NO – 8. Sakura dan Pedang

Xeva mengasah pedang Exabenanya di ruang santai balkoni rumahnya. Cuaca pagi yang mendung mengizinkan aku membuat kerja yang leceh ini. Exabena merupakan pedang tradisi Rugeva yang berukuran 18 inci, dihiasi dengan pemegang yang indah diperbuat daripada keluli bersulam tembaga merah dan bahagian pommelnya berbentuk daun pakalolo namun dihiasi dengan ukiran awan larat yang cantik. Bagaimanapun Xeva menyuruh penempa pedang mengukir namanya pada guard pedang. Pedang ini ditempa khas di Wilayah Azaz. Ia diperbuat daripada keluli karbon tinggi, AISI 1050 yang terdiri daripada komposisi besi, manganese dan karbon. Ia ditempa menggunakan suhu tinggi. Ia keras tetapi fleksibel dan ringan.

samurai-girl-female-warrior-wallpaper-hd-3

Aku menyentuh bilah pedang yang tajam, berkilat itu. Ia sudah sedia untuk digunakan. Aku bercadang untuk berlatih pedang dengan Hera pada esok pagi. Cahaya matahari berkilau menyinari bilah pedang dan ia menyilaukan mataku.Aku teringat kata-kata Spaiteku.

“Bilah pedang yang cantik bagaikan cinta. Jika terlampau diasah, ia akan kehilangan bentuk. Jika tidak diasah, ia akan berkarat,”

Kenapa cinta jadi perumpamaan? Mungkin Yaque Spaite seorang yang melodramatik. Aku tersenyum sendirian membayangkan Yaque Spaite sedemikian rupa.

Aku membawa masuk pedangku dan menyusun semua kelengkapan untuk aku ke gymnasium dan gelanggang pedang di sebuah meja kopi yang memang aku khaskan untuk barang-barang Jedieku di ruang tamu. Aku merasa sedikit lenguh lalu aku berehat di sofa. Tanganku pantas mencapai alat kawalan jauh televisyen lalu ku hidupkan TV.

Terpapar rancangan sukan dimana acara meluncur ais menjadi tajuk menarik berita tersebut. Peluncur sedang melakukan gerakan Axel, lompatan setengah putaran ekstra (180 darjah)dan pendaratan dilakukan dengan meluncur ke belakang. Hatiku terasa sebal. Jika tidak aku menjadi Spaite, sudah tentu aku yang melakukan lompatan Axel tersebut di kaca TV. Indahnya gerakan peluncur ais, mengikut irama indah, membawa aku ke dunia fantasi yang indah.

Masih terkenang saat pertama kali aku menyertai pertandingan meluncur ais di Sogota. Aku begitu gementar, sehingga tanganku menggigil. Ayahandalah yang menjadi penyokong setiaku. Tanganku digosok sehingga aku tidak menggigil lagi. Bahuku ditepuk berulangkali untuk memberi semangat padaku.Bonda mencium dahiku sebagai tanda restu.

“Inilah masanya Xeva. Impianmu, di hadapan matamu sekarang. Lakukan yang terbaik, nak.” ujar Ayahanda. Bonda melambai-lambai padaku di saat kakiku melangkah ke gelanggang.

“Xeva Rumana, peserta ke 13. Silakan ke gelanggang,” kedengaran di corong pembesar suara. Aku masuk ke dalam gelanggang, membuka kaki separa bahu, tangan kananku memegang bahu, tangan kiriku menjulang ke udara dan aku mendongak ke langit seolah-olah ingin mencapai Sang Hyang Tunggal yang memerhatikan aku jauh di syurga. Kemudian muzik dibunyikan, dan bagaikan dipukau, aku bergerak mengikut irama, kepalaku kosong, hatiku sunyi tetapi jiwaku kini bersatu dengan muzik dan aku dibawa dalam alam khayalan yang indah.

Aku bagaikan meluncur di atas kaca yang indah

Pada setiap luncuran ku, terdapat serbuk pari-pari yang memercikkan cahaya.

Di kiri dan kananku terdapat pepohonan sakura yang melambai, mengikut gerak langkahku.

Dan setiap kali aku dongakkan wajahku, bebunga sakura pun jatuh membelai wajahku.

Kelihatan awan dan bulan yang tersenyum padaku.

Kelihatan gunung-ganang yang terdiri daripada rerumput hijau dan kuning yang bersinar indah.

Hanya aku, diriku dan alam.

Tiada kekejaman, kesedihan atau kesengsaraan.

Tiada keperitan, kepahitan atau kesakitan.

Inilah duniaku.

Dunia Xeva.

Akulah Raja dan Ratunya.

Aku bebas menjadi diri sendiri.

Setelah selesai rutin, aku bagaikan menjadi manusia baru. Bagaikan terasa darah mengalir laju pada setiap saluran darah di wajahku. Pada hari itu, walaupun aku mendapat tempat ketiga, aku dianugerahkan Peluncur Harapan.

Selepas itu, setiap kali aku meluncur, aku bagaikan berada di dunia yang lain pula. Duniaku menjadi semakin luas dan lebar. Membuatkan aku bagaikan pungguk merindukan bulan setiap kali menunggu waktu untuk meluncur ais sekali lagi. Indahnya perasaan ini. Meluncur adalah terlampau magikal untukku. Ia merupakan talian hayat hidupku.

Tinggg!!!! Terjatuh Exabenaku apabila terkena alat kawalan jauh TV yang kuletakkan diatas meja kopi barang Jedieku. Sekaligus membuatkan aku kembali ke dunia sebenar. Kasut meluncur ais sudah lama tidakku sentuh. Mungkin takkan ku sentuh lagi.

Aku mengeluh sendirian.

************                               *************************                ****************

Aku sampai di gelanggang pedang sedikit awal kerana aku tidak suka kelam-kabut. Bolehlah aku memerhatikan Jedie lain juga. Memerhatikan teknik terbaru, pergerakan baru, personaliti pedang dan banyak lagi. Setalah memarkirkan Hondaku, aku melalui perkarangan depan untuk meninjau jikalau ada Spaite Parena yang lain berada di situ. Aku tak ingin melepaskan peluang untuk belajar. Setelah memanjangkan leherku ke semua gelanggang yang ada di situ, aku yakin aku sahaja Spaite yang berada di gelanggang itu pada hari ni. Aduhai…terlepas. Maka sebentar lagi, mungkin gelanggang aku dan Hera yang akan dipenuhi Jedie lain. Sesuatu yang aku kurang gemar, namun tiada ada apa yang dapat aku lakukan.

Walaupun aku bukanlah Spaite yang digemari warga Parena, namun disebabkan aku seorang Spaite, maka sebagaimana aku mengharapkan untuk belajar sesuatu yang baru daripada Spaite yang lain, sememangnya Jedie yang lain juga berfikiran yang sama. Tak ramai Jedie yang menawarkan diri untuk berlatih denganku, tidak pula aku terhegeh-hegeh mencari Jedie untuk berlatih denganku. Lagipun, Hera merupakan teman sparring yang baik. Maka aku bersyukur sahaja dapat berlatih dengan Hera.

Oleh kerana Hera belum tiba lagi, aku ke bilik loker terlebih dahulu untuk menyimpan topi keledarku dan menukarkan pakaian perisaiku. Aku memakai perisai utama di bahagian anterior and posterior, dan terus keluar sambil menyarungkan perisai di bahu dan lengan sambil mengepit Exabenaku. Aku terus ke gelanggang no 19 yang telah ditempah oleh Hera. Aku tahu banyak mata telah mula memberikan perhatian padaku setelah aku menukar pakaian perisai, namun aku abaikan semua. Aku membuka suis lampu dan menyisipkan Exabenaku ke ruang khas penyisipan Exabena di pinggangku. Aku terus memakai perisai tangan pula sambil menanti Hera.

“Eh, Jag Alagjir, Spaite,” kata Hera sambil membuat tanda hormat guru.

“Jag Alamjir, Hera Jedie,”

Setelah itu dia bangun dan bertanya,

“Dah lama sampai?” Aku menggeleng.

Hera dengan segera memakai perisai bahu dan lengannya. Setalah dipastikan kemas, dia terus memakai perisai tangan.

“Ambil masamu. Bila saja yang Jedie sudah bersedia,” kataku sambil berdiri di hadapan Hera. Aku mengambil sensor perisai bermagnet untuk dilekatkan pada perisai aku agar markah dapat dikira setiap kali pedang lawan menyentuh perisaiku. Aku memastikan papan kiraan digital itu berfungsi dengan baik. Bila ku angkat kepala, aku lihat di cermin sudah ada beberapa orang Jedie berdiri berdekatan dengan cermin. Tidak ada yang mahu bertentangan mata denganku tapi masih berdiri di cermin. Aku persetankan. Aku terus memakai topi pelindung wajah dan kepala.

Hera sudah bersedia. Dia membongkok sedikit padaku dan aku membalas. Dia menarik pedang keluar dan terus dihunuskan ke hadapan mukanya. Aku juga mengeluarkan pedangku dan ku hunuskan dihadapan mukaku.

Kemudian aku mengetuk pedangku dengan perisai tanganku. Inilah permulaan permainanku. Dentingan keluli itu bagaikan menyalurkan semangat ke jiwaku. Bagaikan arus elektrik diseluruh urat sarafku.

Kemudian Hera bergerak ke kiri, pedang dipegang dengan kedua-dua belah tangannya namun matanya fokus tepat padaku. Kebiasaannya selepas langkah ketiga atau keempat Hera akan memulakan serangan. Inilah kelemahan Hera, permulaan permainannya mudah dijangka. tepat pada langkah keempat Hera menyerang, aku melompat ke kanan dan menghentam pedangku ke kiri pinggang Hera.

Buzz!! Buzzer berbunyi menandakan markah pertama pihakku telah dikira.

Hera berundur dan cuba menghentam bahagian hadapan perutku, aku berundur dan meluru ke kanan Hera.

Buzz!!

Hera berpusing dan menghentam bahu kiriku.

Buzz!!

Dan perlawanan diteruskan selama 45 minit tanpa henti. Cukup 45 minit buzzer panjang berbunyi menandakan waktu perlawanan tamat. Aku membuka topi keledarku.

Hera – 7, Xeva – 10.

“Bagus Hera, banyak peningkatan,”pujiku. Hera membuka topi keledar dan perisai tangannya. Dia menyeka peluh di muka.

” Belum sebagus Spaite. Perisai Spaite macam ringan saja, boleh melompat ke sana kemari dengan mudah,” kata Hera sambil meminum air dari botol airnya.

“Taklah. AISI 1070 juga,”

“Aku tak percaya,” katanya lalu mencapai pedang dan mengetuk perisai bahuku dengan pedangnya.

Aku memandang ke arah luar. Jedie-jedie yang berdiri diluar cermin bagaikan berbincang sesama sendiri. Mungkin membincangkan tentang perlawanan kami.

Hera masih mengetuk perisai bahuku dengan pedangnya. Aku menolak lembut pedangnya dengan perisai tanganku.

“Takkan tak percaya lagi?”kataku sambil melucutkan perisai tanganku dan mencapai botol air.

“Iyalah, iyalah,” katanya.

“Perlawanan kedua?” tanyaku. Hera mengangkat ibu jarinya sambil tersenyum dan mengangguk. Tiba-tiba kami terdengar pintu gelanggang dibuka. Kami sama-sama berpaling. Ada seorang Jedie lengkap berperisai masuk ke gelanggang kami dan menghampiri kami. Apabila sudah cukup hampir, baru dia membuka topi pelindungnya.

Ariste.

“Jag Alagjir,” Ariste menunduk sedikit kepada Hera dan membuat tanda hormat guru padaku.

“Jag Alamjir,” balas kami berdua. “Bangunlah Jedie,” kataku pada Ariste. Dia memandang aku tepat dengan mata hijaunya.

“Kalau Spaite tak keberatan, boleh aku memohon tunjuk ajar Spaite?”katanya hormat. Aku memandang Hera.

“Gelanggang ini ditempah oleh Hera Jedie, jadi keputusan bukan di tanganku,” kataku.  Ariste memandang Hera. Hera mengangkat bahu.

“Aku OK. Aku menempah gelanggang ini untuk 4 perlawanan. Boleh juga aku belajar sesuatu yang baru daripada kamu berdua,”kata Hera. Ariste memandangku kembali. Mata hijau itu seolah-olah dapat memandang terus ke hatiku.

“Baiklah, kita mulakan selepas 15 minit,”kataku sambil cuba berlagak biasa. Aku terasa sensasi luar biasa yang kurang menyenangkan setiap kali Ariste berada dekat denganku.

Fokus Xeva, fokus.

Aku kosongkan mindaku daripada semua perkara termasuklah Ariste. Aku anggap di hadapanku bukanlah Ariste tetapi Jedie lain yang tidak aku kenal.

Cukup 15 minit, aku memakai kembali semua perisaiku termasuk topi keledar. Hera mula meninggalkan gelanggang lalu menutup pintu gelanggang dan memerhatikan dari luar. Ariste menukarkan nama Hera kepada namanya di papan kiraan.

Ariste berdiri kemas dihadapanku. Bersedia untuk perlawanan. Dia menunduk. Aku membalas. Masing-masing menghunuskan pedang. Tiba-tiba dengan serentak kami mengetuk pedang masing-masing dengan perisai tangan.

Aku mengerutkan dahi. Di sebalik topi pelindung aku nampak Ariste tersenyum.

Aku persetankan senyuman  itu dan kembali fokus. Jika dia mau pelajaran, itu yang akan aku berikan.

Ariste memulakan serangan dengan melangkah ke depan,  Aku split kan kedua-dua belah kakiku dan menyerang bahagian perutnya yang terdedah.

Buzz!! Satu markah untukku.

Aku bangun lalu menyerang pinggang kanannya dengan segera.

Buzz!!

Ariste berundur ke belakang dengan segera dan pinggang kananku dihentam.

Buzz!!

Perlawanan diteruskan sehingga cukup 45 minit. Buzzer panjang berbunyi. Pandangan ku alihkan pada papan kiraan.

Ariste – 7, Xeva -12.

Ariste membuka topi pelindungnya dan memandang papan kiraan. Lalu pandangannya kembali padaku.

Aku menghampiri Ariste.

“Bisa aku tegur sedikit, Jedie?” dia mengangguk.

“Cara kau hunuskan pedang ke hadapan akan mendedahkan bahagian perut untuk diserang pihak lawan,”kataku. Ariste mengangguk.

“Baik, Spaite,”

“Dengan tubuh yang tinggi lampai begini, kau sepatutnya lebih lentur dan fleksibel. Aku terpaksa bekerja keras untuk menghentammu kerana secara fizikalnya aku tidak setinggimu tapi kau tidak gunakan kelebihanmu sepenuhnya,”jelasku lagi. Ariste mendengar dengan tekun.

“Ada sebarang soalan?” tanyaku. Ariste terdiam sebentar. Barangkali memikirkan soalan.

“Aku ada pembedahan kecil di lututku. Terkadang aku terasa ngilunya setiap kali berpedang. Musuh boleh nampak kelemahanku. Bagaimana harus aku lindungi ia?”tanya Ariste. Aku terdiam. Oh, aku tak tahu perkara ini.

“Hmm…pertama sekali, jangan kau beritahu sesiapa. Walaupun aku. Kerana aku berpotensi menjadi lawanmu suatu hari nanti. Kedua, kau harus sentiasa kurangkan bergerak, mencuba serangan jarak dekat. Kau tak boleh jadi senaif ini Jedie. Kau bukan baru menjadi Jedie,” kataku. Ariste hanya termangu.

“Aku berharap aku tidak menjadi lawanmu, Xeva. Ini rahsia kecilku yang tidak aku beritahu sesiapa melainkan kau sahaja,” kata Ariste. Aku mengerutkan dahi.

“Untuk apa dan kenapa?”

“Entahlah, mungkin aku sudah kehilangan akalku,” kata Ariste sambil mata hijaunya memandangku. Pandangan yang sama. Mungkin aku mengerti apa maknanya. Mungkin tidak.

“Wah, perlawanan yang hebat Spaite, Jedie. Aku bertuah dapat melihatnya,” kata Hera sambil menghampiri kami. Dia menepuk bahu Ariste.

“Kita patut berlatih bersama,” katanya pada Ariste. Ariste tersenyum sambil mengangguk.

“Aku juga berharap begitu. Cuma jadualku kadang-kadang agak ketat. Jarang sekali aku dapat datang berlatih. Ya, aku pasti mahu berlatih denganmu juga dan dengan Xeva Spaite, jika dia tidak keberatan,” kata Ariste sambil menepuk bahu Hera.

“Aku tidak keberatan,”balasku. Ariste tersenyum.

“Aku pulang dahulu. Terima kasih kerana menumpangkan aku di gelanggangmu. Hail pasadia, Hera…Xeva,” Mendengar Ariste menyebut namaku tanpa panggilan hormatku, Hera terus memandangku. Aku tidak memandangnya.

“Hail pasadie,” balasku.

Ariste terus berlalu. Aku memerhatikan Ariste sehingga dia keluar dari gelanggangku dan Hera.

“Ehem…” Hera berdehem, memerliku barangkali. Aku menyiku perut Hera. Hera mengaduh kesakitan.

****************************************************************************************

Ariste menanggalkan perisainya satu persatu di dalam bilik loker sambil tersenyum seorang diri. Mood dia baik hari ini, Tidak mengelak atau membengis seperti selalu. Mungkin juga tempat yang paling aman baginya adalah gelanggang pedang, maka seeloknya aku menghabiskan banyak masa di sini, kata Ariste dalam hati.

Setelah sekian lama memerhatikan Xeva di gelanggang pedang, baru hari ini, dia berani berhadapan dengan Xeva di gelanggang. Dan ternyata ia merupakan keputusan yang paling tepat. Dia tidak terasa canggung untuk menuntut ilmu dengan Xeva. Bukankah itu lebih baik? Aku dapat tengok wajahnya sambil belajar sesuatu.

Maka Ariste mengambil keputusan untuk mengatur jadual kerjanya agar dia dapat menghabiskan lebih banyak masa di gelanggang bersama Hera dan Xeva.

Dengan semangatnya dia pulang ke pejabat, dengan misi baru. Jam menunjukkan pukul 12.00 tengah hari. Pastinya sekretarinya sudah keluar makan tengah hari. Bagus juga, bolehlah dia bersendirian sebentar. Namun apabila dia sampai, pintu pejabatnya masih terbuka. Dia hairan.

“Ayra, belum makan lagi?”katanya sambil masuk ke pejabat. Dia terkejut kerana ada orang lain di dalam pejabatnya. Seorang wanita yang cantik lagi anggun, memakai roba berwarna merah jambu pastel, rambutnya yang perang keemasan itu disanggul kemas. Dia tersenyum pada Ariste. Ariste pernah berjumpa dengan dia barangkali, tetapi dia tak ingat di mana atau siapa namanya.

“Tuan Ariste, kita ada tetamu, jadi aku tidak makan lagi sementara menantikan Tuan kembali. Aku cuba menelefon tapi rasanya tuan tinggalkan telefon dalam bilik loker,” kata Ayra sambil membetulkan kaca matanya.

“Oh, maaf Ayra kerana terpaksa menunggu aku.Pergilah makan sekarang. Biar aku berjumpa dia.”

Ariste berpaling pada wanita itu.

“Maaf kerana terpaksa menunggu,”

“Oh tak mengapa. Aku difahamkan kau pergi berlatih pedang untuk persediaan Kejuaraan Jedie. Kau mesti penat. Bonda Myrena kata setiap tahun kau menyertainya,”ujar wanita itu. Ariste mengerutkan dahinya. Dia pernah bertemu aku dan ibuku tetapi di mana ya? Ah canggung sekali.

“Aku Jenna. Barangkali kau sudah terlupa. Hari jadi Bonda Myrena. Hotel Baebossa, Balkera. Gadis kucing,” jelasnya. Ariste cuba mengingatinya. Ya, ya, ya…wanita inilah yang bonda berkenan sangat. Yang sangat sukakan kucing. Pegawai pemasaran di sebuah syarikat perumahan terkenal di Balkera. Anak orang kenamaan Balkera.

“Oh, maaf Jenna. Aku mempunyai daya ingatan yang lemah. Baru sampai di Parena?”kataku. Aduh…Ariste mengeluh dalam hati.

“Aku datang bercuti di Parena. Bonda Myrena kata sudah hampir 7 tahun kau berada di sini. Aku yakin kau pasti tahu ke mana yang boleh aku pergi untuk berjalan-jalan,”katanya girang. Ini pasti kerja bonda.

“Ya, sudah pasti, ” Ariste menjawab dengan senyum yang dipaksa. “Sebentar ya, Jenna. Aku mesti membuat beberapa panggilan,”

“Oh ya, ambillah masamu,”

Ariste keluar dan mendail nombor bondanya. Telefon berdering seketika kemudian diangkat.

“Bonda tahu, kamu mesti hendak berterima kasih kepada bonda,” kata bondanya sambil tertawa.

“Bonda, kenapa tak beritahu aku lebih awal?”

“Jika bonda beritahu pun, kamu pasti mengelak. Kamu belum cuba mengenali Jenna, bagaimana kamu tahu yang kamu takkan sukakan dia? Tidakkah terlalu lama untukmu menantikan Spaite yang kamu suka itu?”

“Kalau bukan kerana itu pun, aku belum bersedia untuk sebarang perhubungan,”kata Ariste kurang senang.

“Belum bersedia… sudah 30an masih belum bersedia. Cubalah dahulu, kenali Jenna. Kemudian beritahu bonda. Bonda bukan tak sukakan pilihan kamu, cuma bonda rasa tidak salah berkenalan dan bersahabat dengan wanita lain,”kata bondanya. Dia tahu bondanya bersikap sangat terbuka dengannya. Dia tahu bondanya risau kalau dia akan terluka.

“Baiklah bonda, aku cuba,”kata Ariste perlahan.

“Begitulah anakku. Selamat bergembira ya!”

Ariste menggaru sedikit kepalanya yang tidak gatal.

Ini merupakan masalah besar.

Bersambung…

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s