SENJA DI BUMI RAKHINE (CF)

Phyu terkindap-kindap di sebalik pokok memerhatikan budak lelaki yang berkulit gelap itu yang sedang berehat di bawah pokok lain tidak jauh dari tempat dia berdiri. Dia mungkin lebih tua, setahun dua darinya. Dia nampak letih, penat dan mengantuk. Seketika kemudian, dia menangis sambil memegang perutnya, tak lama kemudian dia terus tertidur. Barangkali budak lelaki itu kelaparan, kata hati Phyu. Phyu berlari pulang ke rumahnya. Dia membuka peti ais dan kabinet rumahnya, kalau-kalau ada makanan yang disimpan oleh ibubapanya.

“Apa yang kau cari, Phyu?”tanya ibunya yang sangsi melihat kelakuan Phyu. Phyu tersentak.

“Lapar. Ada makanan tak, ibu?”

“Bukan kau sudah makan tengah hari tadi?” tanya ibunya sambil membuka kabinet dapur atas yang berdekatan dengan siling. Phyu hanya tersengih seperti kerang busuk. Ibunya memberikan sepeket biskut kepadanya. Dengan pantas, dia mengambil peket biskut dan mencapai botol air sekolahnya di atas meja lalu terus berlari meninggalkan rumahnya. Ibunya hanya menggeleng.

“Jangan kau hampiri budak hitam Bengali itu. Mereka jahat,”pesan ibunya pada suatu ketika. Phyu memperlahankan langkahnya secara tiba-tiba. Phyu terhenti separuh jalan. Dia berbelah bahagi sama ada untuk meneruskan perjalanannya memberi paket biskut kepada budak lelaki itu. Tapi dia tak nampak jahat, dia nampak lapar…kata Phyu dalam hati. Phyu mempersetankan pesanan ibunya lalu terus berlari ke tempat dia ternampak budak lelaki itu. Dia masih tidur. Phyu perlahan-lahan meletakkan paket biskut dan botol air di tepi kepala budak lelaki itu lalu dia bersembunyi di sebalik pokok tadi.

Barangkali terganggu dengan derap tapak kaki Phyu, budak lelaki itu terbangun. Dia sangat terkejut melihat paket biskut dan air di tepi kepalanya, lalu dengan gopohnya dia membuka plastik biskut itu. Dia makan dengan cepat sampai tersedak, lalu dicapainya air untuk diminum. Benarlah dia lapar, kata hati Phyu. Dia sangat kasihan melihat budak lelaki ini. Pastinya dia sudah beberapa hari tidak makan. Phyu tidak pernah nampak dia sebelum ini. Mungkin dia dari setinggan Aung Mingalar, entah bagaimana dia dapat keluar dari kawalan ketat tentera dan polis di kawasan itu, Phyu tidak tahu. Selepas makan, budak lelaki itu menangis dan bersujud ke tanah.

Keesokannya, Phyu ke tempat yang sama lagi. Memerhatikan kalau-kalau budak lelaki itu kembali ke situ lagi. Dia ada membeli sedikit nasi dan ikan goreng yang dibungkusnya dari gerai menggunakan duit sekolahnya. Dia ternampak budak lelaki itu tidur lagi di situ. Perlahan-lahan dia meletakkan nasi itu di tepi kepala budak lelaki itu, dan mahu berlalu tetapi tiba-tiba kakinya dipegang. Budak lelaki itu memandangnya dan membuahkan perkataan ‘terima kasih’ di bibirnya. Phyu hanya mengangguk dan terus berlalu. Dia sama sekali tak mahu dilihat bersama budak itu atau menarik apa-apa perhatian terhadap budak itu.

Penganut Buddha Sittwe memang tidak berkenan dengan penganut Islam Bengali atau bahasa rasisnya kalar atau juga mereka dipanggil Rohingya. Kata bapa Phyu, mereka bukan orang Myanmar, maka mereka tidak sepatutnya duduk di Myanmar. Suatu ketika, ketika berperang dengan British, Rohingya dikatakan telah memusnahkan kuil, rumah dan sekolah penganut Buddha, kata bapanya. Maka dengan itu, mereka amat benci dengan pendatang ini. Kata U Wirathu, sami yang terkenal itu, sebagaimana datangnya mereka suatu ketika dulu, perkara yang sama akan berlaku pada masa hadapan di mana Bengali ini akan mengambil rumah, perempuan dan kuil penganut agama Buddha.

Phyu tidak pasti akan semua ini. Jika benar, itulah sejarahnya, bukankah kesalahan itu, kesalahan nenek moyang Muslim Bengali yang tidak ada kena-mengena dengan budak ini. Yang dia tahu, budak hitam ini juga manusia. Kalau lapar, patut diberi makan. Ketika dia belajar di kyaungs, sami ada membacakan Karaniya Metta Sutta yang berbunyi,’Jangan karena marah dan benci, mengharapkan orang lain celaka’.Memang aneh sekali apa yang terjadi di sini.

Begitulah hampir setiap hari, Phyu akan ke situ bertemu Fayaz, budak lelaki itu. Setelah ditegur ibunya yang sangsi dengan kelakuan Phyu, Phyu terpaksa mengehadkan perjumpaannya dengan Fayaz. Terkadang dia membawa buku kerana Fayaz ingin sekali belajar. Di Aung Mingalar, dia hanya mengaji Al Quran. Sekolah tak ada. Makan pun setiap hari dibawa oleh trak askar, itu pun hanya 16 auns nasi seorang untuk satu hari. Kalau sakit pun, boleh pergi klinik sahaja, tak boleh pergi hospital. Kalau menghidap penyakit kronik, maka hanya mampu berdoa, kata Fayaz. Phyu amat sedih sekali. Gautama Buddha terkenal dengan kebaikan hatinya, bagaimana pengikutnya mampu melayan manusia lain begini?

Persahabatan ini berlanjutan sehingga remaja. Terkadang mereka curi-curi jumpa di klinik, ketika Fayaz menemani bapanya yang menghidap darah tinggi untuk mendapatkan rawatan di klinik di kawasan bandar Sittwe. Fayaz kini sudah boleh membaca sedikit. Dia amat berterima kasih kepada Phyu. Nampaknya Phyu benar-benar berbeza daripada penganut agama Buddha lain di Arakan. Mungkin kerana sifatnya yang lemah-lembut yang lahiriah dalam dirinya, fikir Fayaz. Fayaz amat takut sekali kalau suatu hari nanti Phyu berhenti berjumpa dengannya.

“Apa yang kau fikirkan, Fayaz?” kata Phyu yang terhenti membaca buku apabila terlihat Fayaz termenung sendirian. Fayaz hanya menggeleng.

“Kau mahu tipu aku ya?” kata Phyu sambil mencuit pinggang Fayaz. Fayaz ketawa kegelian. Dia berusaha menolak tangan Phyu yang bertubi-tubi mencuit pinggangnya. Fayaz menegakkan badannya lalu memegang kedua-dua belah tangan Phyu. Wajahnya begitu dekat sekali dengan wajah Phyu. Phyu memandang terus ke dalam matanya. Jantung Fayaz berdegup kencang. Perlahan-lahan Phyu dekatkan wajahnya dengan wajah Fayaz sehingga dia dapat merasakan nafas Phyu. Fayaz memejamkan matanya. Terasa lembut bibir Phyu di bibirnya. Fayaz menarik nafas dalam, menahan gelora jiwanya lalu menolak perlahan bahu Phyu lalu terpisah bibir Phyu dari bibirnya. Phyu mengerutkan dahinya.

“Jangan salah anggap, Phyu,”kata Fayaz, sambil memejamkan matanya, menunduk sebentar, kemudian memandang wajah Phyu dengan penuh kasih sayang.

“Kamu cantik. Hati kamu bersih dan putih. Sepadan dengan namamu, Phyu (bererti putih dalam Bahasa Burma). Tetapi kita tidak patut begini tanpa ikatan suami isteri. Agamaku tidak membenarkan,”kata Fayaz perlahan. Phyu menegakkan kepala, lalu duduk memeluk lututnya.

“Masyarakat juga, kan?”kata Phyu perlahan. “Jadi apa nasib kita?”

Fayaz menggeleng perlahan.

Tiba-tiba mereka terdengar derap kaki yang kuat. Kedengaran suara orang marah-marah di sebalik semak-samun tidak jauh dari tempat mereka duduk. Phyu ternampak kelibat bapanya yang bengis, membawa sebatang kayu menuju ke arah mereka. Hati Phyu sangat cemas. Fayaz bingkas bangun lalu menarik tangan Phyu untuk lari bersamanya. Apabila dia berpusing ke belakang, rupanya mereka telah dikepung oleh ramai penduduk Arakan yang kelihatan bengis dan marah melihat mereka berdua.

“Dasar anak kurang ajar!”kata bapa Phyu lalu menampar Phyu dengan kuat sekali.Inilah pertama kali dalam seumur hidupnya, ayahnya berkasar dengan dia. Selama ini Phyu dilayan bagaikan puteri kerana dia merupakan anak tunggal perempuan dalam keluarganya juga kerana sikapnya yang lemah-lembut dan penyayang. Phyu menangis teresak-esak menahan sakit dan kesedihan.

“Begitu ramai lelaki di Rakhine, kenapa si kalar ini yang kau jadikan kawan? Memalukan keluarga!” bapa Phyu mahu menamparnya sekali lagi, lalu Fayaz berdiri di hadapan Phyu. Mata bapa Phyu membuntang.

“Salah saya pakcik. Jangan pukul Phyu. Pukullah saya,” kata Fayaz perlahan.

“Ya, kalau kau sendiri yang memintanya!”bapa Phyu menghayunkan kayu yang dibawanya menghentam muka Fayaz. Fayaz menjerit kesakitan. Dua tiga lelaki lain turut memukul, menendang, dan memijak Fayaz. Darah mula kelihatan pada wajah Fayaz dan bahagian lain tubuh Fayaz.

“Fayaz!Fayaz!Sudah bapa!Ampunkan aku!Sudahlah bapa!”jerit Phyu sekuat hati. Mereka tidak memperdulikan jeritan Phyu dan terus memukul Fayaz yang langsung tidak melawan.

Dalam kepayahan dan kesakitan Fayaz membuka matanya. Dia ternampak Phyu ditarik bapanya dengan kasar, namun matanya masih memandang Fayaz dengan linangan air mata yang membasahi pipinya. Setelah puas penduduk Arakan memukul Fayaz, mereka mula meninggalkan tubuh Fayaz yang terbujur.

“Hey kalar, kau dengar sini ya!Jangan kau berani sentuh perempuan kami lagi. Kau bernasib baik tidak kami bunuh. Dasar Muslim bajingan,” kata mereka sambil melemparkan kayu yang mereka bawa ke atas tubuh kurus Fayaz. Fayaz mengerekot kesakitan. Pandangannya sekejap gelap, sekejap cerah kemudian terus malap…

Fayaz membuka matanya apabila tubuhnya dibasahi hujan. Dia berusaha bangun dengan menggunakan segala saki-baki tenaga yang ada. Setiap kali hujan membasahi lukanya, amat perit sekali rasanya. Dia merangkak perlahan-lahan untuk pulang ke Aung Mingalar melalui jalan hutan yang sering digunakannya untuk berjumpa dengan Phyu. Di kawasan tersebut tidak ada tentera atau polis yang berkawal, maka dengan itu dia dapat keluar. Dua-tiga kali juga dia berhenti merangkak kerana sakit dan penat. Rasanya tulang betis kirinya sudah patah kerana dia langsung tidak dapat menggerakkannya. Dia terus merangkak sehingga sampai di pinggiran Aung Mingalar, ada penduduk setinggan Aung Mingalar yang ternampak dia lalu mereka membantu mengangkat dia kembali ke rumahnya.

“Kau sudah gilakah, Fayaz? Apa kau mahu tentera datang dan membakar kawasan perumahan kita ini?!!”marah bapanya. Fayaz hanya berdiam diri di atas tilam yang diperbuat dengan kain lusuh diisikan dengan hampas padi dan daun pelepah kelapa. “Tidak cukup susahkah kita di sini? Mengapa kau mahu menambah derita?”kata bapanya yang kini sudah pun bercucuran airmata. Ibu Fayaz juga begitu. Adik-adik Fayaz hanya memandang abang mereka, wajah mereka tiada emosi, mengkin kerana mereka tidak faham apa yang berlaku.

“Hussein, aku fikir elok Fayaz keluar dari sini sebelum penduduk Arakan yang lain datang mengganggu kita di sini,”kata salah seorang penduduk setinggan Aung Mingalar yang berkumpul di rumah Fayaz. Yang lain hanya mengangguk.

“Ya, betul tu. Kelmarin ada orang kita dipukul orang Arakan. Aku bimbang pertembungan berdarah akan berlaku lagi,”

“Aku ada kenal seorang penyeludup. Mungkin mereka boleh bawa Fayaz ke Malaysia atau Thailand. Tetapi dia meminta 200 USD,”kata Amir, rakan Fayaz sejak kecil.

“Di mana aku nak cari duit?”kata Hussein pula. Semua orang berdiam diri.

“Aku ada duit, bapa…”kata Fayaz perlahan. Dia ada menyimpan duit yang dikumpulnya ketika berjual beli berniaga ikan kering dan juga sedikit sumbangan dari Phyu. Ibu Fayaz memegang bahunya. “Jadi kau harus segera pergi,”

“Tapi ibu, bapa dan adik-adik bagaimana?”

“Biarkan kami di sini. Hidup mati kami biarlah Allah yang tentukan,”kata bapanya.

Amir menguruskan perjumpaan Fayaz dengan penyeludup yang dikatakan itu. Beberapa warga Rohingya lain yang sudah tidak tahan lagi tinggal di Rakhine turut sama dalam pertemuan itu. Mereka bercadang untuk meninggalkan bumi Rakhine dalam masa 1 minggu lagi. Fayaz bersembunyi terlebih dahulu di rumah saudaranya. Dia menimbang untuk berjumpa dengan Phyu. Dia mendapat tahu bahawa Phyu telah dikurung oleh ayahnya, tidak dibenarkan keluar rumah lagi. Dia mahu mengucapkan selamat tinggal.

Fayaz keluar lewat malam itu untuk pergi ke rumah Phyu. Rumah 2 tingkat yang terletak di tengah-tengah bandar Sittwe dipanjatnya dengan kepayahan kerana betisnya masih lagi sakit. Bilik Phyu berada di tingkat atas. Dia mengetuk tingkap perlahan.

“Phyu!Phyu!”bisiknya sambil melihat ke kiri dan kanan, risau kalau-kalau ada yang nampak dia di situ. Phyu membuka tingkap perlahan.

“Fayaz?”

Fayaz segera masuk ke dalam bilik Phyu. Phyu memeluk Fayaz seeratnya lalu menitiskan airmata. Dia memegang bahagian badan Fayaz yang berbalut lalu menutup mulut dengan jarinya.

“Oh, Buddha,” dia terus menangis. Fayaz memegang bahu Phyu.

“Aku datang untuk ucapkan selamat tinggal,”

“Kau mahu kemana?”

“Aku mahu menaiki bot ke Malaysia. Aku sudah tidak selamat berada di sini,” kata Fayaz perlahan. Phyu memeluk Fayaz sekali lagi.

“Maafkan aku,”kata Phyu perlahan. Dia terus teresak-esak di bahu Fayaz.

“Tenanglah, nanti bapa kau dengar,”

“Perjalanan itu amat berbahaya,”

“Aku tahu, tetapi aku tiada pilihan. Kerana itu aku datang berjumpa kau. Kerana mungkin inilah kali terakhir aku berjumpa kau. Andaikan aku selamat sampai di sana, aku akan mencari jalan untuk menghubungimu,” kata Fayaz perlahan. Dia meleraikan pelukan Phyu lalu keluar melalui jendela. Dia memberikan pandangan terakhir kepada Phyu. Phyu memberikan lambaian terakhir padanya sambil mengesat air mata.

Tiba hari Fayaz harus meninggalkan Rakhine, dia berjalan ke arah utara melalui hutan dan semak-samun menuju ke sebuah pantai yang sepi di pesisiran Teluk Bengal. Di sana sebuah bot besar menanti. Dia memandang wajah-wajah yang berada di dalam bot itu. Tua, muda, lelaki, wanita, kanak-kanak dan bayi juga tidak terkecuali. Sebahagian daripadanya adalah etnik Rohingya dan sebahagiannya lagi adalah berbangsa Bangladesh. Bot sudah hampir sarat.

“Hey, cepatlah. Berikan duit!!”kata penyeludup itu. Dia menyerahkan wang, lalu tangannya ditarik kasar. Penyeludup itu mengeluarkan pen marker lalu menulis nombor pada lengannya. Dia kemudiannya disuruh berbaring di atas lantai bot, dan diberi amaran agar tidak bangun sekali tiada arahan daripada juragan kapal. Dia terasa ingin buang air lalu bangun, dengan sepantas kilat, penyeludup itu mengelar lengan Fayaz. Fayaz menjerit kesakitan.

“Ini sebagai amaran. Sesiapa yang bangun lagi, akan ku bunuh dan campak dia ke laut!!!!” kata penyeludup itu. Hati Fayaz kecut. Di kepalanya mula bermain wajah bapanya, ibunya, adik-adiknya, Phyu…silih berganti.

“Ya Allah, aku serah nasib diriku padaMu,”kata Fayaz dalam hati.

Perlahan-lahan bot itu bergerak membelah lautan. Merah senja menghilang di pesisiran Teluk Bengal digantikan dengan kegelapan malam.

Sudah hampir 3 bulan, Fayaz meninggalkan Rakhine namun masih tiada khabar berita darinya. Phyu masih menanti. Setiap kali kaca TV dibuka, dia hanya terdengar berita berkenaan tragedi bot di lautan yang membawa etnik Rohingya keluar dari Rakhine. Dia sangat berharap yang Fayaz tidak berada di dalam salah satu bot itu. Walaupun dia tahu, harapan itu hanyalah senipis debu di tangannya yang menghilang apabila ditiup angin. Tanpa disedarinya air matanya turun lagi.

Phyu takkan berdiam diri dengan keganasan dan kekejaman ini. Dia tahu walaupun yang menganjurkan kebencian ini adalah sami-sami Buddha yang tinggi ilmunya tetapi dia arif benar, Buddha tidak pernah mengajar kekejaman atau kebencian. Buddha sentiasa menganjurkan kebaikan dan kasih sayang. Inilah ajaran Buddha yang sebenarnya sebagaimana indahnya dinyatakan dalam Karaniya Metta Sutta.

Inilah yang harus dikerjakan oleh mereka yang tangkas dalam kebaikan.
Untuk mencapai ketenangan, ia harus mampu jujur, sungguh jujur,
Rendah hati, lemah lembut, tiada sombong.
Merasa puas, mudah dilayani, Tiada sibuk, sederhana hidupnya,
Tenang inderanya, berhati-hati, tahu malu, tidak melekat pada keluarga.
Tak berbuat kesalahan walaupun kecil,
Yang dapat dicela oleh Para Bijaksana.
Hendaklah ia berfikir: semoga semua makhluk berbahagia dan tenteram.
Semoga semua makhluk berbahagia.
Makhluk hidup apa pun juga, yang lemah dan kuat tanpa kecuali.
Yang panjang atau besar. Yang sedang, pendek, kecil atau gemuk.
Yang tampak atau tak tampak, yang jauh ataupun dekat.
Yang terlahir atau yang akan lahir, semoga semua makhluk berbahagia.
Jangan menipu orang lain, atau menghina siapa saja.
Jangan kerana marah dan benci, mengharapkan orang lain celaka.
Bagaikan seorang ibu mempertaruhkan jiwanya,
Melindungi anaknya yang tunggal, demikianlah terhadap semua makhluk,
Dipancarkannya fikiran kasih sayangnya tanpa batas.
Kasih sayangnya ke segenap alam semesta,
Dipancarkannya fikirannya itu tanpa batas,
Ke atas, ke bawah, dan ke sekeliling,
Tanpa rintangan, tanpa benci dan permusuhan.
Selagi berdiri, berjalan atau duduk, atau berbaring, selagi tiada lelap,
Ia tekun mengembangkan kesadaran. Ini yang dikatakan berdiam dalam Brahma.
Tidak berpegang pada pandangan salah (tentang aku yang kekal)
Dengan Sila dan Penglihatan yang sempurna
Hingga bersih dari nafsu indera,
Ia tak akan lahir dalam rahim manapun juga.

Begitu indahnya kata-kata ini namun Phyu tidak pasti sama ada mereka yang melakukan kekejaman itu mengerti ajaran Buddha yang indah ini.

Phyu membuka laman WordPress dan mula menaip tajuk pos nya yang terkini, “Arakan, apa kata Buddha jika dia melihat perbuatanmu?” Phyu bersedia dengan tsunami yang bakal membadai hidupnya selepas ini. Dia berpegang pada kata-kata,

“All that is necessary for the triumph of evil is that good men do nothing.”

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s