NO – 5. Bertahan Dengan Segala Dugaan

Sejak pertemuan yang lalu, ada sekali Ariste cuba menghubungiku melalui Serena. Aku enggan menerima panggilannya. Entahlah…aku sibuk. Aku enggan diganggu masalah hati dan perasaan. Dia seorang Jedie, dia harus tahu betapa sibuknya menjadi Spaite dan Jedie.

Lara Croft

Dalam usia mencecah 30-an, aku sudah pasti dengan keutamaanku dan aku enggan diganggu dalam memilih keutamaan dalam mengatur hidupku. Aku jadikan hidupku semudah mungkin.

“Spaite, hari ini Spaite ada kelas di lapang sasar. Jangan lupa ya!” pesan Serena ketika aku masih unduk sibuk dengan semua kertas kerjaku dan kira-kira. Aku mengangguk.

“Jika tak ada apa-apa, aku pulang terlebih dahulu ya!”

“Jalan baik-baik, Serena,” aku memandangnya sekilas dan kembali kepada kertas kerjaku. Setelah hampir 15 minit menyibukkan diri, aku sedar akan temujanjiku di lapang sasar pada pukul 4.30 petang. Aku mempunyai kontrak mengajar kelas menembak di lapang sasar. Lapang sasar telah menambah kelasku kepada 3 kelas seminggu atas permintaan ramai.

Tidak aku nafikan, minatku pada acara menembak bukan kepalang. Setiap kali aku memegang apa-apa senjata api, semua jemariku seolah-olah bersatu dengan keluli sejuk itu dan beratnya seolah-olah tidak dapat aku rasakan. Setiap kali peluru keluar dari laras senjata, aku dapat rasakan jiwaku, fikiranku, dan fokusku bersatu dengan peluru dan pergi lurus ke papan sasaran. Bila aku menyentuh senjata api, fikiranku menjadi kosong seolah-olah aku berada dalam dunia lain, tinggal aku, senjataku dan papan sasaran.

Oleh kerana aku hendak cepat, roba yang kupakai, aku gantikan dengan tunik labuh dan celana hitam. Segera aku capai topi keledar dan terus ke garaj untuk menghidupkan Honda RC213V-S ku. Aku kenakan kaca mata hitamku dan terus menuju ke lapang sasar.

Nampaknya, hari ini pelajarku bertambah lagi 2 orang. Masing-masing duduk di bangku ketika aku melangkah masuk semuanya berdiri. Aku memberi isyarat agar mereka duduk sementara aku meletakkan topi keledar, mencabut sarung tangan dan kaca mata hitamku dan meletakkan kesemua barangku di meja.

“Hari ini kelas Colt M1911 .45 caliber, bukan? Aku diberitahu ada pelajar baru, siapa ya? Boleh kenalkan diri,” kataku sambil mengetatkan sesh hitam di kepalaku.

Seorang lelaki berusia awal 20-an berdiri.

“Namaku Reini. Aku kini bekerja di Lucostane, sebagai akauntan,” katanya. Aku amati anak muda ini. Masih muda sudah menjadi akauntan.

“Bagus syarikatnya, aku dengar. Terima kasih kerana sudi berada dalam kelasku,”

“Aku dengar dari teman-teman, kelas menambak Xeva Spaite bagus sekali, nah, tidak membuang masa saya ke sini,” katanya sambil tersenyum. Aku membalas.

“Boleh aku tahu, kenapa akauntan mahu belajar menembak? Jika ia tidak terlalu peribadi untukmu,”

” Atas faktor keselamatan,”katanya perlahan. Aku mengangguk.

“Baiklah, aku tidak akan bertanya lanjut. Siapa lagi ya?”

Seorang lagi lelaki, berusia dalam pertengahan 20-an pula berdiri.

“Aku Tarka, seorang ahli perniagaan,”katanya dalam nada sedikit angkuh. Anak orang kaya barangkali. dari segi pakaiannya, aku pasti dia dibesarkan dalam keluarga yang berada.

“Oh, perniagaan apa jika aku boleh bertanya?”

“Berlian. Maka aku memerlukan guru yang baik agar keselamatan aku dapat dipastikan,” katanya bersahaja namun nadanya menjengkelkan.

“Apakah saudara tidak yakin dengan kemampuan aku Saudagar Tarka?”tanyaku dengan lembut padanya. Dia mendengus.

“Jika aku tahu Spaitenya wanita, tidak ingin aku mendaftar ke kelas ini,”

“Jika begitu pandangan Saudagar Tarka, saudara bebas untuk meninggalkan kelas ini. Aku akan pastikan pihak pengurusan tahu bahawa Saudagar Tarka tidak berpuas hati dengan proses pendaftaran kerana tidak diberitahu bahawa Spaite kelas ini adalah wanita,”kataku tenang. Dia memandangku dengan pandangan yang menjijikkan.

“Ya, memang akan ku adukan pada pihak pengurusan. Ini semata-mata membuang masa. Aku telah batalkan semua temujanjiku pada petang ini untuk datang ke kelas ini. Memandangkan aku tidak ada apa-apa untuk dibuat petang ini, biarlah aku tengok kemampuanmu Spaite,”katanya lagi. Aku dapat rasakan darahku mendidih, tapi aku tahan. Pelajar-pelajarku yang lain berpandangan sesama sendiri. Mereka juga kurang senang dengan kebiadapan pelajar baru ini.

“Baiklah, jika itu kata Saudagar.”

Aku mengeluarkan Colt kepunyaanku lalu meletakkannya di atas meja. Aku membuka bahagian Colt ku satu persatu. Secara tidak sengaja bahagian laras atas kutarik terlampau cepat, bahagian hujungnya yang tajam telah melukakan jari telunjukku. Segera aku capai sapu tanganku yang kusimpan dalam lalu aku lap darah di jariku.

“Begitulah, jika kaum yang mengeluarkan darah setiap bulan bermain dengan senjata, inilah jadinya,”kata Tarka dengan nada yang amat menyakitkan hati. Dalam masa 30 saat aku pasang kembali Colt ku dan memasukkan katrijnya sekali.

“Jika Saudagar boleh cari guru yang lebih baik dariku…” kataku separuh jalan, dengan membelakangkan ketiga-tiga papan sasaran dihadapanku, aku menembak ke arah dengan tepat pada salah satu papan sasaran dan hampir tepat pada 2 papan sasaran yang lain. Segera aku menghalakan  Colt ku berhampiran dengan kakinya, lalu aku melepaskan sedas tembakan. Dia melompat terkejut.

“Saudagar bebas untuk keluar dari kelas ini,” kataku sambil meletakkan Colt ku di atas meja kembali lalu aku berjalan keluar kelas.

“Kelas rehat 5 minit. Sebenarnya, saudara tak perlu mengelakkan tembakanku. Tembakanku aku sasarkan 2 inci sahaja dari kasutmu,”

Muka Tarka kemerahan. Dia mendengus lalu meninggalkan kelas. Aku juga segera ke tandas untuk membasuh mukaku agar hilang panas hatiku. Kurang ajar lelaki itu.

Dalam perjalanan ke tandas, Verka, tuan punya lapang sasar menyapaku. Aku tahu pegawai sekuriti telah melaporkan insiden itu kepadanya kerana ia dapat dilihat melalui CCTV kelas.

“Kau tak apa-apa, Xeva Spaite?”

“Maafkan aku Pengarah Verka,”kataku dengan rasa bersalah. Dia menggeleng.

“Tidak mengapa. Dia biadap. Patut diajar. Dia boleh meninggalkan kelas tetapi dia tinggal untuk terus meperlecehkan dirimu. Boleh kau teruskan kelas?” Aku mengangguk.

“Aku cuma ingin ke bilik air. Aku akan kembali selepas 5 minit,”

Aku terus ke bilik air. Pili air itu aku buka dengan laju lalu aku basuh mukaku berkali-kali. Aku melihat wajahku di cermin. Masih kemerahan. Tenang Xeva, tenang. Ku basuh wajahku sekali lagi. Kupandang refleksi wajahku di cermin. Mungkin kemerahan wajahku telah hilang, tetapi kemerahan hatiku masih berbekas. Ini jalan kau pilih Xeva. Tenang dan hadapilah ia.

Setelah aku cukup tenang, wajah yang basah itu aku lap dengan baik. Aku betulkan sesh dan terus melangkah keluar. Aku melangkah dengan tenang, terus menuju ke kelas.

Setelah tamat kelas, aku singgah di loker wanita untuk bersembahyang. Terus aku menukarkan pakaian bersenam. Rutinku setiap petang pasti aku akan ke taman rekreasi untuk mengeluarkan peluh. Dalam perjalanan dari bilik loker menuju ke tungganganku, aku terserempak dengan Ariste. Nampaknya dia hendak berlatih menembak juga. Dia hanya memandangku tanpa menghampiriku. Aku mengenakan kacamata hitamku dan terus berlalu daripadanya. Rasanya cukup untuk hari ini naik turun perasaanku.

*****                                                                                             *****                                                                           *****

Setelah berjoging 10km, aku berehat sebentar di hadapan Tasik Maunavi. Peluh ku seka. Aku memandang ke arah langit yang mendung. Pada kanak-kanak yang sedang bermain di taman permainan bersama ibu bapa mereka. Aku memang sukakan kanak-kanak. Gelak tawa mereka yang menghiburkan. Aku harap aku ada keponakan untuk dimanjakan, malangnya aku adalah anak tunggal. Tiada adik-beradik.

Anak sendiri? Aku mengeluh sendirian.

Aku menyedut air dari botol minuman yang kubawa. Di sebelah kananku, ada pasangan tua yang sedang berkongsi pikiran terhadap sesuatu yang mereka baca dalam Kindle yang di bawa. Sesekali mereka tertawa. Aku tersenyum melihat mereka. Sesungguhnya aku percaya pada cinta sejati. Kerana aku pernah melihat ia wujud dalam perhubungan orangtua ku. Mereka memandang antara satu sama lain dengan penuh rasa cinta. Seringkali saling mengusap wajah masing-masing yang sudah digarisi dengan garis masa dan bisa menghabiskan sepanjang hari begitu, dengan tanpa mengeluarkan kata-kata. Hanya saling memandang. Ah, aku rindu pada ayahandaku.

Sewaktu kecil, aku bukanlah anak yang sihat. Aku menghidapi penyakit ganjil, bagaikan ketumbuhan, yang tumbuh di belakang telingaku dan membengkak. Ianya menyakitkan. Sepanjang usia kanak-kanakku, kuhabiskan di hospital. Yang kukenal hanya ayahanda dan bonda, ubat-ubatan, jururawat, dokter, dan mungkin seorang dua kanak-kanak yang tinggal sekali denganku dihospital untuk tempoh yang singkat.

Ayahanda dan bonda menjadi sahabat sejatiku ketika zaman kanak-kanak dan remaja. Namun aku lebih rapat dengan ayahanda. Dengan ayahanda, aku boleh bercerita apa sahaja. Dia sedia mendengar. Dia suka berjenaka. Membuatkan aku tertawa. Setiap kali, darah kotor dibuang dari ketumbuhanku, aku akan menangis, ayahanda akan menyanyi lagu :

Sang Hyang Tunggal, dengarkan permintaanku,

Setiap kesakitan menghapuskan dosaku,

Jadikan aku hambamu gagah,

Tidak menyerah ataupun mengaku kalah,

Aku ingin melihat duniamu, yang sungguh indah,

Jadikan aku hambaMu yang bersyukur

Sentiasa sujud dan memohon ampun…

Setiap kali ayahanda menyanyi, aku akan mengikutnya. Dia akan memegang tanganku. Memandang wajahku dengan penuh kasih. Dan mendodoikan aku sehingga aku tertidur. Ketika malam sebelum aku dioperasi, aku akan menjadi takut, maka ayahanda akan bercerita pelbagai kisah fantasi, selalunya cerita anak gadis yang kuat, berani. Malah ayahanda sering memujukku dengan berkata,

“Bayangkan kau seorang perwira Jedie, sel-sel penyakit adalah musuhmu. Kau hunuskan pedang, bertempur dengannya. Seperti tetangga kita, Pantera Jedie. Kau pernah melihat dia bertempur, kan? Hebat sekali, bukan?Kau juga bisa menjadi seperti itu. Dalam mindamu. Lawan penyakitmu. Kau boleh lakukannya, bukan? Lekas-lekas keluar dari hospital ini, ayahanda akan membawamu meluncur ais, OK?”

Setiap kali ayahanda memujukku begitu, aku akan pejamkan mata, membayangkan aku ini Pahlawan Jedie seperti paman Pantera. Aku berdiri dengan baju armor, aku keluarkan pedang yang tersisip di pinggangku. Ku hunus ia dan kucincang sel ketumbuhan itu. Dan selalunya aku akan tertidur atas lengan ayahanda dengan mimpi pertempuran yang hebat antara aku dan sel ketumbuhanku.

Sehingga aku dewasa, ayahandalah menjadi tempat aku bercerita dan mengadu. Dialah lelaki pertama yang paling aku cintai. Ayahanda sangat memahamiku. Ayahandalah tongkatku.

Ketika ayahanda meninggal, aku merasakan seolah-olah seluruh dunia bagaikan gelap, ku rasakan bagaikan langit menimpa kepalaku. Berat rasanya. Hatiku bagai dicincang halus, darahnya bagaikan membekas pada setiap langkahku. Kepalaku bagaikan pusing. Dunia kelihatan berputar-putar…dan akhirnya gelap, sunyi, bagaikan dalam kuburan.

Aku mengambil masa hampir setahun untuk aku kembali normal. Itupun sehingga kini, aku tidak boleh terpandang akan barang-barang kepunyaan ayahanda. Dadaku akan menjadi sebak.

Selain daripada ayahanda, kanak-kanak yang berada lama di hospital menjadi temanku. Namun, anak-anak yang berada lama di hospital, jika mereka tidak dijemput Tuhan, mereka tidak akan kembali lagi ke hospital untuk menjadi temanku. Kerana mereka sudah muak berada di hospital. Kerana mereka sudah melihat dan menikmati indahnya dunia luar, mereka tidak ingin lagi kembali ke hospital yang penuh dengan kesedihan dan kesengsaraan.

Yang paling aku ingati dan paling lama menjadi sahabatku adalah Simara.

Anak gadis supel yang manja dan baik. Kami bersahabat selama 7 bulan. Simara menghidap kanker otak. Walaupun manja, Simara tidak pernah mengaku kalah kepada kesakitan. Simara bagaikan idolaku. Walaupun sakit, Simara tetap senyum. Setiap kali aku datang ke katilnya, tidak pernah Simara bermuka masam. Aku sering mengusap kepala Simara yang botak. Simara akan tertawa.

“Lucu, kan. Bagai telur rebus,” katanya.

Kami menghabiskan masa bersama dengan bermain anak patung. Dia akan melawatku di katilku. Aku pula membalas. Malamnya kami akan membaca buku cerita bersama-sama. Kecuali pada malam-malam Simara menjalani kemoterapi. Simara akan mengeluh kesakitan dan muntah-muntah. Hatiku akan hancur luluh setiap kali melihat Simara begitu. Aku akan menangis di tepi katilnya.

“Lor…aku bukannya mati. Kenapa kau menangis? Berjanji denganku kau takkan menangis jika aku ditakdirkan dijemput Sang Hyang Tunggal,” katanya pada suatu hari bila dia melihat aku menangis ketika dia terbaring lemah selepas kemoterapi. Aku memegang tangannya.

“Kenapa kau berkata begini? Aku sayangkan kamu. Kamu kan kuat Simara. Kau mesti terus hidup. Kita sudah berjanji hendak ke sekolah bersama-sama selepas keluar dari hospital. Kita hendak pergi main luncur ais. Kita sudah berjanji, kan?” kataku masih tersedu-sedu menahan tangisan. Simara senyum.

“Iya, aku janji. Tetapi siapa yang tahu masa depan, Xeva. Kau berjanji denganku? Jika aku gagal melawan penyakit ini, kau harus melawan penyakitmu bersungguh-sungguh dan keluar dari kamar putih ini. Melihat dunia. Menjadi guru. Kau bilang kau suka Ilmu Alam, kan?” kata Simara sambil mengusap rambutku. Aku mengangguk. Simara terus tersenyum.

“Jika aku sudah tiada nanti, jangan kau menangis untukku. Kenangkan kenangan yang indah bersamaku. OK. Janji tahu?Kerana aku akan ke dunia yang lebih baik. Tanpa kesakitan. Jadi mengapa menangis?” ujar Simara lagi. Dengan hati yang berat, aku mengangguk.

Akhirnya, walaupun semangat Simara kuat melawan sel-sel kankernya yang ganas, tetapi badannya akhirnya menyerah kalah. Pada malam kematiannya, Simara enggan bertemu denganku. Dia bilang dia tidak mahu aku melihat wajahnya ketika berhadapan dengan malaikatul maut. Dia mahu aku hanya ingat yang indah-indah ketika bersama dengannya. Aku memeluk ayahanda bersungguh-sungguh dan menangis semahunya. Namun aku ingat pesan Simara. Jangan menangis.

Setelah ketiadaan Simara, semua permainannya, patungnya, buku-bukunya diserahkan padaku. Selama 3 hari aku enggan menangis atau makan. Selama 3 bulan, aku hanya diam dan tidak bermain seperti biasa.

Gelak tawa anak kecil di taman permainan melenyapkan kenanganku pada Simara. Anak gadis itu tertawa gelihati apabila buaiannya ditolak laju oleh orangtuanya.

Aku sedar kolam mataku sudah berkaca.

Maaf ayahanda, permintaan terakhirmu tidak aku tunaikan. Namun ketahuilah aku amat menyanyangimu.

Tidak, Simara. Aku akan menjadi kuat sepertimu. Maaf Simara, aku menjadi guru, tetapi bukan guru Ilmu Alam.

Bila aku kenangkan 2 manusia yang kusayangi ini, aku menjadi takut untuk mempunyai apa-apa hubungan mendalam dengan sesiapa pun. Kerana walaupun luaranku kuat, berani, gagah namun sukarnya aku menerima kehilangan menjadikan aku membina dinding yang tebal disekelilingku. Agar aku sukar didekati sesiapa. Tidak terlalu dekat untuk aku sayangi, tidak terlalu jauh untuk aku kenali. Cukup diluar pagar hatiku. Cukup di situ sahaja. Begini menjadikan hidupku lebih mudah.

Bersambung…6. Dia…Lain Daripada Yang Lain

Advertisements

One Comment Add yours

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s