MENGAMBANGNYA BULAN DARAH TERAKHIR … (CI)

Kristina melayangkan pedangnya pada leher makhluk itu serentak memutuskan kepala daripada badannya. Darahnya terpercik pada jaket kulit Kristina lalu dikesatnya dengan sarung tangan. Perlahan badan itu rebah ke lantai dengan darahnya tumpah membuak bagaikan mata air. Kepalanya tercampak ke lantai dengan taringnya masing menyeringai pada Kristina.

Rakan-rakan makhluk itu yang masih bergantungan di siling istana lama itu memerhatikan Kristina dengan hati-hati. Pendengaran super mereka dapat mengesan detakan jantung Kristina yang tenang seolah-olah tiada apa yang terjadi. Makhluk itu berpandangan sesama sendiri. Kristina menyeret pedangnya seolah-olah mencabar makhluk-makhluk itu. Mereka bertiga melepaskan tangan dari siling lalu meluru serentak ke arah Kristina. Kristina tersenyum, menghunuskan pedang, memijak beranda dewan istana itu lalu melompat tinggi dan membelah perut 2 daripada makhluk tersebut. Terbelah 2. Antara kepala hingga perut dan kaki. Kristina menyepak bahagian kaki kedua-dua makhluk yang telah dibelah itu agak kuat sehingga tercampak ke sisi dinding sebelah timur. Tubuh mereka terbakar marak lalu menjadi debu serentak dengan jeritan yang memekakkan telinga lalu berdiam…sepi. Tinggal seorang lagi. Ketakutan tergambar di wajahnya yang telah sedia pucat setelah terlihat nasib rakan-rakannya.

Makhluk itu menyerbu Kristina dengan pantas, terbang melepasi kepala Kristina, cuba mencapai lehernya. Dengan pantas, Kristina memusingkan badan, merentap ganas tangan makhluk itu lalu menghentak dia ke atas lantai. Leher makhluk itu dipijak keras oleh Kristina dengan but kulitnya.

Makhluk itu ketawa. Mengilai dengan kuatnya. Kristina hanya memandangnya tanpa sebarang emosi.

“Kaum kami akan menjadi lebih ramai. Zenda sudah berada di sini. Menanti untuk menamatkan riwayatmu” Kristina menyucuk mata pedang ke dalam bebola mata makhluk itu. Makhluk itu menjerit-jerit kesakitan. Darah yang hampir beku meleleh di pelipis makhluk itu.

“Biar aku hantar kau berjumpa teman-teman yang lain,” serentak Kristina menetak leher makhluk itu sehingga terputus kepala daripada badannya. Tidak lama selepas itu, badan itu terbakar dengan maraknya.

Zenda. Nama itu pertama kali didengari Kristina. Kristina memegang pinggangnya. Malam ini sahaja hampir 15 makhluk itu dibunuhnya. Badannya terasa penat sekali. Ya, dia terpaksa mengakui, makhluk itu semakin ramai menghuni daerahnya. Walaupun Kristina amat mengambil berat hal pemakanan dan senamannya, namun kudrat wanitanya mempunyai batasnya. Tiada sesiapa pun di daerah itu yang sanggup memikul tanggungjawab membasmi kesemua parasit ganas itu melainkan dia. Kristina tahu dia memerlukan alternatif.

__________________________________________

“Tidak, Kristina! Tidak! Apakah kau sudah gila?” Profesor X menggeleng pantas sebagai tanda tidak bersetuju dengan idea Kristina.

Sudah hampir 10 tahun Kristina bekerja dengan Profesor X dengan bantuan kewangan daripada beberapa individu yang tidak dikenali, untuk misi menghapuskan makhluk ganas di daerah sunyi itu. Profesor X dianggap sebagai bapanya, seorang saintis yang barangkali berusia dalam 50an, sangat bijak, menghasilkan pelbagai senjata hebat untuk memerangi makhluk itu. Kristina mula menjadi pemburu makhluk itu sejak dia berusia 16 tahun. Ketika ibunya mati dibunuh makhluk itu.

“Aku sudah tidak ada cara lain, Prof. Mereka semakin ramai. Aku tak pasti kalau aku dapat bertahan lebih lama untuk melawan mereka semua begini. Lambat-laun aku akan menjadi seperti mereka,” katanya Kristina bersahaja.

“Tetapi kau nak memerangi mereka dengan menjadi sebahagian daripada mereka? Sebaik sahaja kau menjadi mereka, memori kehidupan lama kau akan terhapus. Dengan kebolehan kau yang hebat ini, aku tidak pasti apa yang bakal terjadi di daerah ini”

“Prof, kau ada bilang padaku yang kau sedang mencipta dadah VX serta vaksin untuk merawat virus gigitan makhluk ini,”

Profesor X terus menggeleng. “Kau mahu mencuba dadah percubaan atas dirimu sendiri? Jikalau ia tidak menjadi bagaimana? Jikalau kesannya lebih teruk, bagaimana pula?”

Kristina hanya mengangkat bahunya. Profesor X mengeluh perlahan.

________________________________________________________

Kristina melemparkan pandangan ke luar jendela. Jelas kelihatan bulan mengambang merah dari tingkapnya. Bulan mengambang merah ini, atau lebih tepat lagi dipanggil ‘bulan darah’ (blood moon)tercatat dalam Book of Joel, sebuah kitab Injil berbahasa Hebrew. Pada malam ini, lengkaplah lunar tetrad seperti yang diramalkan dalam Book of Joel, yang menandakan bermulanya pengakhiran dunia. Namun menurut kitab-kitab mistik berbahasa Proto-Germanic, bulan darah bererti bermulanya pesta darah syaitan oleh makhluk yang dipanggil Nosferatu.

Bagi Kristina, itu semua mengarut. Bulan darah hanyalah fenomena astronomi yang begitu indah. Mengapa dicalar dengan definisi sebegitu rupa?

Kristina menghidupkan sistem penggera di rumahnya. Hanya tingkapnya dibuka sedikit. Makhluk itu bukanlah semisteri yang disangka oleh ramai orang. Mereka adalah bekas manusia, yang telah dijangkiti virus rabies vampirus yang telah bermutasi. Mereka bukanlah hantu mistik. Mereka takkan mampu menembusi dinding. Namun mereka mempunyai tenaga yang sangat kuat dan mampu melompat tinggi seolah-olah bisa terbang pada pandangan manusia biasa. Ada yang memanggilnya pontianak, ada yang memanggilnya kuntilanak. Sehingga kini, penyakit ini tiada penawarnya, maka pilihan yang ada hanyalah untuk membunuh makhluk-makhluk ini agar tidak menjangkiti manusia lain.

Tiba-tiba ada tangan yang tegap serta berkuku tajam memegang bahu Kristina. Tanpa membuang masa, Kristina menepisnya lalu mencapai pedang yang ditegakkan di sisi dinding. Makhluk itu pantas menendang pedang itu, lalu menolak Kristina ke dinding, menekan leher Kristina dengan keras. Perut Kristina yang hanya dibaluti gaun tidur berwarna putih ditekan dengan lututnya. Kristina mengerang kesakitan. Dia cuba meronta namun dia tidak mampu bergerak. Dia mendongak melihat musuhnya. Dia kelihatan seperti seorang lelaki biasa, berseluar jeans dan T-shirt hitam. Rambutnya panjang separas dada berwarna putih keperakan dan matanya … berwarna hijau. Bukan merah seperti pontianak yang lain. Tenaganya lebih kuat berbanding dengan pontianak biasa. Menggunakan kuku jari telunjuknya yang tajam bagaikan belati, dia menoreh pipi kanan Kristina. Kristina mengerang lagi. Perlahan makhluk itu menjilat darah yang mengalir dari kesan torehannya. Kristina cuba mengelak namun dia tidak boleh berbuat apa-apa.

“Jadi kaulah Kristina?” Dia tersenyum lalu menampakkan taringnya yang putih serta berkilat.

“Zenda?” kata Kristina perlahan.

“Ya, aku datang untuk membunuh kau. Tapi setelah aku mengetahui serba-sedikit mengenai kau melalui darah kau yang manis, kau sangat sesuai aku jadikan pasanganku. Aku sukakan semangatmu,”

“Jangan haraplah,”balas Kristina keras.

Zenda hanya tersenyum. Dia menegakkan leher Kristina, mengusap saluran darah jugularnya perlahan, menikmati detik-detik nadi Kristina yang masih berdenyut. Perlahan dia mendekatkan kepalanya lalu membenamkan taringnya ke dalam leher Kristina. Kristina menjerit kuat. Dia cuba melawan dan meronta sekeras-kerasnya namun kekuatan Zenda tidak dapat diatasi. Terasa bagaikan pisau tajam menusuk lehernya. Namun tidak lama selepas itu pandangannya terasa melayang dan berpinar. Dia bagaikan kemabukan. Kesakitan akibat darahnya yang disedut Zenda sudah tidak terasa lagi …

“Ingat, makhluk ini paling lemah ketika menyedut darah manusia. Ia akan merembeskan bendalir penahan sakit dari air liurnya agar manusia tidak melawan ketika darah disedut,” terngiang-ngiang kata-kata Profesor X di telinganya.

Kristina melawan kemabukan itu dengan berusaha mengumpul tenaga lalu menumbuk dagu Zenda dengan kuat. Serentak dengan itu, Zenda melepaskan gigitannya. Namun dia tersenyum memandang Kristina.

“Sudah terlambat,”

Tubuh Kristina mula diserang virus rabies vampirus. Kesakitannya bagaikan ditusuk beribu-ribu jarum panas di seluruh badannya. Kristina menjerit kesakitan. Badannya rebah di atas lantai. Dia mengerekotkan badannya sehingga lutut menyentuh dagunya.

“Arghhhhh!!Argghhhh!!Arghhh!!”

Kristina terus berguling kesakitan. Gaun tidurnya dikoyakkan sehingga menampakkan bahagian atas badannya. Zenda berjalan perlahan, menghampiri Kristina lalu memegang bahunya. Tubuh Kristina bergoncang dengan dahsyatnya seolah-olah terkena sawan.

“Jangan risau, kesakitan ini hanya akan berlangsung selama 2 jam. Datang padaku esok malam. Kita berburu santapan pertamamu, sayang,” Zenda mencium pipi Kristina lalu melompat ke tingkap dan meninggalkan Kristina yang terpekik-pekik kesakitan. Kristina merangkak dengan sedaya-upaya, menuju ke meja tulisnya, menarik lacinya sehingga terjatuh, menghamburkan kesemua isi lacinya. Dia ternampak kotak hitam itu. Tangannya cuba mencapai kotak hitam itu. Pandangannya semakin kabur …

_________________________________________

Pagi yang jernih. Bayu bertiup sepoi Bahasa. Namun hati Profesor X tidak tenteram. Sampai sahaja di rumah Kristina, dia terperanjat melihat tingkap bilik Kristina terbuka sedikit. Kristina takkan secuai itu. Dengan pantas, Profesor X berlari ke dalam rumah Kristina dan mendapati Kristina terbaring di atas lantai.

“Kristina!!Kristina!!”

Profesor X menggoncang bahu Kristina dengan kuat. Badan Kristina yang hampir separuh bogel ditutupnya dengan selimut yang didapatinya di bilik tidur Kristina. Badan Kristina kelihatan sangat pucat. Igauan ngeri Profesor X menjadi kenyataan. Tidak disangkanya Kristina tetap melakukannya walaupun setelah dilarang keras oleh Profesor X.

Profesor memeriksa leher Kristina. Terdapat 2 lubang yang agak dalam pada berdekatan saluran darah jugularnya. Profesor X segera mencapai loket perak yang tergantung di leher Kristina dan membukanya. Pil VX di dalamnya sudah tiada.

“Ya Tuhanku!” Profesor X memegang kepalanya.

Kristina telah melakukannya!

Profesor X mencari-cari picagari yang berisi vaksin virus rabies vampirus. Picagari itu terdampar di bawah meja tulis. Isinya kosong. Profesor X tidak pasti dia harus bersyukur atau tidak, namun tubuh Kristina diangkat lalu di bawa ke makmal mereka yang terletak di ruangan bawah tanah rumah Kristina. Kristina diletakkan di atas meja bedah. Tangan dan kakinya diikat dengan tali kulit yang kuat. Profesor X menyuntik tubuh Kristina dengan satu lagi vaksin. Dia hanya mampu menanti Kristina tersedar.

Tidak lama kemudian, Kristina menggerakkan tubuhnya. Matanya dibuka. Anak matanya yang berwarna hitam pekat kini bertukar hijau. Profesor X berasa aneh kerana ia tidak merah seperti pontianak lain.

“Kau masih ingat siapa diri kau?” tanya Profesor X. Kristina hanya memandang ke kiri dan kanan, lalu memandang tangannya yang diikat Profesor X. Dia cuba menarik tangannya. Tali kulit itu terputus. Profesor X sangat terperanjat dengan kekuatan Kristina. Dia mencapai pedang milik Kristina. Kristina melepaskan ikatan tangan kirinya. Dia memandang bersahaja Profesor X yang pucat lesi ketakutan.

“Prof, aku masih lagi Kristina,” Kristina dapat merasakan dirinya masih lagi Kristina yang dahulu. Memorinya tiada cacat cela. Cuma taringnya lebih panjang dari biasa dan kekuatannya melampaui manusia biasa. Pil VX dan vaksin Profesor X berjaya merencatkan perkembangan virus tersebut, namun tidak dapat memulihkan keadaan Kristina seperti sediakala.

“Syukurlah,” Profesor meletakkan pedang Kristina.

“Tetapi aku lapar,” kata Kristina sambil menyeringai menayangkan taringnya kepada Profesor X.

Profesor X terlopong.

_________________________________________________

Sesekali kerlipan memori terlintas di kepala Kristina. Wajah Zenda. Sebuah kilang. Laut. Pada mulanya ia hanya berlaku 2-3 jam sekali. Namun menjelang malam, kerlipan memori itu menjadi semakin kerap menyebabkan kepalanya sakit berdenyut-denyut. Dia memegang kepalanya.

Menahan sakit, Kristina terus mengenakan pakaian. Semua kelengkapan untuk memburu pontianak disisipkan ke dalam poket seluar kargonya. Termasuklah 2 senjata baru yang dicipta oleh Profesor X. Barangkali kerlipan memori ini adalah cara Zenda memanggilnya. Dia dan Zenda bagaikan satu. Dia bagaikan terlihat apa yang Zenda buat dan lihat. Ia amat menggusarkan. Kristina berazam untuk mengikuti naluri dan panggilan itu, juga berazam untuk menamatkannya dengan segera.

Nalurinya telah membawa Kristina ke sebuah kilang lama yang sudah ditinggalkan di pinggir kota berdekatan dengan pinggiran pantai. Dia melangkah masuk ke dalam kilang itu dan mendapati Zenda sedang duduk santai di atas sebuah meja pejabat, memandang tepat ke arah Kristina. Di belakangnya, kelihatan barangkali puluhan makhluk yang sama, bermata merah, memandang Kristina dengan curiga. Mereka berbisik sesama sendiri.

Zenda bangun lalu mencapai Kristina ke dalam rangkulannya.

“Sayang, kau sampai akhirnya,”

Kristina membiarkan sahaja perlakuan Zenda. Dia kemudiannya mencium tangan Kristina lalu menjulangnya ke udara.

“Pada malam bulan darah, bermulanya era baru kita. Inilah ratumu. Bersama kita menawan dunia kembali,”

Puluhan makhluk itu hanya berdesir sesama sendiri. Mereka tersenyum memandang pasangan itu. Hilaian demi hilaian bersambung disusuli dengan salakan panjang serigala pergunungan. Zenda menarik Kristina rapat padanya lalu mencium bekas gigitannya di leher Kristina. Seterusnya mencium bibir Kristina dengan ganasnya. Kristina membalas. Zenda memegang rambut Kristina yang berwarna coklat kehitaman itu. Asyik.

Tiba-tiba mata Zenda terbelalak. Perutnya terasa panas membakar. Dia melihat perutnya telah ditembusi oleh pedang laser berwarna biru. Tanpa membuang masa, Kristina membelah tubuh Zenda dengan senjata terbarunya. Bahagian atas tubuh Zenda jatuh ke lantai, membuakkan darah yang banyak, sedang bahagian kakinya masih tegak. Tiba-tiba terdengar Zenda ketawa mengilai dengan kuatnya. Tubuh Zenda yang terbelah dua itu kembali bersatu dan pulih seperti biasa dengan segera.

“Tidak semudah itu untuk membunuhku, sayang,” kata Zenda lalu dia menendang Kristina lalu Kristina tercampak ke dinding. Kristina bangun dengan segera. “Jadi belahan tubuh tidak dapat membunuh Zenda. Apa yang harus aku lakukan sekarang?” kata hati Kristina. Dia kematian akal.

Makhluk-makhluk lain berdesir lalu menyeringai ke arah Kristina.

“Aku tahu ada sesuatu yang tidak kena denganmu apabila aku masih terdengar detakan jantungmu. Kau hebat, Kristina. Bagaimana kau lakukannya?”

Kristina tidak menjawab. Pedang laser yang ringan dan efektif itu dihunuskan sekali lagi.

“Aku terlalu memandang rendah padamu, Kristina. Tidak lagi untuk kali ini,”

Zenda mengangkat tangannya lalu menunjuk pada Kristina. Serentak, puluhan makhluk itu menyerbu Kristina. Mereka mengerumuni Kristina bagaikan semut mengerumuni gula. Kristina tenggelam di bawah serbuan makhluk itu.

Zenda ketawa mengilai bagaikan tiada penghujungnya. Pemburu pontianak itu akan dihapuskan pada malam ini.

Tiba-tiba kedengaran letupan yang kuat. Berkelip cahaya berwarna biru yang sangat terang, membutakan pandangan buat seketika. Makhluk-makhluk yang mengerumuni Kristina berkecai menjadi debu. Zenda terpegun.

Kristina berdiri sambil menepuk debu-debu makhluk itu dari jaket kulitnya. Wajahnya yang separuh terbakar akibat impak letupan bom UV itu dengan perlahan kembali pulih seperti biasa. Terima kasih kepada kuasa luar biasa yang Zenda salurkan sendiri kepada Kristina. Kristina terselamat daripada letupan bom UV itu kerana pakaiannya yang ditempa khas menggunakan serat titanium yang tahan sinar UV.

“Jadi kini tinggal kau dan aku sahaja,” kata Kristina. Zenda hanya tersenyum.

“Aku adalah abadi. Tiada cara untuk kau bunuh aku lagi,” kata Zenda. Kristina hanya memandang Zenda bersahaja. Pedang lasernya dihunuskan kembali. Sinaran birunya menerangi kilang yang gelap itu.

“Tiada siapa yang abadi,”

Kristina terus meluru ke arah Zenda. Dia cuba mencincang tubuh Zenda. Namun tubuh itu kembali bercantum dan pulih dengan cepatnya. Zenda mencengkam leher Kristina dengan tangan kirinya. Tubuh Kristina dijulang ke udara, namun dengan tenaga yang ada, Kristina memusingkan tangan Zenda lalu menendang tubuh Zenda kuat menyebabkan Zenda terdorong ke belakang lalu rebah. Kristina duduk di atas perut Zenda, cuba memenggal kepala Zenda. Zenda memegang tangan Kristina. Mereka mempunyai tenaga yang sama.

Sehinggalah kepala Zenda ditendang oleh seseorang. Lalu tangan Zenda dicengkam ke lantai.

Kristina mendongak. Profesor X!

“Gigit leher dia. Sekarang!”jerit Profesor X. Zenda membuntang memandang Profesor X.

“Ayahanda!”

“Maafkan aku, anakku,”

Kristina tidak memperdulikan kata-kata Zenda lalu menggigit leher Zenda. Buat pertama kalinya, Kristina merasa darah sebagai seorang pontianak. Rasanya begitu nikmat. Membuatkan nafsu Kristina untuk menyedut darah Zenda semakin memuncak. Leher Zenda ditarik kuat. Darah Zenda disedut ganas tanpa memperdulikan jeritan Zenda yang pada mulanya kuat, akhirnya perlahan, sayu dan terus diam. Setelah kering darah Zenda disedut, Kristina melepaskan tubuh Zenda. Tubuh Zenda yang pucat pada mulanya, kemudian perlahan bertukar hitam kemudian terbakar dengan maraknya. Akhirnya menjadi debu.

Kristina duduk bersandar ke dinding sambil mengesat darah yang comot disekeliling bibirnya. Dia memandang Profesor X.

“Ayahanda?”

Profesor X tidak menjawab. Sebaliknya bertanya kepada Kristina.

“Bagaimana rasa darah?”

“Seda … “

Tiba-tiba Kristina muntah, menghamburkan kesemua isi perutnya. Tekaknya terasa meloya yang amat sangat. Setelah muntah, Kristina terasa penat sekali.

“Nampaknya … sisi pontianak aku sukakan darah, namun sisi manusia aku masih belum mahu menerima darah sebagai santapan harianku,”

Profesor X hanya ketawa.
__________________________________________________

“Kerana tamakkan kuasa, aku sanggup melakukan ritual kuno dengan memanggil syaitan di pergunungan, kemudian membiarkan diriku digigit kelawar yang aku tidak pasti apa spesisnya. Hasilnya, aku menjadi raja yang digeruni ketika itu, begitu juga putera dan permaisuriku. Kami juga berjaya membina tentera tanpa mati yang ditakuti di seluruh dunia. Namun akhirnya ketamakan kuasa menyebabkan putera dan permaisuriku hilang kawalan, duniaku menjadi neraka. Aku ingin kembali menjadi manusia. Jadi aku mengikut petunjuk ahli sihir istana yang mengarahkan aku mencari buah-buah pohon Kimara. Aku berjaya membawa pulang beberapa biji untuk diberikan kepada anak dan isteriku. Malangnya mereka enggan kembali menjadi manusia. Permaisuriku, aku bunuh dengan tanganku sendiri, namun puteraku, Zenda berjaya melarikan diri,”

Kristina hanya mengangguk perlahan. Profesor X hanya memandang ke laut. Rambut putih menutupi dahi ditolak perlahan.Wajahnya kelihatan sugul, melambangkan kekesalan yang tiada akhirnya.

“Bagaimana kau boleh hidup beribu-ribu tahun, sehingga sekarang?”

“Aku tak tahu. Barangkali kesan buah Kimara itu. Ia telah pun pupus setelah peperangan demi peperangan terjadi di negaraku. Ia adalah sumpahan. Aku melihat jatuh naik tamadun manusia. Terlalu banyak penderitaan. Lebih buruk lagi, kemusnahan yang di bawa oleh anakku sendiri. Namun, aku juga tak ingin mati selagi tidak mendapat jawapan kepada permasalahan dunia yang aku timbulkan sendiri,”

“Maafkan aku kerana membunuh anakmu,”

Profesor menepuk bahu Kristina. “Dia bukan lagi anakku setelah menjadi makhluk itu. Semua ini salahku juga,”

Kristina terdiam. Profesor X memegang tangan Kristina erat.

“Jangan risau. Aku akan berusaha mencari penawar penyakit ini. Dadah VX dan vaksin menunjukkan kesan yang positif terhadap kau. Dengan teknologi moden, kita akan dapat mencipta antidot yang berkesan. Kau tidak perlu memburu pontianak lagi selepas itu,”

“Sementara itu, let’s kick some arse!”

Profesor X hanya tersenyum lalu menepuk bahu Kristina. Walaupun pada zahirnya Kristina telah berubah, namun dalamannya masih Kristina yang sama. Berani. Yakin. Tidak penah berputus asa.
Mentari pagi semakin menyinsing tinggi. Mengiluminasi wajah Kristina dan Profesor X yang memandang jauh ke hadapan, memikirkan hari-hari mendatang mereka sebagai pemburu pontianak di daerah yang sunyi itu.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s