API PERTEMPURAN – SEBUAH PERMULAAN (CI)

Pertembungan keluli dengan keluli membingitkan telingaku. Punggungku ditendang oleh Zopa, seorang pemburu naga yang hebat di Tentiga.

“Lembab kamu kamu ni, pantas mau bertempur dengan naga?” kata Chelli, rakannya. Satu sesi latihan yang memenatkan.
Entah sejak kapan, aku menjadi pemburu naga. Seingat aku, aku adalah anak yatim yang dibesarkan oleh 2 orang pemburu naga, Zopa dan Chelli, dari wilayah Timur Necrosa, sebagai budak suruhan. Kedua lelaki ini melayanku dengan baik, walaupun aku sekadar budak suruhan. Namun sekian lama membesar dengan mereka, aku juga mewarisi keberanian mereka, lantas aku memohon untuk berguru dengan mereka. Dengan berbesar hati, mereka mengajarkan aku. Setelah aku meningkat remaja, aku enggan menyusahkan mereka lagi lalu bersendirianlah aku mengembara di sekeliling buana, memburu naga jahat yang mengganggu penduduk tempatan. Upahnya juga lumayan, maka sedikit pun aku terasa canggung hidup sebagai pemburu naga.

Sebetulnya, naga merupakan makhluk yang baik dengan manusia, namun manusia berubah dengan waktu, mereka tidak lagi menganggap naga sebagai teman akrab, sebaliknya sebagai binatang suruhan. Apabila naga diperlakukan dengan buruk sekali, sehinggalah suatu ketika, naga memberontak secara besar-besaran, mengganggu dan memusnahkan ladang dan tanaman serta tempat tinggal manusia.

Pada suatu hari, ketika melintasi sebuah perkampungan sunyi, naga mengganggu sebuah ladang petani miskin bersama anak perempuannya dengan membakar kesemua tanamannya.

Anak kecil itu sedang bersembunyi di dalam takungan air dan menjerit ketakutan apabila naga itu menyemburkan api. Dengan pantas aku berlari mendapatkan anak itu.

“Sambut tanganku gadis kecil!” kataku sambil menghulurkan tanganku. Aku berpaling ke belakang dengan cemas apabila melihat naga itu semakin hampir. Anak kecil itu panik. Aku menghunuskan pedang dan mengangkat perisaiku untuk melindungi diriku dan anak kecil itu. Naga itu menyemburkan api lalu membakar perisaiku sehingga merah menyala lalu membakar lenganku. Segera aku melemparkan perisai itu ke tanah. Tanpa membuang masa, pedang ku tikam pada bahagian dada naga itu, namun ia sempat menyemburkan api buat kali terakhir, maka tanpa perisaiku, tiada jalan lain untuk menyelamatkan anak itu selain menjadikan diriku sebagai perisai. Aku berpusing pantas ke hadapan, membawa anak itu ke belakangku. Kesan daripada semburan api itu, aku tercampak ke belakang.

“Argghhh!!!” aku menepuk api di bahagian perutku yang ditutupi tunik dari kain kapas dan bulu bebiri. Bajuku sudah terbakar, dan menampakkan bahagian kulit perutku yang mencair.

“Wirawati pedang, maafkan aku,” kata si kecil sambil memegang kepalaku. Rambut yang ku kepang kemas diusap berulang kali. Badanku semakin lemah.

“Tak mengapa, anak kecil. Asalkan kau selamat. Siapa namamu?”

“Vimala… Ayah!Ayah!Tolong wirawati pedang!” aku berpaling ke susuk tubuh yang dipanggil ayah itu, namun pandanganku semakin kabur.

Apabila mataku kubuka, aku masih berada di ladang itu. Bahagian perutku telah dibalut kemas.
“Wirawati sudah tidak sedarkan diri selama 4 hari,” aku berpaling ke arah suara yang ku dengari itu. Kelihatan seorang lelaki, berusia pertengahan 20-an, berpakaian lusuh (barangkali baru pulang mengerjakan ladang), bertubuh kemas dan bermata biru. Pandangannya menggetarkan hatiku. Suatu perasaan yang belum pernah aku rasakan sebelum ini.

“Ohh…maka dengan itu, aku terasa lapar sekali,” petani itu ketawa.

“Sudah pastilah. Aku Aishi. Makanan sudahku sediakan.”

Sudah hampir 10 tahun Aishi menjadi petani di Kampung Suneni. Selama 7 tahun pula Aishi berkabung dengan kematian ibu Vimala. Jadi hanya mereka berdua tinggal di situ.

Hampir sebulan aku tinggal bersama Aishi dan Vimala sementara menantikan lukaku sembuh. Semakin hari juga, perhubungan aku dengan Aishi semakin rapat. Tutur katanya yang lembut dan penyayang membuatkan aku jatuh kasih. Namun aku sedar, dengan kecederaan begini, aku tak mungkin memperolehi anak. Maka aku harus melupakan Aishi. Setelah cukup 2 bulan aku bersama Aishi dan Vimala, akhirnya aku bercadang untuk meneruskan perantauanku. Namun Aishi menghalang. Tanpa disangka, dia mahu aku menjadi ibu kepada Vimala dan isterinya, menerima aku seadanya. Maka terhentilah perantauanku, dan sekian lama juga tidak kedengaran serangan naga. Aku juga semakin selesa berladang, walaupun pendapatannya tidak seberapa, daripada menempa kehidupan yang berbahaya dalam perantauan.

Sehinggalah pada suatu hari, perutusan Maharaja Weji sampai ke perkampungan kami.

“Rakyat Jevata disuruh berjaga-jaga kerana raja segala naga, Vaturo sedang mengamuk di pelusuk Jevata. Vaturo tidak lut akan pedang dan sangat kebal. Maka Maharaja Weji mahu rakyatnya sentiasa berwaspada.” laung perutusan itu di pentas perutusan kampung Suneni. Aku terdiam seketika. Semua penduduk Suneni di pentas perutusan itu memandangku.

“Shiroda, kau harus tolong kami menyelamatkan kampung ini!”laung salah seorang penduduk.

“Tidak!Aku takkan benarkannya!” Aishi menarik tanganku pulang.

Aku tidak mengeluarkan sepatah kata. Aishi hanya memelukku sepanjang malam di atas perbaringan tanpa berkata apa-apa. Fikiranku menjadi kosong ketika ini.

“Aishi…”

“Tidak, Shiroda. Jangan kau mulakan,”

Aku meleraikan pelukan Aishi dan bangun lalu menatap wajahnya.

“Aishi, aku ditakdirkan menjadi pemburu naga. Jika tidakku bantu mereka ini, maka siapa lagi? Mahukah kau melihat orang lain terkorban kerana kau mementingkan dirimu sendiri?” Aishi terdiam.

Dengan berat hati, Aishi membenarkan aku pergi. Maka aku memulakan perjalanan dengan berjalan kaki untuk menghadap Maharaja Weji terlebih dahulu di Istana Manchana, di barat laut Jevata. Perjalanan memakan masa hampir 4 hari 4 malam.

“Shiroda, aku dan Vimala akan menanti kepulanganmu, kembalilah dengan kejayaan,” terngiang-ngiang kata-kata Aishi. Kakiku langkah dengan semangat.

Sesampainya aku di Istana Manchana, aku disambut oleh Perdana Menteri. Dibawanya terus ke balai penghadapan.

“Wah, kita ada wirawati pemburu naga di dalam negeri ini. Bolehkah kau melakukannya, Shiroda? Sudah ramai hulubalangku terkorban menentang Vaturo,”titah Maharaja Weji sambil menyuruh aku berdiri selepas sembah hormat.

“Apa yang aku boleh katakan Tuanku, jika kita tidak mencuba, kita takkan tahu hasilnya,”

“Baiklah, Shiroda. Ini Marele, ahli serapah Jevata. Mungkin dia boleh membantumu menewaskan Vaturo,” titah Maharaja Weji. Aku memandang Marele, ahli serapah tua itu memandangku lalu melurut-lurutkan janggut putihnya.

“Marilah wirawati,” Marele membawaku ke bilik bacaan. Disana terdapat pelbagai buku-buku perubatan dan serapah miliknya.

“Aku mungkin tidak boleh membantumu dari segi fizikal. Namun aku bisa membantumu, mencari siapa yang boleh memberikan kamu jawapan kepada persoalan, bagaimana hendak mengalahkan Vaturo,” kata Marele sambil menarik buku yang besar yang berdebu, meniup debu tersebut lalu membukanya.

“Nah, di sini. Di bahagian barat Jevata, berdekatan tanah gersang Palinia. Tinggalnya makhluk mistik Necrin, orang kenit bermata cahaya. Pergilah berjumpa mereka. Hanya makhluk mistik yang tahu rahsia makhluk mistik yang lain,” kata Marele sambil menunjukkan satu kawasan yang ditanda dalam buku tersebut. Aku mengangguk.

Aku dihadiahkan seekor kuda hitam yang cantik dan gagah oleh Maharaja Weji bagi meneruskan perjalanan ke arah barat Jevata. Perjalananku membawaku ke sebuah hutan misteri yang bercahaya pada waktu malam.

“Mengapakah kau di sini wahai wirawati?”kedengaran banyak suara yang gemersik halus bergema di dalam hutan tetapi tidakkku nampak susuk tubuh mereka, hanya mata yang bercahaya meliuk-lentok dibuai angin.

“Aku ingin mengalahkan Vaturo, tetapi aku tak tahu bagaimana caranya. Bantulah aku wahai Necrin yang budiman,”ujarku perlahan. Makhluk itu kedengaran berbisik sesama meraka. Agak lama juga mereka berbincang.

“Kami juga ingin membantumu namun kami tidak tahu bagaimana untuk mengalahkan Vaturo, tetapi kami tahu di mana dia bersembunyi. Ia bersembunyi di gua Frockesvar. Maaf wirawati yang berani,” kedengaran suara-suara itu lagi.

“Yang boleh membantumu hanyalah orang bunian Ibata.”

Tanpa membuang masa, aku terus memacu kudaku ke kawasan padang rumput Ibata.

“Aku telah lama menanti kehadiranmu, Shiroda,”ujar Palawan Jaxi, ketua orang bunian Ibata ketika aku mula-mula sampai di kaki Gunung Vavenga. Rambutnya putih dan panjang ke paras pinggang. Telinga runcing ke atas, begitu juga jari-jarinya. Telah umum diketahui, orang bunian Ibata mempunyai mata berwarna ungu yang cantik. Aku amat terkejut kerana Palawan Jaxi tahu akan namaku.

“Ia sudah tertulis dalam kitab kami, bahawa ada wirawati yang akan datang melawan Vaturo. Namanya pohon yang tinggi (shii-ro-da dalam Bahasa Jevata), namun nasibnya hidup atau mati, tidaklah kami ketahui,”kata Palawan Jaxi lagi.
Aku hanya terdiam.Sememangnya, aku sudah bertekad, hidup atau mati aku dalam perjalanan ini, aku berserah kepada Tuhan sahaja.

Palawan Jaxi mengeluarkan sebuah kotak yang dibalut dengan kulit lembu dari bawah perbaringannya.

“Shiroda, ini bukan sebarang pedang. Ia ditempa oleh ahli sihir putih Gunung Vavenga dengan kuasa mistik 7 bebola phoenix. Tidak kira sekeras mana sekalipun kulit naga, pedang Vetanga boleh menembusinya,”ujarnya. Aku hanya mengangguk lalu menerima pedang itu.

“Tapi ingat Shiroda, yang bakal kau hadapi, bukanlah sebarang naga, tetapi raja segala naga, Vaturo. Jangan sekali-kali ada perasaan takut dalam dirimu. Naga mistik ini akan menggunakannya untuk melemahkanmu. Jangan takut akan hidup mati. Jika takdir kau mati ditangannya, maka tiada siapa boleh menghalangnya. Jadi, berusahalah! Huei san pareva mara savenga puro vavenga!!!” tiba-tiba Palawan Jaxi menepuk kedua-dua belah bahuku lalu menggengamnya erat. Aku ternampak badannya menyala dengan nyalaan merah. Bahuku terasa panas. Mungkinkah ini aura merah Waxi, aura keberanian orang bunian. Kepanasan itu bagaikan membahang ke seluruh tubuhku namun aku tidak boleh bergerak.

“Ahhh!!!!!!!!!!!”aku menjerit sekuat hatiku apabila kepanasan itu terus beredar ke seluruh tubuhku. Perlahan-lahan tubuhku juga menyala dengan nyalaan merah. Mataku mulai panas, kabur dan gelap. Aku terus menjerit apabila anak mataku begitu perit bagaikan mahu buta rasanya. Setelah semuanya selesai, mataku ku buka perlahan-lahan. Dan aku dapat lihat di cermin, anak mataku bertukar biru pada mata kiriku dan bertukar hijau pada mata kananku.

“Kini kau sudah bersedia. Pergilah, Shiroda. Semoga Tuhan bersamamu,”ujar Palawan Jaxi sambil menepuk bahuku. Aku menyisip Vetanga di pinggangku. Kepijaran aura Waxi masihku rasakan apabila aku memacu kudaku ke Frockesvar pada malam itu juga.

Bahang api naga dapat kurasakan ketika aku menghampiri gua Frockesvar. Kelihatan mulut gua bagaikan bercahaya dengan cahaya api yang keluar dari mulut naga. Vaturo yang besarnya 100 kali ganda dariku, bersisik keras, hijau kehitaman, mempunyai ekor yang tajam dan keras, kaki yang kuat dan pergerakan yang pantas, masakan tidak dia dipanggil raja segala naga. Dia boleh menghidu aura ketakutan. Maka dengan itu aku teguhkan hati. Aku menghampiri gua. Derap kakiku mengejutkan Vaturo lalu dia bingkas dan melemparkan pandangan yang tajam padaku.

Aku menarik Vetanga keluar dari sarungnya lalu mengheretnya ke lantai. Gesekan keluli dan lantai gua memercikkan api.

Aku telah bersedia.

Tuhan, bantulah hambaMu. Sesungguhnya aku yang lemah ini mengharapkan pertolonganMu. Jika ditakdirkan aku mati, Ya Tuhan, biarkan aku mati dengan terhormat.

Dan Vaturo mengaum kuat, seolah-olah mencabarku bertarung.

Vetanga ku hunuskan kehadapan wajahku. Perisaiku genggam kemas.

Marilah. Ayuh kita mulakan.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s