MENEMPUH BADAI YANG MENGGILA (CF)

Aku bangun perlahan-lahan dari lantai, menahan kesakitan di perutku yang sudah lebam ditendang Ricky. Darah yang telah mengering di bahagian keningku ku kikis menggunakan kuku, namun lukanya masih terbuka. Aku rasakan mata kananku bengkak kerana sakit dan sukar sekali aku membukanya. Bahagian ari-ariku juga terasa sakit sekali dan aku dapat merasakan sisi kiri labia ku bagaikan melecet atau terkoyak, aku tidak tahu. Gaun tidurku juga sudah terkoyak. Aku memegang sisi katil, cuba menolak badanku dengan sedaya-upaya agar berdiri. Aku ternampak Aaron di pintu bilik, memandangku dengan wajah yang amat gusar bercampur sedih. Wajahnya pucat bagaikan tidak berdarah.

“Aaron, mari tolong ibu, sayang. Jangan takut,”panggilku. Aaron terus menangis tersedu-sedu sambil menghampiriku.

“Aku benci ayah!”jeritnya sambil memegang tanganku. Aku mengusap kepalanya. Aku menggeleng perlahan.

“Jangan, sayang. Buruk atau baik, dia tetap ayahmu. Sudah, bawakan ibu ke bawah, ambil kunci kereta, ayuh, kita ke hospital.”

Aku mendapat 5 jahitan di kening kananku dan 3 jahitan di labiaku. Lebam hampir di seluruh bahagian badanku. Tulang bahuku retak.

“Puan…” doktor memandangku, keberatan untuk bersuara.

“Aku tahu, Doc. Aku bersedia untuk membuat laporan polis.”

Sudah hampir 10 tahun, aku hidup bersama Ricky, anak orang kenamaan di kawasanku. Ibu bapanya merupakan orang yang bangga dengan nilai materialistik. Aku hanya wanita golongan kelas pertengahan. Bapaku seorang guru, ibuku pula seorang tukang jahit. Namun kami berkahwin atas dasar cinta. Walaupun tidak disukai oleh ibubapanya, Ricky tetap mahu berkahwin denganku.

Tidak diketahui oleh aku, Ricky menghidap kekalutan psikiatri yang dinamakan sempena Marquis De Sade. Tubuhku diperlakukan dengan kejam setiap kali Ricky mahukan aku. Selama ini aku hanya berdiam diri. Malu, takut, sedih, stress…perasaan itu bercampur-baur. Ricky tidak bencikan aku, malah setiap kali terjadinya perkara seperti ini, dia akan mengongoi meminta maaf, menangis. Jadi aku keliru dengan situasiku. Aku ada terbaca berkenaan kondisi ini. Aku sudah meminta Ricky untuk menjalani rawatan psikiatri namun ditolak Ricky.

“Ah, aku bukannya gila,” Marah Ricky.

Namun, apabila Aaron semakin membesar, aku tahu, anak ini tidak patut melihat dan membesar dalam situasi begitu untuk menjadi anak yang normal. Aku sanggup menderita tetapi aku tidak sanggup minda Aaron terdera.

“Memalukan, Anita. Kenapa kau sanggup berbuat demikian?”Nada suara Ricky meninggi ketika meluru pulang ke rumah apabila mendapat tahu aku membuat laporan polis. Tiba-tiba badanku menggigil. Aku tidak sanggup lagi hidup begini. Aku mencapai pisau di dapur lalu menghunus padanya. Ricky mengangkat kedua-dua belah tangannya.

“Keluar!!!Keluar!!!”jeritku sekuat hati. Ricky segera mencapai kunci kereta lalu meninggalkan rumah. Aku ternampak Aaron memegang tangga dalam keadaan ketakutan, lalu aku berlari dan memeluknya.

Aku tahu laluanku takkan menjadi mudah. Aku tahu ketika ini ibubapa Ricky telah menyediakan peguam yang bagus untuknya. Sedangkan aku tidak punya sesiapa. Aku enggan menyusahkan ibu bapaku juga. Mereka juga bukan orang senang. Ricky juga ada menyebut yang dia takkan biarkan aku mendapat hak penjagaan Aaron. Ini, membuatkan aku sangat takut. Sangat takut. Aku tidak mampu kehilangan Aaron. Oh, Tuhan, lindungi aku.

“Fighting, ibu,”kata Aaron apabila terlihat aku termenung di jendela hotel. Aku memeluk tubuh kecil itu. “Ya, fighting,”

Pintu bilik diketuk. Serta-merta tubuhku menggigil sekali lagi. Aku tidak dapat bergerak. Tubuhku, mindaku kini bagaikan kekejangan. Ya Tuhan, aku tidak sanggup lagi menghadapi trauma begini lagi. Aaron memelukku. Dua hari yang lepas ketika aku berada di sebuah hotel di kota, Ricky berjaya menjumpai aku, diketuknya pintu bagaikan orang gila sehingga aku terpaksa menyuruh pihak hotel membawa polis.

“Si..si..siapa?”aku bertanya, menahan getar di suaraku.

“Women’s Aid Organization. Aku Sandra, yang bercakap dengan puan tadi di telefon,”katanya lembut. Aku membuka pintu perlahan dan terus memeluk Sandra. Entah mengapa aku jadi begini, aku juga tidak tahu. Mungkin kelembutan suara Sandra di telefon menenangkan aku, kerana sudah beberapa hari aku melarikan diri dari rumah, tidak bercakap dengan sesiapa selain Aaron.

“Ya, tenang Puan…tenang. Tabahkan hati. Jangan risau, aku akan membantu Puan. Ini peguam Aysa,”

“Tapi..tapi..aku tak punya wang untuk membayar seorang peguam,”

Aysa tersenyum. “Jangan risau, puan. Aku pro bono. Ayuh, kuatkan diri. Ada badai yang bakal melanda, kitalah nakhoda kapal itu. Apakah puan sudah bersedia?”

Peperangan di mahkamah amat getir kerana peguam Ricky cukup pandai berhelah. Sedangkan aku bagaikan tikus yang dikejar kucing. Sentiasa dalam keadaan takut. Saban malam aku dilanda mimpi ngeri. Mimpi dipukul Ricky. Mimpi Aaron dibawa pergi. Badanku terasa panas. Aku sering batuk-batuk.

“Aaron, mari ikut ayah,” kata Ricky pada suatu hari, setelah selesai sesi prosiding. Aaron bersembunyi di belakangku dan memegang skirt labuhku dengan erat lalu menyembunyikan wajahnya.

“Anak ini…”Ricky mengetap bibir lalu menghampiri aku.

“Jangan kau hampiri dia!”Tegahku. Ricky menarik rambutku, kasar. Aku menjerit menahan kesakitan sambil memegang rambutku.

“Kau takkan dapat dia!”kata Ricky dengan marah.

Aku sudah benci berdiam diri, aku sudah benci dibantai sesuka hati. Aku tekad. Penumbukku genggam lalu aku tumbuk muka Ricky, begitu kuat sehingga dia jatuh terduduk di laman mahkamah. Ricky membeliakkan matanya, memandangku. Seolah-olah dia tidak percaya yang aku melawan. Pipinya perlahan-lahan bertukar menjadi biru. Dia bangun untuk membalas tetapi dihalang oleh Sandra dan Aysa. Mereka membawa seorang anggota polis bersama. Ricky bangun, mendengus, menunjuk tepat ke wajahku kemudian berlalu dengan marah.

“Maaf Anita, kami lambat bertindak. Aku merakamkan perbuatannya terhadapmu tadi untuk dijadikan bahan bukti. Aku juga akan ambil keterangan polis ini yang menyaksikan segala-galanya,” kata Sandra.

“Bagus tumbukannya,”kata Aysa sambil menepuk bahuku. Aku tersenyum tawar. Entah dari mana datangnya kekuatan itu, aku juga tidak tahu.

Bagaikan ada semangat baru, kini aku bangun melawan Ricky, peguamnya dan ibubapanya juga. Aku menentang menggunakan semua saluran yang boleh ku capai. Takkan kubiarkan diriku dikalahkan lagi. Setelah hampir 5 tahun, mahkamah menjadi tempat persinggahanku. Sudah berkali-kali juga, balai polis menjadi rumah keduaku. Ricky tidak berhenti mengganggu aku dan Aaron namun aku tidak lagi seperti dulu. Biarlah dibawa puting beliung sekalipun, aku akan tegak berdiri. Menghadapi raksasa itu dengan semangat jitu.

“Defendan dikehendaki membayar plaintif RM75, 850 sebagai ganti rugi serta membiayai semua urusan guaman beliau. Defendan dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun di bawah Kanun Keseksaan kerana mencederakan plaintif, merogol, melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii serta seksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii. Defendan juga dikehendaki menjalani pemeriksaaan psikiatri,” kata hakim.

Aku melepaskan nafas lega, airmataku bergenang. Aku tunduk sujud di atas lantai mahkamah mendengar keputusan itu sehingga aku terpaksa diangkat oleh Sandra. Semua penderitaanku kini terbayar dengan keputusan ini. Terima kasih, Tuhan. Aku tahu ini bukan pengakhirannya namun ini merupakan permulaan yang baik. Aku merenung masa depanku. Aku tidak pasti apa yang bakal berlaku, namun aku bersedia untuk menentang habis-habisan.

“Jangan takut untuk melawan. Sexual masochism, sexual disorder, sadism bukanlah perkara yang harus dimalukan. Ia adalah kondisi psikiatri yang memerlukan rawatan. Jangan biarkan diri kita dipergunakan, dipukul, dibantai. Tubuh kita bukan punching bag, puan-puan. Kita manusia, punya hati dan perasaan. Kita patut dikasihi, disayangi, dan dihormati kerana itulah, Eve diciptakan untuk Adam sewaktu di syurga. Sebagai teman agar Adam berasa gembira,” aku memandang wajah-wajah wanita yang menjadi pendengar. Aku tahu di sebalik wajah-wajah ini ada cerita duka yang pelbagai. Aku berharap aku dapat membantu mereka.

Tiba-tiba tanganku dipegang oleh tangan kecil. Aaron tersenyum menampakkan giginya yang putih. Aku tersenyum kembali.

“Jadi ayah ke mana selepas ini, ibu?”

“Menjalani rawatan. Agak lama juga. Nanti kita melawat ayah. Kita jangan biarkan dia seorang diri. Kamu masih marahkan ayah?”

“Tidak, kerana aku tahu dia sakit, bu,”kata Aaron perlahan. Aku tersenyum lalu mengusap kepala Aaron. Takkan aku boleh mengajar Aaron membenci ayahnya. Darah yang mengalir dalam tubuh Aaron adalah darah Ricky juga.

Sesungguhnya aku tidak benci kepada Ricky. Aku hanya mahu dia mendapat perhatian dan rawatan sewajarnya.

Tangan Aaron ku genggam lalu aku melangkah keluar dari dewan simposium itu. Aku kini mempunyai misi hidup yang tersendiri. Aku berazam dan berharap agar tiada lagi wanita yang harus senasib denganku. Inilah azamku

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s