NO – 4. Masa Silam Yang Ingin Kulupakan

“Jangan alihkan pandanganmu. Fokus ke hadapan, Publius,” kataku sambil membetulkan kedudukan tangan Publius. Publius berdiri dalam posisi kuda-kuda, bersedia untuk menyerang Akemi, anak murid ku yang tinggi lampai.

woman-warrior-wallpaper-7“Pihak lawan, dari segi fizikalnya, melebihi kamu. Dia tinggi, kamu rendah,” kataku. Akemi tertawa kecil. Publius tersenyum.

“Fokus,” kataku tegas. “Apa yang kamu mahu lakukan,Publius?”

Publius menggaru dagunya sambil matanya memandang ke siling. Ah…comel pula anak ini, mahu aku cubit pipinya.

“Aaaaa…terus menyerang bertubi-tubi?” katanya sambil memandangku dengan mata yang terbuka luas. Aku senyum.

“Ya, mungkin itulah caranya jika kamu mahu dibelasah teruk. Ingat, kamu itu tidak tinggi berbanding dengan pihak lawan,”jelasku. Kali ini Publius menggaru kepalanya pula.

Serena, setiausahaku mengetuk pintu. Aku menggamit tanganku memanggilnya masuk ke ruang gymnasium. Dia memberikan sehelai dokumen kepadaku.

“Pihak Bomba mahu memeriksa bangunan,” ujarnya.

“Di mana mereka sekarang?”

“Di pejabat,”

Aku segera menyeka peluhku dan membetulkan uniform seni mempertahankan diri berwarna hijau lumut itu.

“Kelas rehat seketika sehingga aku kembali. Akemi, jika aku tidak kembali dalam masa 1/2 jam, teruskan dengan latihan coding bahagian 4. Kamu tolong tengokkan latihan Publius dan Mirnia,” kataku lalu segera mengikuti belakang Serena. Akemi mengangguk , akur dengan perintahku. Cuaca agak panas dan lembap menyebabkan aku kerap berpeluh, menyebabkan aku kurang selesa bertemu dengan pihak berkuasa pada ketika ini. Aku menyeka peluhku sekali lagi.

Dari kejauhan, kelihatan 4 lelaki sedang berbual sesama mereka di perkarangan pejabatku. Dua daripada mereka adalah anggota bomba lengkap beruniform, manakala yang dua orang lagi berpakaian kemeja dan berseluar slack, barangkali daripada bahagian perancangan pihak berkuasa tempatan.

“Jag Alagjir, saudaraku,” sapaku apabila menghampiri mereka. Mereka serentak memandangku lalu bangun daripada sofa tanda hormat. Ada tiga wajah yang tidak aku kenali, tetapi ada satu wajah yang aku kenal. Mereka semua tersenyum padaku.

“Jag Alamjir, Xeva Spaite,” kata mereka serentak. Aku tunduk hormat pada mereka dan mereka membalasnya.

“Apakah ini pemeriksaan rutin atau luar biasa?”tanyaku.

Salah seorang daripada anggota bomba menjawab. “Pihak  berkuasa tempatan ada menggubal undang-undang bangunan yang baru, jadi ini adalah pemeriksaan luar biasa. Tetapi ruang lingkung pemeriksaaan masih seperti biasa, jadi tak perlu risau Xeva Spaite. Aku Axtra, pengarah Jabatan Bomba yang baru. Pengarah Serwi sudah bertukar ke Sogota,”

“Oh, Sogota itu kampung halaman aku,”

“Ya, begitulah yang kami dimaklumkan. Ini Timbalan Pengarah Petra, ini Pegawai Karti dari pihak berkuasa tempatan Parena dan ini Jurutera Ariste, jurutera jemputan untuk pemeriksaan ini,” ketiga-tiga lelaki itu tunduk padaku dan aku membalas. Ariste melemparkan pandangan yang tidak aku fahami, kemudian dia senyum padaku. Aku membalas.

“Aku ini sedang mengadakan kelas di gymnasium. Jadi masih berpeluh-peluh ni. Berada dalam keadaan yang tidak bagus untuk berhadapan dengan saudara semua,” Kataku sambil menyeka peluh di dahi sekali lagi. Ah…tiba-tiba pula keadaan berasa sangat panas. Aku membetulkan sesh ku yang barangkali sudah lembap dengan peluhku.

“Oh, tidak mengapa, kami takkan lama berada di sini. Cuma kami perlukan Xeva Spaite berada dengan kami sepanjang lawatan agar mudah kami menjawab soal-selidik kami,” kata Pengarah Axtra. Aku mengangguk.

Aku membawa mereka mengelilingi bangunan kecilku. Setiap inci bangunan aku tunjukkan. Sesekali pelan bangunan aku tunjukkan kepada mereka  sebagai pengesahan. Ariste bersikap profesional di sepanjang lawatan. Tidaklah aku mengharapkan dia mesra denganku pada waktu kerjanya, cuma iyalah, sedikit kemesraan tidaklah salah bukan? Ah…aku mengomel sendirian.

“Boleh aku lihat sistem penggera keselamatanmu, Xeva Spaite?” tanya Ariste. Aku mengangguk.

“Semuanya boleh dilihat dengan jelas di tingkat satu, ” aku mendahului kumpulan ini dengan menunjukkan arah tangga keluli yang membawa ke tingkat satu. Tanpa aku sedari, sesh ku terlucut dari kepalaku, maka terurailah rambutku yang tebal, ikal mayang berwarna hitam kecoklatan.

“Ya Sang Hyang Tunggal!,”kataku, ingin segera mengutip sesh yang bergulung di lantai. Belum sempat aku mengutipnya, Ariste terlebih dahulu mencapainya lalu dia menyerahkan sesh padaku.

“Maaf, sesh ku barangkali lembap dek peluh,” Ariste menggoyangkan tangannya sebagai tanda tidak apa-apa.

“Coklat,” katanya. Aku mengerutkan dahiku.

“Maaf?”

“Coklat. Mahkota Spaite berwarna coklat,”

“Oh…” Aku tak pasti reaksi apa yang hendak aku berikan. Canggung rasanya untuk menjawab, lalu aku memaksa sebuah senyuman terpaksa dan segera menggulungkan rambutku ke dalam sesh kuning itu.

Kami meneruskan pemeriksaan dalam lebih kurang dalam 1 jam. Setelah semuanya berakhir, akhirnya Pengarah Axtra berpendapat tiada undang-undang yang dilanggar untuk bangunan ini maka lesen bangunan layak dikeluarkan. Bersyukur padamu ya Sang Hyang Tunggal!

“Jadi aku dengar Kejuaraan Jedie akan berlangsung pada bulan Ogos ini. Maka apakah Xeva Spaite akan menyertainya juga?” kata Pengarah Axtra tiba-tiba.

“Ya, begitulah setiap tahun. Barangkali tahun ini sukar bagiku, banyak Jedie muda yang berbakat tampil menyertai. Namun aku kekal positif, akan berusaha sedaya-upayaku” kataku dengan penuh semangat. Beginilah aku kalau berbicara tentang Kejuaraan Jedie yang mencorakkan kehidupanku selama ini.

“Aku doakan Sang Hyang Tunggal bersamamu, Spaite. Aku kagum kerana tidak ramai Spaite wanita di negara kita,”balas Pengarah Axtra. Aku memandang Ariste.

“Jikalau Pengarah Axtra belum tahu, Jurutera Ariste juga seorang Jedie yang handal,”

“Ya, dapatku teka dari susuk tubuhnya. Cuma belum berkesempatan bertanya. Aku yakin beliau handal orangnya,”kata Pengarah Axtra lalu menepuk bahu Ariste. Ariste hanya tersenyum.

“Biasa sahaja. Namun aku bukan Spaite,” jawabnya. Aku hanya mengangkat bahu.

“Bukan Spaite tidak bererti tidak handal, tidak begitu Pengarah Axtra?” Pengarah Axtra mengangguk.

“Ya, jadi aku akan melihat kamu berdua di Kejuaraan Jedie nanti. Hail pasadia, Xeva Spaite,” kata Pengarah Axtra lalu beliau, timbalannya dan Pegawai Karti beransur ke mobil masing-masing. Ariste melangkah perlahan ke mobilnya. Kemudian dia berpatah balik setelah hampir separuh jalan ke mobilnya.

“Tertinggal sesuatu?”

“Tertinggal sebuah pertanyaan,” katanya dengan nada bersahaja. Canggung lagi. Aku mengerutkan dahi.

“Maksudnya?”

“Mengapa Jedie dan Spaite?Aku masih ingin mendengar jawapanmu.”Katanya sambil memandang tepat wajahku. Aku terpana seketika.

“Boleh malam ini dikira sebagai ‘lain kali’?”tanyanya lagi. Aku mencari jawapan di wajahnya.

“Apa jawapan yang kau harapkan dariku, Jedie?” Aku memeluk tubuh. Ariste senyum.

“Ya?”

“Ya untuk apa?”

“Ya untuk bertemu di Ristorante Marmatula, makan malam dan jawab soalanku malam ini.”Kata Ariste sambil memandang tepat wajahku. Tiada senyuman tetapi raut wajahnya lembut dan bersahaja.

Aku menarik nafas dalam-dalam. Pertama kali lelaki mengajakku makan malam begini. Dan dengan begitu bersahaja.

“Jadi?”tanyanya memohon kepastian. Aku mengetap bibir.

“Tolong jangan menolak,”

“Ah,kamu…”

“Aku kira itu bermakna ya. Jadi Spaite mahu aku jemput pukul berapa?”

“Tak mengapa, aku ke sana sendiri,”

“Jadi Spaite tidak menolak. Jumpa pukul 8 malam?”

Ya.Aku sudah terjerat. Aku mengangguk lemah.

Ariste tersenyum lebar lalu terus melangkah ke mobilnya.

*********

Ristorante Marmatula terletak di pesisiran pantai Sascaeae kelihatan tenang dan damai. Pelanggannya tidak ramai malam ini. Mungkin kerana malam minggu, hari bekerja. Penduduk Parena lebih suka menghabiskan waktu di rumah pada waktu malam.

Pengantar menjemputku dan bertanya jika aku ada tempahan. Aku mengatakan ada teman yang sudah menempahnya. Mendengar nama Ariste, pengantar itu terus menjemputku ke dalam dan membawaku ke sebuah meja yang terletak di hujung restoran, berdekatan dengan pagar pesisir pantai.

Ariste sudah pun menungguku di sana. Rambutnya yang panjang separas bahu, di sikat ke belakang kemas. Dia memakai baju turtleneck berwarna hijau lumut dengan seluar slack kelabu. Hijau lumut adalah warna kegemaranku. Dia nampak kemas dan kasual. Bila dia ternampak aku menghampiri terus dia berdiri.

“Maaf, jika aku terlambat,”

“Tidak, Xeva Spaite datang tepat pada masanya,”

Aku duduk menghadapnya. Dia memandang wajahku, aku juga memandang wajahnya. Kemudian kami masing-masing, tertawa kecil.

“Jadi?”tanyanya. Aku mengangkat bahu.

“Kita memesan makanan terlebih dahulu?”tanyanya lagi. Aku mengangguk. Setelah memesan makanan kami berbual tentang pekerjaannya dan pekerjaanku. Setelah makanan sampai, tanpa banyak bicara, kami hanya makan, sesekali bertukar fikiran tentang makanan yang dipesan. Setelah tamat hidangan utama, kami memesan teh herba sebagai penamat hidangan. Dan tanpaku sangka, dia juga sukakan teh camomile. Senang tidur malam, katanya.

“Iyalah, menjadi jurutera, terkadang wayang kira-kira di kepala bermain sampai larut malam. Letihlah,” terangnya. Aku mengangguk. Aku pula minum camomile kerana sudah terbiasa sejak kecil diberikan camomile oleh bonda sebelum tidur.

“Oh ya? Mengapa ya?” tiba-tiba dia bersuara. Aku mengerutkan dahi.

“Mengapa apa?”tanyaku kembali.

“Mengapa Jedie?Mengapa Spaite?”tanyanya bersahaja. Tenang. Aku mengeluh perlahan.

“Rasa ingin tahu yang tinggi ini akan mendatangkan masalah kepadamu suatu hari nanti, Ariste Jedie,”kataku sambil mengacau teh camomile di hadapanku. Ariste hanya tersenyum.

“Aku kira apabila Xeva Spaite bersetuju untuk datang, maka bersetuju untuk menjawab soalan itu juga,”

“Kita tidak berjumpa di sini sekadar untuk aku menjawab soalan itu, bukan?”aku memandang wajahnya dengan tenang. Ariste mendekatkan wajahnya kepadaku sehingga aku dapat merasa nafasnya di wajahku.

“Sudah tentu tidak,” bisiknya perlahan. Aku terasa pipiku panas. Aku dapat merasakan yang pada waktu ini, pipiku sudah kemerahan kerana aku dapat lihat yang Ariste tersenyum bagaikan telah memenangi sesuatu. Aku menggeleng lalu menyandar ke kerusiku.

“Apakah salah di mata Ariste Jedie jika aku adalah seorang Spaite? Jika semua lelaki di Parena tidak boleh menerima hakikat itu, itu adalah masalah mereka. Bukan masalahku,”jawabku tenang. Ariste tidak menjawab. Dia hanya memandang wajahku seolah-olah mencari jawapan lain dariku.

“Jangan salah faham, Xeva Spaite. Sejujurnya, aku hanya ingin memahami apakah motivasi di sebalik seorang Spaite wanita yang menongkah arus, melawan pandangan stereotaip masyarakat, untuk berada di dalam dunia yang didominasikan oleh kaum Adam. Tidakkah sukar berada dalam keadaan di mana Spaite dipandang sinis sepanjang masa?” Dia meletakkan kedua-dua sikunya di atas meja lalu menongkat wajahnya ke arahku.

Aku tertawa kecil. Lelaki ini. Ah…aneh sekali. Di saat semua lelaki mengelak diri dariku, dia menghampiriku. Di saat semua lelaki hanya ingin mengecamku, dia ingin memahamiku. Ariste mengerutkan dahinya.

“Kenapa Xeva Spaite tersenyum?”

“Kerana kamu. Kamu ini aneh ya. Ini soalan cepu emas yang takkan ditanya oleh sesiapa pun melainkan kamu. Kenapa dengan kamu?”

“Kenapa semua soalanku Spaite jawab dengan pertanyaan kembali? Kita boleh bermain begini sepanjang malam sehingga restoran menghalau kita pulang,” jawabnya selamba. Aku membulatkan mataku lalu menggeleng perlahan. Lelaki ini…ah…buku bertemu ruas?

“Ya Sang Hyang Tunggal…” kataku perlahan. Dia hanya memandangku, menanti jawapan dariku. Aku mengangkat kedua-dua belah tanganku tanda mengalah. Ariste tersenyum. Dia bersandar ke kerusi untuk memberi ruang kepadaku untuk menjawab.

“Ada dua sebab peribadi. Pertama, tetanggaku pada zaman kanak-kanak. Kedua, teman SMAku,” Ariste mengangguk. Tidak pernah aku ceritakan perkara ini kepada sesiapapun kecuali ayahandaku, kerana, tiada sesiapa pun berminat untuk tahu sebelum ini. Bonda hanya berfikir yang aku ingin menjadi lebih baik dari lelaki.

“Zaman kanak-kanakku banyak aku habiskan dengan tetanggaku, yang amat kasih padaku. Beliau seorang Jedie dan juga Spaite. Aku sering mengikutnya ke kantor, melihatnya belajar dan mengajar, dan perwatakannya yang ‘gentleman’. Beliau merupakan idolaku. Namun kenanganku bersamanya belum cukup untuk menjadikan aku seorang Jedie dan Spaite.”

“Ketika awal remaja, aku adalah kutu buku yang lemah fizikal. Aku sering dibuli oleh teman SMAku. Ketika ini, ada seorang teman lelaki yang suka membantuku. Dia anak seorang Jedie dan Spaite. Perwatakannya dan tutur katanya yang baik membuatkan kami menjadi sahabat baik. Ketika pada suatu hari, teman-temanku yang nakal menulis di papan kenyataan sekolah “Kutu Buku Lembik Cintakan Pria Bakal Jedie”. Temanku ini sangat terganggu dengan penyataan itu. Walaupun aku tidak ada perasaan sedemikian rupa terhadapnya, kerana rasa hormatku padanya, dia sudah termakan akan hasutan itu. Lalu pada suatu hari, kerana sudah tidak tahan dengan kata-kata teman, dia sendiri menghinaku.”

“Perempuan macam kau, hanya layak berada di bawah tapak kaki lelaki. Kau tidak layak untukku,”

“Kata-kata ini amat melukakan hatiku. Kerana aku sangat hormat dan percaya padanya. Ini sebuah pengkhianatan yang tidak dapat aku terima. Bukan sahaja ia adalah tindakan melulu tanpa usul periksa. Malah dia lebih percaya orang yang tidak dia kenal berbanding aku, teman baiknya.”

“Aku sedar, inilah akibatnya akibat terlalu percaya dan bergantung hidup dengan orang lain. Pada hari itu, aku lahir sebagai manusia baru dengan motivasi baru. Semangatku telah melepasi batasanku. Aku tidak akan berada di bawah tapak kaki lelaki, walau untuk sesiapapun. Aku mampu hidup sendiri. Aku takkan dibuli sesiapa lagi. Aku takkan percaya sesiapa lagi melainkan diri aku sendiri. Jika dia boleh menjadi Jedie dan Spaite, aku juga bisa menjadi begitu.”

“Dan aku rasa, sehingga kini, aku tidak boleh lagi dihentikan.

Tapi bila aku fikirkan kembali, kedua-dua sebab ini, hanyalah sebagai motivasi awal. Selebihnya sehingga kini, aku memang suka menjadi Spaite dan Jedie. Aku sukakan cabaran. Aku sukakan kesakitan. Aku suka menjadi lain dari yang lain. Aku sangat cintakan diriku, sehingga tiada kata-kata sinis atau nista yang bisa melemahkan aku. Namun aku terima akan hakikat bahawa pilihan hidupku ini akan memberi kesan kepada masa depanku. Aku persetankan semua. Malah aku sudah bersedia untuk bersendirian sepanjang hidupku, asalkan ada kantorku, muridku dan kejuaraanku sentiasa bersamaku.”

“Ketika ayahandaku hampir meninggalkanku, dia ada meminta agar aku tidak menjadi Spaite lagi. Aku memohon ampun kepada Sang Hyang Tunggal.Permintaan ayahanda tak dapat aku tunaikan. Aku telah banyak menghabiskan tenaga, waktu dan wang untuk bidang ini. Aku tidak mungkin berpatah balik. Jedie adalah hidupku”.

“Wow…” kata Ariste sambil memeluk tubuhnya. “Wow…” katanya sekali lagi. Aku hanya memandangnya tanpa menunjukkan sebarang emosi.

“Aku mohon maaf akan pemergian ayahandamu. Semoga beliau ditempat bersama yang beriman oleh Sang Hyang Tunggal,” ujarnya. Aku mengangguk perlahan.

“Aku tak berhak menghakimimu di atas kisah hidupmu itu. Terima kasih kerana menceritakannya padaku,” kata Ariste lagi. Dia hanya memandangku. Aku enggan menatap anak matanya lagi lalu melemparkan pandanganku ke lautan. Ini adalah salah satu situasi yang paling canggung dalam hidupku. Aku berasa kurang selasa lagi untuk bersama dengan Ariste pada ketika ini.

Bagaikan memahamiku, dia mengajak aku pulang. Aku pohon agar bil dibahagikan dua, walaupun berulang kali dia katakan dia mahu membayar semua kerana dia yang mengajakku kemari, aku tolak dengan baik dan akhirnya dia mengalah. Berulangkali juga dia menawarkan untuk menghantar aku pulang, juga, aku menolaknya dengan baik. Aku tak perlukan masalah.

“Maaf Xeva Spaite, sekiranya aku melukakan hatimu atau membuatkan kamu merasa kurang selesa,”

Aku hanya tersenyum tawar.

“Sudah kukatakan Jedie, rasa ingin tahumu hanya akan mengundang masalah. Namun aku tidak salahkan kau, Jedie. Tak perlu rasa bersalah,”kataku sambil menarik kain roba biruku yang ditiup angin.

Ketika kereta tumpangan sampai, Ariste membuka pintu dan menjemputku masuk namun sebelum dia menutup pintu kembali, dia bertanya,

“Apakah Xeva Spaite akan berhenti makan malam denganku selepas ini?”

Aku hanya mengangkat bahu.

“Biar masa menentukan. Hail pasadia,”

“Hail pasadie…” jawabnya perlahan lalu menutup pintu kereta tumpangan.

Ariste telah menyentuh titik sensitif dalam hidup aku. Dan dia tidak boleh berpatah balik.

Deruan enjin kereta tumpangan membelah malam yang sunyi. Perlahan-lahan pesisir pantai Sascaeae menghilang dari pandanganku.

Bersambung…5. Bertahan Dengan Segala Dugaan

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Advertisements

One Comment Add yours

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s