BRUTALAND (CI)

Henri membetulkan letak duduk helaian rambutnya. Di calitnya sedikit gel rambut pada jarinya lalu disapu sedikit pada bahagian hadapan. Hmm…out-of-bed style atau apa? Ahh… sangat passe. Adakah wajahku sempurna? Tanpa jerawat? Apakah bajuku betah? Seluarku OK? Kasutku kilat? Hampir beginilah setiap hari Henri bersiap sebelum keluar dari rumah. Paling cepat 30 minit, paling lama infiniti. Itu hanya terjadi jika stail rambutnya tidak menjadi.

 

Dunia fesyen sangat kejam kepada wartawan fesyen. Kerana kerjanya mengkritik maka diri harus terlebih dahulu sempurna. Tapi Henri sudah terbiasa. Sudah hampir 5 tahun dia bekerja dengan majalah Fashion Fetish. Dan hari ini, impiannya menjadi kenyataan. Fashion Fetish bakal menghantar Henri untuk membuat liputan Milan Fashion Week. Wow!! Jerit Henri dalam hati. Lantas dia menarik bagasi yang diletakkannya di tepi katil. Langkahnya sudah hampir seperti melompat skip. Terlampau suka hati. Sempat lagi Henri memeriksa dirinya buat kali terakhir di cermin.

 

Henri memakai Rayban hitam lalu menahan teksi untuk ke lapangan terbang. Sengaja Henri pergi awal 2 jam. Kerana mungkin dia terlampau kegirang-girangan, mungkin juga kerana tidak mahu tergesa-gesa. Dia mahu mengambil masa untuk memerhatikan fesyen terkini manusia di lapangan terbang. Barangkali dia boleh mengkaji trend semasa.

 

“Aduh … hey … hati-hatilah!” kata Henri dengan suara yang agak kuat apabila dilanggar seseorang yang berpakaian hitam. Raybannya tercampak hampir dengan longkang. Cepat-cepat dia mengutip Raybannya. Kemudian dia terlihat benda seakan-akan medallion di tepi Rayban nya. Rupanya seperti hampir berkarat. Ah…apakah ini dijatuhkan oleh yang melanggarnya tadi? Dia mengambil medallion itu lalu berpaling ke kiri kanan, mengharapkan ternampak kelibat orang yang melanggarnya tadi agar boleh dipulangkan medallion itu. Ah…mustahil. Lapangan terbang sarat dengan pelbagai manusia. Mungkin dia boleh ambil dulu medallion itu, mana tahu terjumpa tuannya di dalam balai berlepas.

 

Henri meletakkan bagasi disebelah kirinya lalu melabuhkan punggung di atas kerusi. Sambil dia melihat manusia yang lalu-lalang, dia teringat medallion yang dikutipnya tadi. Dia mengeluarkan medallion itu dari sakunya. Hmm…ini bagaikan duit syiling lama, bersaiz besar. Karat. Lalu dia menggosok medallion tersebut menggunakan sapu tangannya. Tiba-tiba medallion itu bercahaya dengan terang sehingga menyilaukan matanya. Dan tiba-tibanya dunianya terasa berpusing. Kakinya tidak menjejak tanah. Dia bagaikan melayang di udara. Bunyi yang bingit akibat putaran itu memekakkan telinga. Dia menjerit ketakutan. Dalam kekalutan itu, Henri memejamkan mata, lalu melepaskan medallion itu.

 

Apabila matanya dibuka, dia berada di atas padang yang gersang. Langit kelihatan gelap dan berasap. Dari jauh dia ternampak puing-puing bangunan bagaikan bandar yang dilanda peperangan. Tiada manusia yang kelihatan. Tiada pokok, tumbuhan atau pun binatang. Kelihatan lopak air yang keruh berwarna merah, berminyak dan melekit seolah-olah ia bercampur dengan darah dan minyak. Dari jauh, dia ternampak sebuah menara putih yang tinggi sedang memancarkan cahayanya. Henri meneka-neka ia mungkin sebuah menara telekomunikasi atau menara satelit. Dia bagaikan berada di alam lain. Henri panik. Apa ertinya semua ini? Dia tercari-cari medallion itu. Mungkin itulah sebabnya Henri berada di sini. Dia ternampak seorang lelaki separuh abad berpakai koyak dan lusuh sedang membelek medallion tersebut.

 

“Hey, pulangkan!” jerit Henri. Lelaki itu terperanjat. Dia berlari meninggalkan padang gersang itu lalu menuju ke arah puing bangunan.

 

No, no, no,” Henri terus mengejar lelaki tersebut.

 

Tiba-tiba dia terlanggar seseorang. Henri terjatuh ke belakang. Apakah nasib malangku ini? Dia dapat merasakan punggungnya sudah berdebu.

 

“Hey, kamu! Sudah butakah?” kata Henri sambil mengangkat wajahnya.

 

Henri terpempan. Di hadapannya, merupakan seorang wanita cantik berambut dreadlock? (Entah Henri tak pasti stail apa rambutnya) dengan parut besar di pipi kanannya dan berpakaian seperti seorang askar. Berbaju hitam dan berseluar kargo dengan warna yang sama. Di tangannya terdapat senjata aneh yang belum pernah dilihatnya sebelum ini, mungkin dalam filem sains fiksyen sahaja.

 

“Maaf, aku sedang mencari seorang lelaki tua…” belum sempat dia menghabiskan ayatnya, Henri memotong kata-katanya, “Aku juga mencari dia. Dia ada sesuatu kepunyaanku.” Wanita itu menghulurkan tangannya pada Henri. Henri menyambutnya. Wanita itu membantu Henri untuk berdiri. Tiba-tiba, Henri ternampak kesan gris pada jaket Gucci nya. Henri mendengus marah. Dia mengesat-ngesat kesan gris pada jaketnya dan menepuk debu di punggungnya. Ah, debu! … Henri menyapu-nyapu tangannya. Henri terasa begitu kotor sekali. Tiba-tiba wanita itu menarik dia ke tepi puing dan menutup mulutnya. Kini debuan memnuhi mulutnya pula. Dia menolak tangan wanita itu keras.

 

“Mengapa?”marahnya.

 

Drone Rebel Anki,” jawab wanita itu, dengan nada berbisik.

 

Rebel what? Henri berpaling pada arah yang ditunjukkan wanita itu. Kelihatan robot-robot seperti katak yang besar, berwarna hijau dengan lampu biru sedang menyuluh sesuatu. Mereka seolah-olah sedang melakukan tinjauan kawasan. Pancaran laser merah dipancarkan di sekeliling kawasan.

 

“Ayuh, kita ke tempat yang lebih selamat!” wanita itu menarik tangannya. Dia membiarkan sahaja wanita itu menarik tangannya, kerana kini Henri benar-benar keliru dengan apa yang terjadi padanya. Henri menampar pipinya sendiri dengan kuat. Terasa perit tamparannya. Henri menggosok pipinya. Wanita itu berpaling padanya sekali, mengerutkan dahi lalu meneruskan perjalanan.

 

Sampainya di sebuah runtuhan bangunan, wanita itu terus menarik tangan Henri ke dalam. Ada sebuah laluan rahsia di sebalik runtuhan itu, lalu mereka sampai di ruang bawah tanah, di mana kelihatan manusia daripada pelbagai peringkat umur dan bangsa di situ, tinggal di dalam khemah-khemah pelarian usang. Kelihatan sekumpulan lelaki dan wanita sedang beratur di sebatang paip air yang mengalir sangat perlahan namun mereka tetap sabar menadahnya. Ada sekumpulan lelaki muda yang kusut-masai sedang menempa sesuatu, barangkali sejenis senjata buatan sendiri yang diperbuat daripada paip lama. Dari jauh juga, dia ternampak seorang lelaki tua dan kanak-kanak sedang menghidupkan api daripada bahan bakar seperti cebisan kayu daripada runtuhan bangunan, sampah serta kasut buruk. Asap yang sangat hitam berkepul keluar dari api yang dibakar.

 

Dia terus mengikut wanita itu dan berlalu di tepi seorang ibu yang sebelah matanya dibalut, sedang menyusukan bayinya yang calar-balar wajahnya dan ketiadaan tangan kirinya hingga ke bahu. Ibu itu mengangkat wajahnya memandang Henri sekilas. Pandangannya sayu sekali. Bayi itu merengek perlahan, antara sakit dan kelaparan. Henri menutup mulutnya lalu menundukkan wajah. Dunia apakah ini?

 

“Avril, siapa ini bersamamu? Lihatlah pakaian bodohnya,” kata seorang lelaki yang berpakaian hampir sama dengan Avril, duduk di meja sambil memakan makanan seakan-akan burger yang entah apa isinya berwarna hijau, biru kehitaman. Henri tak tahu. Henri berasa jijik.

 

Ini Gucci lah, goblok! Orang gasar sepertimu mana tahu? Kata Henri dalam hati.

 

“Entah, aku jumpanya di atas. Hampir saja diserang Drone Rebel Anki. Siapa namamu? Dari mana? Dan mengapa kau berkeliaran ketika darurat?”

 

Darurat? Henri semakin pening.

 

“Aku Henri dari Jakarta.”

 

Avril mengerutkan dahinya.

 

“Jakarta? Di mana itu?” Avril berpandangan dengan rakannya. Masing-masing mengerutkan wajah.

 

“Yang sebenarnya aku di mana sekarang?”tanya Henri pula.

 

“Brutaland,”balas Avril.

 

Henri ternampak kalendar di atas meja tempat rakan Avril duduk. Dia berlari mencapai kalendar itu. Tahun 4011. Oh, Tuhan? Bagaimana ini terjadi? Apakah aku sedang mengembara dalam masa? Mungkinkah medallion itu penyebabnya? Bertubi-tubi Henri melemparkan soalan demi soalan pada dirinya sendiri. Henri menampar pipinya sekali lagi.

 

“Aneh sekali, sedari tadi asyik menampar pipinya sendiri, Pepi,” kata Avril pada rakannya. Dia mencapai burger di tangan Pepi lalu menjamah sedikit makanan itu. Henri mengerutkan dahinya. Jijik.

 

“Kau mahu aku pula menampar pipimu?” tanya Pepi pada Henri.

 

“Ya, coba sahaja, kalau kau mahukan penumbukku,” balas Henri, kasar. Pepi mengangkat bahunya.

 

“Avril, tolong kau jelaskan padaku, di mana aku dan mengapa duniamu menjadi begini?”

 

Avril menceritakan bagaimana habisnya petroleum menyebabkan dunia berada dalam kancah peperangan. Kini dunia merebutkan teknologi ‘cold fusion’ dan reaktor arc yang dahulunya dikaji oleh ITER, sebuah pusat teknologi di Sveta (dahulunya Perancis) sebagai sumber tenaga namun teknologi itu teramat mahal. Hanya negara yang kaya dengan hasil bumi sahaja yang mampu memilikinya. Negara miskin akan dijajah oleh pemberontak. Sebagaimana Brutaland (yang mungkin juga Indonesia). Disebabkan peperangan juga, dunia mengalami krisis makanan yang melampau. Manusia diserang kebuluran dan penyakit. Manusia terpaksa berkreatif dengan mencipta makanan sintetik.

 

Oh, heck! Henri bagaikan tidak percaya. Benarlah tekaannya. Medallion itu telah menyebabkan Henri mengembara ke masa hadapan.

 

“Avril, aku perlu naik ke atas. Lelaki tua itu mengambil barangku. Aku amat perlukannya,” kata Henri pada Avril. Avril mengerutkan dahinya.

 

“Kau mahu mati ya! Itu adalah Sigulark. Tali barut Rebel Anki. Aku ke atas untuk membunuhnya, kau pula mahu mencarinya,” bantah Avril, sekeras-kerasnya.

 

Membunuh? Henri menelan air liur. Henri memegang bahu Avril.

 

“Tolonglah, Avril.”

 

Avril mengerutkan dahinya. Dia memandang Henri dengan rasa tidak percaya. Dia termenung sebentar seolah-olah memikirkan sesuatu sebelum dia mencapai pistol aneh di atas meja lalu menyisipnya ke pinggang. Dia mengangguk perlahan pada Henri. Henri merenung pistol itu.

 

“Pistol laser?”

 

Avril tertawa kecil. “Kau ini suka membaca komik-komik lama ya? Laser hanyalah cahaya yang diperkuatkan melalui pengeluaran radiasi elektromagnetik. Lalu bagaimana cahaya bisa mencederakan orang? Itu pistol plasma,” kata Avril. Henri mengangguk bagaikan mengerti, sedangkan dia sama sekali tidak faham apa yang diperkatakan Avril. Bahasanya terlalu saintifik dan asing baginya. Jikalau bicara tentang haute couture, macramé, peignoir dan vintage, Henrilah jagoannya. Alangkah bagusnya jika ada smartphone dan Google sekarang, kata hati Henri.

 

Avril melalui khemah-khemah usang untuk ke pintu rahsia. Henri melihat pelbagai kondisi yang belum pernah dilihatnya sebelum ini. Kesakitan, kemelaratan, kebuluran dan kematian. Kedengaran suara tangisan kanak-kanak dimana-mana. Henri memejamkan matanya. Hatinya hancur melihat keadaan manusia yang begitu menyedihkan. Dunia Henri sebelum ini hanya meliputi kemewahan dan pembaziran. Dia tahu ada peperangan di bahagian dunia yang lain, namun tidak pernah dia peduli. Seorang gadis kecil berkaki mekanikal menghampiri Avril.

 

“Av, Av, aku mahu ikut!” – dentingan keluli mekanikal itu menarik perhatian Henri. Gadis kecil menunjukkan wajah yang kurang senang dengan renungan Henri. “Mengapa kau renung kakiku?” kata gadis kecil itu memarahi Henri.

 

Avril berbisik pada Henri, “Jangan kau renung kakinya, dia kehilangan kakinya ketika Brutaland diserang misil balistik.”

 

Hati Henri tersentuh lagi.

 

“Jangan, Tseki. Aku mahu mengejar Sigulark.” kata Avril sambil mengelus rambut Tseki. Tseki memegang tangan Avril dengan wajah yang bersungguh-sungguh.

 

“Aku tahu di mana boleh kau cari Sigulark. Aku tahu jalan rahsia,” bisik Tseki. Avril mengecilkan matanya. Dia tahu, Tseki benar-benar ingin membantunya. Perlahan Avril mengangguk.

 

Henri mengikut Avril dan Tseki melalui puing-puing bangunan di sekitar Brutaland. Sesekali Henri hampir tersadung dengan cebisan konkrit yang bertebaran di atas tanah. Kota Brutaland kelihatan bagaikan bandar hantu yang ditinggalkan orang. Sepi.

 

Dalam perjalanan mencari Sigulark di sebalik runtuhan bangunan itu, Henri mendapat tahu dari Avril yang dia merupakan seorang askar wanita di Brutaland sebelum ia diambil alih oleh Rebel Anki, puak pemberontak dari pasukan tentera Brutaland sendiri dibantu oleh pasukan tentera dari luar. Sigulark, pernah menjadi ketua Avril. Dia juga merupakan dalang yang merancang pemberontakan yang menumbangkan kerajaan demokrasi Brutaland. Avril membantah apabila dia mendapat tahu rancangan Sigulark. Maka Avril diseksa dan dihumbankan ke dalam penjara, sebelum ditinggalkan untuk mati di sebuah padang yang gersang. Parut besar di pipi kanannya terhasil kerana dilekapkan dengan besi panas ketika seksaan atas arahan Sigulark. Jika tidak kerana Pepi, Avril mungkin takkan hidup sehingga hari ini. Sejak kerajaan demokrasi Brutaland ditumbangkan, ia bagaikan disumpah dengan peperangan demi peperangan kerana kekosongan tampuk pemerintahan yang stabil. Avril, Pepi dan rakan-rakan yang lain menjadi golongan anarki yang cuba memperjuangkan golongan yang lemah.

 

“Tunduk!!!Serangan penembak tepat!!!” jerit Avril tiba-tiba.

 

Tseki dengan pantasnya menarik Henri ke puing yang berhampiran. Dia memeluk kepala Henri ke bawah agar dia tunduk. Jantung Henri berdegup dengan kencang sekali. Kelihatan pancaran plasma ditembak bertalu-talu.

 

“Kau bagaimana?!” tanya Henri pada Tseki. Dalam kekalutan itu, Tseki masih mampu tersenyum.

 

“Aku? Hidup atau mati sama sahaja. Dengan semua kesedihan di atas dunia, aku pohon pada Tuhan agar cepat ditarik nyawaku. Itupun kalau Tuhan itu wujud,”kata Tseki bersahaja.

 

Henri hampir tidak dapat mempercayai apa yang dikatakan gadis kecil ini.

 

“Kau OK, Tseki? Henri? ”jerit Avril dari satu arah.

 

“OK!!”

 

“Pusing belakang puing sebelah barat. Kita dapat berlindung di sana,”kata Avril.

 

Henri mengikut Tseki dan Avril sehingga sampai ke sebuah puing besar. Terdapat bangunan konkrit berwarna jingga yang dilubangkan oleh misil yang besar di sebelahnya. Terdapat papan tanda bertulis “Arietta Primary School” pada puing yang kelihatan seperti pagar bangunan tersebut. Henri hanya dapat membayangkan keriangan sekolah itu sebelum peperangan melanda Brutaland.

 

“Itulah dia,” tunjuk Tseki pada puing yang besar itu.

 

Tanpa berfikir, Henri berlari dengan pantas ke puing tersebut.

 

“Nanti!!!”jerit Avril.

 

Tseki melompat lalu memeluk Henri, kelihatan pancaran plasma sekilas, lalu mereka berdua jatuh. Badan Tseki bergetar. Henri begitu terkejut sehingga tidak dapat berkata-kata. Kelihatan lubang besar dan hitam di belakang Tseki yang mencair sehingga menampakkan tulang belakangnya. Tangan Tseki juga turut bergetar, dan darah segar mulai keluar dari mulutnya. Mata Tseki membelalak, membayangkan kesakitan yang dirasainya pada ketika itu. Ini adalah perkara yang paling buruk yang pernah dilihat sepanjang hidupnya.

 

“Tidak! Tidak! Tidak! Mengapa kau perlu buat begini, gadis kecil? Mengapa? Mengapa?” Henri menangis semahu-mahunya. Dia memeluk kepala Tseki dan mencium dahinya. Avril berlari mendapatkan mereka.

 

“Bodoh kau, Henri!! Tseki! Tseki! Tidak, Tseki!” kata Avril sambil menolak bahu Henri dengan kuat. Dia menggoncang bahu Tseki. Tseki masih mampu tersenyum.

 

“Jangan begini… Hantarlah aku dengan senyuman… Sudah cukup aku menderita. Aku fikir apa yang dicari Henri amat penting baginya… Barangkali pemergianku dapat membantunya… Sebetulnya aku memang mahu pergi dari dunia ini untuk berjumpa dengan adik serta ayah ibuku,” kata Tseki perlahan, dengan tersekat-sekat.

 

Avril menarik kolar baju Henri yang masih menangis untuk berlindung. Apabila sampai di sebuah kebuk, Avril menolak Henri ke dinding sambil mengesat air matanya. Avril duduk bersandar ke dinding. Matanya dipejam.

 

“Barang apa yang penting benar sehingga kau perlu berkelakuan seperti manusia bodoh?” tanya Avril akhirnya.

 

Henri menceritakan bagaimana dia, seorang manusia dari tahun 2016 datang ke Brutaland pada 4011 melalui medallion bercahaya itu. Dia percaya jika benar Sigulark yang memilikinya, mungkin dia akan ke tahun 2016 dan memusnahkan dunia lebih awal. Dia menceritakan betapa indahnya tahun 2016. Pepohonan indah, pantai yang bersih, kegembiraan, tawa, makanan yang banyak, sekolah, burung dan keamanan. Avril menggeleng bagaikan tidak percaya. Itu semua kedengaran begitu surreal baginya.

 

“Barangkali kau fikir aku gila,”

 

Avril menggeleng.

 

“Tidak. Barangkali kau benar. Barangkali semua ini boleh dihentikan dengan kau, kembali ke duniamu, kakek,” kata Avril perlahan.

 

“Jika aku berjaya mendapatkan medallion itu, apa kata kau ikut aku kembali ke sana?” tanya Henri lagi. Airmatanya masih berbaki. Avril menggeleng.

 

“Ini duniaku, kakek,”

 

“Oh, Avril…Avril. Keluar kau sekarang! Kau mahu membunuhku, bukan? Nah! Aku di sini sekarang,” kedengaran suara Sigulark bergema. Avril bangun perlahan. Dia mengeluarkan senjata plasmanya.

 

“Ahh…” Avril sedar yang bahagian trigger senjata plasmanya telah patah dan ia tidak boleh digunakan lagi. Pistol itu dicampak sahaja ke atas tanah. Avril kemdiannya mengeluarkan senjata seakan-akan tekpi namun lebih panjang dari biasa dari poket seluarnya.

 

“Nampaknya aku terpaksa bertarung cara lama, kakek,” kata Avril, tersenyum tawar. Walaupun jelik di telinga Henri panggilan kakek itu, namun dia hanya memandang Avril dengan pandangan yang kosong. Dia ingin membantu Avril namun dia tidak tahu seni mempertahankan diri. Sekarang dia benar-benar menyesal kerana tidak belajar apa-apa seni mempertahankan diri.

 

“Kau tak perlukan lakukan begini, Av,” kata Henri sambil memegang bahu Avril. Avril menepuk tangan Henri.

 

“Memang misiku adalah untuk membunuh Sigulark. Aku kehilangan tempat tinggal dan ahli keluargaku kerana Sigulark. Kerana selagi ada dia, Brutaland tak akan bebas. Aku bersedia dengan apa saja kemungkinannya. I have nothing to lose,” kata Avril tenang tetapi tegas. Sinar matanya membayangkan perasaan marah, sedih, dan duka yang bercampur.

 

“Hei, Sigulark! Aku sudah ketiadaan pistol plasmaku. Apa kata kita bertarung cara lama? Kita buat perhitungan sekarang juga!” Avril mengintai Sigulark di balik puing. Dia terlihat Sigulark mengeluarkan pistol plasmanya lalu melemparkan ia ke tepi.

 

“Ayuh!” Avril mengeluarkan senjatanya yang berbentuk tekpi itu. Avril melompat ke bawah ke ruang kosong yang bakal menjadi tempat pertarungan mereka. Sigulark juga mengeluarkan tekpinya.

 

Avril menyilangkan tekpi di wajahnya dan merenung Sigulark dengan pandangan yang tajam. Dia membayangkan wajah Sigulark yang tertawa terbahak-bahak ketika besi panas dilekapkan ke wajahnya suatu ketika dahulu. Celaka kau, Sigulark.

 

Sigulark begitu juga. Masing-masing dalam posisi bersedia untuk menyerang. Avril melompat lalu cuba menikam Sigulark. Sigulark menahan tikaman Avril dengan tekpi dan bergerak ke kanan. Dentingan keluli membingitkan suasana. Avril bergerak kehadapan lalu menunduk sedikit dan mencalarkan bahagian bawah dada Sigulark. Sigulark menjerit kesakitan.

 

“Arghhhh!!!” Sigulark mengesat darah di bahagian bawah dadanya lalu meluru marah ke arah Avril. Avril mengelak lalu mengilas tangan kanan Sigulark ke belakang lalu menekan Sigulark di atas tanah. Sigulark terlepas salah satu tekpinya. Dia menyiku dagu Avril. Avril mengaduh kesakitan lalu menghantukkan kepalanya pada kepala Sigulark. Sigulark tidak terus diam lalu membenamkan mata pisau yang dipegangnya ke paha kiri Avril. Avril menjerit kesakitan. Darah membuak-buak membasahi paha Avril, namun Avril kekal kemas memegang lengan Sigulark.

 

Henri memerhatikan pertarungan itu dengan penuh cemas. Aku harus membantu Avril, kata Henri dalam hati. Namun bagaimana? Henri memandang ke kiri dan kanan, memikirkan bagaimana caranya untuk membantu Avril.

 

Ketika Avril dan Sigulark sedang bergelut, kelihatan medallion yang dicarinya terkeluar dari poket Sigulark. Mata Henri terbeliak. Dia melompat ke arah medallion namun apabila dia terlihat Avril kini dicekik Sigulark, Henri terus meluru ke arah Sigulark dan menendang perutnya. Awwww!! Inilah pertama kali Henri menendang orang. Sigulark terjatuh kebelakang, lalu mencapai pistol plasma yang berdekatan dengannya. Dia cuba menembak Avril lalu Henri memegang kuat tangan Sigulark. Sinaran plasma terkena bahu Henri. Henri menjerit kesakitan. Dia memegang bahunya yang melecur dan dapat merasakan kulit bahunya mencair, meleleh ke lengannya. Dia memejamkan mata menahan kesakitan.Tiba-tiba Sigulark menjerit kuat. Avril berjaya menikam perut Sigulark. Sigulark mengesat darah yang keluar dari perutnya dan memandang tangannya yang dipenuhi darah pekat seolah-olah tidak mempercayai ia berlaku. Dia memandang wajah Avril, menunjuk tepat ke wajahnya. Tidak lama selepas itu Sigulark menarik nafas terakhir. Avril dan Henri termengah-mengah menahan penat.

 

“Kau, boleh tahan juga, kakek,” kata Avril sambil tersenyum. Dia berjalan terhencot-hencot ke arah Henri. Henri membalas senyumannya. Dia bangun lalu mencapai medallion mistik itu.

 

“Marilah bersamaku, Av,” pujuk Henri. Avril menggeleng lagi. Dia mengoyakkan lengan bajunya lalu membalut luka pada pahanya.

 

“Tidak, kakek. Ini duniaku. Pulanglah. Ubah duniamu. Jangan biarkan aku hidup begini,” kata Avril sambil menepuk bahu Henri. Henri tersenyum tawar.

 

Tiba-tiba, tanah terasa seperti bergegar. Bunyi desingan mesin berkumandang di ruang udara. Dengan langkah yang terhencot-hencot, Avril menjenguk ke luar bangunan. Dari jarak kira-kira 3km dari kedudukan mereka, Avril ternampak puluhan kereta kebal mekanise serta kenderaan anti-kereta kereta kebal dengan turet yang besar, barangkali senjata balistik infantri menuju ke arah mereka. Kelihatan bendera berbintang 15 berkibar pada bahagian turet kenderaan tersebut.

 

“Pemberontak Arnica …” jawab Avril, lemah. Dia memandang sayu wajah Henri. Henri memegang tangan Avril, masih mengharapkan Avril mengikutinya.

 

Letupan meletus. Bahagian atas bangunan lama itu bergegar dengan dahsyatnya. Avril melepaskan tangan Henri lalu menolaknya jauh. Kakinya tidak mampu berlari laju.

 

“Pergilah, kakek. Pulang ke duniamu!”

 

Henri segera menggosok medallion itu. Medallion itu mengeluarkan cahaya yang amat terang. Tiba-tiba bumbung di atas kepala Avril mulai runtuh. Avril melambai sayu.

 

“Avril!!!!!!!!”

 

Sinar cahaya yang menyilaukan itu bagaikan menembusi tubuhnya, dan dia bagaikan berputar-putar di dalam dimensi gelap yang tiada penghujungnya. Bunyi yang bising akibat putaran itu membingitkan telinga namun Henri menahannya. Tiba-tiba dirasakan kakinya menjejak bumi.

 

Lantas, dia membuka matanya. Dia masih berdiri di tempat yang sama ketika Raybannya jatuh. Bagasi masih di tangannya. Dia memegang bahunya. Tidak terasa apa-apa kesakitan. Matanya mengerling ke arah jam tangannya. Jam menunjukkan dia masih ada 2 jam sebelum penerbangannya ke Milan. Henri menarik nafas dalam. Apakah ini hanya mimpi? Mana medallion itu? Dia terasa ada sesuatu di poket jaketnya lalu dia menyeluk poketnya. Kertas. Lalu dibukanya. Kalendar 4011. Henri amat terperanjat. Apakah ini semua benar?

 

Dia menampar pipinya sekali lagi. Nyata dia tidak bermimpi. Tiba-tiba Henri bagaikan kehilangan arah. Dia tidak lagi teruja untuk pergi ke Milan Fashion Week. Wajah Avril dan Tseki silih berganti di fikirannya. Tanpa disedarinya, airmatanya mengalir perlahan. Bagasinya ditarik perlahan meninggalkan lapangan terbang. Tiba-tiba, dia tersepak sesuatu. Mangkuk dengan syiling bertaburan.

 

“Maafkan …” kata-kata Henri terhenti di situ sahaja. Alangkah terperanjatnya apabila dia melihat wajah kanak-kanak perempuan yang kudung kaki kirinya dan bertopang itu. Lantas dia memeluk kanak-kanak itu.

 

“Tseki …”

 

“Tidak, saya Aminah,” kanak-kanak itu melihat wajah Henri seraya kehairanan.

 

“Mana ibu bapamu?”

 

“Aku sebatang kara,” kata Aminah lalu tunduk. Henri mengusap rambut Aminah. Henri menarik tangan Aminah.

“Marilah, biar aku jadi ibu bapamu.”

 

Kanak-kanak itu tersenyum. Henri menahan sebuah teksi, membantu Aminah menaikinya, terus meninggalkan lapangan terbang. Henri memandang ke hadapan, mencari jalan, agar dunia yang indah ini tidak dimusnahkan oleh ketamakan manusia. Henri tahu. Kerana dia telah melihat sendiri natijahnya. Hati Henri berbunga dengan cita-cita baru. Dia tidak ingin lagi menjadi wartawan fesyen terkenal. Dia mahu mengubah dunia. Dia tidak mahu generasi akan datang menderita kerana generasinya bersikap sambil lewa dengan kehidupan dengan mementingkan perkara enteng.

 

Dari jauh, seorang lelaki berkot hitam, dalam lingkungan 30an, dan bertubuh tegap memerhatikan Henri dari jauh. Tiba-tiba jam tangannya berbunyi. Dia menekan butang pada jam tangannya. Kelihatan hologram seorang wanita terpancar pada jam tangannya.

 

“Bagaimana misimu?”

 

“Selesai. Presiden Henri Ashman selamat pulang dari tahun 4011. Memohon kebenaran untuk pulang, puan,”kata lelaki itu.

 

“Tidak, Byo. Kau akan menjaga keselamatan Presiden Henri Ashman sehinggalah dia memegang tampuk pemerintahan. Dunia memerlukan Tuan Presiden. Begitu ramai musuh mencari peluang untuk membunuh Tuan Presiden,” kata wanita itu lagi.

 

Byo mengangguk. Dia tidak membantah, malah dia merasa bangga dapat membantu Presiden Henri Ashman mencapai cita-citanya. Dia mengeluarkan potret Presiden Henri Ashman dari poketnya. Lelaki itu berdiri dengan penuh karisma di hadapan rostrum ketika Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-100, di mana dia menentang habis-habisan penjualan dan pembikinan senjata oleh negara-negara maju, mengejutkan dunia dengan kelantangannya. Byo tersenyum sendiri.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s