CB : Aku Dan Pria Aprilia Siri 5

Mahu nombor telefonku? Aku terpempan mendengar permintaan lelaki ini. Terpisat-pisat aku berdiri di hadapannya. Tak tahu apa yang mahu ku jawab. Aku gementar kerana ini kali pertama lelaki meminta nombor telefonku. Aku mula menggengam hujung blouseku. Bingung. Lelaki itu melihat pergerakan tanganku, barangkali sedar yang aku kurang senang akan pertanyaannya, seraya berkata,

“Kalau tak mahu berikan, tak mengapa,” dia mula meraba-raba poket kemeja dan seluarnya. Mengeluh sebentar. Kemudian dia menghulurkan tangan padaku. Aku kaget lalu mengerutkan keningku.

“Aku tak bawa business card. Minta telefon, aku berikan nomborku,”

Aku terdiam sebentar. Biar betul dia ni. Dia memandang aku bagai tunggul. Aku melepaskan nafasku dengan berat sekali, berasa ragu-ragu dengan tindakanku yang seterusnya, mengeluarkan telefon dan berikan padanya. Dia memasukkan nombor dan menyerahkannya padaku.

“OK. Jumpa lagi,”

Dia mengeluarkan sarung tangannya dari beg sandang, memakainya sambil berjalan ke arah motorsikal Aprilia Tuono berwarna biru. Cantiknya motorsikal itu. Topi keledar full face itu disarungkan dan pandangan diberikan sekilas padaku. Aku merenung telefonku. Eh, nombor saja, namanya apa? Belum sempat aku berbuat apa-apa, dia telah pun berlalu. Yang menjadi persoalan, apa aku hendakku buat dengan nombor tidak bernama ni? Aku menaip nama dengan huruf besar pada nombor itu.

PRIA APRILIA.

“Apa yang kau renungkan tu, Eve?” aku hampir terlompat apabila ibu menegurku dengan nama manjaku di rumah secara tiba-tiba. Aku memukul manja tangan ibu tanda protes kerana membuat aku terkejut. Ibu terus ke bilik stor membawa pakaian yang sudah dibasuh. Ayahku masih belum pulang dari workshopnya. Aku di kusyen, sejak tadi hanya membelek telefon bimbitku. Sudah 3 hari aku begini sejak aku bertemu dengan Pria Aprilia. Nak telefon? Atau sms? Untuk apa? Ah … terkenang aku pada wajah kecina-cinaan milik pemuda itu.  Aku sudah dapat kembali kad aksesku, jadi untuk apa lagi? Malu pula rasanya nak hubungi seseorang tanpa tujuan. Ah … keliru.

Mengapa aku membuang masa begini? Bukankah baik waktu ini, di hari cutiku, aku sambung kembali penulisan novelku?

Terdengar deruman motorsikal buruk ayahku diperkarangan rumah setingganku. Perlahan tombol pintu dipulas dan wajah tua yang kepenatan serta berpeluh-peluh muncul di pintu. Ayah menarik nafas panjang, kemudian menghenyakkan punggung ke kerusi rotan di ruang tamu. Peluh dilap dengan lengan bajunya.

“Tak kemana-mana, Eve? Sejak pagi kau di situ sahaja,”

Aku menggeleng. Ayah menggosok-gosok dadanya. Wajahnya berkerut seolah-olah menahan sakit.

“Ayah tak apa-apa?”

“Tak apa-apa. Penat. Biasalah,” kata ayah bangun lalu terus ke dapur. Mau minum air agaknya.

Aku tidak pernah nampak ayah sebegini penat. Barangkali kerana usia tuanya. Alangkah bagusnya jika novelku berjaya diterbitkan. Barangkali dapat membantu ayah. Mungkin ayah boleh berhenti bekerja. Ah … apakah aku menunggu kucing bertanduk?

Terdengar adik-adikku berbuat bising di luar rumah. Bermain agaknya. Berantakan. Kaos.

Tiba-tiba ruang tamu yang sudah sedia kecil itu terasa semakin kecil dan menyesakkan dada.

“Ibu!Ayah!Eve keluar sekejap,”

Aku melabuhkan punggungku di tempat biasa di Starbucks itu. Baru pukul 3 petang. Banyak yang aku boleh tulis sampai malam. Novelku, Neraka Irtiad, sudah pun memasuki bab 7. Aku mengeluarkan fon telinga, memasang lagu kegemaranku, dan mula berkerja tanpa memperdulikan orang ramai di Starbucks itu.

Setelah hampir beberapa jam menghadap komputer, aku mula menguap. Aku menyapu wajah perlahan dan badanku regangkan. Aku mengerling ke arah jam tanganku. Sudah pukul 7 malam. Aku mencapai cawan berisi Mocha Latte. Terasa ringan cawan kertas itu. Ahhhh … habis pula. Baru saja aku mahu bangun dari sofa, ada seseorang meletakkan secawan Mocha Latte bersaiz Grande di atas meja kopi. Aku mendongak. Pria Aprilia berdiri di hadapanku, memakai T-shirt dan jeans biru, tersenyum bersahaja memandangku.

“Hai Xeva,”

Aku hanya mampu terlopong…

Bersambung.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s