NO – 6. Dia…Lain Daripada Yang Lain

Ariste merancang untuk menghabiskan hari cutinya dengan membaca buku dan pergi ke gymnasium. Dia segera menggalas begnya, mengambil kunci mobil lalu dan keluar.

9ff829ffb8431c5c4bab963bd15dd617

Di dalam mobil, dia membetulkan cermin sisi kereta lalu dia terpandang pamphlet Kejuaraan Jedie yang bakal berlangsung bulan Ogos ini. Dia menarik nafas dalam. Selain daripada minatnya yang mendalam terhadap liga Jedie, ia juga titik permulaan dia mengenali Xeva.

Pertama kali Ariste melihat Xeva di Kejuaraan Jedie yang ke-57 di Balkera. Di sana, kelihatan seorang gadis berusia 20 tahun, bermuka polos tetapi mempunyai pandangan yang serius dan tajam duduk berteleku berdekatan gelanggang Peskiva. Dia berpakaian perisai lengkap berwarna hitam dan perak dengan chain mail di bahu, mungkin sedang bersedia untuk acara pedang Excalibur. Ketika itu, dia sibuk memerhatikan Jedie yang sedang berlumba untuk mencapai markah tertinggi bagi acara ColtM1911 .45 caliber. Di tangannya ada nota, kamera dan tablet. Bersungguh-sungguh. Terkadang dia menulis, terkadang dia mengambil gambar. Dia sedikit pun tidak memperdulikan mata-mata yang memandangnya. Ada yang kagum, ada yang jelik memandangnya. Ariste sendiri ketika itu berusia 24 tahun. Itu adalah penyertaan Kejuaraan Jedienya yang ketujuh.

Rambut Xeva tidak kelihatan kerana ditutupi sesh ketat berwarna hitam. Wajahnya putih bersih tanpa bedak dan mekap, tetapi ada parut sepanjang 2 cm di pelipis kirinya. Mungkin calaran ketika bermain pedang. Susuk tubuhnya yang tinggi lampai, namun terdapat ciri-ciri maskulin pada tubuh wanitanya, hasil latihan Jedie. Dia tidaklah cantik persis model, tetapi ada sesuatu yang menarik tentangnya. Perwatakannya, kesungguhannya dan gayanya.

Ariste sedar, wanita seperti Xeva, bukanlah jenis yang bisa dipikat dengan mudah oleh mana-mana lelaki. Mereka matang dan berdikari. Secara literalnya, mereka tidak perlukan lelaki untuk melindungi mereka. Kalau tak salah Ariste, dalam kejuaraan pada tahun itu, hanya ada 5 Jedie wanita. Jadi Ariste hanya memandangnya dari jauh. Meneliti dan cuba mengenalinya melalui gerak-geri dan bahasa tubuhnya.

Ada sekali Ariste menonton Xeva beraksi dalam acara Seperia. Kata-kata yang dikeluarkan oleh Xeva tidak panjang tetapi mendalam dan berisi. Ariste masih ingat ketika ditanya oleh juri,

“Bagaimana kamu melihat masa hadapan pada 20 tahun akan datang?”

“Siapa yang bisa mengatakan bagaimana kecuali dalam benak orang-orang yang akan menyebutnya sekarang? Jika kita menanam cinta, itulah yang bakal tumbuh 20 tahun akan datang. Begitulah sebaliknya,” ujar Xeva dengan penuh yakin.

Dari jauh, Ariste tersenyum sendirian. Nah, dia juga tidak boleh dibungakan dengan kata-kata kerana dia sendiri pandai bermain kata.

Kali pertama bertentangan mata, Xeva dan Ariste hanya membatu tanpa sepatah kata dihadapan gelanggang Holbrecht pada kejuaraan Jedie yang ke 59. Ketika itu, adalah giliran Ariste untuk masuk ke gelanggang dan Xeva dengan cuainya terlanggar Ariste di hadapan pintu gelanggang kerana dia sibuk dengan kamera dan notanya tanpa memandang ke hadapan. Ariste hanya tersenyum padanya sambil mengikat rambutnya yang pada ketika itu sepanjang paras belakangnya sebelum masuk ke gelanggang. Xeva hanya mengikut Ariste ke gelanggang dengan pandangannya tanpa berkelip. Sesudah Ariste memenangi pusingan itu, ketika keluar dari gelanggang, dia sedar yang Xeva masih memandangnya. Dan dia berpaling untuk melemparkan senyuman kali kedua. Xeva hanya memandangnya tanpa membalas senyuman.

Ariste tahu yang dia tidak boleh kekal di Balkera sekiranya ingin berhubungan dengan Xeva, dia harus lakukan sesuatu. Dia mendapat tahu Xeva tinggal di Parena ketika mencuri pandang Xeva semasa sedang mengisi borang untuk Kejuaraan Jedie yang ke 60. Lorrr…Parena. Pulau kecil itu gak ada apa-apa di sana. Jauh panggang dari api dengan Balkera, sebuah kota metropolitan Rugeva.

“Kenapa Parena? Kamu pasti kamu akan gembira di sana? Apa kurangnya Balkera?” tanya bondanya ketika dia memberitahu hasrat ingin bekerja di Parena setelah 2 tahun mengambil pengkhususan kejuruteraan awam di Universiti Teknologi Balkera.

“Jika bonda mahu aku membantu masyarakat, inilah caranya. Parena masih jauh ketinggalan dari segi teknologi bangunan. Aku mahu membantu mereka di sana,”kata Ariste sedikit berbohong. Bondanya memandang wajah Ariste lama. Kemudian dia menguntum senyum.

“Katakan padaku, siapa yang kau ingin kejar di sana?”Ariste tunduk. Mana bisa bonda ku bohongi?

“Seorang Jedie wanita,”

“Wah…kamu pasti kamu bisa dapatkan dia? Seorang Jedie? Kamu pasti kamu mahukan seorang Jedie?”tanya bonda lagi.

“Aku tidak tahu bonda. Dia bukan seperti wanita lain,”

“Lorrr…sudah tentulah. Dia seorang Jedie. Yang terbukti bagus mental fizikalnya. Sekali kamu buat perangai, akan dia patahkan lehermu,”ujar bonda berjenaka. Ariste tertawa.

“Aku juga bukan calang-calang orangnya, bonda,”kata Ariste sambil memeluk leher bondanya.Bondanya memegang tangan Ariste dan mengusapnya.

“Hish, perasan. Pergilah, Ariste. Jangan lupa untuk kembali melawat ayahanda dan bonda, OK,” Ayahandanya hanya tersenyum mendengar celoteh dua beranak itu, dia mengangguk dari ruang tamu.

Dengan restu ayahanda dan bonda, Ariste berpindah dari Balkera ke Parena untuk memulakan hidup baru. Dia tidak lagi menjadi Jedie sepenuh masa tetapi bertukar profesion menjadi jurutera bangunan dalam syarikat miliknya sendiri. Dan ternyata tidak salah langsung baginya untuk berpindah, Parena memang memerlukan banyak jurutera bangunan disebabkan pembangunan pesat di Parena. Syukur pada Tuhan.

Namun misi utamanya masih gagal sehingga kini. Xeva tiada keluarga atau teman rapat di Parena. Jadi tiada sesiapa yang benar-benar kenal Xeva secara mendalam. Dia jarang bersosial. Dia lebih senang bersendirian. Jadi agak sukar untuk mendekatinya. Dengan ini Ariste hanya memandangnya dari jauh.

Pertama kali Ariste bertegur sapa dengan Xeva adalah ketika Malam Kepahlawanan Jedie di Dewan Maha Parena pada tahun pertama dia berpindah ke Parena. Dia masih ingat lagi betapa cantiknya Xeva dalam roba berwarna hijau lumut keemasan. Kemudian apabila beberapa kali terserempak dengan Xeva, dia kini tahu yang warna kegemaran Xeva adalah warna hijau lumut. Mereka diperkenalkan oleh Pegawai Daerah Parena, Oskar. Mata Xeva bulat memandangnya. Maka Ariste tahu yang Xeva kenal akan dia.

“Xeva Spaite, ini Ariste Jedie, jurutera baru dalam daerah Parena,” kata Pegawai Oskar. Ariste tunduk padanya sebagai tanda hormat. Xeva membalas. Dia mengerutkan dahinya dan memberikan pandangan yang sukar dimengertikan.

“Seorang Spaite? Wah…hebat sekali,” Kata Ariste dengan nada kagum. Dia bukan mengejar seorang Jedie. Dia mengejar seorang Spaite, jurulatih Jedie. Xeva menggeleng.

“Biasa saja. Ramai Spaite di Parena. Aku hanya salah seorang daripada mereka,”kata Xeva merendah diri.

Dan begitulah permulaannya… Ariste sedar ada rasa yang wujud antara mereka. Namun Xeva cuba menjauhkan diri. Mungkin dia tidak bersedia untuk sebarang perhubungan intim, Ariste kurang pasti.

Namun setelah hampir 7 tahun bermain tarik tali begini, Ariste rasa dia ingin memulakan langkah yang lebih serius. Ariste tidak peduli sama ada Xeva adalah Jedie atau Spaite. Dia mahukan Xeva, kerana dia adalah Xeva. Unik. Lain daripada yang lain. Bondanya fikir Ariste hanya membuang masa mengejar Xeva, katanya Xeva tidak berminat dengannya, masakan Xeva mengambil masa begini lama untuk menerima Ariste. Namun Ariste tidak fikir begitu. 7 tahun atau 10 tahun, dia tidak kisah. Yang pasti, dia tak mungkin bisa mengalihkan pandangannya dari Xeva.

Ariste terus memarkirkan mobilnya di perkarangan Cafe Beuna. Dia ingin bersarapan terlebih dahulu sebelum terus ke gymnasium dan perpustakaan. Dia ternampak Honda RC213V-S bernombor plat XEVA 7777. Ya, Xeva ada di sini.

Ariste menolak daun pintu Cafe Beuna dan memandang sekeliling cafe. Dia tahu Xeva pasti mencari suatu sudut yang terlindung jauh dari orang lain, kerana sudah alami sikapnya yang suka bersendirian. Dan di ternampak Xeva duduk di sebuah meja kecil di hujung bahagian timur cafe. Berpakaian T-shirt biru dan bercelana hijau lumut, ditutupi cardigan labuh berwarna hijau lumut dan sesh berwarna hitam, Xeva sedang menyisip teh sambil memandang ke arah taman di luar cafe. Tenang. Memandang jauh seolah-olah memikirkan sesuatu. Dia ternampak seorang lelaki menghampiri Xeva.

“Aku tidak pernah nampak nona di sini. Apakah sering nona ke sini?” kata lelaki yang barangkali berusia awal 30an. Xeva mengangkat wajahnya lalu memandang lelaki itu sebentar dan kembali menyisip minumannya.

“Tak perlu begini. Aku bukan ingin menggangu nona. Aku hanya ingin berbual,” katanya sambil menarik kerusi di hadapan Xeva. Air muka Xeva berubah kemerahan.

“Aku…seorang Spaite,” kata Xeva tegas, sambil menyelak cardigannya ke tepi, menampakkan Colt M1911 yang disisipnya di pinggang. Lelaki itu tercengang. Dia mengangkat kedua-dua belah tangannya dan berundur perlahan.

“Maaf Spaite,” katanya sambil berlalu pantas. Lelaki itu berlalu di tepi Ariste lalu membisikkan.

“Dia seorang Spaite,”

“Ya, aku tahu, ” balas Ariste. Lelaki itu mengerutkan dahinya dan terus berlalu.

Ariste menghampiri Xeva. Xeva menutup kembali cardigannya dan terus menyisip teh.

“Berhasil setiap kali,” kata Xeva perlahan, seolah-olah membisikkan kepada dirinya sendiri.

” Ya, mungkin berhasil pada orang lain. Tetapi tidak semua,” kata Ariste lalu berdiri di hadapan Xeva. Xeva tercengang.

“Ariste Jedie…”wajah Xeva bertukar kemerahan. Bukan kerana marah.

“Apakah Spaite akan membiarkan aku berdiri di sini begini atau bagaimana?”tanya Ariste bersahaja. Xeva mengetap bibirnya.

“Hmmm…duduklah,”kata Xeva kelat, seolah-olah perkataan itu begitu sukar sekali untuk keluar dari mulutnya.

“Sudah makan?”

“Aku masih menunggu roti bakar yang kupesan,”

“Apakah Spaite mengejar masa? Hari ini Spaite tidak mengajar, bukan?”Xeva mengangguk.

“Jadi bisa aku temani Spaite di sini?Atau Spaite masih kurang senang denganku atas makan malam yang lalu?”

Xeva memandang Ariste dengan pandangan yang kosong.

“Jika aku katakan ya, apakah Jedie akan berlalu dari sini?”tanya Xeva pula bersahaja. Ariste tersenyum.

“Tidak,” jawab Ariste, ringkas. Xeva mengeluh.

Setelah memesan makanan, mereka berdua hanya diam menjamu selera.

“Maaf,” ujar Ariste perlahan. Xeva mengangkat wajahnya memandang Ariste.

“Untuk apa?”

“Kerana menyentuh hal peribadimu sehingga membuatkan Spaite kurang senang,”kata Ariste dengan rasa bersalah. Xeva mengangguk.

“Aku sudah melupakannya,”kata Xeva perlahan.

“Jadi boleh kita mulakan kembali?”tanya Ariste sambil meletakkan cawan teh di atas piringnya. Xeva mengerutkan dahi.

“Mulakan apa?”

“Sesi makan malam denganku?”

“Sesi makan malam? Kita bercakap tentang berapa sesi?” tanya Xeva kembali. Giliran Ariste pula mengerutkan dahi. Apa pula alasannya kali ini?

“Mestikah ada batasan?”tanya Ariste. Xeva tersenyum sinis.

“Begini Ariste Jedie. Buat masa sekarang, aku tidak berminat untuk ‘sesi makan malam’ dengan mana-mana lelaki. Aku sibuk, Jedie,”jelas Xeva. Ariste menyandarkan belakangnya pada kerusi.

“Ya udah, kalau tak mahu tidak mengapa. Aku tidak akan memaksa. Kecuali dengan satu syarat,”

Xeva mengetap bibir. Apa lagi muslihat dia?

“Ya, apa syaratnya asalkan kau tidak mengajak aku untuk ‘sesi makan malam’, aku sudi menerimanya,”kata Xeva tegas. Ariste tersenyum.

“Seorang Jedie berpegang pada janjinya,” pesan Ariste.

“Ya, aku tahu. Ayuh, apa syaratnya?”

“Panggil aku dengan namaku, Ariste. Dan Spaite akan benarkan aku memanggilmu, Xeva,”kata Ariste bersahaja. Muka Xeva kemerahan. Ariste tidak pasti apakah dia marah atau malu.

“Mengarut,” tukas Xeva. Ya, jelas sekali Xeva marah. Dia bangun, mencapai topi keledar dan beg galasnya dan terus melangkah dari meja.

“Seorang Jedie berpegang pada janji, dan aku sudah membayar sarapan kita,” ujar Ariste dari jauh. Xeva terhenti. Dia berpaling dengan wajah marah. Kemudiannya, dia berpatah balik. Dia berdiri di tepi kerusi Ariste dan cuba mengeluarkan duit dari beg sandangnya. Ariste terus bangun menghadap Xeva, begitu dekat sehingga Xeva terpaku. Dia memegang tangan kanan Xeva yang sibuk mencari duit, dan digenggam kuat.

“Aku tidak mahu duitmu. Namun aku akan tuntut janjimu,”ujarnya. Dia melepaskan tangan Xeva dan terus berjalan keluar meninggalkan Xeva, termangu dengan perlakuan Ariste. Ariste tersenyum menuju mobilnya.

Bersambung…

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Advertisements

One Comment Add yours

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s