NO – 7. Mentari Merah

Sudah menjadi budaya di Rugeva barangsiapa yang berbudi, mereka yang menerima budi hendaklah berbahasa. Ariste tahu jika dia menawarkan diri untuk membayar Xeva pasti takkan menerimanya.

women_fantasy_art_armor_artwork_warriors_orange_hair_swords_1920x1200

Ariste menyisip kopi sambil menikmati indahnya pemandangan di waktu petang Persiaran Rasta. Di tangan, buku Puisi Jalaludin Rumi diselak helaiannya satu-persatu. Dia tertarik dengan satu puisi tentang wanita.

CINTA WANITA

Jika secara lahir isterimu yang kauatur, maka secara batin engkaulah yang diatur isterimu yang kaudambakan itu
Inilah ciri khas Manusia: pada jenis binatang lain cinta kurang terdapat, dan itu menunjukkan rendahnya derajat mereka.
Nabi bersabda bahwa wanita mengungguli orang bijak, sedangkan laki-laki yang sesat mengunggulinya; karena pada mereka kebuasan binatang tetap melekat.
Cinta dan kelembutan adalah sifat manusia, amarah dan gairah nafsu adalah sifat binatang.
Wanita adalah seberkas sinar Tuhan: dia bukan kekasih duniawi. Dia berdaya cipta: engkau boleh mengatakan dia bukan ciptaan.

Rumi

Wanita adalah seberkas sinar Tuhan.
Hebat ayat ini.

Kerana itulah yang dirasakan setiap kali bersama Xeva. Dia tidak tahu apa menariknya Xeva sehingga dia tidak tertarik pada mana-mana wanita lain.

Pernah sekali bonda kenalkan pada dengan saudara jauhnya. Cantik wanita ini. Seorang pegawai pemasaran pula. Tutur katanya lembut. Bijak pula. Entah siapa namanya Ariste sudah lupa. Begini pun, keserasian itu tiada. Entah, mungkin wanita tipikal bukanlah seorang yang dicarinya.

“Kau menanti pada yang tidak sudi, Ariste,”ujar bonda sekali. Ariste menggeleng.

“Sukar untukku jelaskan bonda. Tarikan itu ada, cuma dia dalam mode… hmm apa ya…bertenang,”

“Sejak kecil, beginilah kamu.Terlampau sukakan cabaran. Lagi sukar sesuatu perkara, lagi kamu suka. Kamu tidak kisah ke beristerikan Jedie?Apa kata orang nanti?”

“Spaite, bonda,”

“Spaite?Aduh Tuhan,” kata bonda sambil menepuk dahinya. Ariste tertawa kecil.

“Puteri Mahkota Rugeva, tidak kau mahu?”gurau ibunya.

“Tak mahu. Aku tidak mampu akan belanja keramaiannya.”

Ariste tertanya-tanya apa yang menyebabkan Xeva menjauhkan diri dari lelaki. Dia menarik, tapi dingin. Ingin sekali Ariste menyelami jiwa yang dingin itu, menuju ke dasar, memahami wanita unik dan misteri ini. Tetapi Xeva menutup rapat pintu hatinya. Jinak merpati, semakin rapat, semakin jauh ia pergi.

Apa yang Xeva perlukan adalah masa dan ruang. Dan Ariste bersedia untuk memberikan ia kepadanya. Mesti ada sesuatu yang berlaku dalam hidupnya yang menyebabkan dia jadi begitu.
Matahari terbenam di ufuk barat, perlahan menutup hari, meninggalkan ron-rona merah di langit. Semerah hati Ariste.

****       ****     ****

Aku mengutip cermin matanya yang terjatuh, sekali dengan buku-bukunya yang bertaburan di atas lantai koridor. Tanganku bergetar menahan marah namun ketakutan dan rasa malu melebihi perasaan amarah yang melanda diriku. Budak-budak nakal itu mengetawakan Xeva.

“Kau tengok cermin matanya yang tebal itu. Selayaknya menjadi kanta pembesar,” kata seorang budak lelaki yang berbadan besar. Pelajar lelaki yang berkulit kuning langsat, yang menyepak kakiku sehingga aku terjatuh juga tersenyum simpul. Barangkali bangga dengan perbuatannya.

Mereka terus berlalu. Aku menarik nafas lega. Cepat-cepat aku mengutip buku-buku untuk lekas-lekas beredar dari situ. Aku selalu membayangkan yang sekolah adalah tempat yang indah, menarik dan menyeronokkan. Zaman kanak-kanakku dihabiskan dengan belajar di hospital. Ayahanda selalu berkata yang sekolah itu menyeronokkan, ramai kawan. Boleh diajak meluncur ais sekali. Namun hakikatnya, kadang-kadang aku merasakan kehidupan di hospital  adalah lebih baik dari sekarang.

Menjadi pelajar yang paling lemah dari segi fizikal (kerana badanku masih menyesuaikan diri dengan penyembuhan setelah keluar dari hospital), kurus-kering, lemah akademik kerana aku banyak ketinggalan setelah sekian lama berada di hospital, bercermin mata tebal kerana pembedahan ketumbuhan di telingaku memberi kesan kepada retina mataku, aku juga tidak tahu menyesuaikan diri dengan suasana ramai orang, tidak pandai berfesyen, sudahnya menjadi bahan tawa pelajar sekolah yang lain.

Tetapi aku bersabar. Kerana ayahanda dan bonda banyak menghabiskan wang dan waktu semata-mata untuk lihat aku menikmati dunia di luar hospital, bergembira dan…bersekolah. Aku merasa bersalah kerana setiap kali aku pulang dari sekolah, aku terpaksa menguntum senyuman dan mereka cerita bahawa semua di sekolah baik-baik saja. Maka aku cari jalan untuk mengelak daripada masalah. Memilih untuk bersendirian di sudut, jauh daripada pelajar lain, makan berseorangan, mengelak laluan yang ramai pelajar. Pelajar SMA boleh menjadi sangat nakal dan kejam kadang-kadang.

Sunyi? Iya, sudah tentu. Tetapi aku selamat. Itu yang penting. Namun sesekali, aku akan terpaksa menghadapi anasir jahat di sekolah itu.

Ada sekali, pelajar lelaki merampas cermin mataku, di mana tanpa cermin mataku, aku tak mungkin boleh berjalan betul. Kedua-dua oculus dexter(mata kanan) dan oculus sinister(mata kiri) ku sudah rosak teruk. Mereka bermain, memanggil namaku, mengacah-acah cermin mataku. Kerana aku tidak boleh nampak dengan jelas maka akhirnya aku menangis semahu-mahunya kerana aku sudah tidak terdaya lagi untuk melawan.

“Hey, hentikan!”jerit satu suara. Setelah itu, aku mendengar pelajar-pelajar ini berlari meninggalkan kawasan itu. Kemudian ada tangan memegang kedua-dua belah tanganku dan membantu aku berdiri. Dia kemudiannya memakaikan cermin mataku. Akhirnya aku boleh melihat wajah yang orang yang membantuku sebentar tadi.

“Saudari, tak apa-apa?” tanyanya sopan. Seorang pelajar yang belum pernah aku lihat sebelum ini tersenyum padaku. Rambutnya pendek, beralun, berwarna merah keperangan disikat kemas dan berkulit sawo matang. Pelajar ini kacak sekali. Susuk tubuhnya besar, tinggi dan sedikit tegap. Barangkali suka bersenam. Sekarang aku tahu kenapa pelajar nakal itu melarikan diri.

“Aku OK. Terima kasih,”aku bangun lalu mengesat airmata. Aku membersihkan skirt labuh dan baju aku yang sudah kotor terkena tanah.

“Sama-sama. Aku bersyukur kerana saudari tak apa-apa. Aku Fretey. Pelajar baru di sekolah ini. Barangkali saudari boleh bantu aku cari kelas 2 Swadaya, dimana ya?”

“Oh, itu kelasku juga. Mari kita pergi ikut jalan ini,”jemputku.

Seterusnya Fretey menjad teman baikku. Kami duduk bersebelahan kerana tiada lagi meja kosong di kelas melainkan disebelahku. Kemana-mana kami bersama kerana dengan adanya Fretey, tiada yang berani menggangguku. Fretey anak seorang Spaite. Maka kerana di Sogota tiada sekolah Jedie sepenuh masa, maka ayahnya sendiri menjadi jurulatih Fretey. Melihatkan kesungguhan Fretey, aku yakin dia akan menjadi seorang Jedie suatu hari nanti.

Oleh kerana aku jarang bersosial, maka aku mempunyai banyak masa untuk menelaah pelajaran dan akhirnya aku berjaya menandingi pelajar lain. Dengan ini aku juga dapat membantu Fretey yang akademiknya tidak begitu baik berbanding denganku. Jadi aku boleh mengajarnya dan dia boleh melindungi aku. Setiap petang kami akan ke perpustakaan bersama untuk belajar dan bertukar-tukar fikiran. Aku masih menyimpan hasrat untuk menjadi peluncur ais. Maka setiap hari Rabu dan Khamis, Fretey akan menemani aku ke gelanggang ais.

Ramai yang cemburu akan persahabatan aku dan Fretey. Malah anak-anak gadis sekolah bukan sedikit yang menggilai Fretey. Aku sedia maklum. Fretey kacak, sopan dan gagah. Pastilah ramai gadis yang akan jatuh cinta padanya. Namun aku anggapnya sebagai teman baik sahaja. Aku sedar siapa diriku. Tak mungkin aku layak untuk berpacaran dengannya. Jika dia mahu bersahabat denganku sahaja, aku sudah bersyukur bangat. Aku yakin Fretey juga begitu. Dia hanya simpati padaku yang sering dibuli.

Sehinggalah pada suatu hari…

“Fretey, teman aku ke gelanggang ais petang ini boleh? Aku ada latihan tambahan. Nanti ada pertandingan meluncur ais. Aku tak mahu ketinggalan,”pintaku padanya dengan baik. Fretey pura-pura tidak mendengar.

“Hey, kau dengar tak?Aku minta tolong ni,”

“Kau ni tak boleh pergi sendirikah? Semuanya nak pertolongan aku. Kau ingat aku ni teman lelakimu kah?”kata Fretey, kasar. Aku terpempan.

“Apa maksud kau? Aku tak pernah…” belum sempat aku menghabiskan ayat, Fretey membalas kasar.

“Ah, sudahlah. Sudahlah jelik, hodoh, kurus-kering. Ada hati kau nak berpacaran denganku? Kau ingat kau siapa? Kau fikir kau akan menang pertandingan meluncur ais tu? Jangan perasanlah,”

Kata-kata Fretey menusuk ke hatiku sehingga tidak dapat tertahan lagi airmataku. Kenapa Fretey tiba-tiba begini? Selama ini aku begitu menghormatinya. Tidak pernah sekali pun aku terfikir untuk aku menjadi lebih daripada seorang sahabat padanya. Siapa yang telah meracuni fikirannya? Kalau iya pun, kenapa dia lebih percayakan orang lain daripadaku, sahabatnya?

“Menangis, menangis. Itu sahaja yang kau tahu. Perempuan macam kau, hanya layak berada di bawah tapak kaki lelaki. Kau tidak layak untukku,”dengus Fretey. Fretey terus berlalu keluar dari kelas.

Aku dapat merasakan hatiku hancur berkecai menjadi pecahan ribuan kaca kecil. Baru sahaja aku mahu menikmati indahnya dunia remaja. Baru sahaja aku mahu merasakan nikmat dan indahnya persahabatan setelah sekian lama. Aku merasa malu, sedih, marah. Semuanya bercampur-baur. Bagaimana mungkin aku dapat menghadapi semua ini lagi?

Aku mengambil beg sandangku. Ketika aku mendongak, aku ternampak Meira, Sallujah dan Veija tersenyum dan ketawa padaku. Aku dapat merasakan ini terjadi akibat perbuatan mereka. Mereka memang tergila-gila Fretey sejak sekian lama dan mencemburui aku. Aku melintasi papan tanda sekolah, maka aku ternampak tulisan besar yang ditulis menggunakan cat merah “Kutu Buku Lembik Cintakan Pria Bakal Jedie”. Aku mengetap bibir dan terus berlari. Aku masih terdengar lagi ketawa mereka dibelakangku.

Aku terus berlari dan pulang ke rumah. Pahitnya sebuah pengkhianatan. Pahitnya apabila persahabatan berakhir. Tekakku terasa kering. Mataku sakit. Jantungku terasa menyucuk-nyucuk. Kepalaku pening. Sakitnya Sang Hyang Tunggal. Mengapa ini selalu terjadi padaku? Aku hanya ingin wujud.

Sampai sahaja di rumah aku terus berlari ke bilikku dan mengunci pintu. Aku menangis semahu-mahunya. Kenapa Fretey? Satu-satunya sahabatku disekolah. Kenapa mesti dia juga berkelakuan begini padaku? Takkanlah kerana tulisan bodoh itu, dia harus berkelakuan begini padaku?

Aku menangis.

Dan terus menangis.

Dan terus menangis.

3 hari aku berada dalam bilik. Aku enggan membuka pintu, bercakap atau makan.Aku tidak dapat menerima situasi ini.

“Xeva, nak?Tolong buka pintu sayang. Kenapa denganmu? Semua masalah boleh selesai. Tolonglah buka pintu. Kasihankan ayahanda, nak,”Ayahanda mengetuk pintu. Perlahan aku membuka pintu. Ayahanda terus memeluk tubuh kurusku dan mengusap kepalaku.

“Kenapa nak? Aduh sayang, kenapa jadi begini?”

“Ayahanda pernah bilang, sekolah itu seronok. Aku akan punya ramai kawan. Ayahanda bohong. Aku tidak pernah mempunyai kawan. Aku sering dibuli. Aku tak mahu ke sekolah lagi,”kataku teresek-esak. Ayahanda mencium dahiku. Dia mengerutkan dahinya.

” Xeva tak pernah bagitahu ayahanda yang kamu dibuli. Kalau tidak, sudah pasti ayahanda akan melaporkan kepada pihak sekolah. Lagipun kamu kan ada Fretey,”kata ayahanda perlahan. Mendengar nama Fretey, hatiku sekali lagi hancur.

“Sudahlah ayahanda, jangan sebut namanya. Aku benci mendengar namanya,”

“Baiklah..baiklah,”

Ayahanda dan bonda membiarkan aku tenang selama seminggu. Setelah aku berjaya memulihkan semangatku, aku berbincang dengan ayahanda.

“Aku ingin masuk ke sekolah Jedie, ayahanda,”

Ayahanda dan bonda benar-benar terkejut dengan keputusanku. Bonda cuba menghalang, ayahanda cuba merasionalkan keputusanku. Namun aku tegas. Aku mahu jadi kuat. Aku tidak mahu berada di bawah tapak kaki lelaki. Aku juga tidak mahu sahabat. Ujar ayahanda, jika sekolah biasa pun aku tidak tahan dibuli, apatah lagi sekolah Jedie. Aku enggan menukar keputusanku. Aku mahu jadi Jedie. Lebih baik kalau aku boleh menjadi Spaite.

“Bagaimana dengan cita-citamu untuk menjadi peluncur ais?” Ayahanda cuba menghalangku lagi. Aku hanya menggeleng.

Maka bermulalah perjalananku sebagai seorang Jedie. Bukan mudah untuk aku masuk ke sekolah Jedie. Oleh kerana Sogota tiada sekolah Jedie, aku terpaksa ke Wilayah Azaz. Sekolah Jedie terkemuka, Salto Mallo sudah beberapa kali menolak permohonanku kerana  berat badanku yang tidak normal dan keadaan mataku yang tidak baik. Namun aku berkeras dan terus memohon tanpa henti. Akhirnya mereka mahu menerimaku dengan melihat kesungguhanku. Aku tahu sekolah Jedie akan menyediakan elaun kepada pelajarnya maka, aku ingin menyimpan elaunku untuk pembedahan mataku. Aku enggan menyusahkan ayahanda dan bonda lagi.

Dan oleh kerana akulah satu-satu gadis di sekolah itu, maka pelbagai jenis pembulian yang terpaksa aku hadapi. Mereka jijik ada gadis di sekolah itu. Apatah lagi, melihat keadaanku yang kurus-kering dan berkaca mata tebal. Mereka bertaruh aku hanya akan bertahan di sekolah itu selama sebulan.Mereka pulaukan aku dan enggan menjadi ahli kumpulan aku ketika latihan fizikal kerana aku bakal membuatkan pasukan mereka kalah dalam latihan fizikal Jedie. Sudah beberapa kali cermin mataku hilang. Banyak kali juga aku disepak terajang. Berapa kali aku dicederakan dengan sengaja. Mereka mahu aku sakit. Mereka mahu aku keluar. Namun aku bertahan. Aku mahu jadi kuat. Jika aku boleh hadapi semua ini, tiada apa lagi boleh menghalang aku diluar sana. Aku bekerja keras. Aku lebih banyak membaca, aku membuat lebih latihan fizikal, aku menjaga makananku.

Cukup setahun aku di Salto Mallo, aku menjalani pembedahan mata. Aku tak ingin lagi memakai cermin mata.

Dan aku teruskan perjuanganku. Aku tidak peduli sama ada aku ada kawan atau tidak. Mereka tetap membenciku. Aku persetankan semua.

Pada tahun ketiga aku berada di Salto Mallo, barulah mereka mahu menerimaku. Malah mereka menghormati aku melihatkan kesungguhan aku. Aku kini dianggap sebahagian daripada Salto Mallo. Namun aku hanya benarkan semua orang berada sejarak dengan lenganku sahaja. Aku tidak mahu rapat atau bersahabat dengan sesiapa. Aku tak mampu menerima penolakan atau kehilangan maka aku elakkan daripada rapat dengan sesiapa.

Sesekali ayahanda dan bonda melawat, mereka terkejut dengan perubahanku saban tahun. Berat badanku juga sudah menjadi normal. Aku tidak lagi kurus-kering. Badanku pejal dengan otot-otot.

“Cantik anak ayahanda tidak memakai cermin mata, “puji ayahanda. Bonda memegang bahuku yang keras, hasil tekan tubi sebanyak 300 kali setiap hari.

“Macam lelaki,”bonda mencebik. Aku menggeleng.

“Tidak, bonda. Aku masih anakmu. Cuma lebih baik. Aku kini tidak lagi dibuli,”balasku.

Selepas keluar dari Salto Mallo, aku kerap menyertai kejuaraan Jedie. Meskipun begitu, aku masih belum puas. Aku mahu mencapai tahap tertinggi. Aku mahu menjadi Spaite. Walaupun ayahanda tidak bersetuju, aku tetap mahu menjadi Spaite. Aku kini tidak boleh dihentikan lagi.

Maka aku kembali ke Salto Mallo untuk menyambung kembali kursus, kali ini sebagai Spaite. Kali ini, latihan yang lebih teruk diberikan bagi mendapatkan tauliah sebagai Spaite. Aku kekal bertahan sehingga ke akhirnya.

Dan begitulah. Akhirnya aku bergelar Spaite. Diberi tauliah oleh Maharaja Rugeva.

Aku berpuas hati. Bukan mudah untuk aku sampai ke tahap ini.

Aku tidak peduli apa orang kata. Jika tiada yang mahu memperisterikan aku, biarkan. Aku telah menghabiskan banyak masa dan wang untuk mencapai tahap ini. Inilah hidupku dan jiwaku. Malah bagiku lelaki jika dieja secara mendalam, bagiku ia bererti ‘masalah’. Aku tidak mengatakan semua lelaki begitu, tetapi buat masa sekarang, kebanyakan lelaki adalah masalah bagiku. Aku takkan membuang masa emasku untuk mereka.

Aku teringat kata Putera Kedua dalam puisi Kahlil Gibran bertajuk MIMPI :

”Hidup tanpa berjuang seperti empat musim yang kehilangan musim bunganya. Dan perjuangan tanpa hak seperti padang pasir yang tandus.
Hidup, perjuangan dan hak adalah tiga dalam satu yang tidak dapat dipisahkan ataupun diubah.”

Dan mentari merah pun terbenam, Persiaran Sekeva menjadi kelam selepas itu. Menandakan malam sudah tiba.

Bersambung…

 

 

 

 

 

 

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s