sikapnya yang mengalahkan singa betina yang kelaparan kerana perasaan tidak sukanya pada golongan borjuis dan politikus. Akhirnya mereka pulang dengan hanya jaminan yang tidak dapat dipastikan kesahihannya daripada Heryanto.

“Jikalau benar kami akan dihalau, ke mana hendak ku bawa keluargaku?” kata hati Naela yang runsing.

Lamunan Naela terhenti apabila Xeva memegang tangannya.

“Mengelamun ya? Jom pulang,”

Perlahan Naela bangun daripada bangku gereja. Baru sahaja mereka ingin melangkah keluar dari gereja, seseorang datang menyapa.

“Hey, Xeva!”

Naela berpaling pada suara itu. Kelihatan seorang lelaki dalam pertengahan usia 2o-an menghampiri mereka. Tinggi, berwajah pan-Asian serta berpakaian kemas. “Apakah dia ini Justo yang diceritakan oleh Xeva?” tanya hati kecil Naela. Naela berpaling pada Xeva, wajahnya kelihatan sedikit merah apabila lelaki itu menghampiri. Ini satu lagi perkara yang merisaukan Naela. Naela kurang senang melihat Xeva begini. Bukan kerana dia tidak mahu Xeva gembira, namun dia tidak percaya kepada lelaki yang bernama Justo ini. Dia takut kalau Justo mempermainkan Xeva, seterusnya akan merosakkan hidup Xeva sekali lagi. Naela tidak sanggup melihatnya. Xeva dianggap seperti adiknya sendiri dan dia maklum benar kisah hidup Xeva.

“Tak sangka kita berjumpa di sini,” kata Justo sambil tersenyum manis. Xeva membalas senyuman Justo.

Naela memerhatikan gerak-geri Justo. Rupa yang kacak sememangnya tidak boleh dipercayai.

“Mungkin kau boleh berbohong pada Xeva, tetapi tidak aku,” kata Naela dalam hati.

Dari atas ke bawah, tubuh Justo diperhatikan. Kemaja bergosok rapi. Pakai orang gajikah? Kasut kulit. Kelihatan mahal.

“Hah! Kerani apa yang memakai jam tangan jenama TAG HEUER? Harganya mencecah USD10K. Sudah butakah kau, Eve? Lelaki penipu!” tukas hati Naela.

“Oh, ya. Ini Naela. Sahabat baikku,” kata Xeva sambil menolak bahu Naela menghadap Justo. Suaranya kedengaran ceria. Naela hanya mengeraskan air mukanya. Tangan Justo disambut dingin.

“Justo ya? Dengar sini baik-baik. Siapa pun kau, jika kau berani mempermainkan Xeva, nahas kau,” kata Naela dengan nada yang tegas namun dingin.

Air muka Justo berubah, bagaikan terperanjat. Xeva juga begitu. Naela terus membuka langkah meninggalkan mereka. Dengan rasa bersalah, Xeva menuruti langkah Naela.

“Nayi! Kenapa dengan kau? Maafkan dia, Justo. Barangkali fikirannya runsing. Selalunya dia tidak begini, ” terburu-buru Xeva mengikut Naela. Justo hanya mampu mengangkat ibu jarinya lalu bergerak menuju ke tempat parkir motorsikal. Naela sempat menjeling pada nombor plat motorsikal Justo. JUSTO 8888.

Pulang saja dari gereja, Xeva hanya marah-marah. Naela pula hanya mendiamkan diri. Dia tahu Xeva takkan faham jika diterangkan sekalipun. Naluri Naela kuat mengatakan yang Justo bukanlah seperti yang digambarkan oleh Xeva. Dan naluri Naela jarang berbohong. Dia cuma berpesan agar Xeva berhati-hati dengan Justo.

“Tapi kenapa?” soal Xeva dengan matanya redup, memandang Naela dengan penuh rasa tanda tanya dan harapan. Naela hanya mampu membelai rambut Xeva tanpa menawarkan apa-apa jawapan.

Naela mengerling jam tangannya. Syif malamnya hampir berakhir. Ruang legar hotel kelihatan sunyi-sepi. Hari sudah pagi. Naela menggosok matanya yang mengantuk, mengutip barang-barangnya dan bersedia untuk pulang ke rumah. Setelah ‘punch card’, Naela berfikir untuk sarapan pagi terlebih dahulu.

Baru sahaja dia hendak melintasi jalan untuk menuju ke sebuah ‘food court’ yang berhampiran, kelihatan sebuah motorsikal biru yang dikenalinya melintas di hadapan Naela. JUSTO 8888. Rasa mengantuk Naela terus menghilang. Dia melangkah menuruti pergerakan motorsikal itu yang agak perlahan, memasuki sebuah menara dengan lambang J yang besar di hadapannya.

“Hah, tertangkap kau kali ini,” kata hati Naela. Dia berazam untuk membawa pulang bukti bahawa Justo bukanlah seperti yang Xeva kenali dan harapkan. Naela berlari memasuki bangunan itu dengan misi untuk membongkar identiti Justo.

“Hubungan atas dasar penipuan harus berakhir!” kata hati Naela.

Bersambung.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s