ILEILA DRAGONBLADE (CI)

Bayu bertiup perlahan dan aroma lavender mengindahkan suasana, menenangkan jiwa yang galau. Ileila membuka matanya perlahan. Dia dapat merasakan Ivern sedang membelai rambutnya. Ileila tersenyum. Dia bagaikan tidak percaya Ivern bersamanya, memangku kepalanya di bawah pohon apel yang mereka suka. Syukurlah. Dia memegang tangan Ivern lembut lalu meletakkan tangan Ivern ke pipinya. Tiba-tiba mata Ivern membelalak. Darah merah membuak-buak mula keluar dari mulutnya lalu memercik ke wajah Ilela. Perutnya ditembusi pedang dan darah segar mula mengalir melalui liang luka. Pekat darah Ivern di wajahnya terasa begitu nyata. Di belakang Ivern kelihatan Idegi sedang menyeringai sambil menghunuskan Calder miliknya. Ilela menjerit sekuat hatinya sehingga didengari di seluruh Istana Dragonblade.

“Tuanku!Tuanku! Ia hanya mimpi ngeri,”inang memeluk Ileila. Peluh di dahi Ileila dikesat. Nafas Ileila naik turun dengan kencangnya. Ileila bertanyakan Ivern berulang kali namun inang tidak menjawab. Hanya memberikan pandangan sayu padanya. Ileila menyembamkan wajahnya ke bantal lalu menangis sepuas-puas hatinya. Inang mengusap rambut Ilela dan menepuk belakangnya perlahan. Ivern telah tiada. Itulah hakikatnya.

Ivern sudah dibunuh oleh Idegi dalam pertarungan duel ketika Idegi tiba dengan pasukan tentera Caldera milik empayarnya di hadapan tembok besar Ikhvana dengan tujuan untuk menyerang Ikhvana. Dia berjanji tidak akan menyerang Ikhvana sekiranya Ivern menang akan pertarungan duel dengannya. Namun dengan taktik kotor, Idegi berjaya membunuh Ivern. Setelah menang pertarungan duel, Ivern membiarkan Idegi hidup kerana mereka pernah bersahabat. Namun hati Idegi yang telah hitam dengan dendam, tidak menghargai kebaikan Ivern sebaliknya menikam Ivern dengan kejam. Tanpa belas kasihan. Di hadapan Ileila. Meninggalkan kesan trauma yang hebat terhadap Ileila.

Selepas seminggu kemangkatan Raja Ivern, Ileila ditabalkan sebagai Ratu Ileila Dragonblade et Ikhvana. Kehidupan mesti diteruskan, meskipun hati Ileila bagaikan disayat-sayat setiapkali duduk di atas takhta Ivern, mengambil alih tugasnya sebagai tonggak negara. Memang takhta Ikhvana adalah miliknya terdahulu, diperturunkan oleh ayahandanya, namun Ileila tidak mahu memerintah. Ileila tidak pernah merasakan dirinya sebagai pemerintah. Dia hanya mahu menjadi isteri Ivern. Lalu takhta diserahkan kepada Ivern. Tindakan Ileila menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak, termasuklah Idegi kerana Ivern berketurunan bangsawan, bukan berdarah raja. Namun ayahanda Ileila, Raja Inacus tidak membantah kerana percayakan akan kebolehan dan keikhlasan Ivern. Lagipun Ivern, anak kepada perdana menteri terdahulu Ivarus membesar dalam istana bersama dengan Ileila dan Idegi. Karekter Ivern tidak diragui oleh Raja Inacus.

Idegi merupakan sepupu pertama Ileila yang membesar bersamanya setelah kematian ibubapanya. Ileila sayangkan Idegi seperti abang kandungnya sendiri. Idegi seorang yang pendiam serta memendam rasa. Tidaklah diketahui oleh Ileila yang Idegi menyimpan perasaan padanya sehinggalah tiba hari perkahwinan Ileila dan Ivern. Idegi menerjah masuk ke dewan istana Ikhvana dengan keadaan mabuk, dengan botol absinthe di tangannya, menghamburkan makian terhadap Ileila dan Ivern. Menuduh Ivern gilakan takhta dan menyatakan perasaannya terhadap Ileila. Idegi bertindak meninggalkan Ikhvana apabila dia mengetahui Ileila menyerahkan takhta kepada Ivern. Keluarnya Idegi dari Ikhvana rupanya untuk mengumpulkan kekuatan untuk merampas Ileila dan Ikhvana dengan cara yang kasar.

“Aku akan kembali, untuk mengambil kau sebagai ratuku. Sama ada kau menyerah atau akan kulanggar negara picisan ini sehingga menjadi padang jarak, padang terkukur. Sehingga ke titisan darah Dragonblade yang terakhir. Sudah aku katakan dahulu, Ileila. Jika aku tidak dapat kau, aku akan pastikan tiada sesiapa pun dapat kau,”itulah kata-kata terakhir Idegi sebelum meninggalkan mayat Ivern terbujur kaku di padang pasir, medan pertarungan mereka.

Ileila melemparkan pandangan keluar jendela. Rakyat masih menyalakan lilin di sepanjang jalan, tanda berkabung akan kemangkatan Ivern. Pada mulanya, memang agak sukar Ivern memegang tampuk pemerintahan kerana rakyat jelata dan pembesar istana tidak menerima dirinya untuk memerintah Ikhvana. Namun Ivern tetap cekal memenangi hati rakyat, mencipta pelbagai polisi baru yang memberi kebajikan kepada rakyat. Memenangi peperangan, demi peperangan untuk menambah jajahan takluk. Namun kejayaan Ivern tidak disenangi segelintir pembesar dan perwira Istana Dragonblade. Wajah-wajah pembesar di persidangan meja bulat itu direnungnya satu persatu. Ileila harus mengetahui siapakah yang berpotensi untuk berkhianat. Bagaimana kehadiran gerombolan tentera Caldera tidak disedari sehingga saat yang terakhir? Walaupun berat, kesedihan dan penderitaan akibat kehilangan Ivern harus ditolak ke tepi terlebih dahulu. Fikirannya mesti jelas. Idegi masih merupakan ancaman utama Ikhvana. Mantan Raja Inacus dan juga Bonda Ratu Ibella juga berada dalam tawanan Idegi. Idegi mahu Ileila lemah dan akhirnya menurut kehendaknya. Namun Ileila berjanji kepada dirinya sendiri. Dia tidak akan membiarkan Idegi terus-menerus menguasai fikirannya. Dia akan melawan Idegi habis-habisan dan mempertahankan Ikhvana. Juga membalas dendam untuk Ivern.

Perdana Menteri Itacus telah menyiksa Jeneral Izen ketika Ileila gering tidak sedarkan diri kerana dia gagal menjalankan tugas sebagai panglima Ikhvana. Walaupun Ileila tidak bersetuju Itacus mengambil tindakan terburu-buru tanpa keizinannya, namun ia telah berlaku. Ileila mengarahkan Izen dilepaskan. Dalam keadaan genting ini, mereka memerlukan Izen kekal kuat dan gagah mengepalai pasukan tentera Ikhvana. Ileila mengaturkan pertemuan rahsia dengan Izen. Sepanjang hidupnya bersama Ivern, Ivern dilihat lebih mempercayai Izen berbanding dengan pembesar lain. Berulang kali Ivern diselamatkan oleh Izen di medan perang. Tak mungkin Izen berpaling tadah. Ada sesuatu yang tak kena, kata hati Ileila.

Bahagian abdomen Ileila diserang kesakitan yang luar biasa sekali lagi. Ileila menanggalkan mahkotanya lalu meletakkan ia ke meja. Dia hampir rebah namun sempat disambut inang.

“Sakit ini lagi,”gerutu hatinya. Dia mengarahkan inang memanggil tabib istana. Muka inang berubah bagaikan sedang menyimpan satu rahsia penting. Ileila mengerutkan dahinya. Dia memanggil inang lalu memegang bahunya.

“Ada perkara yang kau ingin katakan padaku, Ileza?” Ileza mula menangis. Wajah tuanya basah dengan airmata. Dia memegang kuat tangan Ilela lalu menciumnya. Ileila terpana. Apa yang membuatkan tiba-tiba inangnya yang membesarkan dia sejak kecil menjadi begini?

“Maafkan aku tuanku kerana menyimpan rahsia ini darimu. Ketahuilah, tuanku baru sahaja kehilangan putera sulung tuanku. Ketika tuanku tidak sedarkan diri, tuanku keguguran kandungan yang berusia 8 minggu,”Hinggutan bahu Ileza semakin kuat. Ileila memegang kepalanya.Dia terduduk di hujung katilnya. Dunianya terasa berpinar. Semua ini terlalu sukar untuk Ileila. Bukan sahaja dia kehilangan suaminya, terpaksa memegang tampuk pemerintahan yang tidak diingininya, malah dia kehilangan putera sulungnya, satu-satunya peninggalan Ivern tanpa diketahuinya. Ujian apakah yang cuba diberikan Tuhan kepadanya? Apakah selama ini Ilela tidak pernah taat padaNya? Ileila menangis semahu-mahunya.

Izen terhincut-hincut menghampiri Ilela di dalam sebuah pondok buruk di luar kota. Gelap suasana malam menunjukkan malam menjelang pengakhirannya, namun Ileila tetap segar. Izen yang berusia awal 30-an itu kelihatan lebih tua dari usianya dalam keadaan kusut-masai begitu akibat disiksa dalam penjara. Dia kelihatan amat letih dan berada dalam kesakitan yang amat. Dia berlutut di hadapan Ileila, memohon agar Ileila memeggal kepalanya kerana gagal menjalankan tugas dengan baik. Ileila memegang bahu Izen, menyuruhnya bangun dan duduk disebelahnya. Ileila mempercayai Izen, sebagaimana Ivern mempercayainya.

Izen menerangkan bahawa mereka telah dikhianati orang dalam. Askar-askar bawahannya telah dibayar dengan wang emas yang banyak untuk tidak melaporkan kedatangan Idegi padanya. Ileila terkejut namun jauh di sudut hatinya, dia tahu pasti itulah yang berlaku. Pada mulanya Ileila menyangka Perdana Menterilah yang melakukannya namun disanggah oleh Izen. Dia mengesyaki Temenggung Ines kerana Ivern sendiri mengesyakinya dan mengarahkan Izen memerhatikan Ines yang mempunyai tanah yang begitu luas di bahagian utara Ikhvana warisan ibu bapanya. Ines tidak boleh ditentang secara berdepan kerana itu akan menyebabkan revolusi dan pertumpahan darah. Maka Izen berjanji akan merancang sesuatu untuk Ines juga menangani askar-askar yang belot. Ileila menyetujui rancangan Izen.

“Jadikan aku Fil Marsyal mu, Izen” kata Ileila tiba-tiba. Matanya memandang Izen dengan penuh harapan. Izen mengerutkan dahinya. Ratunya yang manis, pelembut dan penyayang, berdarah raja tetapi berjiwa rakyat, disayangi segenap rakyat jelata ingin menyarungkan zirah besi. Hatinya tidak dapat menerimanya. Dia menolak keras. Dia tidak mahu apa-apa terjadi kepada Ileila. Ini janjinya pada Ivern suatu ketika dahulu. Dia mahu Ileila menyerahkan urusan medan padanya agar keselamatan Ileila terjaga. Ileila berkeras.

“Lihatlah aku sekarang! Apa lagi yang tinggal untukku? Aku kehilangan matahari hidupku, bukan satu tapi kesemuanya. Hidupku gelap bagaikan tanah Antartik ketika solstis musim sejuk. Aku kini sudah separuh nyawa, biarkan jiwaku mati menjadi raksasa. Hidupku takkan tenang selagi tidakku penggal kepala Idegi, dan untuk berhadapan dengan Idegi, aku perlukan kau, Izen. Biarkan aku mengambil tempat Ivern,”kata Ileila, sebak. Suaranya terketar-ketar menahan kepedihan hatinya. Dia tekad untuk mengabdikan hidupnya untuk Ikhvana walaupun hatinya keberatan pada mulanya. Dia hanya mahukan kehidupan yang mudah dan sederhana. “Menjadi puteri mahkota negara bukan perkara mudah dan sederhana,”amaran Ivern ini pernah singgah di telinganya.

“Jika itu kehendakmu, maka bersedialah Ratu Ileila Dragonblade. Aku tidak akan berlembut dengan baginda Tuanku. Tiada berpatah balik atau bertukar fikiran,”kata Izen tegas. Sejak dari itu, hari-hari Ileila dipenuhi dengan latihan fizikal serta taktik peperangan. Walaupun sukar dan payah, kerana seumur hidup Ileila, tidak pernah sekali pun dia menyentuh pedang. Kini Idera milik Ivern menjadi teman Ileila saban hari. Ileila mengeraskan hatinya. Airmatanya dikesat. Izen mengotakan janjinya. Sedikit pun belas kasihan tidak ditunjukkan pada Ileila kerana dia tahu Idegi jauh lebih kejam daripadanya. Tubuh Ileila yang kurus dan lemah sebelum ini, menjadi tegap dan kekar hasil latihan bersama Izen. Jiwanya semakin mengeras. Sinar matanya yang lembut suatu ketika dulu berubah menjadi kosong tanpa emosi, mengeras bagaikan tasik di musim sejuk.

“Mungkin Tuanku patut mempertimbangkan untuk menerima sahaja lamaran Tuanku Idegi. Kedua-dua Tuanku berdarah Dragonblade. Dan kita semua sedia maklum yang kekuatan Ikhvana tidak sebanding dengan Caldera untuk berperang. Cara begini dapat mengelakkan pertumpahan darah dan kemusnahan nyata,” cadang Menteri Pertanian Ibezi suatu ketika persidangan meja bulat. Muka Ileila serta-merta menjadi merah, menahan marah daripada meletus ketika persidangan. Nasihat Ibezi adalah demi kebaikan Ikhvana, barangkali itulah tujuan utama Menteri Ibezi. Ileila meletakkan kedua-dua lengannya diatas meja sambil memandang tepat Menteri Ibezi.

“Sanggupkah Menteri mengahwini orang yang membunuh isteri dan anak Menteri? Juga menghabiskan hidup sepanjang hayat menghadapnya?”tanya Ileila dengan tenang. Ibezi terdiam. Ileila menggeleng perlahan.

Atas arahan Ileila, utusan dihantar kepada semua sekutu dan jajahan takluk Ikhvana secara rahsia. Utusan dikehendaki melalui jalan belantara tebal kerana tentera Caldera berkampung di luar kota, tidak jauh dari tembok besar Ikhvana. Idegi mahu Ileila hidup dalam ketakutan. Mahu bermain dengan emosi Ileila. Dia mahu Ileila tahu yang bila-bila masa saja tentera ini boleh digerakkan untuk memusnahkan Ikhvana. Tembok besar yang menghadangi mereka tidak akan menjadi masalah dengan teknologi perang Caldera yang nyata jauh lebih maju dari Ikhvana. Ketika semua utusan kembali, hanya Venesia yang menghantar sepasukan 100 orang pemanah handal. Renalia sanggup menghantar pasukannya seramai 3000 orang, tetapi jarak antara Renalia dan Ikhvana mengambil masa seminggu dengan berjalan kaki dan lima hari melalui jalan laut. Utusan kedua dihantar kembali ke Renalia. Yang lain, tidak ingin berperang dan bermusuh dengan empayar Caldera yang semakin kuat.

“Lihat wajah kawan dan musuhmu ketika dalam perang, lihat dan ingat wajah-wajah mereka dan pahatlah di hatimu. Dunia sentiasa berputar. Tiada siapa pun akan selamanya berada di atas,” terngiang-ngiang kata-kata Raja Inacus pada Ivern suatu ketika dahulu. Izen dan Itacus memandang wajah Ileila, menanti keputusan yang bakal dibuat oleh Ileila.

“Kita harus gunakan helah. Kita takkan menang dengan berdepan,”kata Ileila, tegas. Dia mengarahkan ahli kimia istana menyediakan racun sentuh yang boleh diletupkan dari jarak yang jauh. Maka bersengkang mata ahli kimia Dragonblade untuk mencipta bahan kimia seperti yang diminta Ileila. Ileila juga mahu tali kapal dikumpul sebanyak mungkin.

Apabila Ileila berpuas hati dengan semua persiapan, Ileila mengarahkan Izen mempersiapkan pasukan tentera pada malam yang sama. Ileila mengambil sedikit waktu untuk bertafakur di hadapan makam Ivern. Pedang Idera dipacakkan dan Ileila berlutut dihadapan makam. Cuaca sejuk awal pagi bulan November sedikit pun tidak membuatkan Ileila merasa gusar. Hari belum menjelang fajar. Dia mengusap batu nisan yang disadur jaluran emas itu. Ileila berjanji pada dirinya. Dia akan menuntut bela akan kematian Ivern dan anaknya, juga menyelamatkan ibu bapanya yang ditawan Idegi.

“Katapult sedia? Letupan sedia?”

Izen mengangguk.

“Pengintip kita sudah pulang?”

Izen mengangguk. “Tiada pergerakan besar. Tugas yang diberikan telah berjalan dengan jayanya,” balas Izen. Walaupun dia kurang setuju dengan cara Ileila mengepalai medan perang, namun dia harus akui taktik yang digunakan adalah Ileila adalah bijak walaupun tidak beretika. “Tiada yang adil dalam peperangan, Izen. Suamiku bersikap adil dan mempercayai etika. Lihat apa yang dilakukan Idegi,”itulah kata Ileila bila Izen mempersoalkan tindakan Ileila.

Pasukan tentera Ikhvana bergerak keluar melalui pintu pagar tembok besar Ikhvana. Laporan pengintip menyatakan bahawa terdapat pergerakan besar angkatan tentera Caldera. Bererti Idegi sedar yang mereka sudah pun bersedia untuk berperang. Ketika pasukan tentera sudah siap berbaris dan bersedia, tentera Caldera baru sahaja sampai dan mula membentuk formasi. Pasukan infantri bergerak ke hadapan, berselang-seli dengan pasukan kavalri.

Dari jauh, kelihatan Idegi sendiri turun dari kudanya dan bergerak menuju ke hadapan medan perang. Izen memandang Ileila. Ileila mula untuk turun dari kudanya tetapi bahunya dipegang Izen. Dia menggeleng perlahan. Ileila menepuk belakang tangan Izen dan menolaknya lembut seolah-olah menyatakan pada Izen yang dia tidak perlu bimbang. Ileila akan menjaga dirinya.

“Ileila yang manis, kau kelihatan luar biasa menyarungkan zirah besi. Apakah kau ingin membunuh diri lebih daripada menjadi ratuku?” tanya Idegi setelah Ileila berdiri di hadapannya. Pandangan Ileila kosong. Tanpa emosi.

“Aku lebih sanggup mati di tanganmu daripada mengkhianati Ivern,”balas Ileila tegas. Idegi tersenyum mengejek. Dia menyarungkan topi besinya.

“Baiklah, Ileila. Jika itu yang kau mahu. Dengar sini perwira Caldera yang hebat! Jangan sesiapa pun berani menyentuh Ratu Ileila. Dia kepunyaanku. Sarungkan topi besimu, Ileila. Aku akan hantar kau berjumpa Ivern dengan segera,”Idegi berpatah kembali ke kudanya.

Ileila memacu kudanya. Dia menghunuskan Idera. Serentak semua perwira infantri Ikhvana menghunuskan pedang mereka. Ileila memacu kudangnya di hadapan barisan infantri lalu melagakan pedang Idera pada pedang kesemua askar infantrinya. Izen memandang mentari. Jika tepat perkiraan Ileila, kemenangan pasti berpihak kepada mereka.

Apabila fajar mula menyingsing, kedengaran jeritan tentera Caldera yang riuh-rendah. Ileila tersenyum. Racun di dalam bekalan air tentera Caldera mula menunjukkan kesannya. Hampir separuh tentera infantri Caldera rebah dengan mulut yang berbuih di hadapan formasi sebelum peperangan bermula. Idegi mula panik. Dia mengarahkan pasukan simpanan berada di hadapan menggantikan askar yang keracunan. Ileila memberi isyarat kepada Izen.

“Katapult!!!” Pasukan katapult Ikhvana bersedia untuk melontarkan bom racun. 4 bom dilancarkan serentak. Meletupnya bom racun sentuh di atas tentera Caldera membunuh mereka serta-merta. Caldera membalas dengan katapult batu. Salah satu catapult Ikhvana rosak. Bom racun dihantar lagi dengan katapult yang masih tinggal. Tujuannya agar kekuatan Caldera dapat dikurangkan sehingga menyamai kekuatan Ikhvana.

Kedengaran tiupan semboyan peperangan Caldera dibunyikan. Ikhvana membalas. Serangan Ikhvana dimulakan dengan hujan panah dari atas tembok besar Ikhvana. Kemudian pasukan infantri bergerak ke hadapan dengan kelajuan maksima dengan perisai keluli di hadapan. Izen dan pembantunya mengawal sayap kiri dan kanan. Apabila hampir kepada jarak yang dirancang, pemanah Venesia melancarkan hujan panah daripada arah timur laut yang dikelilingi hutan tebal serta bukit-bukau. Tentera Caldera mula kelam kabut. Serangan datang dari arah depan dan belakang. Kelihatan Idegi mengatur semula kedudukan. Kesemua tentera simpanannya dikerah kehadapan. Kasualti Ikhvana juga tidak kurang jumlahnya. Hampir ¼ infantri Ikhvana sudah tewas. Jumlah tentera mereka kecil berbanding Caldera. Ini amat membimbangkan Ileila. Ileila memandang Izen dan pembantunya. Sayap kiri dan kanan Ikhvana masih bertahan.

Apabila kavalri Caldera hampir 30 langkah daripada formasi utama Ikhvana, jerat tali kapal diangkat. Maka rebahlah kuda-kuda pasukan kavalri hadapan Caldera, memberi ruang untuk infantri Ikhvana terus ke hadapan dengan gagah.

Ileila bersedia untuk bergerak kehadapan. Barisan infantri serta kavalri yang melindunginya sudah bergerak. Ileila berdoa dalam hatinya agar semua rancangannya berjalan lancar. Ileila membaca pergerakan peperangan. Kini kekuatan ketenteraan kedua-dua pasukan adalah hampir sama. Mungkin ada sedikit kelebihan pada Ikhvana. Dia berharap agar telahannya benar.

“Tuanku!”pengawal peribadinya memberi isyarat kepada Ileila untuk bergerak. Inilah masanya, Ileila. Ileila menarik nafas panjang. Dia memacu kudanya laju ke hadapan. Dia menjeling kiri kanannya. Izen berjaya mematahkan sayap kiri Caldera lalu menghimpit tentera Caldera. Dia tersenyum. Dia memacu kudanya terus kepada Idegi. Dia melibaskan Ideranya ke kiri dan kanan, membunuh soldadu yang menghalangi jalannya.

Terdengar tiupan semboyan peperangan yang panjang dari arah barat laut Ikhvana. Dari arah pantai. Bantuan telah tiba. Tentera Renalia seramai 3000 orang yang dijanjikan telah tiba, tepat pada masanya. Kedengaran jeritan semangat tentera Renalia menghampiri medan perang. Tentera Caldera semakin panik. Sayap kanan Caldera pula dipatahkan oleh pembantu Izen lalu mereka menghimpit ganas tentera infantri Caldera. Pemanah Venesia menghujankan gelombang panah sekali lagi sebelum sayap kanan Ikhvana terus menghimpit dan membentuk separuh bulatan. Apabila tentera Renalia menghampiri medan perang, Caldera sudah pun lumpuh, dikepung oleh gerombolan tentera yang dikepalai oleh Ileila.

Ileila menghampiri kepungan itu. Dia turun dari kuda. Pasukan infantri Ikhvana membuka laluan kepada Ileila untuk ke tengah bulatan kepungan. Bertemu empat mata dengan Idegi. Idera yang tersisip dipinggang dikeluarkan dari sarungnya. Hatinya penuh dendam kesumat. Idegi juga turun dari kuda, menghunuskan pedang Calder miliknya.

“Aku harus katakan, yang selama ini menjadi kesilapanku kerana memandang rendah kepada kebolehanmu,”kata Idegi sambil melepaskan tawa kecil. Tawanya bergetar. Ileila hanya berdiam diri. Dia membuka topi besinya lalu melemparkan ia ke tanah. Rambut merah kecoklatan yang dijalin rapat di tarik ke belakang.

“Jadi kau mahu perhitungan? Kau pasti kau mampu kalahkan aku, Ileila?”

Ileila hanya mendiamkan diri, memasang kuda-kuda lalu menghunus Idera di hadapan wajahnya.

Idegi membuka topi besinya. Idegi lebih tinggi dan besar sekali ganda daripadanya. Ileila harus bijak bermain dengan jarak. Ileila membuka langkah menyerang penanti kanan Idegi. Idegi mengelak lalu menendang belakang Ileila. Ileila terdorong ke hadapan. Dia berpatah kembali. Idegi tersenyum mengejek sambil memusingkan kepalanya.

Izen resah melihat keadaan Ileila. Dia tidak pasti apakah Ileila mampu mengalahkan Idegi yang begitu berpengalaman dalam medan perang dan pertarungan duel. Fikiran Ileila juga tidak stabil. Dia terlampau didorong oleh dendam, yang bakal mengaburi langkah pertarungan. Mereka tidak boleh kehilangan ratu juga.

Ileila kembali pada kedudukannya. Dia menanti Idegi menyerang kali ini. Idegi mengacah Ileila dua tiga kali. Seolah-olah memperkecilkan kebolehan Ileila. Ileila tetap sabar. Menanti masa yang tepat untuk menyerang. Akhirnya Idegi menghayunkan Caldernya melintangi dada Ileila, Ileila mengelak. Dia terjatuh kebelakang disebabkan oleh berat zirah besinya. Idera terlepas dari tangan Ileila. Izen terpempan. Idegi meluru ke arah Ileila. Ileila menggengam pasir lalu dilemparkan ke wajah Idegi. Idegi menjerit lalu mengesat pasir yang memasuki matanya. Dengan pantas, Ileila mencapai Ideranya lalu bangun menuju ke arah Idegi. Idegi menghayunkan Calder ke hadapan wajahnya lalu bertembung dengan Idera Ileila. Ileila menahan tolakan Calder Idegi sekuat hatinya. Dia tahu kudratnya takkan mampu menahan tekanan itu. Dia mengetap bibirnya lalu terus bertahan. Idegi menyiku dada Ileila. Ileila menjerit kesakitan. Zirah besinya berlekuk menekan dada Ileila. Ileila tahu dia berada dalam kedudukan yang tepat untuk melancarkan serangan tanpa senjata jarak dekat. Ileila berpusing lalu mencapai bahu kiri Idegi, mengepit tangan kiri Idegi menggunakan kedua-dua belah kakinya. Ideranya dilepaskan lalu dia menghayunkan badannya yang ringan melingkari kepala Idegi lalu memusingkan kepala Idegi menggunakan kedua-dua belah tangannya sekuat hati. Kedengaran derap kepatahan tulang begitu jelas sekali. Ileila telah mematahkan leher Idegi. Calder terlepas dari tangan Idegi. Lalu badan tanpa nyawa Idegi rebah ke belakang lalu menghempap tubuh Ileila yang masih berpaut pada leher Idegi. Ileila terpaksa menahan berat tubuh Idegi namun dia lega. Kesombongan Idegi akhirnya memakan diri. Ivern, aku telah membalas dendam untukmu.

Izen berlari ke arah Ileila. Dia mengalihkan tubuh kaku Idegi daripada tubuh Ileila lalu membantu Ileila berdiri. Ileila bangun, membetulkan kedudukan zirah besinya. Askar Ikhvana, pemanah Venesia dan juga gerombolan tentera Renalia bersorak dengan kejayaan Ileila. Ileila mencapai Ideranya. Dia menjulang Idera ke udara, tanda kemenangan Ikhvana. Serentak dengan itu semboyan perang ketiga-tiga buah negara dibunyikan tiga kali sebagai lambang kemenangan.

Izen mengangkat tangan kiri Ileila ke udara.

“Dirgahayu Ratu Ileila Dragonblade!”

Serentak dengan itu, semua askar termasuklah askar Caldera tunduk hormat kepada Ileila. Ileila tidak dapat menggambarkan perasaannya. Sesungguhnya sepanjang hidupnya, dia tidak pernah mengimpikan untuk menjadi ratu, apatah lagi menjadi Fil Marsyal medan perang untuk Ikhvana. Barangkali memang benar, Ileila tidak ditakdirkan untuk hidup mudah dan sederhana seperti yang diimpikannya, sebaliknya dia akan menjalani kehidupan yang hebat sebagai Ratu Ikhvana, terus mengharumkan nama keturunan Dragonblade sebagai pemerintah ulung di Hemisfera Utara.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s