HEL (CI)

Hel termengah-mengah. Peluh dirasakan mengalir di seluruh tubuhnya. Walaupun cuaca sejuk mengigit kulitnya, dia tetap berlari dengan pantasnya tanpa menghiraukan keletihannya. Dia terdengar tapak kaki Gokse yang laju menuruti jejaknya. Hel ketawa sambil berlari. Si bodoh Gokse, badannya sahaja yang besar, namun lemah dan lambat macam anak gadis, kata hati kecil Hel.

“Tunggu Hel!” jerit Gokse, lalu berhenti dan menunduk. Dia cuba menarik nafas dalam.

“Jangan fikir aku bodoh, Gokse. Nama aku Hel, bapaku namakan sempena dewi dunia kematian. Tiada belas kasihan dariku,” kata Hel sambil terus berlari di celah pepohon pine.

Gokse mengerutkan dahinya. Bagaimana ada seorang gadis yang bangga dinamakan sempena anak perempuan Loki yang kejam dan tiada belas kasihan itu? Gokse pasti yang Hel memang ada masalah otak. Dia terus membuka langkah kembali agar dia dapat melepasi Hel dari hutan pine ini. Jika tidak, dia terpaksa membasuh kandang kuda Hel selama tujuh hari. Dia sudah bertaruh dengan Hel.

Hel adalah anak Bjarke. Salah seorang penjarah Viking terkenal di Oseberg. Kawasan ini dibuka oleh Bjarke 20 tahun dahulu. Gokse menjadi teman Hel untuk berlatih pedang dan memanah seperti yang diarahkan oleh Bjarke sendiri. Namun Hel mempunyai kekuatan luar biasa. Wajahnya juga berbeza daripada gadis Viking yang lain. Bjarke tidak mempunyai anak lelaki. Maka suatu hari nanti, gerombolan penjarah di bawah seliaan Bjarke akan menjadi milik Hel. Hel telah kematian ibu sejak dia berusia 6 tahun. Ketika dia berusia 8 tahun, Gokse yang ketika itu berusia 12 tahun ditugaskan untuk menjadi teman Hel sehingga kini. Bjarke sering sibuk dengan tugasannya sebagai pentadbir, maka atas kepercayaan Bjarke terhadap ayah Gokse, Asmund, Gokse diberi tugasan untuk menjaga Hel. Sejak dari itu, Hel mengikuti ke mana sahaja Gokse pergi.

“Hel!!” kedengaran jeritan Bjarke berkumandang di hutan pine itu. Burung-burung yang sedang berehat di atas pokok fir turut bertebangan kerana terperanjat dengan jeritan Bjarke. Jeritan yang sebegitu kuat laksana beruang. Sepadanlah dengan namanya. Hel berlari keluar dari hutan pine terus ke kampung. Gokse menghampiri Hel. Dia tidak tersenyum. Dia sedar yang dia sudah kalah dengan pertaruhannya.

“Cepat. Kita ada thing selepas ini,”kata Bjarke sambil berjalan tenang menuju ke tengah kampung. Kelihatan orang ramai sudah berkumpul dikawasan lapang yang dilengkapi dengan pentas kecil dan kerusi untuk Bjarke duduk. Di sebelahnya ada kerusi kecil milik Hel.

“Apa masalahnya Barder?” Kata Bjarke setelah duduk di kerusi yang dikhaskan untuknya. Hel hanya diam. Memerhatikan dan mempelajari setiap gerak geri bapanya.

“Colborn telah membunuh bapaku,”kata Barder dalam keadaan marah sambil menyeringai ke arah Colborn yang telah menjadi jirannya setelah sekian lama. Colborn yang berusia hampir separuh abad itu hanya menggeleng. Barder menceritakan bahawa 2 hari lepas, Colborn dan bapanya telah bertelingkah berkenaan dengan sempadan tanah mereka berdua. Lalu pada pagi ini, ketika Barder mahu mengerjakan ladang, dia singgah ke rumah bapanya dan melihat bapanya terbaring dalam keadaan terlungkup dan berlumuran darah. Bapanya telah meninggal dunia ketika dia sampai. Colborn tidak mengaku bersalah namun dia tidak mempunyai alibi atau saksi untuk mengatakan dia tidak membunuh bapa Barder. Dengan itu, Bjarke memutuskan bahawa Colborn bersalah. Dia dihukum pancung.

Colborn kelihatan tenang. Sebagai seorang Viking, kehormatan adalah segala-galanya. Dia tidak merayu mahupun menangis mendengar keputusan itu. Dua orang lelaki menghampiri Colborn, mengikat tangannya lalu membawa di ke tengah-tengah kawasan lapang itu. Colborn disuruh duduk berlutut menghadap Bjarke. Algojo telah menghunuskan kapaknya. Hel memejamkan matanya lalu menunduk. Bjarke memegang belakang kepala Hel, lalu ditegakkannya agar Hel terus memandang ke hadapan.

“Buka matamu dan lihat,”kata Bjarke, tegas. Perlahan Hel membuka matanya. Colborn dengan tenang memandang Bjarke. Kepala ditegakkan. Hel melihat bilah kapak yang tajam itu dihayun laju lalu mengenai belakang leher Colborn lalu memisahkan kepala dari badan Colborn. Darah segar yang pekat memancut keluar dari batang leher Colborn, serentak dengan itu tubuh Colborn rebah ke bumi. Inilah pertama kali Hel menyaksikan hukuman pancung. Pada mulanya, Hel merasa pening melihat darah yang banyak itu. Setelah beberapa kali menghadiri thing, Hel tidak terasa ngeri lagi melihat darah. Malah Hel kini menjadi semakin berani, sehingga ada satu dua kali Bjarke membiarkan Hel membuat keputusan dalam thing.

Pertama kali Hel menyertai ekspedisi ketika dia berusia 13 tahun. Asmund yang setelah sekian lama menjadi pembantu Bjarke merasakan mungkin Hel masih muda untuk menyertai ekspedisi namun tidak bagi Bjarke. Dia sangat yakin kemampuan Hel untuk menjadi penjarah yang baik. Gokse akan berada di samping Hel. Bjarke tidak risau. Hel amat gembira sekali mengetahui yang dia akan mengikuti bapanya menjarah kawasan barat. Dia ada menempa topi besi, baju chainmail dan perisai dengan Einer, si tukang besi. Tahun itu sudah menjadi kali kelima bagi Gokse menyertai penjarahan sebagai lith dan dia akan mengikuti Gokse.

Hel duduk menghadap air terjun yang indah itu lalu menggengam kedua-dua belah tangannya dan memejamkan matanya. Bunyi aliran air terjun menenangkan hati Hel.

“Tyr, aku pohon kau berikan aku kekuatan untuk menjarah. Aku ingin menjadi seperti bapaku. Seandainya aku mati, biarkan aku mati dalam keadaan terhormat. Hantarlah aku ke Valhalla,”kata Hel perlahan, berdoa kepada Tyr, dewa perang.

“Aku Valkyrie, peganglah tanganku, akan segera aku hantar kau ke Valhalla,” terdengar suara berbisik di telinga Hel. Dahi Hel berkerut. Perlahan dia membuka sebelah matanya.

“Celaka kau!”tukas Hel. Gokse tertawa terbahak-bahak. Hel menolak Gokse jatuh terbaring ke tanah lalu duduk di atas perut Gokse. Dia mengeluarkan pisau kecil dari but kulitnya lalu meletakkan ia ke leher Gokse.

“Biar aku hantar kau berjumpa Dewi Hel.” Gokse menarik tangan Hel sehingga pisau itu menyentuh bawah dagunya. Matanya tepat memandang Hel.

“Jika kau sendiri yang menghantar aku berjumpa Dewi Hel, aku sanggup.” Mata Hel meredup. Tangannya diturunkan.

“Tak kelakarlah,”kata Hel lalu bangun. Dia melurutkan rambut panjangnya berwarna keemasan dan dijalin rapat ke belakang. Pisau disimpan kembali ke dalam but kulitnya. Gokse tersenyum lalu bangun dan menyapu punggungnya yang dipenuhi pasir.

“Penjarahan pertama ya? Jadi apa perasaanmu?”

“Kau tahu, Gokse. Kau tahu,”

Gokse memegang tangan Hel, erat. Hel tersenyum memandang Gokse. Mereka telah berjanji untuk bersama-sama menawan dunia melalui penjarahan. Mereka telah berjanji untuk menjadi pasangan Vikings yang digeruni.

“Vikings, Vikings!!!Lari selamatkan diri kamu!!!”

Kampung kecil di tepian pantai itu bertukar menjadi kelam-kabut. Terdengar jeritan di sana-sini. Viking yang ganas terus menjarah kampung itu tanpa belas kasihan. Semua barang berharga dirampas. Setelah Viking menjarah sebuah rumah, rumah tersebut akan dibakar. Kerana itu setiap kali Vikings melanggar kawasan, kawasan itu akan menjadi padang jarak, padang terkukur. Menjadikan ramai yang membenci mereka. Vikings terkenal dengan perilaku yang ganas tanpa belas kasihan, serta langsung tidak mempunyai adab.

Hel mengambil keputusan untuk menjarah gereja. Menurut bapanya, gerejalah yang mempunyai paling banyak harta. Hel memecahkan pagar gereja menggunakan kapak besi yang dibawanya lalu masuk ke dalam gereja. Gokse mengikuti belakang Hel.

Hel masuk ke dalam gereja lalu mencari peti harta yang disembunyikan oleh paderi. Seorang paderi meluru ke arah Hel lalu menghunuskan pedang. Hel mencabut pedang keluar dari sarungnya lalu bersedia untuk menentang paderi itu. Paderi itu menghayunkan pedang ke arah Hel, lalu Hel mengelak lalu melompat ke kiri paderi itu dan menghayunkan pedangnya mengenai bahu paderi itu. Dia menjerit kesakitan. Darah segar mula membasahi jubah putih paderi itu. Hel mengambil peluang ini untuk menusukkan pedangnya ke dada paderi tersebut. Paderi itu menjerit kuat buat kali terakhir. Darah memancut ke wajah Hel. Terasa masin darah paderi itu di bibirnya.

Hel mengesat darah di bibirnya menggunakan belakang tangan kanannya. Begini rasanya membunuh. Perasaan hitam perlahan-lahan menyelubungi jiwa Hel. Bagaikan dirasuk hantu, Hel mula memenggal kepala semua paderi yang ketakutan di dalam gereja itu. Jubah mereka ditarik kasar lalu pedangnya menyelar leher paderi-paderi itu satu persatu. Chainmail Hel bagaikan disimbah darah segar. Rantai salib emas yang tergantung di leher paderi-paderi itu ditarik dan dimasukkan ke dalam poketnya.

“Makan, jika kau tidak mahu dimakan,” itu pesan bapanya.

Gokse terkejut melihat kelakuan Hel yang berubah menjadi raksasa yang dahagakan darah dihadapannya. Ketika Hel bersedia untuk memenggal kepala paderi yang terakhir, Gokse memegang lengan Hel.

“Kau tidak perlu membunuh mereka semua. Kita datang untuk harta mereka,”

Hel memandang wajah Gokse seketika. Di mata Hel, Gokse dapat melihat kemanusiaan telah hilang. Memang sepanjang usia kanak-kanak Hel, dia diasuh untuk menjadi Viking yang hebat. Namun entah kenapa Gokse merasa menyesal melihat Hel menjadi sebegitu rupa. Hel menolak tangan Gokse lalu terus memenggal kepala paderi yang terakhir.

Sejak dari hari itu, Hel terkenal sebagai penjarah wanita yang sangat ganas. Dia akan membunuh sesiapa sahaja yang menghalangnya. Orang tua, wanita, dan kanak-kanak juga tidak terlepas daripada pedangnya. Atas keberanian Hel, maka dia disanjungi oleh Vikings di kawasannya.

Gokse menjauhkan dirinya dari Hel. Hel kini, bukanlah Hel yang dia kenali. Hel kini bagaikan jelmaan dewi Hel di atas bumi. Gokse mengambil keputusan untuk tidak lagi menjadi seorang lith, sebaliknya dia hanya mahu menjadi petani biasa. Keputusan Gokse amat menyakitkan hati Hel. Nak tawan dunia konon, kata hati Hel. Akhirnya Hel dilantik menjadi ketua penjarah. Bjarke dibiarkan bersara.

Hel mengambil keputusan untuk menjarah England pada tahun itu. Hel telah mengarahkan agar kapal perang panjang yang dibina dengan lebih kuat dan panjang. Kemungkinan mereka akan tinggal di sana buat sementara waktu.Untuk menjarah lebih jauh ke dalam kawasan Inggeris. Hel membayangkan kekayaan berganda. Dia terdengar terdapat banyak gereja besar di sana. Penduduk England memang taatkan Tuhan yang lemah-lembut, yang mati disalib, untuk menyelamatkan jiwa penganutnya. Konsep apa itu? Hel hanya tertawa sendirian.

Apabila kapal perangnya mendarat di perairan England, penduduk di situ menentang gerombolan Hel habis-habisan. Panah menghujani mereka ketika mereka memijak pasir pantai. Malah kaum wanita Inggeris juga turut menghunus pedang mempertahankan tanahair mereka dari dijarah. Mereka tidak pernah menentang begini. Mereka mesti diajar agar takut dengan Vikings. Hel mengarahkan pasukannya membakar semua rumah di kampung itu. Cari siapa ketua kampung agar Hel dapat memenggal kepalanya di hadapan semua penduduk kampung sebagai pengajaran.

Eigil datang sambil menolak seorang lelaki Inggeris yang berusia awal 30an kepadanya. Bajunya dibasahi darah. Hidungnya barangkali sudah patah dipukul oleh Vikings yang lain. Dia berjalan terhencut-hencut ditolak Eigil agar berhadapan dengan Hel. Penduduk kampung itu berhenti melawan apabila melihat lelaki itu ditolak dihadapan Hel. Wajah mereka kelihatan takut dan risau.

“Kau ketua kampung? Kamu berani melawan ya!”Hel menggenggam rambut lelaki itu lalu didongakkan untuk memandang wajahnya. Lelaki itu tidak berkata apa-apa. Hel menolak tubuh lelaki itu ke tanah.

“Bawakan aku kapak!”

Seorang wanita dan kanak-kanak lelaki meluru ke kaki Hel agar ketua kampung itu dilepaskan. Barangkali anak dan isterinya. Hel hanya memandang sejenak tanpa sebarang emosi pada mereka. Dia mengarahkan Vikings yang lain menarik wanita dan kanak-kanak itu dari kakinya. Gerombolan Vikings itu hanya tertawa terbahak-bahak melihat keadaan wanita itu yang hampir separuh gila merayu pada Hel.

“Tegakkan dia!”

Jeritan wanita itu semakin menggila. Kanak-kanak itu turut menangis bersama ibunya. Ketika Hel sedia menghayunkan kapak, dia ternampak tanda lahir yang besar di lengan lelaki itu. Tanda lahir itu amat dikenalinya. Serentak dengan itu pandangannya gelap seketika ketika memori bertubi-tubi menerjah ke ruang mindanya.

Dia dan lelaki itu dalam versi remaja pergi memancing karp di sungai.

Lelaki itu menggendong Hel di belakangnya. Mereka tertawa riang.

Jamuan Krismas bersama ibu bapa mereka yang disertai dengan kegirangan dan makanan yang pelbagai.

Nyanyian hymn di gereja bersama-sama. Mereka saling berpandangan di hadapan patung Jesus sambil tersenyum.

Kebakaran kampung.

Jeritan ibunya yang sayu.

Vikings memenggal kepala ibu bapanya.

Bjarke mendukung Hel lalu membawa dia pergi ketika dia sedang memeluk lelaki itu. Lelaki itu masih menggenggam tangannya ketika dia dibawa pergi, malah menangkap kaki Bjarke apabila dia melangkah. Bjarke menendangnya kuat lalu dia terpelanting dan jatuh, lalu diam tidak bergerak.

“Arthur!!!!!!!!!!!”

Hel membuka matanya. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya, cuba menghilangkan kenangan yang memeningkan kepalanya.

“Arthur?”

Lelaki itu terpinga-pinga. Dia memandang wajah Hel lama sekali. Seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Dia masih ingat akan rambut yang cantik keemasan milik gadis di hadapannya itu.

“Mary?”

“Namaku Hel,”

“Tidak. Kau, kami namakan Mary sempena Mary Si Perawan, adikku,”

Kapak itu terlepas dari tangan Hel. Dia berpaling kepada kakak ipar dan anak saudaranya. Air mata dan ketakutan itu mula menyentuh hatinya. Dia hampir membunuh abang kandungnya sendiri. Selama ini, ketika dia membunuh, tidak pernah sekalipun dia membayangkan kehidupan manusia yang dibunuhnya. Mereka tidak pernah dianggap sebagai manusia. Yang punya keluarga. Adik seseorang. Ayah ibu seseorang. Kakak, abang, datuk, nenek…dan kesemua wajah manusia yang telah dibunuhnya berpusu-pusu kembali ke mindanya. Rayuan mereka. Jeritan mereka. Sinar mata mereka yang meredup ketika nyawa berpisah dari badan. Hel terasa bagaikan mahu menusuk pedang ke jantungnya sendiri.

Hel berlari masuk ke dalam rumahnya dengan menghunuskan pedang di tangannya. Kelihatan Bjarke sedang berehat di hadapan unggun api. Mendengarkan bunyi tapak kaki Hel, Bjarke bangkit. Bjarke terkejut melihat Hel sudah pulang. Namun dia tidak mengerti kemarahan yang sedang menyala pada wajah Hel.

“Kau sudah pulang anakku,”

“Aku bukan anakmu!” jerit Hel. Bjarke terkesima. Dosa lama kembali berputar di kepalanya. Bukannya dia tidak kesalinya. Isterinya, Alva sangat berkeinginan mempunyai seorang anak perempuan. Alva mandul tetapi Bjarke amat menyayanginya. Lalu ketika dia menjarah England, wajah comel kanak-kanak perempuan itu membuatkan dia teringatkan Alva. Ibu bapa kanak-kanak itu dibunuh dan dia mengambil anak itu dan dinamakan Hel. Hel dipelihara dengan penuh kasih sayang dan dididik dengan penuh cinta oleh isterinya. Namun Bjarke tidak begitu. Apabila Alva meninggal dunia, Bjarke kehilangan arah dalam mendidik Hel.

“Apakah kau mahu membunuhku, Hel?”

“Kau ambil aku dari keluargaku. Kau bunuh ibu bapaku. Kau jadikan aku syaitan bertopengkan manusia di muka bumi. Tidakkah layak kau aku hantar berjumpa Hel?”

Bjarke tersenyum sumbing.

“Itu pilihan kau sendiri, Hel. Aku tidak pernah memaksa kau menjadi penjarah sepertiku,”kata Bjarke bersahaja. Mata Hel membuntang. Dia meletakkan pedangnya di leher Bjarke. Bjarke tenang.

“Aku bersedia. Aku sudah tua. Sudah tiada apa lagi untukku di dunia ini,”Bjarke memejamkan matanya. Hel menahan kemarahan yang membuak-buak di dadanya. Apakah dengan membunuh Bjarke, ibu bapanya dapat dikembalikan? Apakah dia akan memperoleh kembali tahun-tahun kehidupannya yang sudah hilang? Bukankah Bjarke telah membesarkan dia dengan penuh kasih sayang, meskipun Hel bukan anak kandungnya? Walaupun dia dibesarkan dengan cara Viking, bukan cara Inggeris.

“Argghh!!!!” Hel melepaskan pedang di tangannya. Dia buntu. Bjarke membuka matanya perlahan dan menarik nafas lega.

“Aku takkan lakukan kesilapan yang sama sepertimu, Bjarke. Aku, akan membetulkan kesalahan ini,”kata Hel sambil memandang tepat ke wajah Bjarke. Air muka Bjarke berubah. Dia terus menunduk.

Ketika semua Vikings telah berkumpul di hadapannya, Hel berdiri di atas pentas kecil itu. Dia memandang sekilas pada semua wajah yang ganas dan gasar itu.

“Saudaraku, aku membesar bersama kamu. Aku hanya mempunyai hasrat yang baik untuk kamu semua. Aku telah memikirkan sedalam-dalamnya perkara ini,” Hel terdiam sebentar. Kedengaran suara berbisik antara satu sama lain.

“Aku ingin sarankan agar kita semua berhenti menjarah,”

Terdengar dengusan amarah datang dari kumpulan manusia itu. Ada yang meludah. Ada yang mengejek dan merungut. Hel tidak memperdulikan semua itu.

“Berapa ramai anak-anak kita kehilangan bapa mereka? Berapa ramai isteri yang kehilangan suami mereka? Apakah ini yang benar-benar kau mahu? Aku tahu, Vikings hidup dengan penuh kehormatan. Kematian adalah satu penghormatan. Apakah kehormatan dapat membantu menyuapkan makanan ke mulut anakmu selepas kau tiada?”

Bisikan masih kedengaran. Kali ini lebih perlahan. Kesemuanya bagaikan berfikir sesuatu.

“Kita semua adalah artisan yang baik. Ramai diantara kita yang handal menempa pedang dan perkakas. Ada diantara kita yang menghasilkan hasil ladang yang bagus. Isteri-isteri kita juga handal membuat pakaian dan barang kemas. Aku ingin mencadangkan agar ekspedisi seterusnya, kita berdagang. Menjual peralatan kita yang bagus di barat dan timur. Kita akan kembali dengan membawa kekayaan untuk anak isteri kita. Apa katamu?”

“Siapa yang mahu berdagang dengan kita? Melihat kita sahaja mereka sudah berlari tidak menjejak bumi,” kata seorang Viking yang lebih tua. Viking yang lain turut mengangguk-angguk tanda setuju. Hel tersenyum. Dia berpusing ke belakang lalu menggamit seseorang. Seorang paderi berbaju putih berjalan perlahan-lahan sambil memandang curiga kepada semua Vikings yang sedang memandangnya. Di matanya jelas dengan sinar ketakutan. Dia memeluk bahu paderi itu.

“Hal itu juga telah aku fikirkan. Kita akan mewujudkan persaudaraan dengan bangsa lain di Eropah ini melalui agama. Ini paderi Nicholas. Dia akan membantu kita semua mengenali Jesus dan mewujudkan persaudaraan Kristian dengan bangsa lain. Dengan cara inilah Vikings akan menawan dunia. Bagaimana?”

Kedengaran lagi bisikan sesama mereka. Mereka memandang Paderi Nicholas dan kembali berbicara sesama sendiri.

“Kau mahu kami tinggalkan Thor dan Odin?”

“Terpulang padamu. Kamu boleh membawa Thor dan Odin bersamamu. Tidak menjadi masalah. Kamu Vikings. Thor dan Odin telah menjadi sebahagian daripada dirimu. Bagaimana harus kau tinggalkan mereka? Aku cuma mahu kamu tinggalkan sedikit ruang untuk Jesus agar mudah untuk kita berdagang,” kata Hel dengan yakin.

Mereka berbisik kemudiannya mengangguk-angguk. Ada yang membantah dan berdebat sesama mereka. Akhirnya mereka bersepakat. Mula terdengar sorakan demi sorakan untuk Hel. 4 orang Vikings muda naik ke pentas lalu menggangkat Hel. Hel dilemparkan ke udara berulangkali.

Mungkinkah inilah permulaan baru untuk Vikings?

Dari lautan manusia itu, Gokse memandang Hel sambil tersenyum. Hel berpaling kepada Gokse lalu membalas senyuman. Mereka akan kembali menawan dunia bersama. Dengan cara yang berbeza.

Foto Kredit : Vikings, History Channel

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s