POHON BERINGIN (CF)

Dari kejauhan, kelihatan Xander sedang membaca buku dengan tekun sekali di bawah pohon beringin, tempat mereka selalu belajar. Xander, pria bertubuh sederhana, hampir 6 kaki 5 inci tingginya, memakai T-shirt dan berseluar jeans. Dengan gaya yang santai sekali. Kulitnya putih merah dan gebu. Sesekali di bawah cahaya matahari, dia pasti kelihatan seperti udang yang dibakar. Tidak bercakap banyak. Jarang bergaul dengan perempuan kecuali Eva. Kerna itu, Eva memikirkan yang dia ini barangkali gay atau hampir gay, ataupun tidak bernafsu terhadap wanita. Dan Eva senang sekali bersamanya.

“Hey, subjek apa yang diulangkaji? Mau share?”kata Eva sambil melompat duduk di tepi Xander. Xander memandangnya sekali lalu dan meneruskan bacaan. Eva melurut bahagian panjang rambut androgyny nya kebelakang dan mencebik. Dia memakai T-shirt labuh paras lutut berwarna kelabu, legging berwarna hitam serta Doc Mart berwarna kulit. Jelas sekali penampilan tomboynya walaupun kulitnya mulus sekali dan bibirnya mongel berwarna merah jambu menyerlah ciri kegadisannya.

“Snobbish!” kata Eva sambil menolak siku Xander. Xander terdorong ke kiri.

“Hish,”dengus Xander. “Kau baca saja bab 4 Building Technology. Kita ada pop kuiz selepas ini, dungu,” kata Xander sambil menolak dahi Eva.

Begitulah mereka saban hari di universiti. Bersahabat baik. Xander memikirkan Eva seorang tomboy yang tidak berminat akan lelaki, Eva pula memikirkan Xander barangkali gay yang tidak berminat akan perempuan. Jadi masing-masing berasa amat selasa bersama. Mereka boleh bicara seenaknya atau berkongsi hal rahsia tanpa rasa segan. Ke mana pun bersama. Namun Xander tahu, Eva sebenarnya pernah dikecewakan. Maka dengan itu, dia masih belum ingin memikirkan hal lelaki. Eva pula tidak langsung tahu-menahu apa sejarah Xander dengan wanita. Kerna dia tidak pernah sekali membicarakan hal itu.

“Janji ya, kita akan terus bersahabat sampai bila-bila. Aku selesa bangat sama kamu,”kata Eva pada suatu hari. Xander hanya mengangkat bahunya.

“Tak mau. Nanti tak ada wanita yang mau sama aku. Kau ini, ke mana saja denganku. Aku mau menikah,”kata Xander bersahaja. Eva menolak bahunya.

“Kau ini, bukan gay ya?”kata Eva. Xander memandang Eva lama-lama. Tiba-tiba dia memegang tangan Eva. “Mari sini aku tunjukkan pada mu kalau aku ini benar-benar gay,” Eva menendang punggung Xander. “Goblok!”marah Eva.

Sehinggalah pada suatu hari, Eva datang kepada Xander dengan wajah yang sugul.

“Xan, kau percaya tak pada cinta?”

“Cinta? Maksudmu?”

“Aku rasa aku sudah jatuh cinta Xan,”

Xander terdiam kemudian tersenyum.

“Siapakah lelaki yang malang itu?” Eva meluruskan jari telunjuknya pada satu arah. Xander melihat pada arah itu. Ohhh…rupanya Andre, pelajar jurusan Kejuruteraan Mekanikal. Boleh tahan juga orangnya.

“Jadi tunggu apa lagi?Katakan padanya isi hatimu,”kata Xander sambil menolak bahu Eva. Eva menampar bahu Xander.

“Kau sudah gila ya?”

“Kalau tidak diberitahu, nanti terlepas. Dia pelajar hot di kampus,” ujar Xander, meyakinkan Eva.

2 minggu selepas itu, Eva sudah mula jarang-jarang bertemu Xander. Rupa-rupanya Eva sudah berpacaran dengan Andre. Senyuman Eva kini manis sekali. Ah, secocok sekali. Kata Xander dalam hati. Dia tumpang gembira. Baguslah, sekurang-kurang Eva tidak datang mengganggunya belajar. Xander masih di bawah pohon beringin itu, belajar tanpa gangguan. Sesekali dia teringatkan Eva.

“Hey!” Eva datang melompat di sebelah Xander. Xander terkejut.

“Lama sekali tidak berjumpa kamu. Sudah bahagia ya!” kata Xander. Eva tersenyum meleret.

“Bukan begitu. Aku ada sesuatu untukmu,”Eva menyerahkan sampul itu kepada Xander.

“Janji kau akan datang, OK?” katanya pada Xander apabila kad jemputan perkahwinan tertera nama Eva dan Andre di hadapannya. Xander tersenyum tawar dan hanya mengangguk. “Tahniah.”

Setelah tamat peperiksaan tahun akhir, Eva melangsungkan perkahwinannya bersama Andre. Memenuhi permintaan sahabat, Xander hadir dalam upacara perkahwinan yang kecil tetapi meriah di gereja di luar ibu kota. Eva, masih seperti Eva. Berambut pendek, tetapi kali ini kelihatan berbeza mengenakan gaun putih. Cantik sekali, kata hati kecil Xander. Xander memaksa sebuah senyuman ketika Eva memaksanya bergambar bertiga dengan Andre. “Aku mau foto dengan sahabat baikku,”katanya.

Tamat universiti, Xander berpindah dari tempat kelahirannya untuk bekerja di sebuah kota metropolitan. Sebulan sekali, dia pasti akan menelefon Eva bertanyakan khabar. Terkadang diangkat, terkadang tidak. Kali terakhir dia menelefon Eva, katanya sudah hamil. Ah, khabar baik. Dia mahu Xander jadi ayah angkat kepada anaknya. Xander ikutkan saja. Maka Xander belikan set persalinan bayi lalu diposkan kepada Eva.
Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering.

“Xan, ini aku, Andre.”

Dengan sepantas kilat, Xander menempah tiket pesawat paling awal untuk pulang ke kampung halamannya untuk menjenguk Eva. Ketika tiba di pintu hospital, hati Xander remuk melihat keadaan Eva yang pucat, sama sekali tidak terurus. Ketika Xander menghampiri katilnya, Eva mengangkat wajahnya lalu terus menangis teresak-esak. Xander memeluk Eva.
“Aku mahukan dia jadi anak angkatmu, Xan. Mengapa dia harus pergi dahulu sebelumku? Baju yang kau beri juga belum sempat dipakainya,” kata Eva, teresak-esak. Xander mengusap rambut Eva.

“Shhhh…biarkan dia pergi, Eva. Dia pergi ke tempat yang lebih baik,”pujuk Xander. Dia memandang Andre di tepinya yang juga berwajah sugul. Xander pulang setelah 3 hari menemani Eva. Eva juga sudah kelihatan bersemangat sedikit. Namun Xander tetap menelefon Eva setiap hari. Memastikan dia stabil emosinya. Setelah beberapa lama, Eva kembali pulih seperti biasa. Dan panggilan Xander juga terkadang dijawab, terkadang tidak. Begitulah kehidupan. Kali terakhir Xander dapat tahu yang Eva hamil lagi dan tidak lama selepas itu, melahirkan seorang anak lelaki.

“Dia akan kunamakan Xandre,”kata Eva ketika Xander pulang melawatnya.

“Kau akan jadi ayah angkatnya, OK?”kata Eva lagi. Xander mengangguk dan tersenyum sambil mengusap kepala Xandre.

“Bila pula kau mau menikah?”tanya Andre disebelahnya. Xander hanya mengangkat bahu.

“Tak siapa mahukan aku,” kata Xander bersahaja. “Aku rasa kau ini benar-benar gay,”bisik Eva. Xander hanya tersenyum.

Beberapa tahun selepas itu, masing-masing dengan kehidupan masing-masing. Xander semakin sibuk dengan tugasnya setelah dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Pengarah sebuah syarikat perumahan, manakala Eva kini sibuk menjadi ibu dan isteri berkerjaya. Terkadang Xander akan menghantar satu dua Whatsapp kepada Eva dan terkadang Eva akan membalasnya. Bagi Xander, dalam kesibukan begini, masih belum sempat baginya memikirkan hal perkahwinan.

Sehinggalah pada suatu hari, Eva sendiri yang menelefon Xander. Xander tersenyum melihat nama Eva berkelip di telefonnya dan terus menjawabnya.

“Wah, sahabat. Hampir setahun kau tidak menelefon aku,” usik Xander.

“Xan..”kedengaran tangisan Eva yang menggila.

Sebagai seorang sahabat yang baik, Xander terus kembali ke kampung halamannya sekali lagi. Sampai sahaja di lapangan terbang, Eva menyambutnya dengan tangisan dan pelukan.

“Aku dan Andre telah berpisah. Hanya kerana salah faham kecil. Aku terlalu sayangkannya,” esaknya. Xander menarik nafas dalam-dalam. Dia menepuk bahu Eva.

“Mari tenangkan fikiranmu. Ke mana kau mahu pergi?”

“Aku sudah tidak dapat berfikir lagi. Bawalah aku kemana sahaja,”

Xander menyewa sebuah kereta dari lapangan terbang dan terus membawa ke tempat yang difikirkan akan memberi ketenangan kepada Eva.

“Di sini?” Eva melihat di sekeliling. Pohon beringin itu masih seperti belasan tahun dahulu. Masih teduh, redup dan membawa ketenangan kepada sesiapa yang duduk di bawahnya.

“Aku tidak dapat memikirkan tempat lain, duduklah,”

Pada petang itu, Eva menangis semahu-mahunya di bahu Xander sehingga basah T-shirt yang dipakainya. Xander hanya diam, menjadi pendengar setia kepada Eva. Sesekali dia menepuk bahu Eva, sesekali dia mengesat air mata Eva. Hati Xander hancur setiap kali dia melihat Eva dalam keadaan begini. Seolah-olah dia dapat merasakan kesakitan yang dialami Eva. Tidak lama selepas itu, Eva kembali tenang. Xander mengusap rambut Eva.

“Melihat tempat ini, aku teringat ketika kita masih remaja dahulu,” kata Eva tiba-tiba.”Tiada masalah, tiada kesedihan, hanya hari-hari yang ceria aku dan kamu,”kata Eva lagi. Xander memandang wajah Eva.

“Di sinilah aku melihat kau berubah daripada anak remaja kepada wanita dewasa sekarang,” kata Xander. Saki-baki airmata Eva dikesatnya. Dia terus mengusap pipi Eva, mendekatkan wajahnya, tanpa disedari atau dapat dikawalnya, dia mengucup bibir Eva lembut. Dan Eva membalasnya. Bagaikan tersedar, Xander menarik wajahnya. Eva memegang bibirnya.

“Dan aku sangka kamu gay,” kata Eva perlahan. Esakannya masih ada.

“Sudah aku katakan tidak, bukan?”

Xander menarik nafas dalam. “Sejujurnya Eva…aku…mencintaimu sejak sekian lama,”kata Xander perlahan. Seakan-akan ada nada penyesalan. “Namun aku tahu, aku hanya bertepuk sebelah tangan, maka tidak aku nyatakan padamu.”

Eva terdiam.

“Sebenarnya Xan, aku juga begitu. Aku fikir kau tidak bernafsu pada perempuan…”

“Dungu,”

Kali ini mereka terdiam buat seketika waktu. Xander hanya memandang wajah Eva tanpa kata, begitu juga dengan Eva.
Tiba-tiba telefon Eva berdering kuat.

“Eva, aku minta maaf,”kedengaran suara Andre. “Tolong kembali padaku demi Xandre. Aku mengaku aku bersalah, Eva,” kata Andre lagi.

Wajah Eva kemerahan. Dia buntu. Xander memegang bahu Eva.

“Kembalilah kepadanya,”kata Xander. Eva mengerutkan dahinya.

“Tapi…”

“Anggap saja hari ini tidak berlaku. Kau cintakan Andre dan ia masih belum berubah. Dan nampaknya Andre juga mencintaimu. Kamu berdua mempunyai Xandre, amanah Tuhan yang patut di jaga,”kata Xander perlahan.

“Aku akan kekal menjadi sahabat baikmu sampai bila-bila sebagaimana kemahuanmu,”

Xander menghantar Eva pulang kepada Andre. Lambaian dan airmata Eva kali ini benar-benar meruntun jiwa Xander. Aku terlalu cintakan Eva sehingga terpaksa melepaskan dia pergi, demi kebahagiaannya.

Xander kembali ke bawah pohon beringin, mencari ketenangan sebagaimana dahulu, ditemani pohon beringin, bayu petang dan merahnya mentari terbenam.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s